combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
30 Inisiatif, 10 Projek Baharu Perkasa Pelancongan Bumiputera Pulau Pinang
Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) Tan Sri Khalid Ramli
Sebanyak 30 inisiatif dan 10 projek baharu bagi pembangunan produk pelancongan dirancang untuk memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam sektor pelancongan menerusi Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang 2026-2035.
Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) Tan Sri Khalid Ramli berkata pelaksanaan pelbagai inisiatif itu memfokus kepada pembangunan kapasiti pemain industri, pengukuhan produk pelancongan dan peningkatan daya saing usahawan Bumiputera dalam sektor berkenaan.
"Antara usaha yang dilaksanakan ialah program pembangunan pemandu pelancong Bumiputera dan pengusaha inap desa sebagai sebahagian daripada agenda memperkasakan industri pelancongan negeri.
"Kita juga akan membangunkan 10 projek baharu termasuk ekopelancongan bagi memperkukuh produk pelancongan yang menjadi tarikan utama," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Modul Homestaypreneur dan Video Promosi Pelancongan Mesra Muslim Pulau Pinang di Universiti Teknologi MARA sini hari ini.
Pada majlis itu, yang turut dihadiri Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Pulau Pinang Dr Annuar Mohamed, seramai 21 peserta menerima Lesen Pemandu Pelancong Bandar selepas mengikuti kursus selama enam bulan di Sentral College Pulau Pinang.
Khalid juga berkata keseluruhan perancangan melibatkan 40 komponen merangkumi program pembangunan, latihan dan projek fizikal baharu di bawah pelan induk berkenaan termasuk inisiatif sebanyak RM200,000 bagi membantu peserta mendapatkan latihan dan lesen sebagai pemandu pelancong.
Beliau berkata MPBPP memperuntukkan kira-kira RM8,000 bagi setiap peserta mengikuti latihan sebagai pelaburan kerajaan dalam melahirkan pemandu pelancong yang berkualiti, dan berharap penerima memanfaatkan peluang itu dengan bersungguh-sungguh serta tidak menjadikan lesen tersebut sekadar sijil simpanan atau pekerjaan sambilan.
Annuar pula berkata program itu adalah usaha strategik bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam profesion pemandu pelancong yang memerlukan lesen serta latihan khusus yang diiktiraf MOTAC.
Beliau berkata ketika ini, terdapat 1,008 pemandu pelancong yang berdaftar dengan MOTAC di Pulau Pinang, dengan lebih 900 daripada mereka adalah pemandu pelancong bandar manakala selebihnya dalam kategori alam semula jadi.