BTC USD 75,597.2 Gold USD 4,266.66
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Guru agama tidak bertauliah dipenjara, disebat kerana rogol & cabul 2 beradik lelaki

adi19

Fun Poster
Messages
766
Joined
Oct 30, 2013
Messages
766
Reaction score
3
Points
25

Guru agama tidak bertauliah dipenjara, disebat kerana rogol & cabul 2 beradik lelaki​

jail_mediacorp.jpg

Seorang lelaki Singapura berusia 37 tahun dijatuhi hukuman penjara 27 tahun 10 bulan dan 24 sebatan selepas mengaku bersalah rogol seorang budak lelaki dan cabul abang mangsa dan seorang lagi mangsa. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Seorang lelaki yang bukan guru agama bertauliah mendekati dua kanak-kanak lelaki daripada keluarga yang berpecah-belah dan mengambil berat tentang mereka. Namun, dia kemudian merogol si adik sekurang-kurangnya 10 kali dan mencabul abangnya.

Perbuatan itu menyebabkan kedua-dua beradik tersebut, yang ketika itu masing-masing berusia enam hingga lapan tahun dan 11 hingga 12 tahun, mempunyai fikiran untuk membunuh diri. Hubungan mereka yang sebelum ini rapat juga menjadi renggang.

IKLAN

Lelaki warga Singapura berusia 37 tahun itu, yang sudah berkahwin ketika melakukan kesalahan tersebut, dijatuhi hukuman penjara 27 tahun 10 bulan dan 24 sebatan pada Isnin (17 Ogos).

Dia didiagnosis mengalami gangguan pedofilia, tetapi mahkamah diberitahu bahawa gangguan itu tidak menyumbang kepada kesalahan yang dilakukannya.

Nama lelaki itu tidak boleh didedahkan kerana terdapat perintah mahkamah bagi melindungi identiti mangsa.

Dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan rogol dan dua pertuduhan mencabul. Sebanyak 12 pertuduhan lain turut diambil kira ketika hukuman dijatuhkan.

KES TERSEBUT

IKLAN

Mahkamah diberitahu bahawa lelaki itu tidak pernah diiktiraf sebagai guru agama Islam atau guru Al-Quran di bawah undang-undang Pentadbiran Hukum Islam.

Sebelum mendekati dua beradik itu, pesalah menyasarkan seorang lagi mangsa yang ketika itu berusia 17 tahun. Mereka berkenalan melalui rakan-rakan dan menjadi rapat selepas sering meluangkan masa bersama di sebuah masjid serta berbalas mesej hampir setiap hari.

Pesalah bertindak seperti seorang abang dan pembimbing agama kepada mangsa pertama itu.

Bagaimanapun, ketika mereka makan malam di sebuah restoran pada Disember 2021, pesalah mencabul mangsa semasa mereka sedang makan. Dia memberitahu mangsa supaya "jangan risau" dan berkata bahawa ia "tidak sakit".

Mangsa membuat aduan polis pada bulan yang sama. Pesalah kemudian ditangkap sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis.

IKLAN

Sekalipun demikian, dia kemudian menyasarkan dua beradik lelaki yang masih kecil. Ibu bapa mereka sudah bercerai dan mereka berada di bawah jagaan ibu mereka. Namun, ibu mereka dimasukkan ke sebuah pusat pemulihan dadah.

Kedua-dua kanak-kanak itu tinggal bersama nenek mereka antara Oktober 2021 dengan Oktober 2023.

Pada April 2022, abangnya terserempak dengan pesalah di sebuah masjid yang tidak didedahkan namanya dan mengenalinya daripada media sosial.

Kanak-kanak itu berusia sekitar sembilan hingga 10 tahun ketika dia memperkenalkan dirinya kepada pesalah. Selepas itu, mereka sering meluangkan masa bersama dan menjadi rapat.

Pesalah sering membawa kanak-kanak itu bermain bola sepak bersama rakan-rakannya dan turut membawanya ke rumahnya.

