combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,148
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,148
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Lapan Anak Harimau Malaya Dilahirkan Menerusi Program Pemuliharaan MPOGCF - MPOGCF
Kredit: Laman Facebook Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation
Sebanyak lapan anak Harimau Malaya daripada seekor induk betina dilahirkan antara 2023 hingga 2025 menerusi program pemuliharaan hasil kerjasama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia.
MPOGCF dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencapaian itu direkodkan sepanjang tempoh penajaan makanan dan suplemen kesihatan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak.
Inisiatif itu secara langsung membantu meningkatkan tahap kesihatan dan kebajikan induk Harimau Malaya bagi menyokong usaha pembiakan secara ex-situ (luar habitat semula jadi).
Sejak 2021, MPOGCF telah menyalurkan tajaan sebanyak RM2 juta bagi menyokong pelbagai inisiatif pemuliharaan Harimau Malaya bersama Perhilitan, termasuk program pembiakan secara ex-situ, penyelidikan saintifik, pembangunan teknologi pembiakan berbantu serta pembangunan kapasiti pegawai.
“Kerjasama itu dilaksanakan menerusi memorandum persefahaman yang dimeterai pada 12 April 2021 dan tamat pada 20 April lepas, dengan pelaksanaan program tertumpu di NWRC serta Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) di Lanchang, Pahang.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penyediaan kelengkapan dan naik taraf makmal bagi menyokong program pembiakan secara ex-situ, penyelidikan hormon dan genetik, pembangunan Teknologi Pembiakan Berbantu (ART) serta pengayaan habitat,” menurut kenyataan itu hari ini.
MPOGCF memaklumkan kemudahan makmal yang dinaik taraf turut menyokong pelaksanaan ART menerusi kaedah seperti permanian tiruan laparoskopi, pengambilan ovum, pengumpulan semen dan pengawetan beku.
Ia bagi membolehkan penilaian kesuburan, pengurusan pembiakan serta pemeliharaan bahan genetik Harimau Malaya dilaksanakan secara lebih sistematik dan berasaskan sains.
Kerjasama itu turut melibatkan penyelidikan berkaitan hormon pembiakan dan genomik Harimau Malaya bersama institusi pengajian tinggi bagi meningkatkan pemahaman mengenai aspek reproduktif, genetik serta kesihatan populasi spesies berkenaan dalam kurungan.