BTC USD 83,887.8 Gold USD 4,279.22
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir Sebelum Tidur dan Bangun Dari Tidur

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ رضي الله عنه قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَنَامَ قَالَ بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَمُوتُ وَأَحْيَا وَإِذَا اسْتَيْقَظَ مِنْ مَنَامِهِ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Daripada Hudzaifah bin al-Yaman RA, beliau berkata: "Rasulullah SAW apabila hendak tidur, baginda berkata: بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَمُوتُ وَأَحْيَا
'Dengan nama-Mu ya Allah, aku mati dan hidup.' Dan apabila baginda bangun daripada tidur, baginda berkata: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
'Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepada-Nya jua tempat kembali.'" (HR Bukhari No: 6324) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Zikir mengingati Allah dibaca sebelum tidur بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَمُوتُ وَأَحْيَا (Bismika Allahumma Amutu Wa Ahya) adalah cara untuk menyerahkan diri kepada Allah dan mengingatkan diri kita bahawa hidup dan mati adalah urusan Allah. Tidur adalah sejenis kematian kecil, dan kita perlu mempersiap diri dengan baik dalam keadaan khusyuk mengingat Allah.

2. Zikir bersyukur setelah bangun tidur الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ (Alhamdulillahilladzi Ahyana Ba'da Ma Amatana Wa Ilayhin-Nushur) sebagai tanda syukur kepada Allah atas nikmat kehidupan yang diberikan kembali.

3. Dengan mengucapkan doa ini, seorang Muslim menyatakan kebergantungan pada Allah dalam urusan hidup dan mati. Tidur dalam Islam dipandang sebagai kematian kecil (al-mawt al-saghir), kerana tubuh dan jiwa seseorang dalam keadaan tidak sedar dan tidak dapat berfungsi seperti ketika bangun.

4. Doa sebelum dan setelah bangun tidur mengingatkan kita bahawa hidup dan mati adalah dalam kekuasaan Allah. Dengan mengucapkan doa tersebut, seorang Muslim menunjukkan kesedaran bahawa setiap malam adalah suatu "kematian kecil", dan setiap pagi adalah kesempatan baru yang diberikan oleh Allah untuk membuat kebaikan.

5. Hadis ini mengajarkan pentingnya mensyukuri kehidupan setiap kali kita bangun tidur. Kehidupan ini adalah kurnia Allah yang perlu disyukuri. Dengan selalu mengingat Allah dalam setiap aspek kehidupan, kita dapat memperkuat keimanan dan keterikatan kita kepada-Nya, serta mempersiapkan diri kita untuk kehidupan abadi setelah mati.

Membangun Ummah Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

16hb Muharam 1447H
12hb Julai 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bacaan Surah al-Isra dan Al-Zumar Sebelum Tidur

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَالزُّمَرَ

Daripada Aisyah r.a., beliau berkata: Nabi SAW tidak tidur sehingga Baginda membaca surah Bani Isra’il (iaitu surah al-Isra’) dan surah al-Zumar. (HR Tirmizi No: 3402) Status: Hadis Hasan
.
Pengajaran:

1. Membaca al-Quran sebelum tidur adalah sunnah yang sangat digalakkan dan membantu menenangkan jiwa serta mendekatkan diri kepada Allah.

2. Rasulullah SAW membaca dua surah (Surah al-Isra’ dan Az-Zumar ) sebelum tidur menunjukkan keutamaan dan keistimewaan kandungan dalam membentuk hati serta keimanan.

3. Surah al-Isra’ mengandungi pengajaran tentang Isra’ dan Mi’raj, keesaan Allah, kebenaran wahyu, serta adab dan hukum hakam. Surah ini mengingatkan Rasulullah tentang beban dakwah yang dipikul oleh Baginda. Pemindahan tugas dakwah para Rasul keturunan Bani Israil kepada Rasulullah SAW menanam perasaan tanggungjawab dalam membimbing umat ini.

4. Surah az-Zumar membicara tentang tauhid, keikhlasan dalam beribadah, dan peringatan tentang Hari Kiamat serta balasan akhirat. Surah ini menyemai jiwa tentang keikhlasan dalam pengabdian diri kepada Allah. Kesucian dan ikhlasan jiwa menjadi tunjang utama penerimaan amalan manusia sebagai hamba Allah.