IKLAN

Apabila hubungan mereka semakin rapat, kanak-kanak itu mula berkongsi masalah keluarganya dengan pesalah, termasuk bagaimana bapanya meninggalkan mereka.

Kanak-kanak itu kemudian memberitahu neneknya mengenai pesalah. Neneknya mengundang lelaki tersebut ke rumah supaya dia dapat mengenalinya sendiri. Nenek itu mendapati lelaki berkenaan kelihatan sangat kuat beragama.

Pesalah juga sering memuat naik video di media sosial yang kebanyakannya berkaitan agama. Nenek mangsa memeriksa akaun media sosialnya dan melihat sendiri catatan tersebut.

Selepas mengetahui bahawa lelaki itu juga merupakan rakan zaman kanak-kanak anak-anak lelakinya, nenek tersebut mula mempercayainya.

Pesalah semakin rapat dengan kanak-kanak itu dan menghantarnya ke sekolah setiap hari. Dia juga mula berkunjung ke rumah nenek mangsa dan kadangkala membawa isterinya bersama.

Lama-kelamaan, pesalah turut mengenali adik lelaki mangsa dan mula meluangkan masa serta menjadi rapat dengannya.

Dia membawa kanak-kanak itu ke masjid untuk solat, bermain dengannya, mengambilnya dari sekolah dan membawanya keluar makan.

Pesalah memberitahu nenek mereka bahawa dia mahu menjadi seperti seorang bapa dan pembimbing agama kepada kedua-dua kanak-kanak itu kerana ibu bapa mereka tidak bersama mereka dan dia sendiri tidak mempunyai anak.

Nenek mereka percaya bahawa lelaki tersebut boleh menjadi figura bapa yang baik kepada cucu-cucunya. Oleh itu, dia membenarkan lelaki itu berjumpa mereka dengan lebih kerap.

Nenek tersebut turut memberitahu ibu mereka mengenai perkara itu. Ibu mereka tidak membantah kerana dia sudah menyerahkan tanggungjawab menjaga anak-anaknya kepada nenek mereka.

Sejak itu, kedua-dua beradik berkenaan menganggap pesalah seperti bapa angkat dan memanggilnya "Daddy", manakala lelaki itu memanggil mereka sebagai anak-anaknya.

Dengan kebenaran nenek mereka, pesalah membawa kedua-dua kanak-kanak itu bermalam di rumahnya dan meluangkan masa bersama isterinya. Dia juga membawa mereka ke masjid untuk solat.

Isterinya ketika itu sedang berusaha untuk mendapatkan anak. Lelaki tersebut berkata bahawa mereka berasa diberkati kerana diberi kepercayaan untuk menjaga kedua-dua kanak-kanak itu.

ROGOL TERHADAP ADIK

Antara 2022 dengan 2023, lelaki itu mula merogol adik, yang ketika itu berusia antara enam hingga lapan tahun.

Kanak-kanak itu pernah memberitahu lelaki tersebut bahawa dia takut pergi ke tandas masjid seorang diri dan meminta lelaki itu menemaninya.

Selepas menemaninya, lelaki itu mula mempunyai keinginan untuk merogol kanak-kanak tersebut dan merancang untuk melakukannya.

Dia bertanya kepada kanak-kanak itu sama ada dia mahu mendapat satu "hadiah", iaitu pistol mainan, dan berkata bahawa dia akan memberikannya "lain kali".

Pada satu kejadian lain ketika kanak-kanak itu berada di rumahnya, lelaki tersebut berjanji akan memberikan pistol mainan itu kepadanya.

Dia kemudian merogol kanak-kanak tersebut. Lelaki itu memberitahunya bahawa mereka hanya "berseronok" dan mengarahkannya supaya tidak memberitahu sesiapa.

Dia turut berkata bahawa jika kanak-kanak itu memberitahu orang lain, ia bermakna dia tidak "sayang Daddy" dan "Daddy" akan masuk penjara.

Kanak-kanak itu berkata dia akan merahsiakannya kerana takut dimarahi.

Lelaki tersebut merogol si adik berkali-kali lagi antara 2022 dengan 2023.

