BTC USD 75,698.5 Gold USD 4,346.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Lelaki maut dipanah petir di Pasir Ris adalah seorang jurulatih sukan laut berpengalaman

adi19

Fun Poster
Messages
766
Joined
Oct 30, 2013
Messages
766
Reaction score
3
Points
25

Lelaki maut dipanah petir di Pasir Ris adalah seorang jurulatih sukan laut berpengalaman​

screenshot_2026-07-06_141916.jpg

Encik Mikhail Benyamin merupakan seorang jurulatih sukan laut yang berpengalaman. (Gambar: Facebook)

SINGAPURA: Lelaki berusia 24 tahun yang maut selepas dipanah petir ketika berkayak di perairan Pantai Pasir Ris pada Ahad (5 Jul) merupakan seorang jurulatih sukan laut yang berpengalaman. Beliau dikenali sebagai seorang mentor kepada rakan-rakan sekerjanya, menurut mereka yang mengenali mangsa.

Encik Mikhail Benyamin merupakan antara lapan individu yang sedang berkayak dan bermain papan kayuh di perairan berhampiran Pantai Pasir Ris ketika kejadian tersebut berlaku pada petang Ahad.

IKLAN

Polis memaklumkan bahawa mereka menerima panggilan meminta bantuan sekitar pukul 4.50 petang dari 131 Pasir Ris Road, berhampiran pantai tersebut.

Dua mangsa dibawa ke Hospital KK Wanita dan Kanak-Kanak, manakala enam lagi dihantar ke Hospital Besar Sengkang.

Encik Mikhail didapati tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia kemudian, menurut polis. Siasatan masih dijalankan.

Ketika Mediacorp mengunjungi Kokomo Beach Club pada Isnin – tempat Encik Mikhail mengambil kayak berkenaan – lima buah kayak dan beberapa pendayung masih lagi dipasang pita polis sehari selepas kejadian tersebut.

AKTIVITI REKREASI

IKLAN

Ketua Pegawai Operasi Outdoor Adventures, Berwin Tan, berkata kepada para wartawan pada Isnin bahawa beliau tidak berada di lokasi ketika kejadian, namun dimaklumkan oleh kakitangannya bahawa Encik Mikhail serta ahli keluarga dan rakan-rakannya sedang berkelah di Pantai Pasir Ris sebelum mereka melakukan aktiviti berkayak.

Kokomo Beach Club ialah syarikat saudara kepada Outdoor Adventures.

"Ini hanyalah aktiviti riadah," kata Encik Tan sambil menambah bahawa Encik Mikhail tidak mengendalikan sebarang program atau bertugas ketika itu.

Menurut Encik Tan, kumpulan tersebut berkayak dalam kawasan yang ditetapkan dan sedang kembali ke pantai apabila petir menyambar.

Encik Mikhail bekerja dengan Outdoor Adventures dan Kokomo Beach Club sebagai jurulatih bebas, dan syarikat itu membenarkan semua jurulatihnya, termasuk jurulatih bebas, untuk menggunakan peralatan syarikat di luar waktu bekerja.

IKLAN

Para pelanggan akan diberikan taklimat keselamatan sebelum menyewa kayak, termasuk arahan supaya segera kembali ke pantai sekiranya amaran petir dikeluarkan, kata Encik Tan.

"Jika terdapat sebarang amaran cuaca Kategori 1... kami tidak akan membenarkan mereka keluar ke laut," kata beliau.

Bagi mereka yang sudah berada di perairan ketika cuaca mula berubah, syarikat akan memberi amaran melalui semboyan, wisel atau menghubungi jurulatih secara langsung. Tahap pengalaman pelanggan juga dinilai sebelum mereka dibenarkan untuk berkayak, dengan mereka yang baharu hanya dibenarkan berada di kawasan yang ditetapkan.

Dalam kejadian tersebut, Encik Mikhail sendiri telah menyampaikan taklimat keselamatan kepada kumpulan itu.

"Suasananya tidak formal, jadi saya dimaklumkan bahawa beliau sendiri yang memberikan taklimat keselamatan kepada mereka. Beliau sangat peka dan berpengalaman," kata Encik Tan.

IKLAN

Menurut beliau, para kakitangan dan saksi memaklumkan bahawa langit cerah sebelum kejadian berlaku dan tiada semboyan amaran petir dibunyikan.

Hujan hanya turun selepas petir menyambar, dengan nelayan berhampiran bergegas memberikan bantuan.

Cik Zenifer Taan, yang berada di Pantai Pasir Ris pada petang itu, memberitahu Mediacorp bahawa langit tiba-tiba menjadi gelap antara pukul 3.00 petang dengan pukul 4.00 petang, diikuti hujan lebat dan petir.

Beliau berkata masih terdapat ramai orang di laut ketika cuaca semakin memburuk dan beliau tidak mengingati sebarang semboyan amaran dibunyikan.

"ABANG" KEPADA RAMAI ORANG

Encik Tan menyifatkan Encik Mikhail sebagai seorang mentor yang boleh diharapkan dan amat dihormati dalam komuniti sukan laut Singapura.

"Mikhail sentiasa menjadi sumber inspirasi kepada ramai jurulatih. Anda dapat lihat ramai yang sangat terkesan dengan apa yang berlaku," kata Encik Tan. "Beliau sentiasa dianggap seperti seorang abang kepada ramai orang dan merupakan jurulatih yang sangat boleh diharapkan."

Menurut Encik Tan, beliau dimaklumkan bahawa tujuh lagi anggota kumpulan tersebut hanya mengalami kejutan namun berada dalam keadaan yang baik.

Kokomo Beach Club menggantung operasinya selama dua minggu sebagai tanda penghormatan kepada Encik Mikhail dan keluarganya.

Encik Tan berkata syarikat itu akan memperkukuh latihan untuk para jurulatihnya, khususnya dalam aspek kesedaran terhadap keadaan cuaca dan cara untuk mengendalikan perubahan cuaca di laut.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Encik Mikhail.

"Dengan hati yang amat berat kami menerima berita ini kerana Mikhail seorang yang sangat baik. Kami mengucapkan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarganya, dan apa sahaja bantuan yang mampu kami hulurkan, kami pasti akan berbuat demikian."

 
Back
Top
Log in Register