Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Lebih Tiga Tan "E-waste" Dikumpul Menerusi Program Lestari Di Pasir Salak
Kredit Kolej Komuniti Pasir Salak
Lebih 3.5 tan sisa elektronik (e-waste) berjaya dikumpul menerusi Program Kelestarian Alam Sekitar: Pengumpulan E-Waste yang diadakan di Kampung Gajah, di Pasir Salak semalam.
Kolej Komuniti Pasir Salak, selaku penganjur program dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia dilaksanakan dengan kerjasama Masjid Jamek Al Ansar Changkat Lada, SRT Teck Realistic Sdn Bhd dan rakan strategik, dengan pekarangan masjid sebagai lokasi pengumpulan.
Program tersebut menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat dan dari luar seperti Setiawan, Lekir, Kuala Kangsar, Parit, Teluk Intan dan Chenderong Balai yang membawa pelbagai peralatan elektrik dan elektronik rosak untuk dilupuskan serta dikitar semula secara selamat dan mesra alam.
Menurut kenyataan itu, antara barangan yang berjaya dikumpulkan ialah televisyen, mesin basuh, komputer, telefon bimbit, pencetak, kipas, kabel, periuk elektrik serta pelbagai lagi peralatan elektrik rumah yang tidak lagi digunakan.
Pengarah Kolej Komuniti Pasir Salak Mohd Shahrir Ahmad Zaini berkata program itu merupakan satu usaha berterusan institusi dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa elektronik secara bertanggungjawab di samping membudayakan amalan hijau dalam kehidupan seharian.
Mohd Shahrir berkata program seperti itu bukan sahaja memberi impak positif kepada alam sekitar malah mengeratkan lagi hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti melalui aktiviti berteraskan kelestarian.
"Program seperti ini membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pada masa sama memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai kaedah pelupusan e-waste yang lebih selamat, sistematik dan lestari,” katanya menerusi kenyataan itu.
Beliau berkata pelaksanaan program itu turut selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) khususnya SDG 11 iaitu Bandar dan Komuniti Mampan melalui usaha memperkukuh pengurusan sisa komuniti secara mampan.
"Selain itu, program ini menyokong SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran Secara Bertanggungjawab menerusi amalan kitar semula dan pelupusan sisa elektronik secara bertanggungjawab, di samping mendukung SDG 13, Tindakan Iklim dalam usaha mengurangkan pencemaran serta meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar demi kesejahteraan generasi masa hadapan.