Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Malaysia Sasar Jadi Hab Maritim Utama Menerusi Terminal Ketiga Pelabuhan Klang Pulau Carey - Loke
Malaysia menyasar menjadi hab maritim utama di Asia Tenggara menerusi pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey di Selangor, yang dijangka mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata projek mega yang bakal dilaksanakan secara berfasa itu merupakan langkah kritikal bagi memastikan daya saing maritim negara kekal kukuh dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
Beliau berkata kapasiti sedia ada di Pelabuhan Klang ketika ini adalah sekitar 20 juta Unit Setara Dua Puluh Kaki (TEU) berbanding Pelabuhan Tuas di Singapura yang mampu mengendalikan hingga 60 juta TEU setahun.
"Pelabuhan Tuas tiga kali ganda lebih besar daripada Pelabuhan Klang sedia ada (sekarang). Sudah tentu jika kita mahu bersaing, kita memerlukan kapasiti dan infrastruktur yang besar.
"Pembangunan di Pulau Carey ini bertujuan untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan mega yang boleh mengendalikan TEU dalam jumlah yang besar. Perancangan ini penting bagi memastikan persaingan ataupun daya saing negara kita tetap kukuh, tetap kuat dalam tahun-tahun yang akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik ASEAN di sini, hari ini.
Mengulas status terkini projek itu, Loke berkata kajian kebolehlaksanaan yang bermula sejak 2018 telah selesai, dan kabinet secara prinsipnya telah memberikan kelulusan untuk meneruskan projek itu melalui model kerjasama awam-swasta (PPP).
"Ada (beberapa) isu mengenai tanah yang sedang kita uruskan sekarang dengan Kerajaan Negeri Selangor. Sejurus selepas isu tanah dapat diselesaikan, maka kita akan kick-start (mulakan pembinaan) projek ini tak lama lagi," katanya.
Pada 11 Mac lepas, Loke berkata kerajaan telah meluluskan projek pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey yang bertujuan untuk memperkukuh keupayaan ekonomi dan kedudukan Malaysia dalam sektor pelabuhan serta logistik.