5. Marilah kita mencontohi Rasulullah SAW dengan mengikuti amalan baginda membiasakan membaca dua surah ini sebelum tidur

Membangun Ummah Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

17hb Muharam 1447H
13hb Julai 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kelebihan Membaca Al-Quran Di Malam Hari

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَن قَامَ بِعَشْرِ آيَاتٍ لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِينَ، وَمَن قَامَ بِمِائَةِ آيَةٍ كُتِبَ مِنَ الْقَانِتِينَ، وَمَن قَرَأَ بِأَلْفِ آيَةٍ كُتِبَ مِنَ الْمُقْنِطِرِينَ

Daripada Abdullah bin Amru RA Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mendirikan malam dengan membaca sepuluh ayat, dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lalai. Sesiapa yang mendirikan malam dengan seratus ayat, dia akan ditulis sebagai orang yang taat (al-qanitin). Dan sesiapa yang membaca seribu ayat, dia akan ditulis sebagai golongan yang memperoleh pahala yang banyak (al-muqanthirin). (HR Abu Daud No: 1398) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Setiap Muslim digalakkan bangun malam untuk solat dan membaca al-Quran, kerana waktu malam adalah saat yang paling tenang untuk mendekatkan diri kepada Allah.

2. Tiga tahap ganjaran orang yang qiam di malam hari dan membaca al-Quran:

a. 10 ayat: Tidak tergolong dalam orang yang lalai.
b. 100 ayat: Dikenal sebagai qanitin (orang yang taat dan tunduk).
c. 1000 ayat: Dicatat sebagai muqanthirin, iaitu yang diberi pahala seperti gunung.

3. Ibn Rajab al-Hanbali dalam Jami' al-‘Ulum wa al-Hikam menyatakan bahawa hadis ini bukan hanya tentang bilangan ayat al Quran yang dibaca, tetapi tanda kecintaan kepada al-Quran. Sesiapa yang menjadikan bacaan al-Quran sebahagian daripada malamnya, maka dia akan terselamat daripada sifat lalai yang disebut dalam al-Quran sebagai sifat orang munafik dan zalim.

4. Membaca al-Quran dalam solat malam adalah jalan untuk mengelakkan kelalaian, memperoleh ketaatan, dan meraih pahala yang sangat besar.

5. Jadikanlah amalan membaca al-Quran di malam hari walaupun sedikit sebagai rutin hidup kerana di situlah letaknya rahmat, cahaya hati, dan kemuliaan seorang Muslim.

Membangun Ummah Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

18hb Muharam 1447H
14hb Julai 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bacaan Surah Al-Ikhlas Menyamai Sepertiga Al-Quran

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ ثُلُثَ الْقُرْآنِ فِي لَيْلَةٍ فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ وَقَالُوا أَيُّنَا يُطِيقُ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ اللَّهُ الْوَاحِدُ الصَّمَدُ ثُلُثُ الْقُرْآنِ

Daripada Abu Sa'id Al Khudri RA, ia berkata; Nabi SAW bersabda kepada para sahabatnya: Apakah salah seorang dari kalian tidak mampu bila ia membaca sepertiga dari Al-Quran pada setiap malamnya?" dan ternyata para sahabat merasa kesulitan seraya berkata, "Siapakah di antara kami yang mampu melakukan hal itu wahai Rasulullah?" maka baginda pun bersabda: "ALLAHUL WAAHID ASH SHAMAD (maksudnya surat al-ikhlas) nilainya adalah sepertiga Al-Quran. (HR Bukhari No: 4628) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Membaca al-Quran adalah dituntut kepada setiap Mukmin.

2. Membaca surah al-Ikhlas sekali nilainya menyamai sepertiga al-Quran.

3. Mengikut Ibnu Hajar, “Nilai sepertiga al-Quran” bermaksud surah al-Ikhlas nilainya sama dengan sepertiga apabila dilihat dari kandungan makna al-Quran. Kerana isi Quran terdiri daripada perkara yang berkaitan hukum, kisah, dan akidah. Surah al-Ikhlas mencakup pembahasan akidah, sehingga dinilai sepertiga berdasarkan tinjauan ini (Fathul Bari, 9/61).

