kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
KPDN Kelantan Patahkan Cubaan Seludup Lebih 20 Tan Minyak Masak Bersubsidi Ke Thailand
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar (kanan) bersama pegawai memeriksa sebahagian minyak masak peket bersubsidi pelbagai jenama yang dirampas pada sidang media di Pejabat KPDN Kelantan hari ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menumpaskan dua cubaan menyeludup lebih 20 tan metrik minyak masak peket bersubsidi ke Thailand dalam dua operasi berasingan di Pasir Mas dan Tumpat, dengan nilai keseluruhan rampasan serta sitaan lebih RM138,000.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Kelantan Aswadi Jaafar berkata dalam operasi pertama semalam, pihaknya merampas 2.8 tan metrik minyak masak peket bersubsidi bernilai RM43,000 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran menggunakan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Beliau berkata operasi bersepadu menerusi Ops Tiris 4.0 melibatkan Unit Risikan dan Tindakan Khas KPDN Kelantan dan Polis Diraja Malaysia itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun, manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri.
“Hasil risikan mendapati dua Perodua Alza berwarna merah dan biru itu dipercayai digunakan sindiket untuk mengangkut minyak masak bersubsidi sebelum diseludup ke Thailand.
“Pemeriksaan ke atas Alza berwarna merah menemukan 1,445 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi pelbagai jenama, manakala pemeriksaan terhadap Alza berwarna biru yang ditinggalkan suspek menemukan 80 kotak mengandungi 1,360 kg minyak masak bersubsidi,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata pemandu Alza merah gagal mengemukakan lesen atau dokumen sah berkaitan pemilikan dan pengangkutan barang kawalan, manakala usaha mengesan terhadap seorang lagi suspek yang melarikan diri giat dijalankan.
Sementara itu, dalam satu lagi operasi malam tadi di Kampung Telaga Bata, Chabang Empat, Tumpat KPDN Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 17,680 kg minyak masak peket bersubsidi menggunakan sebuah lori kargo jenis Nissan UD.
Aswadi berkata pemeriksaan terhadap lori itu menemukan 1,040 kotak minyak masak peket satu kg membabitkan keseluruhan 17,680 kg minyak masak bersubsidi.
Beliau berkata seorang pemandu lori warga tempatan bersama seorang kelindan berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan.