Lelaki 90 tahun tidak siuman dikenakan hukuman penjara nosional 5 tahun kerana bunuh isterinya
Mahkamah Agung Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 90 tahun yang membunuh isterinya dalam serangan yang "amat berbahaya sehingga boleh membawa maut" ketika dalam keadaan tidak waras, diberikan tempoh penjara nosional selama lima tahun oleh Mahkamah Tinggi pada Jumaat (28 Ogos).
Hakim Hoo Sheau Peng menetapkan tempoh tersebut bagi Ridawi Morsudin, yang menghidap demensia dan berkemungkinan mengalami delirium ketika membunuh isterinya yang berusia 74 tahun di flat mereka pada Jun 2024.
IKLAN
Semasa membuat keputusan, Hakim Hoo berkata beliau mengambil kira laporan perubatan yang menyatakan bahawa Ridawi masih tidak layak untuk dibicarakan atau mengaku bersalah setelah mengambil kira keadaan mentalnya yang serius. Ridawi juga tidak berupaya membela dirinya dan tidak mungkin akan memperoleh semula keupayaan tersebut.
Ridawi menghadiri perbicaraan pada Jumaat menerusi pautan video dari Pusat Perubatan Kompleks Penjara Changi dan kelihatan lemah. Dia tidak memberikan sebarang keterangan kepada mahkamah.
Hakim Hoo turut menimbangkan penilaian doktor bahawa Ridawi berisiko rendah untuk melakukan kesalahan semula memandangkan dia memerlukan bantuan yang menyeluruh untuk melakukan kegiatan hariannya.
Hakim turut mengambil kira hujah pihak pendakwa bahawa kes-kes terdahulu yang melibatkan pesalah dengan keadaan mental yang menjejas persepsi terhadap realiti lazimnya membawa hukuman penjara antara enam dengan sembilan tahun.
Hakim Mahkamah Tinggi juga berkata beliau tidak dapat bersetuju dengan pihak pembela bahawa tempoh hukuman penjara nosional itu harus dikurangkan dengan ketara kepada dua hingga tiga tahun kerana masih terdapat keperluan untuk melindungi orang lain.
IKLAN
Beliau menarik perhatian bahawa Ridawi membunuh isterinya dengan "cara yang ganas dan kejam" ketika berusia 88 tahun dan mendatangkan bahaya ketika mengalami delirium.
Kes tersebut dipercayai yang pertama seumpamanya dikendalikan sejak pindaan terhadap rejim undang-undang Singapura bagi tertuduh yang tidak waras berkuat kuasa pada Februari 2025.
Di bawah rejim tersebut, mahkamah perlu menetapkan tempoh hukuman penjara nosional yang perlu dijalani seseorang tertuduh sekiranya dia disabit dan dijatuhi hukuman bagi kesalahan yang dihadapinya.
Hakim Hoo akan melaporkan kes tersebut kepada menteri berkenaan, yang kemudian boleh mengarahkan Ridawi untuk terus ditahan atau dibebaskan dengan syarat.
Sementara menantikan keputusan menteri, Ridawi akan terus ditahan reman di Pusat Perubatan tersebut, seperti yang dipersetujui pihak pendakwa dan pembela.
IKLAN
Sekiranya Ridawi berada dalam keadaan waras dan disabit kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, dia boleh dihukum penjara seumur hidup atau sehingga 20 tahun serta didenda.
Dia tidak boleh dikenakan hukuman sebat disebabkan oleh usianya.
Lelaki 90 tahun tidak siuman dikenakan hukuman penjara nosional 5 tahun kerana bunuh isterinya
Seorang lelaki berusia 90 tahun yang membunuh isterinya dalam serangan yang "amat berbahaya sehingga boleh membawa maut" ketika dalam keadaan tidak waras, diberikan tempoh penjara nosional selama lima tahun oleh Mahkamah Tinggi pada Jumaat (28 Ogos).