combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Manusia, Organisasi Bertanggungjawab Urus Risiko Sistem AI - Gobind
Menteri Digital Gobind Singh Deo berucap pada Sesi Kamar Khas Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.
Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang sedang digubal akan memastikan manusia atau organisasi dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kemudaratan atau risiko akibat penggunaan teknologi itu.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata hal ini kerana AI tidak mempunyai keperibadian undang-undang atau tanggungjawab moral seperti manusia, maka sebarang tanggungjawab tidak boleh diletakkan pada sistem teknologi itu sendiri.
“ … tanggungjawab tersebut perlu diletakkan kepada manusia, organisasi atau entiti yang membangunkan, menyediakan, mengendalikan atau menggunakan sistem AI tersebut. AI tidak ada legal personality, jadi kita (manusia) kena lihat pada aspek itu (perundangan),” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) sama ada RUU Tadbir Urus AI akan memberikan jaminan perundangan yang jelas kepada orang ramai yang semakin berdepan dengan cabaran berkaitan teknologi itu.
Mengulas lanjut, Gobind berkata prinsip akauntabiliti adalah antara elemen utama yang sedang diberi perhatian dalam penggubalan RUU itu memandangkan penggunaan AI kini semakin meluas dalam kehidupan harian rakyat serta operasi sektor awam dan swasta.
Gobind berkata kerajaan sedang meneliti pendekatan akauntabiliti berasaskan kitar hayat sistem AI secara menyeluruh, iaitu daripada peringkat pembangunan sehingga penamatan atau penarikan balik sesuatu sistem.
“ … hal ini penting kerana sesuatu risiko atau kegagalan AI tidak semestinya berlaku hanya pada satu peringkat. Sistem yang pada asalnya selamat boleh menjadi berisiko apabila sistem tersebut diubah suai, digunakan dalam konteks baharu, disambungkan kepada sistem lain atau digunakan terhadap kumpulan pengguna yang berbeza daripada mereka yang dirancang,” katanya.
RUU itu, katanya, sedang dibangunkan sebagai kerangka tadbir urus bersifat melintang yang melengkapi undang-undang sedia ada dan bukannya mengambil alih keseluruhan kawal selia teknologi atau bidang kuasa sektor tertentu.
Beliau berkata sekiranya sesuatu isu AI melibatkan kesalahan jenayah, perlindungan pengguna, harta intelek atau bidang kuasa sektor tertentu, undang-undang dan agensi berkaitan yang sedia ada akan terus memainkan peranan masing-masing.