BTC USD 75,879.3 Gold USD 4,332.58
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Lelaki dipenjara 22 tahun, 24 sebatan kerana rogol anak tiri berulang kali

adi19

Fun Poster
Messages
766
Joined
Oct 30, 2013
Messages
766
Reaction score
3
Points
25

Lelaki dipenjara 22 tahun, 24 sebatan kerana rogol anak tiri berulang kali​

gavel-crime_0.jpg

Seorang lelaki warga Singapura berusia 43 tahun dijatuhi hukuman penjara 22 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan rogol. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura berusia 43 tahun dijatuhi hukuman penjara 22 tahun dan 24 sebatan pada Selasa (1 Sep) kerana merogol anak tirinya berulang kali sejak mangsa berusia 16 tahun.

Nama lelaki itu tidak boleh didedahkan kerana terdapat perintah mahkamah bagi melindungi identiti mangsa.

IKLAN

Dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan rogol, manakala sembilan pertuduhan serupa turut diambil kira ketika hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa lelaki itu tinggal di sebuah flat satu bilik bersama isterinya dan anak-anak mereka.

Lelaki itu berkahwin dengan ibu mangsa pada lewat 2015, ketika mangsa berusia sembilan tahun.

Pada Jun 2023, ketika mangsa berusia 16 tahun, lelaki itu mula menghantar mesej berunsur lucah kepadanya.

Pada bulan sama, mangsa menemani bapa tirinya ketika dia membuat penghantaran menggunakan sebuah van.

IKLAN

Ketika mereka berada di sebuah tempat letak kereta di Tampines, lelaki itu merogol mangsa di dalam van tersebut.

Antara Julai dengan Disember tahun sama, dia merogol mangsa sekurang-kurangnya lima kali lagi di dalam van.

Lelaki itu turut merogol mangsa di rumah dan mengancam untuk merampas telefon bimbitnya jika mangsa enggan menurut kehendaknya.

Secara keseluruhannya, lelaki itu merogol anak tirinya sekurang-kurangnya 12 kali antara Jun 2023 dengan Februari 2024.

MANGSA BUAT LAPORAN

IKLAN

Selepas kejadian terakhir pada 13 Februari 2024, mangsa menceritakan perkara itu kepada teman lelakinya, yang menasihatinya supaya memberitahu ibunya.

Remaja itu kemudian menunjukkan kepada ibunya tangkap layar mesej yang dihantar bapa tirinya.

Apabila berdepan dengan isterinya, lelaki itu menafikan melakukan kesalahan dan mendakwa mangsa yang menghantar mesej berunsur lucah kepadanya.

Mangsa kemudian menceritakan perkara itu kepada seorang guru sekolah, yang merujuknya kepada kaunselor sekolah.

Kaunselor tersebut melaporkan kejadian itu sebelum laporan polis dibuat.

IKLAN

Polis kemudian merampas telefon bimbit lelaki tersebut yang mengandungi rakaman dan tangkap layar daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di flat itu.

Rakaman tersebut menunjukkan lelaki itu melakukan penderaan seksual terhadap mangsa.

MANGSA DIPINGGIRKAN KELUARGA

Timbalan Pendakwa Raya Alexandria Shamini Joseph berkata penderaan berterusan lelaki itu menjejas hubungan keluarga tersebut.

Menurut pihak pendakwaan, mangsa tidak mendapat sokongan yang diperlukannya selepas kejadian itu terbongkar.

Sebaliknya, ibunya mendesaknya supaya menggugurkan kes tersebut, manakala mangsa dikeluarkan dari flat keluarga dan ditempatkan di sebuah rumah kebajikan.

Mangsa juga terpaksa menanggung "kesakitan emosi kerana dipinggirkan" ibu dan adik-beradiknya.

Pihak pendakwaan meminta hukuman penjara antara 21 dengan 23 tahun serta 24 sebatan.

Peguam bela Don Tan berkata anak guamnya mahu mengaku bersalah dan berharap dapat kembali bersama anak-anaknya selepas selesai menjalani hukuman.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Andre Maniam mengambil kira penyalahgunaan kedudukan dan pengkhianatan kepercayaan oleh lelaki itu serta kesan berpanjangan kesalahan tersebut terhadap mangsa dan keluarganya.

Bagi setiap pertuduhan rogol, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta didenda atau disebat.

 
Back
Top
Log in Register