combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
KPDN Terengganu Tumpas Sindiket Seludup Minyak Masak Bersubsidi
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan minyak masak peket bersubsidi dengan penahanan empat individu termasuk seorang wanita di sekitar Hulu Terengganu hari ini.
Pengarah KPDN Terengganu Mohd Mufsi Lat berkata empat suspek warga tempatan berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan dalam Ops Tiris 4.0 yang dijalankan secara bersepadu dengan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu kira-kira pukul 9.30 pagi.
Beliau berkata turut dirampas 3,400 kilogram minyak masak peket, sebuah kereta Perodua Bezza dan sebuah lori Daihatsu Delta yang dipercayai digunakan untuk mengangkut barang kawalan berkenaan.
"Pasukan serbuan telah berjaya menahan dan memeriksa sebuah lori serta kereta yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyelewengan dan penyimpanan minyak peket bersubsidi secara tidak sah di hadapan sebuah rumah di Kampung Bukit Diman, Ajil, dekat sini pagi tadi.
"Lokasi tersebut dijadikan sebagai tempat simpanan barang. Nilai rampasan keseluruhan minyak peket, kereta dan lori yang digunakan sekitar RM103,500," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Mufsi berkata modus operandi sindiket terbabit ialah membeli minyak peket dari pelbagai lokasi dan disimpan sementara di lokasi kejadian sebagai stor haram, sebelum dijual kepada pembeli pasaran gelap untuk diseludup ke luar sempadan.
Beliau berkata keempat-empat suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu, Mohd Mufsi berkata KPDN Terengganu telah menjalankan sebanyak 2,688 pemeriksaan sepanjang Ops Tiris 4.0 bermula 16 Mac hingga hari ini yang menyaksikan lapan individu ditahan dan 16 kes berjaya dihasilkan.
"Nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM415,837.62, iaitu RM116,053.82 melibatkan barang kawalan, manakala RM299,783.80 lagi terdiri daripada barangan lain," katanya.