combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
MDEC Komited Pacu Pelaksanaan Malaysia Digital 2030
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menegaskan komitmen penuh untuk menyokong agenda Malaysia Digital 2030 (MD2030) serta merealisasikan aspirasi negara menjadi sebuah Negara Kecerdasan Buatan (AI) yang inklusif, diyakini dan berdaya saing di peringkat global menjelang 2030.
Pengerusi MDEC Ganesh Kumar Bangah berkata MDEC memainkan peranan penting dalam menterjemahkan agenda nasional kepada pelaksanaan dengan menggembleng industri, bakat, infrastruktur dan inovasi bagi memacu fasa seterusnya pertumbuhan digital negara.
"Ketika Malaysia melangkah ke era teknologi generasi baharu menerusi AI, kita memikul satu lagi misi besar. Kerajaan telah menetapkan mandat untuk meningkatkan sumbangan ekonomi digital daripada 25 peratus kepada 30 peratus daripada ekonomi negara.
"Justeru, MDEC perlu sekali lagi menerajui usaha mempercepat penggunaan AI, memacu pertumbuhan ekonomi digital serta transformasi industri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Malaysia mempunyai pelbagai kelebihan untuk muncul sebagai sebuah negara AI terkemuka, termasuk pusat data, tenaga mahir, syarikat digital serta ekosistem inovasi yang semakin berkembang.
Pada 29 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan MD2030, iaitu pelan tindakan nasional bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menandakan perubahan besar dalam strategi digital negara daripada sekadar pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi tempatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil berkata MDEC terus berevolusi seiring perubahan landskap teknologi, daripada era awal Koridor Raya Multimedia (MSC) kepada pembangunan platform digital, kandungan digital, pelaburan, eksport, infrastruktur digital dan kini AI.
Beliau berkata apabila Malaysia melangkah ke fasa baharu itu, tanggungjawab MDEC turut bertambah besar dalam merealisasikan misi nasional dengan memperkasa rakyat, memperkukuh keupayaan industri serta melengkapkan bakat dengan kemahiran yang diperlukan untuk menyertai ekonomi AI.
MD2030 dibangunkan berasaskan tujuh teras strategik, iaitu kerajaan, ekonomi, infrastruktur, bakat, masyarakat, kepercayaan dan keselamatan serta inovasi, menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) yang diterajui Kementerian Digital.