Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Program TM Future Skills Pemangkin Pembentukan Modal Insan AI, Robotik Pelajar
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua, kanan) melawat reruai pameran inovasi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) AlMashoor semasa meninjau pelaksanaan Sekolah Angkat MADANI Telekom Malaysia (TM) hari ini.
Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Amar Huzaimi Md Deris (kanan).
Program TM Future Skills anjuran Telekom Malaysia Bhd (TM) berjaya melahirkan modal insan cilik berkemahiran tinggi menerusi pendedahan awal terhadap teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, pengekodan (coding) serta percetakan 3D.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Amar Huzaimi Md Deris berkata program yang mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) (P) AlMashoor di sini sejak tahun lepas itu telah menunjukkan impak dan hasil yang amat memberangsangkan.
Beliau berkata menerusi pendedahan berkenaan, pelajar seawal tingkatan tiga bukan sahaja mampu membangunkan aplikasi bagi memperkemas pengurusan sekolah, malah turut mengemukakan idea penyelesaian berasaskan teknologi bagi menangani isu komuniti serta alam sekitar.
"Sukatan pelajaran program ini amat unik kerana kami membawa modul berasaskan teknologi masa depan daripada peringkat universiti untuk dipermudah agar sesuai dan senang difahami oleh pelajar sekolah.
"Pendedahan awal ini penting supaya apabila mereka melangkah ke peringkat pengajian tinggi kelak, ia tidak lagi menjadi kekok atau satu 'kejutan budaya'," katanya kepada pemberita selepas majlis lawatan kemajuan program berkenaan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di SMKA (P) AlMashoor, hari ini.
Di SMKA (P) AlMashoor, sebanyak 100 murid telah mengikuti latihan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kemahiran digital, manakala lima orang guru turut menerima latihan.
Sekolah berkenaan juga dilengkapi dengan TMFS Digital Hub dengan 10 komputer riba berprestasi tinggi, kit STEM, dron dan pencetak 3D bagi menyokong pembelajaran seperti pengekodan, robotik, reka bentuk 3D dan pembelajaran berasaskan projek.
Beliau berkata program TM Future Skills kini dilaksanakan di 35 sekolah di seluruh negara, melibatkan lebih 23,600 murid dan hampir 2,100 tenaga pengajar, dengan potensi memberikan impak kepada 60,000 murid termasuk menerusi sekolah satelit berhampiran.
Sementara itu, Pengetua SMKA (P) AlMashoor Rosmiza Ahmad berkata program tersebut membantu pelajar menjadi semakin yakin untuk mencuba, lebih aktif dalam pembelajaran dan menunjukkan minat yang lebih tinggi terhadap bidang sains dan teknologi.