4. Membaca surat al-Ikhlas mendapat nilai seperti membaca 1/3 al-Quran maknanya adalah senilai dalam pahala (al-Jaza’). Bukan senilai dalam amal (al-Ijza’). Jika seseorang membaca surah al-Ikhlas, dia mendapat pahala senilai pahala sepertiga al-Quran. Namun bukan bererti pahala yang diperolehi sepadan dengan bentuk pahala untuk ayat-ayat Quran yang lainnya. Bahkan boleh jadi dia memerlukan bentuk pahala dari memahami perintah, larangan, dan kisah al-Quran dimana surah al-Ikhlas tidak boleh menggantikan semua itu. (Majmu’ al-Fatawa, 17/138).

Usahakanlah membaca al-Quran paling kurang surah al-Ikhlas sebelum tidur.

Membangun Ummah Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

19hb Muharam 1447H
15hb Julai 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Memelihara Al-Quran

عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَعَاهَدُوا الْقُرْآنَ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنَ الْإِبِلِ فِي عُقُلِهَا

Daripada Abu Musa al-Ash‘ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Peliharalah al-Quran (dengan sentiasa membacanya dan mengulanginya) secara berterusan. Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya al-Quran itu lebih mudah hilang (daripada dada) berbanding unta yang terlepas dari ikatannya. (HR Muslim No: 791) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menurut Imam al-Nawawi, seseorang hendaklah memelihara al-Quran dengan sentiasa mengulangi, menghafaz dan membaca al-Quran secara berkala, supaya hafazannya tidak hilang atau lupa sesuai dengan sifat manusia yang mudah lupa.

2. Rasulullah SAW mengumpamakan al-Quran seperti unta yang diikat, dan bila tidak dijaga, ia mudah terlepas dan sukar ditangkap semula.

3. Menjaga hafazan al-Quran adalah dituntut bagi penghafaz (huffaz) supaya tidak melupakan apa yang telah dihafaz dengan sentiasa mengulang bacaan secara berkala.

4. Al-Quran adalah amanah yang perlu dipelihara melalui pembacaan, pemahaman dan diamalkan isi kandungannya bukan sekadar mengingatinya di bibir.

5. Al-Quran adalah cahaya dan panduan hidup. Hanya dengan menjaga dan mendekatinya sentiasa, kita tidak akan sesat dalam gelap kehidupan.

6. Hadis ini merupakan peringatan serius daripada Nabi SAW supaya kita tidak melupakan al-Quran yang telah dipelajari, baik secara hafazan mahupun bacaan. Memelihara al-Quran menekankan disiplin, konsistensi, dan kesungguhan dalam menjaga hubungan dengan al-Quran.

Membangun Ummah Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

20hb Muharam 1447H
16hb Julai 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Adab Jika Terlupa Ayat Al-Quran Yang Dihafaz

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بِئْسَ مَا لِأَحَدِهِمْ أَنْ يَقُولَ: نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ، بَلْ نُسِّيَ، وَاسْتَذْكِرُوا الْقُرْآنَ؛ فَإِنَّهُ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنَ النَّعَمِ

Daripada Abdullah bin Mas‘ud RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Seburuk-buruknya keadaan seseorang ialah apabila dia berkata: 'Aku telah lupa ayat sekian dan sekian.' Sebenarnya, dia telah dilupakan (oleh Allah akibat kelalaiannya). Maka ingatlah semula (ulanglah) al-Quran, kerana sesungguhnya al-Quran itu lebih cepat hilang dari dada manusia berbanding unta yang terlepas dari tambatannya. (HR Muslim No: 790) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Melupakan ayat al-Quran yang dihafaz adalah perkara yang tercela. Bahkan bukan perkara kecil, tetapi perkara buruk yang mencerminkan sikap lalai terhadap kitab Allah.

2. Larangan mengatakan: "Aku Telah Lupa Ayat Ini" kerana ia menunjukkan sikap kita yang lalai dan tidak menjaga hafazan al-Quran.

