BTC USD 75,597.2 Gold USD 4,266.66
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Lelaki 90 tahun gagal dapat nafkah daripada bekas isteri selepas perkahwinan 64 tahun

Bob_SG

Fun Poster
Messages
719
Joined
Jun 14, 2025
Messages
719
Reaction score
2
Points
25

Lelaki 90 tahun gagal dapat nafkah daripada bekas isteri selepas perkahwinan 64 tahun​

screenshot_2026-09-16_144525.jpg

Bangunan Mahkamah Keadilan Keluarga Singapura pada 1 Nov 2024. (Gambar fail: CNA/Raydza Rahman)

SINGAPURA: Mahkamah keluarga menolak tuntutan nafkah seorang lelaki berusia 90 tahun daripada bekas isterinya, 89 tahun, dengan mengambil kira bahawa kedua-duanya kini berada pada usia senja.

Mahkamah turut mengambil kira bahawa lelaki itu akan menerima lebih S$2 juta hasil pembahagian aset perkahwinan, manakala bekas isterinya merupakan pesara yang bergantung pada pencen.

IKLAN

Pasangan itu berkahwin selama lebih 64 tahun dan mempunyai tiga orang anak yang kesemuanya berusia lebih 60 tahun, menurut penghakiman yang diterbitkan pada Rabu (16 Sep).

Identiti mereka tidak didedahkan, seperti lazimnya dalam penghakiman mahkamah keluarga.

Sebahagian besar nilai aset perkahwinan pasangan itu datang daripada sebuah rumah milik bersama bernilai S$5.8 juta.

KES TERSEBUT

Pasangan itu berkahwin pada Januari 1960 dan diberikan penghakiman sementara bagi perceraian pada September 2024.

IKLAN

Tiada isu berhubung hak penjagaan atau nafkah anak kerana kesemua anak mereka sudah dewasa.

Dalam menentukan pembahagian aset perkahwinan, Hakim Dedar Singh Gill memasukkan kira-kira S$14,500 atas nama lelaki itu ke dalam kumpulan aset, yang sebahagian besarnya terdiri daripada simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Sekitar S$80,000 daripada aset wanita itu turut dimasukkan, termasuk hampir S$20,000 dalam CPF.

Wanita tersebut berhujah bahawa beliau menyumbang sepenuhnya kepada rumah perkahwinan mereka dan membiayainya seorang diri.

Wanita itu berkata beliau membeli rumah terdahulu menerusi skim perumahan Teacher's Estate untuk golongan pendidik. Kesemua hasil penjualan rumah tersebut kemudian digunakan untuk membeli rumah perkahwinan, tanpa sebarang sumbangan daripada suaminya.

IKLAN

Lelaki itu pula meminta semua aset perkahwinan dibahagikan sama rata, sambil mendakwa beliau turut menyumbang kepada kedua-dua hartanah tersebut.

Namun, hakim mendapati keterangan kedua-dua pihak tidak disokong bukti dokument.

SUMBANGAN TIDAK LANGSUNG

Wanita itu meminta sumbangan tidak langsung dinilai pada nisbah 80:20 yang memihak kepadanya, dengan alasan beliau menanggung hampir keseluruhan beban kewangan dan bukan kewangan keluarga sepanjang perkahwinan.

Beliau berkata pada separuh pertama perkahwinan, ketika kedua-duanya masih bekerja, beliau merupakan pencari nafkah utama keluarga dengan membiayai tuisyen dan kursus anak-anak, percutian keluarga serta khidmat pembantu rumah untuk menjaga anak-anak ketika beliau bekerja.

IKLAN

Beliau juga memberikan S$50,000 kepada anak lelakinya untuk memulakan perniagaan yang akhirnya gagal dan menanggung perbelanjaan perkahwinan anak-anak.

Selepas bersara pada 1992, wanita itu mendakwa suaminya tiada pendapatan dan tidak menyumbang apapun, sementara beliau sendiri menanggung perbelanjaan rumah menggunakan wang pencen sekitar S$2,400 sebulan.

Beliau berkata separuh daripada wang pencen itu diberikan kepada suaminya setiap bulan.

Wanita itu juga berkata beliau merupakan penjaga utama anak-anak, selain memasak untuk keluarga, menyelia pembantu rumah serta menguruskan kerja pembaikan dan penyelenggaraan rumah.

Lelaki itu pula meminta sumbangan tidak langsung dibahagikan sama rata atau hampir sama rata.

Beliau mendakwa bahawa sebelum bersara, kedua-duanya menggabungkan pendapatan dalam akaun bersama yang digunakan untuk membayar perbelanjaan isi rumah.

Selepas bersara, perbelanjaan pula dibayar daripada simpanan bersama dan kemudian daripada akaun bersama isterinya dengan anak lelaki serta anak perempuan sulung mereka.

Beliau turut berkata bahawa beliau memainkan "peranan yang sewajarnya" dalam menjaga dan membesarkan anak-anak.

Hakim Gill berkata sukar untuk menentukan sumbangan kewangan tidak langsung pada separuh pertama perkahwinan kerana kedua-dua pihak memberikan keterangan berbeza tanpa bukti objektif.

Namun, kedudukannya lebih jelas bagi separuh kedua perkahwinan selepas mereka bersara.

