Polis mengepung Gereja St Joseph di Upper Bukit Timah Road selepas barang yang mencurigakan dilaporkan pada 21 Disember 2025. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
SINGAPURA: Orang ramai dinasihatkan supaya menghindari Gereja St Joseph di Bukit Timah selepas barang yang mencurigakan ditemui di sana, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Ahad (21 Dis).
"Polis sedang menangani kes barang yang mencurigakan di Gereja St Joseph yang terletak di 620 Upper Bukit Timah Road," kata SPF dalam satu kenyataan di Facebook.
IKLAN
"Polis telah mengawal kawasan itu dan gereja telah dikosongkan sedang operasi polis dijalankan. Orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan lokasi dan kawasan sekitarnya dan mematuhi arahan para pegawai polis."
"Pasukan Pertahanan Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah diaktifkan untuk menyokong operasi," menurut polis dalam kemas kini pada sekitar pukul 10.10 pagi.
Dalam kenyataannya yang dimuat naik ke Facebook, Gereja St Joseph menyatakan bahawa ia ditutup buat sementara waktu dan menasihatkan para pengunjung untuk pergi ke gereja lain bagi misa Ahad.
Notis di laman web gereja tersebut juga menyatakan bahawa semua acara misa yang dirancang untuk Ahad telah dibatalkan sehingga diberitahu kelak.
IKLAN
Para anggota media menunggu di pintu Gereja St Joseph selepas gereja di Upper Bukit Timah Road itu dikosongkan berikutan penemuan barang yang mencurigakan pada 21 Disember 2025. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
Apabila wartawan Mediacorp tiba di tempat kejadian selepas pukul 10.00 pagi, kenderaan polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dilihat di dalam kawasan pekarangan gereja.
Para pegawai polis dan warden gereja ditempatkan di pintu masuk untuk mengarahkan orang ramai supaya menjauhi gereja tersebut.
IKLAN
Sepasang warga emas, yang merupakan pengunjung tetap, dilihat menunggu di pintu masuk.
Wanita itu, yang tidak mahu namanya didedahkan, memberitahu Mediacorp bahawa mereka sedang menunggu untuk memandu keluar dari gereja tersebut kerana kenderaan mereka diletakkan di dalam kawasan pekarangan gereja.
Pasangan itu tiba selepas pukul 6.00 pagi untuk menghadiri misa pada pukul 7.30 pagi tetapi diminta mengosongkan kawasan sebelum acara itu bermula.
Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan dilihat memandu masuk ke kawasan pekarangan gereja pada pukul 10.47 pagi. Beliau adalah Anggota Parlimen GRC Holland-Bukit Timah untuk kawasan di mana terletaknya Gereja St Joseph.
Pada November tahun lalu, seorang paderi di gereja yang sama telah ditikam semasa upacara misa. Seorang lelaki berusia 37 tahun kemudian didakwa menikam Paderi Katolik Christopher Lee di bahagian mulut.
IKLAN
Dalam satu lagi kejadian sebulan kemudian, seorang lelaki ditemui dengan pisau lipat di gereja yang sama, dan polis kemudian mengatakan suspek sedang membantu siasatan.
Sukarelawan gereja 26 tahun diberkas selepas barang mencurigakan ditemui di Gereja St Joseph
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 26 tahun diberkas di bawah undang-undang anti-pengganasan pada Ahad (21 Dis) selepas satu barang mencurigakan ditemui di Gereja St Joseph di Bukit Timah. Gereja tersebut dikosongkan pada pagi Ahad sedang pihak berkuasa menyiasat kejadian tersebut. Barang itu k