Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Pulau Pinang Sumbang 45 Peratus Daripada Hasil Pelancongan Perubatan Malaysia
Chow Kon Yeow
Pulau Pinang menyumbang 45 peratus daripada keseluruhan hasil pelancongan perubatan Malaysia setakat ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan perubatan terkemuka negara, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata Pulau Pinang menerima lebih 500,000 pesakit antarabangsa pada 2025 yang menjana lebih RM1.1 bilion hasil daripada pelancongan perubatan, mencerminkan pertumbuhan berterusan didorong oleh kerjasama kukuh antara sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta.
“Pencapaian ini mencerminkan hasil pelaburan jangka panjang oleh sektor awam dan swasta, profesionalisme petugas penjagaan kesihatan serta keyakinan pesakit terhadap sistem penjagaan kesihatan Pulau Pinang,” katanya ketika berucap sempena lawatannya ke Hospital Northern Heart Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Northern Heart Kelen Leong Choy Fun dan Pengurus Besarnya Katrina Felix.
Chow berkata Malaysia berada pada landasan tepat untuk terus memperluas kehadirannya dalam industri pelancongan perubatan global, memandangkan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan terus meningkat di seluruh dunia.
Beliau berkata standard klinikal yang tinggi, kemudahan penjagaan kesihatan moden serta tenaga profesional perubatan yang berkemahiran memberikan Malaysia kelebihan daya saing dalam menarik pesakit antarabangsa.
"Walau bagaimanapun, peluang berkenaan bukan sekadar untuk menarik lebih ramai pesakit, tetapi untuk membangunkan perkhidmatan penjagaan kesihatan bernilai lebih tinggi yang mewujudkan manfaat ekonomi yang lebih luas untuk negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat kita," katanya.
Sementara itu, Chow berkata Kerajaan Pulau Pinang akan terus bekerjasama rapat dengan penyedia penjagaan kesihatan swasta untuk mengukuhkan ekosistem perubatan negeri dan memastikan pertumbuhan industri diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat.
Katanya, perkara ini termasuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi, menyokong perniagaan tempatan, menarik pelaburan dalam inovasi penjagaan kesihatan serta meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk penduduk negeri ini.