Mereka menggunakan kod "rahsia" untuk merujuk kepada perbuatan rogol itu. Lelaki tersebut memilih perkataan itu untuk memastikan kanak-kanak tersebut memahami bahawa dia tidak boleh memberitahu sesiapa mengenainya.

Selepas merogol kanak-kanak itu, lelaki tersebut akan memberinya hadiah seperti pistol mainan, helikopter mainan dan senjata mainan.

Dia juga memberitahu kanak-kanak itu bahawa perbuatan tersebut merupakan caranya untuk "menghukum" kanak-kanak itu kerana nakal.

Kedua-dua beradik itu kemudian mula pergi ke masjid selepas sekolah lima hari seminggu. Mereka menghabiskan masa selama sejam di masjid bersama rakan-rakan lain dalam kelas agama yang dikendalikan oleh pesalah.

Pada hari pertama mereka menghadiri kelas itu, pesalah meminta kedua-duanya supaya tidak pulang dahulu.

Dia memberitahu si adik bahawa dia mahu mengatakan sesuatu kepadanya dan meminta abang menunggu.

Lelaki itu kemudian membawa si adik ke tandas masjid dan merogolnya kerana dia "sukakan keseronokan melakukannya di tempat awam".

ABANG

Pada awal 2024, ketika abang berusia antara 11 hingga 12 tahun, pesalah datang ke rumah mereka.

Pada mulanya, kanak-kanak itu enggan berjumpa dengannya. Namun, selepas lelaki tersebut terus mendesaknya, dia akhirnya bersetuju dan mereka pergi ke kawasan tangga berhampiran.

Ketika bercakap dengan kanak-kanak itu, pesalah mencabulnya. Ini merupakan kejadian pertama daripada beberapa kejadian pencabulan terhadapnya.

Lelaki itu kemudian menghantar mesej kepada mangsa dan berkata bahawa dia melihat reaksi kanak-kanak itu ketika dicabul serta mendakwa kanak-kanak tersebut "menyukainya".

Dia mengarahkan kanak-kanak itu supaya merahsiakan perkara tersebut kerana "Daddy sayang (kamu)". Jika tidak, katanya, kanak-kanak itu dianggap "mementingkan diri sendiri" dan dia akan "beritahu semuanya" yang diketahuinya mengenai kanak-kanak itu kepada neneknya.

Dia cuba membuat kanak-kanak itu berasa malu supaya mangsa terus berdiam diri.

KEJADIAN TERBONGKAR

Pada April 2024, ketika kedua-dua beradik itu sedang melawat saudara-mara, adik bertanya kepada ibunya sama ada satu perbuatan tertentu adalah salah sambil menerangkan apa yang telah dilakukan terhadapnya.

Ibunya terkejut. Kanak-kanak itu kemudian memberitahu bahawa perkara tersebut pernah berlaku kepadanya. Apabila ditanya lebih lanjut, dia memberitahu bahawa pesalah yang melakukannya.

Abangnya kemudian memberitahu ibu mereka bahawa lelaki itu turut mencabulnya.

Ketika mereka meneruskan kunjungan ke rumah saudara-mara, saudara angkat lelaki kepada ibu mereka mendapat tahu mengenai kejadian itu dan meminta mereka menghubungi pesalah.

Lelaki tersebut berdepan dengan pesalah melalui telefon, tetapi pesalah menafikan tuduhan itu.

Dia kemudian meminta pesalah datang memberikan penjelasan secara bersemuka. Jika tidak, dia akan menghubungi polis.

Pesalah kemudian datang menemui ibu kedua-dua kanak-kanak itu dan saudara angkatnya.

Pada mulanya, pesalah mendakwa dia tidak mungkin melakukan perkara tersebut kerana mengalami masalah mati pucuk.

Apabila abang menceritakan apa yang dilakukan pesalah terhadapnya, lelaki itu berpura-pura terkejut.

Namun, selepas disoal oleh ibu kedua-dua kanak-kanak itu, pesalah akhirnya mengaku melakukan serangan seksual terhadap mereka. Bagaimanapun, dia mendakwa perbuatannya berlaku kerana dirinya dikawal oleh makhluk ghaib yang dipanggil "jin".

