combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Malaysia, Kemboja Kukuh Kerjasama Pertahanan, Bina Daya Tahan Kolektif - Mohamed Khaled
Kredit : MINDEF
Malaysia dan Kemboja komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan, sekali gus menyumbang kepada pembinaan daya tahan kolektif ASEAN.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata komitmen itu dizahirkan ketika beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja Samdech Thipadei Hun Manet di Peace Palace, Phnom Penh hari ini.
Beliau berkata antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan Malaysia-Kemboja, yang bakal menjadi kerangka penting dalam memperluas dan memperkukuh kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
“Malaysia dan Kemboja turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan pemusatan ASEAN, dialog serta mekanisme serantau dalam menangani cabaran keselamatan, termasuk usaha berterusan ke arah keamanan dan kestabilan di sempadan Kemboja-Thailand,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata Malaysia turut menzahirkan sokongan berterusan terhadap mekanisme ASEAN Observer Team (AOT) selain penyelesaian secara aman menerusi dialog dan rundingan.
Mohamed Khaled berkata kedua-dua pihak turut membincangkan kepentingan memuktamadkan Code of Conduct (COC) di Laut China Selatan, sebagai langkah penting bagi memastikan keamanan, kestabilan dan ketertiban berasaskan peraturan terus terpelihara.
Beliau berkata Malaysia dan Kemboja juga komited memperkukuh kerjasama pertahanan dalam bidang-bidang baharu termasuk latihan peperangan hutan, industri pertahanan, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dron.
Selain itu, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja Jeneral Tea Seiha, bagi bertukar-tukar pandangan mengenai landskap keselamatan serantau yang semakin kompleks.
Dalam hantaran berasingan berhubung pertemuan itu, beliau menyatakan harapan agar gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, dapat terus dikekalkan.