Kawalan ketat iringi ketibaan Najib di kompleks mahkamah
Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini pada jam 8.40 pagi tadi.
Beliau menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 dengan diiringi beberapa kenderaan Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut hadir memberi sokongan ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak lelakinya, Datuk Mohamad Nizar.
Pagar mahkamah dan laluan masuk utama ditutup serta dikawal ketat anggota polis.
Bagaimanapun, rombongan yang membawa Najib dilaporkan memasuki kawasan mahkamah melalui pintu belakang dengan kawalan ketat keselamatan.
Sementara itu, ratusan penyokong yang difahamkan tiba menaiki lebih tujuh bas setia menunggu di luar perkarangan mahkamah.
Mereka dilihat melaungkan 'Lawan tetap lawan' dan 'Bebas Bosku' sebagai tanda sokongan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Penyokong terbabit turut memakai baju-T bertulis 'Justice 4 Najib'.
Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Alice Loke dijadual menyampaikan keputusannya dalam semakan kehakiman difailkan Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan, memohon untuk menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.
Keputusan itu akan menentukan sama ada Najib akan dibenar menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah atau sebaliknya terus kekal di penjara.
Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Dalam kes berprofil tinggi dihadapinya, Najib menghabiskan semua peringkat rayuannya selepas gagal membatalkan sabitan dan hukuman berkenaan.
Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa hukuman penjara asal Najib selama 12 tahun dan denda RM210 juta telah dikurangkan kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta.
Menurut kenyataan itu, Najib dijadual dibebaskan pada 23 Ogos 2028, namun sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara akan ditambah satu tahun dan tarikh pembebasan akan menjadi 23 Ogos 2029.
Dua bulan kemudian, pada 1 April 2024, beliau memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan mendakwa wujud satu Titah Adendum atau perintah tambahan diraja yang membolehkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Dalam notis permohonannya, Najib memohon perintah mandamus supaya semua atau mana-mana responden mengesahkan dan memperakui kewujudan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024 itu.
Najib juga memohon perintah mandamus supaya, sekiranya perintah tambahan itu wujud, semua atau mana-mana responden melaksanakan perintah diraja berkenaan dan memindahkannya dengan segera dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Pada 4 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib dengan alasan afidavit sokongan mengandungi keterangan dengar cakap.
Keputusan itu mendorong Najib merayu ke Mahkamah Rayuan, di mana beliau memenangi rayuan berkenaan melalui keputusan majoriti 2-1, dengan perintah supaya perkara itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh.
Pejabat Peguam Negara (AGC) kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu di Mahkamah Persekutuan.
Kes itu kembali didengar di Mahkamah Tinggi di hadapan Alice yang mendengar hujahan semua pihak dan menetapkan 22 Disember sebagai tarikh keputusan.