Dia mendakwa bahawa apabila "jin" itu keluar daripada tubuhnya, dia mendapati dirinya bersama adik.

Seorang saudara menghubungi polis pada malam itu dan lelaki tersebut ditangkap. Sejak itu, dia ditahan reman dan dinilai mengalami gangguan pedofilia.

Mahkamah diberitahu bahawa dia menafikan mempunyai tarikan seksual terhadap kanak-kanak. Namun, perbuatannya yang berulang kali serta sejarahnya melibatkan "beberapa mangsa kanak-kanak lelaki" menunjukkan sebaliknya.

Gangguan yang dialaminya tidak menyumbang kepada kesalahan tersebut. Risiko untuk dia mengulangi kesalahan dinilai sebagai "sederhana", terutama terhadap kanak-kanak lelaki yang mempunyai hubungan rapat dengannya.

Mahkamah turut diberitahu bahawa walaupun dia menunjukkan rasa kesal terhadap perbuatannya kepada si adik, dia menyalahkan faktor luar atas tindakannya dan dilihat seolah-olah memandang ringan tuduhan-tuduhan lain.

KESAN TERHADAP KEDUA-DUA BERADIK

Si adik mengalami mimpi buruk mengenai kejadian tersebut dan takut pergi ke tempat-tempat yang mengingatkannya kepada pesalah. Ada kalanya dia tidak dapat pergi ke sekolah kerana terlalu terganggu dengan ingatan tentang apa yang berlaku.

Dia mula membenci dirinya sendiri, mempunyai fikiran untuk membunuh diri dan mencederakan dirinya.

Dia juga semakin sukar mempercayai orang lain dan kadangkala merasakan bahawa tiada sesiapa mengambil berat tentangnya.

Dia turut menyalahkan dan membenci abangnya kerana abangnya yang mula-mula mengenali pesalah. Ada kalanya dia berasa mahu mencederakan abangnya.

Abang juga mempunyai fikiran untuk membunuh diri dan berasa jijik serta "kotor" akibat perbuatan lelaki itu terhadapnya.

Dia menghadapi kesukaran untuk mempercayai orang lain dan berkawan di masjid kerana ada orang yang bertanya kepadanya tentang apa yang berlaku.

Dia menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku kepada adiknya kerana dialah yang membawa pesalah masuk ke dalam kehidupan keluarga mereka.

Kedua-dua beradik itu dahulunya sangat rapat, tetapi hubungan mereka menjadi renggang akibat serangan seksual tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Hidayat Amir dan Wong Woon Kwong meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 26 tahun lima bulan hingga 28 tahun 11 bulan terhadap lelaki itu, serta hukuman maksimum 24 sebatan.

Encik Hidayat berkata pesalah memasuki kehidupan kedua-dua beradik itu sebagai seorang figura bapa, tetapi kemudian melakukan penderaan seksual terhadap mereka.

Pihak pendakwaan berkata dia merogol adik sekurang-kurangnya 10 kali.

Encik Hidayat berkata kepercayaan kedua-dua kanak-kanak itu terhadap lelaki tersebut adalah sepenuhnya, tetapi lelaki itu menyalahgunakan kepercayaan tersebut.

Nenek mereka menyerahkan kepercayaan kepada pesalah selepas menilai dirinya, memeriksa media sosialnya, berbincang dengan anak-anak lelakinya dan melihat sendiri cara lelaki itu berinteraksi dengan cucu-cucunya. Namun, pesalah mengambil kesempatan daripada kepercayaan tersebut.

Encik Hidayat berkata penyalahgunaan kepercayaan itu menjadi lebih buruk kerana pesalah turut menggunakan imejnya sebagai seorang yang kuat beragama untuk mengambil kesempatan terhadap mangsa.

Perbuatan lelaki tersebut turut merosakkan hubungan kedua-dua mangsa dengan orang di sekeliling mereka, hubungan antara mereka sebagai adik-beradik serta hubungan mereka dengan rakan-rakan di masjid.

