BTC USD 75,884.4 Gold USD 4,347.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Mahkamah Tolak Rayuan Siti Kasim Berhubung Perintah Larangan Perhimpunan 2022

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,142
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,142
Reaction score
346
Points
141

Mahkamah Tolak Rayuan Siti Kasim Berhubung Perintah Larangan Perhimpunan 2022​

80884382c5c01f311a2ca8097e514e2b5f3f6ebd86525

Siti Kasim

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan permohonan semakan kehakiman oleh aktivis dan peguam Siti Kasim serta seorang lagi individu berhubung perintah larangan perhimpunan yang mendesak bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki meletak jawatan, empat tahun lalu.

Pengerusi panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid dan Datuk Ong Chee Kwan, sebulat suara menolak rayuan yang difailkan Siti, atau nama penuhnya Siti Zabedah Kasim dan seorang lagi peguam S. Raveentharan.

Hakim Azhahari berkata perintah larangan yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 20 Jan 2022, yang melarang perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’, adalah sah di sisi undang-undang.

Beliau berkata perintah berkenaan dikeluarkan ketika perhimpunan itu dirancang untuk diadakan dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan COVID-19.

"Keutamaan lebih besar responden pada ketika itu, pada pandangan kami, adalah untuk memastikan pandemik COVID-19 dapat dikawal dan jumlah kes dikurangkan," katanya.

Beliau berkata perintah larangan itu tidak melanggar hak Siti Kasim dan Raveentharan, selaku pemohon, untuk bergerak bebas di bawah Perkara 9 dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Malah, responden tidak menghalang orang awam daripada menghadiri perhimpunan berkenaan di lokasi baharu di Stesen MRT Bangsar. Berdasarkan keterangan afidavit, terbukti bahawa perhimpunan itu berlangsung secara aman dan perayu turut menghadirinya meskipun dengan sedikit kelewatan," katanya.

Azhahari berkata dalam konteks itu, hak perayu untuk bergerak bebas tidak dinafikan.

Siti Kasim dan Raveentharan memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Januari 2022 dengan menamakan Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi ketika itu ACP Noor Dellhan Yahaya; timbalannya DSP Muhammad Faizal Mohd Amir; Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

 
Back
Top
Log in Register