Lelaki 24 tahun maut setelah dipanah petir di Pantai Pasir Ris
Seorang lelaki berusia 24 tahun meninggal dunia selepas dipercayai dipanah petir di Pasir Ris, menurut polis pada awal pagi Isnin (6 Jul).
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 24 tahun meninggal dunia selepas dipercayai dipanah petir di Pasir Ris, menurut polis pada awal pagi Isnin (6 Jul).
Lelaki itu merupakan antara lapan individu, berusia antara 13 hingga 54 tahun, yang dikejarkan ke hospital pada petang Ahad. Polis memaklumkan mereka menerima panggilan meminta bantuan pada sekitar pukul 4.50 petang pada Ahad dari 131 Pasir Ris Road, berhampiran Pantai Pasir Ris.
IKLAN
Dua orang dibawa ke Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) manakala enam lagi dibawa ke Hospital Besar Sengkang, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sebelum ini. Menurut polis, lelaki berusia 24 tahun itu sudah tidak sedarkan diri dan kemudian disahkan meninggal dunia.
Berdasarkan siasatan awal, polis menyatakan mereka tidak mengesyaki sebarang unsur khianat. Siasatan masih dijalankan.
Menurut laporan akhbar Straits Times, lapan individu tersebut, yang terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita, sedang berkayak dan bermain papan kayuh (paddleboard).
Laporan itu memetik seorang saksi yang berkata kumpulan tersebut sedang berada di laut apabila petir menyambar permukaan air. Beliau kemudian melihat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas papan kayuhnya, sedang anggota kumpulan lain cuba untuk kembali ke pantai dengan berkayak.
Saksi itu menambah bahawa keadaan langit ketika itu cerah.
IKLAN
Sebuah video yang dipercayai memaparkan kejadian itu menunjukkan anggota SCDF sedang mengusung mangsa ke dalam sebuah ambulans.
Menurut Perkhidmatan Meteorologi Singapura, hujan lebat berserta guruh yang bersifat setempat dijangka melanda beberapa kawasan di Singapura pada beberapa hari dalam tempoh dua minggu pertama Julai, khususnya pada lewat pagi dan sebelah petang.
Lelaki 24 tahun maut setelah dipanah petir di Pantai Pasir Ris
Seorang lelaki berusia 24 tahun meninggal dunia selepas dipercayai dipanah petir di Pasir Ris, menurut polis pada awal pagi Isnin (6 Jul).