Abang menggambarkan adiknya sebagai menghadapi kesukaran di masjid dan kini tidak lagi seperti dirinya yang dahulu.

Dia juga berkata adiknya sudah berubah, kini emosinya tidak stabil, sering berasa cemas dan kadangkala melepaskan kemarahannya terhadap ibu mereka.

Encik Hidayat berkata abang, yang kini seorang remaja, terus menyalahkan dirinya. Adiknya juga menyalahkannya kerana dialah yang membuka jalan kepada pesalah untuk memasuki kehidupan keluarga mereka.

"Pada pandangan kedua-dua kanak-kanak itu, tertuduh kelihatan seperti seorang lelaki yang dikenali sebagai seorang yang kuat beragama dan berjanji untuk menjadi pembimbing agama mereka," kata Encik Hidayat.

"Mereka tidak tahu bahawa di sebalik imej agamanya itu ialah seorang pedofil. Mereka tidak tahu bahawa dia akan merampas kesucian, harga diri dan maruah mereka.

"Beberapa tahun selepas menyedari apa yang berlaku, mereka kini berdepan dengan proses yang amat menyakitkan untuk membina semula kehidupan mereka. Ini sesuatu yang tidak sepatutnya dilalui oleh mana-mana kanak-kanak, dan proses pemulihan itu mungkin tidak akan benar-benar selesai."

RAYUAN MERINGANKAN HUKUMAN

Peguam bela Selvarajan Balamurugan dari Regal Law meminta hukuman penjara 20 tahun lapan bulan dan 24 sebatan.

Beliau berkata anak guamnya mengakui bahawa perbuatannya terhadap mangsa-mangsa muda itu adalah keji dan menjatuhkan maruah. Menurutnya, anak guamnya hadir di mahkamah dengan rasa malu dan kesal yang mendalam.

Pesalah, yang hadir di mahkamah dengan pakaian penjara, menundukkan kepalanya sepanjang sebahagian besar prosiding dan menggelengkan kepala apabila mendengar butiran jelas mengenai kesalahan tersebut.

"Sebagai peguamnya, Yang Arif, saya mengecam perbuatannya dan dia tahu perkara itu," kata Encik Balamurugan.

"Namun begitu, perlu diambil kira bahawa pengakuan bersalahnya yang jelas telah mengelakkan mangsa daripada melalui pengalaman sukar untuk memberi keterangan di mahkamah."

Beliau juga berkata anak guamnya telah memikirkan dan menyesali perbuatannya sepanjang tempoh tahanan reman serta berjanji tidak akan mengulanginya.

"Tertuduh ingin memohon maaf dengan ikhlas kepada mangsa dan keluarga mereka serta memohon pengampunan atas kesalahannya," tambah peguam itu.

Hakim Kwek Mean Luck mengenal pasti beberapa faktor yang memburukkan kesalahan dalam kes ini. Antaranya ialah kesan buruk yang serius terhadap mangsa, penyalahgunaan kepercayaan, perbuatan yang dirancang lebih awal serta keadaan adik yang sangat mudah menjadi mangsa kerana usianya.

Bagi pertuduhan melibatkan kesalahan yang dilakukan di sebuah masjid, hakim berkata lokasi tersebut merupakan satu lagi faktor yang memburukkan kesalahan.

Hakim Kwek berkata masjid sepatutnya menjadi tempat perlindungan yang selamat bagi mangsa.

"Apa yang dilakukan tertuduh amat menjijikkan dan kejam. Ia satu perbuatan yang sangat keji."

Beliau berkata kedua-dua kanak-kanak itu memandang tinggi kepada lelaki tersebut dan mengharapkannya untuk memberikan kepercayaan serta perlindungan. Namun, dia "mengkhianati mereka" dengan mengambil kesempatan terhadap mereka, bukannya melindungi mereka, sehingga menyebabkan mereka mengalami kesan yang sangat mendalam.

Bagi setiap pertuduhan merogol kanak-kanak bawah umur, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara antara lapan hingga 20 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

 
Back
Top
Log in Register