3. Jika kita lupa katakanlah: “Aku telah dilupakan”. Bermaksud Allah telah mencabut ingatan terhadap ayat tersebut sebagai hukuman atas kelalaian penjagaan kita.

4. Rasulullah SAW menggunakan perumpamaan: al-Quran itu lebih cepat terlepas daripada dada manusia berbanding unta, haiwan yang terkenal dengan kesukarannya untuk ditangkap kembali apabila lepas dari ikatan. Hal sedemikian menunjukkan bahawa tanpa pengulangan, hafalan al-Quran akan hilang dengan cepat dan sukar untuk diingati semula.

5. Manusia memang sifatnya pelupa, tetapi Islam mendidik kita agar mendisiplinkan diri melalui amalan membaca dan mengulang bacaan al-Quran (murajaah) berterusan.

6. Hadis ini memperingatkan kita agar tidak mengambil ringan hafazan ayat al-Quran dan memberi isyarat bahawa melupakan ayat al-Quran kerana kelalaian adalah satu kecuaian yang besar. Maka, orang yang telah belajar atau menghafaz al-Quran mestilah menjadikannya rutin harian untuk membaca dan mengulang.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

21hb Muharam 1447H
17hb Julai 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Kesejahteraan Dibaca Pagi dan Petang

حَدَّثَنِي جُبَيْرُ بْنُ أَبِي سُلَيْمَانَ بْنِ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ قَالَ‏:‏ سَمِعْتُ ابْنَ عُمَرَ يَقُولُ‏:‏ لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَدَعُ هَؤُلاَءِ الْكَلِمَاتِ إِذَا أَصْبَحَ وَإِذَا أَمْسَى‏:‏ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ‏.‏ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي وَمَالِي‏.‏ اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي‏.‏ اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ مِنْ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Diriwayatkan oleh Jubair bin Abi Sulaiman bin Jubair bin Mut’im, beliau berkata: Aku mendengar Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan doa-doa ini setiap kali baginda berada pada waktu pagi dan petang: ‘Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keampunan dan kesejahteraan dalam agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah, tutuplah keaibanku dan tenangkanlah rasa takutku. Ya Allah, lindungilah aku dari hadapan, dari belakang, dari kanan, dari kiri dan dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-Mu daripada diserang secara tiba-tiba dari bawahku.’ (HR Abu Daud No: 5074) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1. Doa sebagai benteng harian. Dalam hadis ini Rasulullah SAW mengajar kita doa untuk dibaca pada waktu pagi dan petang.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ‏.‏ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي وَمَالِي‏.‏ اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي‏.‏ اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ مِنْ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

2. Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menyebut bahawa “العافية” (kesejahteraan) adalah antara nikmat terbesar yang diminta oleh Rasulullah SAW. Ianya merangkumi kesejahteraan akidah, jasmani, harta, dan keluarga. Oleh itu, Nabi SAW menjadikan doa ini sebahagian daripada rutin hariannya.

3. Kita diajar memohon perlindungan menyeluruh kepada Allah dari segala arah merangkumi daripada depan, belakang, kanan, kiri, atas, dan bawah menunjukkan kepada kita potensi bahaya dari segala arah, zahir dan batin, termasuk gangguan manusia, jin, dan musibah tidak dijangka.

4. Selain kesejahteraan, Rasulullah SAW juga memohon keampunan daripada dosa, kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Hal ini mengajarkan bahawa keselamatan rohani lebih penting daripada keselamatan jasmani sahaja.

5. Hadis ini memperlihatkan betapa pentingnya doa dalam kehidupan seorang Muslim, dan bagaimana Rasulullah SAW sendiri menjadikannya rutin harian. Ia merupakan model doa yang sangat komprehensif, merangkumi permohonan keselamatan fizikal, mental, dan spiritual. Seorang Muslim disarankan mengamalkan doa ini setiap pagi dan petang agar mendapat perlindungan dan rahmat Allah SWT dalam segenap aspek kehidupannya.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

22hb Muharam 1447H
18hb Julai 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Mohon Cahaya Petunjuk

عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: " بِتُّ عِنْدَ خَالَتِي مَيْمُونَةَ بِنْتِ الْحَارِثِ، فَصَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِشَاءَ، ثُمَّ رَجَعَ إِلَيْهَا، وَكَانَتْ لَيْلَتَهَا، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ انْفَتَلَ، فَقَالَ: أَنَامَ الْغُلَامُ؟ وَأَنَا أَسْمَعُهُ، قَالَ: فَسَمِعْتُهُ قَالَ فِي مُصَلَّاهُ: اللهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا، وَفِي سَمْعِي نُورًا، وَفِي بَصَرِي نُورًا، وَفِي لِسَانِي نُورًا، وَأَعْظِمْ لِي نُورًا

Daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibnu Abbas RA, beliau berkata: Aku bermalam di rumah ibu saudaraku, Maimunah binti al-Harith. Rasulullah SAW telah menunaikan solat Isyak, kemudian baginda pulang ke rumahnya. Malam itu adalah giliran Maimunah. Baginda solat dua rakaat, lalu baginda berdoa dengan suara yang aku dengar di tempat solatnya:

‘اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا وَفِي سَمْعِي نُورًا وَفِي بَصَرِي نُورًا وَفِي لِسَانِي نُورًا وَأَعْظِمْ لِي نُورًا’

(Ya Allah, jadikanlah dalam hatiku cahaya, dan dalam pendengaranku cahaya, dan dalam penglihatanku cahaya, dan dalam lisanku cahaya, dan berikanlah kepadaku cahaya yang besar).” (Musnad Imam Ahmad (5/329). Isnad Sahih

Pengajaran:

1. Doa untuk mendapatkan cahaya petunjuk adalah penting dipohon oleh setiap Muslim.

2. Solat malam adalah waktu yang baik untuk berdoa kerana selepas solat adalah waktu yang penuh berkah, dan berdoa selepas solat adalah sunat yang sangat dianjurkan.

3. Antara doa yang dibaca oleh Nabi SAW semasa solat malam, memohon kepada Allah agar hidup sentiasa diterangi oleh cahaya petunjuk-Nya dalam setiap aspek kehidupan meliputi hati, pendengaran, penglihatan, dan perkataan bagi memastikan kita sentiasa berada di jalan yang benar.

a) “اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا” – "Ya Allah, jadikanlah dalam hatiku cahaya"
Memohon cahaya petunjuk dan ketenangan dalam hati, agar hati diterangi dengan iman dan ilmu serta terhindar dari kekeliruan dan keraguan.

b) “وَفِي سَمْعِي نُورًا” – "Dan dalam pendengaranku cahaya"
Memohon agar Allah memberikan pendengaran yang dapat menyaring kebenaran dan menghindarkan dari mendengar hal-hal yang buruk atau sia-sia.

c) “وَفِي بَصَرِي نُورًا” – "Dan dalam penglihatanku cahaya"
Memohon agar mata diberi petunjuk untuk melihat yang benar dan menghindari pandangan yang membawa kepada dosa.

d) “وَفِي لِسَانِي نُورًا” – "Dan dalam lidahku cahaya"
Memohon agar lidah digunakan untuk berkata yang baik, bermanfaat, dan penuh dengan kebaikan serta tidak mengucapkan kata-kata yang buruk.

e) “وَأَعْظِمْ لِي نُورًا” – "Dan berikanlah kepadaku cahaya yang besar"
Memohon agar cahaya yang diberikan oleh Allah menjadi sebuah pemandu yang besar dalam hidup, yang memberikan kekuatan dan petunjuk dalam setiap aspek kehidupan.

4. Doa ini mengingatkan kita bahawa hanya dengan cahaya dari Allah kita dapat terus berada dalam petunjuk-Nya. Tanpa cahaya-Nya, kita mudah tersesat dalam kegelapan dunia dan nafsu.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

23hb Muharam 1447H
19hb Julai 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir Apabila Mimpi Baik atau Buruk

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخُدْرِيِّ رضي الله عنه أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا يُحِبُّهَا فَإِنَّهَا مِنَ اللَّهِ، فَلْيَحْمَدِ اللَّهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لَنْ تَضُرَّهُ

Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, beliau mendengar Rasulullah bersabda: Apabila salah seorang daripada kamu melihat mimpi yang disukainya, maka sesungguhnya ia adalah daripada Allah. Maka hendaklah dia memuji Allah atasnya dan menceritakannya (kepada orang lain). Tetapi apabila dia melihat mimpi yang tidak disukainya, maka itu adalah daripada syaitan. Maka hendaklah dia memohon perlindungan dengan Allah daripada keburukan dan jangan menceritakannya kepada sesiapa pun, sesungguhnya ia tidak akan kemudaratannya. (HR Bukhari No: 7045) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Mimpi yang baik dan membawa kebahagiaan adalah mimpi yang datang daripada Allah. Menurut ulama, apabila seseorang bermimpi sesuatu yang baik atau menyenangkan, seperti mendapat kemenangan, kesejahteraan, atau kedamaian, itu dianggap sebagai petunjuk positif daripada Allah. Rasulullah SAW menegaskan supaya kita memuji Allah الْحَمْدُ لِلَّهِ dan berkongsi mimpi itu dengan orang lain, kerana itu adalah nikmat yang patut disyukuri.

2. Mimpi yang buruk datang dari syaitan, dan kita tidak boleh menganggapnya sebagai sesuatu yang akan terjadi kepada kita.

3. Al-Qurtubi menjelaskan bahawa mimpi buruk ini datang sebagai gangguan daripada syaitan, bertujuan untuk menakut-nakutkan dan menimbulkan keresahan. Oleh itu, kita dianjurkan untuk tidak menceritakan mimpi buruk tersebut kepada orang lain, kerana ia tidak akan memberi manfaat dan hanya boleh menimbulkan ketakutan atau kebimbangan

4. Apabila seseorang bermimpi buruk, Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan mimpi tersebut dengan mengucapkan doa perlindungan, seperti أعوذ بالله من الشيطان الرجيم "A’udzu billahi min ash-shaytani r-rajim" (Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terkutuk).

5. Hadis ini mengajarkan kepada kita bagaimana sikap kita terhadap mimpi. Mimpi baik adalah anugerah daripada Allah yang patut disyukuri dan boleh berkongsi dengan orang lain, sementara mimpi buruk adalah godaan daripada syaitan yang perlu dihadapi dengan memohon perlindungan kepada Allah dan tidak menceritakannya kepada orang lain.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

24hb Muharam 1447H
20hb Julai 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir Jika Bermimpi Buruk

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: إِذَا رَءَا أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا يَكْرَهُهَا فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلاَثًا وَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ ثَلاَثًا وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كَانَ عَلَيْهِ

Daripada Jabir bin Abdullah, dari Rasulullah SAW sesungguhnya baginda bersabda: Jika salah seorang dari kalian bermimpi buruk yang ia tidak sukai maka hendaklah ia meludah kecil ke arah kirinya sebanyak tiga kali, memohon perlindungan kepada Allah dari gangguan syaitan sebanyak tiga kali dan mengubah posisi tidur sebelumnya. (HR Muslim No: 2262) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Mimpi buruk datang daripada Syaitan untuk menimbulkan ketakutan, keresahan, kesedihan, atau gangguan emosi kepada orang yang bermimpi.

2. Jika kita bermimpi sesuatu yang buruk atau sesuatu yang tidak disukai, Rasulullah SAW mengajar kita agar:

a. Meludah ke kiri sebanyak tiga kali. Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menjelaskan – meludah ke kiri sebagai meludah sedikit dengan nafas, tanpa mengeluarkan air ludah.

b. Memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada Syaitan sebanyak tiga kali, antaranya dengan membaca ta'awudz: أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

c. Mengubah posisi tidur

3. Islam menolak amalan menafsir mimpi buruk. Kita dinasihatkan agar tidak menceritakan mimpi buruk kepada orang lain, kerana ia tidak membawa manfaat malah boleh menambah keresahan.

4. Setiap kita disarankan agar memperkuatkan kebergantungan kepada Allah dalam setiap masa dan keadaan termasuk ketika tidur dengan memperbanyak zikir dan doa sebelum tidur.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

25hb Muharam 1447H
21hb Julai 2025
 
Back
Top
Log in Register