BTC USD 75,680.9 Gold USD 4,352.89
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Lelaki yang tikam paderi di Gereja St Joseph dipenjara, disebat

Bob_SG

Fun Poster
Messages
719
Joined
Jun 14, 2025
Messages
719
Reaction score
2
Points
25

Lelaki yang tikam paderi di Gereja St Joseph dipenjara, disebat​

screenshot_2026-08-21_123113.jpg

Basnayake Keith Spencer, 37 tahun, melawat lokasi kejadian tikaman si Gereja St. Joseph’s (Bukit Timah) 6 Dis 2024. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

SINGAPURA: Suspek utama dalam kes tikaman pada tahun 2024 di Gereja St Joseph dijatuhi hukuman penjara empat tahun tiga bulan pada Jumaat (21 Ogos) selepas menikam mulut seorang paderi menggunakan pisau lipat.

Basnayake Keith Spencer, 38 tahun, turut mengaku membawa pelbagai senjata di tempat awam tanpa tujuan yang sah. Selain hukuman penjara, beliau dijatuhi hukuman rotan sembilan kali.

IKLAN

Dokumen mahkamah menunjukkan, selain pisau lipat bersaiz 10cm dengan bilah separuh bergerigi yang digunakan dalam serangan itu, senjata lain seperti pisau lipat, pisau kecil, gancu memancing dan tukul kayu turut ditemui padanya atau di dalam begnya.

Mahkamah diberitahu bahawa Basnayake beratur untuk acara keagamaan di gereja selepas selesai upacara untuk kanak-kanak, sebelum menikam mulut Paderi Christopher Lee Kwong Heng dengan pisau lipat sekitar pukul 6.30 petang pada 9 November 2024 di gereja yang terletak di Upper Bukit Timah.

Paderi Lee, 59 tahun, yang sedang mengagihkan kepingan wafer ketika kejadian, mengalami luka tikaman di bahagian dasar mulut serta luka terpotong pada lidah, bibir atas dan mulut.

Beliau menjalani pembedahan untuk merawat lukanya dan dibenarkan keluar dari hospital enam hari selepas insiden berkenaan. Menurut dokumen mahkamah, beliau menerima rawatan susulan yang intensif termasuk terapi pertuturan, dan diberi cuti sakit hospital selama 40 hari.

Timbalan Pendakwa Raya Xu Si Jia memohon hukuman penjara antara empat tahun tiga bulan hingga empat tahun 11 bulan serta sembilan sebatan rotan ke atas Basnayake.

IKLAN

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai "serangan biadap dan tanpa sebarang provokasi" terhadap mangsa yang tidak mampu mempertahankan diri, beliau menegaskan bahawa lelaki itu menikam paderi berkenaan di hadapan ratusan penganut, sejurus selepas upacara keagamaan untuk kanak-kanak.

Tambah beliau, tindakan itu merupakan pelanggaran serius terhadap keselamatan dan ketenteraman awam yang "menyentuh sensitiviti masyarakat".

Cik Xu berkata hukuman yang berkesan diperlukan untuk memberi pengajaran kepada mana-mana individu lain serta meredakan keresahan awam berikutan jenayah tersebut.

Beliau menambah, pisau lipat itu merupakan senjata berbahaya yang berpotensi menyebabkan kecederaan lebih parah sekiranya terkena bahagian badan lain atau organ penting.

Cik Xu turut berhujah bahawa Basnayake berada dalam keadaan mabuk atas kerelaan sendiri selepas mengambil lima biji pill nitrazepam sebelum serangan, dan beliau "jelas sedar" akan kesan ubat berkenaan.

IKLAN

Beliau mendakwa mengambil ubat tersebut untuk kekal fokus, memberi perhatian kepada upacara keagamaan, serta menenangkan diri sebelum acara di gereja itu.

Ujian air kencingnya turut mengesan campuran pelbagai bahan opiat dan dadah terkawal lain.

