combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
AI Malaysia Pemangkin Realisasi Aspirasi Negara AI 2030 - Kementerian Digital
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bergambar kenangan bersama murid
pada Majlis Peluncuran AI Malaysia di Menara Cyber Axis, hari ini. Turut kelihatan Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar.
Penubuhan AI Malaysia Bhd sebuah entiti kecerdasan buatan kebangsaan di bawah Kementerian Digital akan menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan aspirasi Negara AI 2030.
Kementerian Digital dalam kenyataan hari ini memaklumkan melalui AI Malaysia, tumpuan penuh akan diberikan bagi memastikan sebarang sistem AI yang dibangunkan, diguna pakai, dan ditadbir di dalam negara sentiasa berpaksikan manusia (human-centric), selamat, serta boleh dipercayai.
“Sebagai sebuah entiti AI kebangsaan di bawah Kementerian Digital, AI Malaysia berfungsi sebagai badan induk yang menyatukan penyelarasan dasar dengan pelaksanaan pada peringkat nasional,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan melalui pendekatan ekosistem keseluruhan kerajaan (whole-of-government), AI Malaysia akan menggalas tanggungjawab utama seperti penyelarasan dasar dan pelaksanaan serta pemantauan impak tinggi bagi memastikan keberhasilan dan pencapaian inisiatif di bawah Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 dipantau rapi.
Kementeran Digital memaklumkan bersempena dengan pelancaran AI Malaysia, kerajaan turut memperkenalkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 sebagai agenda pembinaan negara yang kritikal.
Pelan itu menjadi instrumen yang menterjemahkan visi Negara AI kepada tindakan yang jelas, tersusun dan boleh diukur serta menyediakan hala tuju bersama-sama yang membolehkan pembangunan bakat, inovasi serta tadbir urus AI bergerak secara bersepadu.
“Pelan ini digerakkan melalui mekanisme pelaksanaan berstruktur tinggi yang memberi tumpuan khusus kepada pengukuhan ekosistem menerusi dua komponen utama, iaitu 14 inisiatif sektoral yang memberi impak langsung kepada pertumbuhan sosioekonomi negara dan 14 inisiatif yang menyokong sektor-sektor impak, merangkumi lima teras pemangkin asas.
“Lima pemangkin asas itu ialah Modal Insan Berdaya Saing Global, Inovasi Dipacu Pasaran, Infrastruktur Data dan Pengkomputeran, Tadbir Urus Bertanggungjawab dan Pembiayaan dan Pelaburan Mampan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, AI Malaysia juga bertanggungjawab membangunkan kerangka tadbir urus, kod etika, piawaian dan mekanisme kepercayaan berkaitan AI, menyelaras hubungan strategik dan kolaborasi AI pada peringkat global dan melaksanakan peranan sebagai Institut Keselamatan AI negara bagi memperkukuh aspek kepercayaan digital.