combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Lebih 5,000 Permohonan Pindah Kuota BUDI Diesel Kepada Keluarga Terdekat Diluluskan
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican bercakap kepada pemberita pada Program BUDI Diesel di Petronas Ringlet hari ini.
Kerajaan telah meluluskan lebih 5,000 permohonan pemindahan kuota subsidi di bawah program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) kepada ahli keluarga terdekat bagi memudahkan penggunaan subsidi oleh individu yang benar-benar menggunakan kenderaan berkenaan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata kemudahan itu diperkenalkan susulan maklum balas diterima kementerian berhubung keluarga yang kenderaan diesel didaftarkan atas nama ibu bapa, namun digunakan anak atau ahli keluarga lain.
“Satu daripada rungutan yang diterima ialah BUDI Diesel hanya diberikan kepada mereka yang memiliki kenderaan diesel, kadangkala dalam satu keluarga ada (memiliki) pikap di bawah nama ayah, tetapi yang menggunakannya ialah anaknya.
“Jadi, kami juga telah menyediakan satu kemudahan di laman web yang sama, membolehkan mereka pindah kuota contohnya daripada ayah kepada anak atau antara keluarga terdekat dan setakat ini, kita dapat lebih 5,000 permohonan yang telah diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pemantauan penggunaan minyak diesel di bawah Program BUDI Diesel di sini hari ini, iaitu program yang telah dilaksanakan sepenuhnya sejak 1 Julai lepas.
Johan Mahmood berkata sekiranya berlaku situasi sedemikian, pemilik yang layak boleh mengemukakan permohonan pemindahan kuota subsidi secara dalam talian menerusi portal BUDI MADANI, iaitu budimadani.gov.my atau di mana-mana pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan lebih 200,000 permohonan pemilik kenderaan jenis jip dan pikap untuk menerima kuota tambahan 100 liter diesel bersubsidi di bawah program BUDI Diesel.
“Kemudahan itu disediakan bagi mengambil kira keperluan penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik kenderaan berkenaan, khususnya golongan peniaga dan penduduk di kawasan pedalaman.
“Jadi, mungkin ini satu peringatan kepada pemilik pikap dan jip, terutamanya golongan peniaga, mereka yang mungkin berulang-alik dari kawasan pedalaman yang memerlukan subsidi tambahan ini diperingatkan untuk memohon,” katanya.