Pihak pendakwaan mengetengahkan laporan doktor dari Institut Kesihatan Mental (IMH) yang menyatakan bahawa selepas mengambil pil tersebut pada peristiwa terdahulu, tertuduh pernah hilang kesedaran hingga dimasukkan ke hospital. Ubat itu juga "menyebabkannya hilang pertimbangan", mendengar suara-suara aneh, serta berfikiran pelik.

"Beliau mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas akibat daripada pengambilan bahan terlarang secara sukarela," hujah Cik Xu.

Peguam Ashwin Ganapathy dan Edwin Ho daripada Pejabat Pembela Awam memohon hukuman penjara kurang daripada empat tahun dan sembilan sebatan rotan untuk Basnayake.

IKLAN

Pihak pembelaan tidak bersetuju bahawa keadaan mabuk tertuduh dijadikan faktor pemberat hukuman.

Walaupun Basnayake memberitahu doktor IMH bahawa pengambilan ubat itu pernah menyebabkannya pengsan, hilang pertimbangan dan mendengar suara sebelum ini, Encik Ganapathy berkata beliau tidak pasti sama ada itu mencukupi untuk membuktikan bahawa tertuduh benar-benar sedar akan krisis psikosis yang boleh tercetus akibat dadah tersebut.

Sesi temubual dengan doktor itu juga berlaku selepas insiden berkenaan, tambah peguam itu, sambil menunjukkan dokumen mahkamah yang menyatakan Basnayake mengambil ubat tersebut untuk menenangkan diri dan kekal fokus.

"Sukar untuk melihat bagaimana perkara ini bermaksud beliau cukup sedar bahawa ubat itu boleh mencetuskan psikosis," hujah Encik Ganapathy.

Pihak pembelaan dalam rayuan pengurangan hukuman turut menyatakan bahawa Basnayake menyesali perbuatannya.

"Beliau menyesal dan malu dengan apa yang telah dilakukannya. Beliau memohon agar hukuman yang dikenakan adalah setimpal," tambah Encik Ganapathy.

Semasa menyampaikan keputusan hukuman, Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan bersetuju bahawa hukuman itu perlu memberikan pengajaran bagi mengelakkan kesalahan serupa dan menangani keresahan awam.

Serangan itu berlaku tanpa sebarang provokasi dan mencederakan seorang lelaki yang tidak mampu mempertahankan diri, di mana hukuman Basnayake mesti mencerminkan betapa serius kesalahan yang dilakukan, katanya.

Hakim mengambil kira beberapa faktor pemberat, termasuk serangan yang "berani dan tanpa provokasi".

"Tertuduh menyerang mangsa pada saat tepat beliau sedang menjalankan upacara keagamaan, di mana mangsa berada dalam keadaan tidak mampu mempertahankan diri dan tidak mengesyaki apa-apa," katanya.

Potensi bahaya adalah sangat besar - mengingatkan serangan berlaku di dalam gereja yang sesak di hadapan ratusan orang, wujud risiko sebenar timbulnya panik beramai-ramai dan kecederaan seterusnya, kata hakim.

Beliau turut bersetuju bahawa keadaan psikosis akibat dadah yang dialami Basnayake adalah "berpunca daripada dirinya sendiri sepenuhnya", sambil mengambil maklum bahawa ini bukan kesalahan pertama tertuduh yang melibatkan keganasan di bawah pengaruh dadah, yang menunjukkan peningkatan tahap serius dan memerlukan hukuman pencegahan khusus.

Basnayake berada dalam tahanan reman sejak dituduh pada 11 November 2024 dan sebelum ini dinafikan jaminan atas faktor keselamatan awam.

Membawa senjata di tempat awam tanpa tujuan yang sah merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin, dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun serta sekurang-kurangnya enam sebatan rotan.

Bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan parah, Basnayake boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 15 tahun, denda dan dirotan.

 
Back
Top
Log in Register