kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Bernama Raih Tiga Anugerah Media Agrobank 2026
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Harlina Samson (kiri) pada Majlis Anugerah Media Agrobank 2026.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) meraih tiga anugerah pada majlis berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan hasil karya dan pelaporan agromakanan yang diterbitkan sepanjang 2025.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) membuktikan kecemerlangannya dalam pelaporan sektor agromakanan apabila merangkul tiga anugerah pada majlis Anugerah Media Agrobank 2026 di sini malam ini.
Wartawan Bernama Radio Wan Nadia Khairani Wan Chik dinobatkan sebagai juara bagi Anugerah Media Radio menerusi laporan bertajuk Dari Makmal Ke Meja Makan: Menyingkap Isu Halal, Potensi Dan Cabaran Inovasi Daging Kultur.
Agensi berita nasional itu turut cemerlang menerusi wartawan Meja Rencana Nurul Isnaini Mohd Muslim yang meraih tempat kedua Anugerah Media Cetak & Portal Berita (Rencana) melalui laporan bersiri Genetics to Ensure Food Security.
Muhammad Basir Roslan pula memenangi tempat kedua bagi kategori Anugerah Kewartawanan Teknologi & Digital Agrobank menerusi laporan Benteng Awal Keselamatan Makanan: Vaksin Tempatan Yang Mengubah Industri Ayam Negara.
Bagi setiap kategori, johan membawa pulang wang tunai RM5,000 manakala naib johan menerima RM3,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.
Anugerah itu, yang bertujuan mengiktiraf peranan media dalam memperkasa sektor pertanian, disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin.
Turut menyampaikan anugerah ialah Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin pada majlis yang dianjurkan dengan kolaborasi Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Hadir sama Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pegawai Eksekutif MPI Dr Ainol Amriz Ismail dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Harlina Samson.
Sementara itu, Chan berkata media memainkan peranan besar dalam membentuk naratif serta kefahaman masyarakat terhadap isu pertanian, keterjaminan makanan dan pembangunan komuniti agromakanan.