kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Masjid Terapung Tanjung Bungah Diisytihar Masjid Pelancongan Pulau Pinang
Masjid Syed Sheikh Al-Hadi
Masjid Syed Sheikh Al-Hadi yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Terapung Tanjung Bungah, diisytiharkan Masjid Pelancongan Negeri Pulau Pinang, dalam usaha memperkukuh peranannya bukan sahaja sebagai pusat ibadah dan penyebaran ilmu, malah sebagai destinasi pelancongan Islam.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata pengisytiharan itu merupakan inisiatif untuk mengangkat peranan masjid sebagai tempat ibadah, pusat pendidikan, dakwah dan tarikan pelancongan yang mempamerkan keindahan seni bina Islam serta nilai budaya dan warisan negeri.
Beliau yang juga Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata penjenamaan masjid itu bukan sekadar memberi identiti baharu, malah ia langkah untuk mengangkat legasi tokoh pembaharuan Islam Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi sebagai sebahagian daripada produk pelancongan warisan intelektual negeri.
"Masjid itu pada asalnya berfungsi sebagai masjid kariah bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat sebelum dinaik taraf sebagai Masjid Daerah Timur Laut pada 10 Dis 2021, sekali gus memperkasakan peranannya sebagai pusat pentadbiran, dakwah, pendidikan dan pembangunan ummah.
"Mesyuarat MAINPP pada 14 Julai 2025 bersetuju menstrukturkan semula peranan dan fungsi dua masjid utama iaitu Masjid Terapung dan Masjid Habib di daerah Timur Laut bagi memastikan pengurusan masjid lebih fokus, profesional dan efisien dalam menangani keperluan masyarakat serta pelawat," katanya pada majlis Pengisytiharan Masjid Syed Sheikh Al-Hadi, di sini hari ini.
Majlis perisytiharan berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Jafri Abdul Jalil dan Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Mohamad berkata Masjid Terapung Tanjung Bungah itu ditetapkan sebagai Masjid Pelancongan Negeri Pulau Pinang manakala Masjid Habib berfungsi sebagai Masjid Daerah Timur Laut, mengambil kira lokasi strategik Masjid Syed Sheikh Al-Hadi tersebut yang menerima jumlah kunjungan pelawat yang tinggi sepanjang tahun termasuk pelancong dalam dan luar negara.
Katanya, pemilihan nama Syed Sheikh Al-Hadi turut mempunyai nilai sejarah dan intelektual yang besar kerana beliau dilahirkan di Melaka pada 1867 merupakan antara tokoh pembaharuan Islam paling berpengaruh di Tanah Melayu pada awal abad ke-20, selain dikenali sebagai ulama, pendidik, penulis, wartawan, penerbit dan pemikir.
"Selain tokoh pemikir Islam moden, Syed Sheikh Al-Hadi juga menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat gerakan pembaharuan pendidikan, penerbitan dan pemikiran Melayu-Islam pada awal abad ke-20," katanya.