kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,691
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,691
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Lebih 10,000 Sertai "Sarawak Day Unity Walk", Semarakkan Semangat Perpaduan Di Sibu
Kredit UKAS
Lebih 10,000 peserta berpakaian merah, kuning dan hitam membanjiri Dataran Tun Tuanku Bujang di sini awal pagi tadi bagi menyertai “Sarawak Day Unity Walk 2026”, menjadikan sambutan Hari Sarawak tahun ini bukan sekadar acara berjalan kaki tetapi lambang kebersamaan rakyat pelbagai kaum yang berkongsi semangat cintakan bumi Kenyalang.
Peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat itu melangkah serentak menyusuri laluan di tengah bandar Sibu, dengan kibaran bendera Sarawak, irama lagu patriotik dan sorakan "Sarawak Maju Makmur" mewarnai suasana.
Peserta larian dilepaskan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan diiringi isterinya, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2026 Datuk Seri Lee Kim Shin, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah serta beberapa menteri, timbalan menteri, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat.
Di sepanjang laluan lima kilometer yang melalui Jalan Kampung Datu, Jalan Kampung Hilir, Bulatan Simpang 3, Jalan Awang Ramli Amit dan Jalan Tun Abang Haji Openg sebelum kembali ke Dataran Tun Tuanku Bujang, peserta daripada pelbagai etnik termasuk Melayu, Melanau, Iban, Bidayuh, Cina dan Orang Ulu berjalan beriringan sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak.
Ramai yang hadir bersama ahli keluarga, termasuk warga emas, golongan belia dan kanak-kanak, menjadikan program itu sebagai ruang mengeratkan hubungan masyarakat selain menyemarakkan semangat patriotisme sempena ulang tahun Hari Sarawak.
Selesai acara berjalan kaki, Wan Junaidi dan rombongan melawat Pameran Sejarah Hari Sarawak 2026 yang memaparkan perjalanan kemerdekaan Sarawak sebelum diraikan pada majlis jamuan ringkas di Sibu Kitchen.
Pada majlis itu, beliau dan Toh Puan Fauziah turut menerima cenderamata tradisional berupa samping dan selendang keringkam yang disampaikan oleh barisan Ketua Masyarakat Bahagian Sibu diketuai Temenggong Datuk Seri Wan Hamid Edruce.
Kemuncak sambutan diteruskan malam ini menerusi Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat di lokasi sama yang dijangka disempurnakan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.