kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Masa Depan Digital Malaysia Perlu Imbangi Inovasi, Kepercayaan Dan Tadbir Urus AI Yang Bertanggungjawab
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (dua, kiri) melakukan gimik perasmian Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026. Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching (tiga, kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah (kiri).
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Persidangan Pengawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 baru-baru ini muncul sebagai pemangkin penting kepada lonjakan digital Malaysia, menekankan bahawa masa depan yang berdaya tahan perlu berteraskan ketersambungan yang dipercayai.
Selain itu, ia menekankan kepada rangkaian yang selamat mengikut secure-by-design serta pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab.
Ketua Keselamatan Ericsson Dr Connie McIntosh berkata kedaulatan data yang sebenar memerlukan lebih daripada sekadar penyimpanan data, sebaliknya menuntut kekukuhan tadbir urus, kemantapan penyulitan serta pembangunan rangkaian dilengkapi ciri keselamatan sebagai elemen asas.
"Kedaulatan data dibina berasaskan kepercayaan. Ia memerlukan tadbir urus yang kukuh, rangkaian yang selamat mengikut reka bentuk serta keyakinan bahawa data dapat dilindungi dan digunakan secara bertanggungjawab bagi menyokong masa depan digital Malaysia," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ketersambungan yang dipercayai menjadi asas kepada aspirasi digital Malaysia dengan memberikan keyakinan kepada kerajaan, perniagaan dan pengguna untuk memanfaatkan AI, mempercepat transformasi digital serta menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
McIntosh berkata aspek privasi juga perlu diterapkan dalam rangkaian dan perkhidmatan digital sejak peringkat awal, disokong oleh penyulitan yang lebih kukuh, kawalan akses lebih baik, pemantauan berterusan serta respons lebih pantas terhadap ancaman siber baharu.
Ketua Program Komunikasi Media Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Sabariah Mohamed Salleh yang senada dengan pandangan itu berkata persidangan antarabangsa seperti IRC sewajarnya menjadi platform untuk kerjasama jangka panjang, dan tidak berakhir sekadar dengan perbincangan dasar.
Beliau berkata persidangan pengawalseliaan seperti itu perlu menjadi pemangkin kepada kerjasama berterusan antara badan pengawal selia, ahli akademik, industri dan masyarakat bagi menghasilkan impak yang bermakna, termasuk penyelidikan dan inisiatif pada peringkat kebangsaan.