combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
KPT Gesa Percepat Projek Pembangunan Demi Perkukuh Pendidikan Tinggi
Datuk Aminuddin Hassim
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggesa semua agensi di bawahnya supaya mempercepat pelaksanaan projek pembangunan demi memperkukuh pembangunan sektor pendidikan tinggi negara.
Ketua Setiausaha KPT Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim berkata beliau juga berharap agensi terlibat dapat meningkatkan prestasi perbelanjaan pembangunan bagi memastikan setiap peruntukan yang diluluskan dimanfaatkan secara optimum.
"Prestasi perbelanjaan pembangunan KPT hingga 6 Julai masih berada di bawah sasaran apabila merekodkan 40.88 peratus atau RM1.574 bilion, berbanding purata nasional sebanyak 42.27 peratus.
"Berdasarkan Laporan Prestasi Perbelanjaan Antara Kementerian yang dikeluarkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), KPT kini berada pada kedudukan ke-13 daripada 28 kementerian, sekali gus memerlukan tindakan penambahbaikan segera bagi mencapai sasaran perbelanjaan sebanyak 55 peratus," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.
Terdahulu, semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) di UUM di Sintok, beliau berkata setiap peruntukan yang telah disalurkan perlu dibelanjakan mengikut jadual ditetapkan.
"Prestasi pelaksanaan projek yang baik akan menjadi asas keyakinan kerajaan untuk terus menyalurkan peruntukan pembangunan pada masa hadapan.
"Semua agensi perlu mempercepat pelaksanaan projek di bawah Rolling Plan 5 (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) selepas mendapati masih terdapat 24 projek yang berada pada status prapelaksanaan setakat 17 Julai lepas," katanya.
Beliau berkata penyediaan dokumentasi projek perlu disegerakan bagi membolehkan Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan dalam tahun ini, selain memastikan status kemajuan projek sentiasa dikemas kini melalui sistem MyProject supaya selaras dengan keadaan sebenar di lapangan.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata KPT akan melaksanakan penyelarasan semula peruntukan pembangunan tahun ini, dengan memindahkan lebihan peruntukan yang dijangka tidak dapat dibelanjakan kepada projek yang memerlukan tambahan dana, serta mempunyai keupayaan untuk melaksanakan perbelanjaan dalam tempoh ditetapkan.