Tidak dipertikaikan bahawa lelaki itu tiada pendapatan selain bayaran anuiti bulanan S$485.75 daripada NTUC Income, manakala satu-satunya aliran pendapatan lain ialah pencen isterinya sekitar S$2,400 sebulan, dengan separuh daripadanya diberikan kepada suaminya.

Wanita itu turut mengemukakan rekod pembayaran yang menunjukkan beliau membayar cukai hartanah sehingga 2024 serta bil isi rumah yang terus ditanggungnya sendiri.

ISTERI SUMBANG LEBIH BANYAK

Hakim turut mendapati wanita itu memberikan sumbangan lebih besar dalam menjaga anak-anak dan menguruskan rumah tangga, berdasarkan bukti terperinci yang dikemukakan.

Beliau menjadi penjaga utama anak-anak sejak mereka dilahirkan dan terus membantu dalam kerja sekolah serta menguruskan persekolahan dan kegiatan mereka walaupun ketika bekerja.

Beliau juga menguruskan rumah tangga, memasak untuk keluarga, menganjurkan pertemuan keluarga serta melatih dan menyelia pembantu rumah.

"Sebaliknya, si suami hanya mendakwa secara umum bahawa beliau telah memainkan peranan yang sewajarnya," kata Hakim Gill.

"Beliau tidak memberikan butiran mengenai penjagaan anak-anak, persekolahan, kesihatan atau keperluan emosi mereka.

"Saya juga menganggap penting bahawa suami tidak mempertikaikan sebahagian besar sumbangan yang dinyatakan isterinya terhadap keluarga, dan beliau juga tidak memberikan keterangan alternatifnya sendiri."

Hakim menetapkan nisbah sumbangan tidak langsung pada 70:30 yang memihak kepada wanita itu.

Wanita tersebut turut meminta bahagiannya dalam aset perkahwinan ditambah dua mata peratusan, dengan mendakwa bekas suaminya menghalangnya daripada memasuki rumah sejak Mac 2025 dan memasang mangga pada pintu pagar.

Lelaki itu bagaimanapun mendakwa bekas isterinya dan anak perempuan sulung mereka berpindah keluar atas kehendak sendiri.

Hakim Gill tidak membenarkan permintaan itu, dengan menyatakan dakwaan berhubung halangan memasuki rumah hanya dibangkitkan buat kali pertama dalam hujah bertulis dan kedua-dua pihak tetap akan menerima jumlah yang besar daripada pembahagian aset.

Secara keseluruhan, nisbah sumbangan langsung dan tidak langsung ditetapkan pada 60:40 yang memihak kepada wanita tersebut.

Beliau akan menerima S$3.5 juta, manakala bekas suaminya mendapat S$2.4 juta.

TUNTUTAN NAFKAH DITOLAK

Lelaki itu memohon nafkah sebagai bekas suami yang tidak berupaya di bawah Piagam Wanita.

Beliau merujuk kepada masalah kesihatan dan pergerakannya, ketidakupayaan mencari nafkah, pendapatan yang rendah serta tindakan bekas isterinya meninggalkan rumah perkahwinan, yang menyebabkan beliau perlu menanggung sendiri perbelanjaan rumah.

Jika tuntutan nafkah tidak dibenarkan, lelaki itu meminta bayaran sekali gus bersamaan 5 hingga 10 peratus daripada bahagiannya dalam aset perkahwinan.

Hakim menolak kedua-dua permohonan tersebut.

Hakim Gill berkata kedua-dua pihak sudah lanjut usia, tidak lagi mempunyai keupayaan untuk bekerja dan tidak dijangka dapat memperbaiki kedudukan kewangan masing-masing melalui pekerjaan.

Kedua-duanya bergantung pada wang pencen atau bayaran bulanan sebagai sumber kewangan dan masing-masing akan menerima jumlah yang besar daripada pembahagian aset.

Menurut hakim, lebih S$2 juta yang akan diterima lelaki itu adalah "lebih daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan seorang pesara berusia 90 tahun sepanjang baki hayatnya".

"Selepas pembahagian itu berkuat kuasa, keperluannya akan terjamin dengan secukupnya. Dalam keadaan ini, saya tidak berpendapat bahawa adalah adil atau perlu untuk memerintahkan isteri, yang juga seorang pesara warga emas dan bergantung pada pencen, membayar nafkah," kata Hakim Gill.

Lelaki itu turut meminta bekas isterinya membayar semula cukai hartanah yang ditanggungnya bagi tahun 2025 dan 2026 selepas wanita itu berpindah keluar pada Mac 2025.

Hakim berkata lelaki itu tidak semestinya perlu menanggung keseluruhan cukai hartanah hanya kerana beliau masih tinggal di rumah tersebut.

Namun, permintaannya supaya bekas isterinya menanggung keseluruhan bil itu juga tidak dapat diterima.

Mahkamah memutuskan cukai hartanah bagi kedua-dua tahun perlu ditanggung sama rata.

Rumah tersebut perlu dijual di pasaran terbuka dalam tempoh enam bulan, dengan kedua-dua pihak bersama-sama menguruskan penjualan.

Masing-masing juga perlu menanggung kos guaman sendiri.

 
Back
Top
Log in Register