kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Malaysia Techlympics 2026 Kembali Perkasa Bakat STI Negara, Sasar 1.8 Juta Penyertaan - MOSTI
Malaysia Techlympics 2026 (MT2026), inisiatif utama pembangunan bakat sains, teknologi dan inovasi (STI) akan berlangsung dari Julai hingga September ini, yang menyasarkan 1.8 juta penyertaan daripada pelajar dan belia seluruh negara.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bahawa program yang kini memasuki edisi kelima itu dirangka untuk memupuk minat generasi muda berusia enam hingga 30 tahun terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurut kenyataan itu, MT2026 dirangka melalui pertandingan berimpak tinggi, program jangkauan keterangkuman serta pelbagai aktiviti pendidikan dan latihan di luar bilik darjah di seluruh negara, selaras dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.
“Bagi pelaksanaan yang lebih berkesan, penganjuran MT2026 pada tahun ini juga digerakkan secara kolaboratif melalui kerjasama pelbagai kementerian dan jabatan.
“Ia melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), selain agensi kerajaan, rakan industri serta kerajaan negeri melalui barisan exco yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOSTI, sebanyak 90 pertandingan ditawarkan merangkumi 182 modul STI pada tahun ini berbanding 93 modul STI pada tahun lepas, termasuk tenaga baharu, dron, robotik, kejuruteraan, forensik, percetakan 3D, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, pengkomputeran awan, bioteknologi dan teknologi hijau.
“Pelbagai program jangkauan keterangkuman telah dilaksanakan di beberapa sekolah luar bandar terpilih bagi memperkukuh ekosistem pendidikan STEM di kawasan tersebut, sekali gus menyemarakkan minat pelajar dan belia terhadap pendidikan berasaskan STI.
“Program ini juga meneruskan komitmen terhadap keterangkuman dengan memberikan penekanan kepada penyertaan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI),” menurut kenyataan itu.
Pertandingan saringan Malaysia Techlympics Peringkat Zon akan bermula di Zon Selatan, yang berlangsung di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology, Johor.