BTC USD 83,958.8 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Iftitah Pembuka Pintu Langit

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: بَيْنَمَا نَحْنُ نُصَلِّي مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ قَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ: اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنِ الْقَائِلُ كَلِمَةَ كَذَا وَكَذَا؟ قَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ: أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: عَجِبْتُ لَهَا، فُتِحَتْ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ، قَالَ ابْنُ عُمَرَ: فَمَا تَرَكْتُهُنَّ مُنْذُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ذَٰلِكَ

Daripada Ibnu Umar RA, "Ketika kami salat bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba seseorang mengucapkan 'Allahuakbar kabira walhamdu lillahi katsira wasubhanalla hibukratawwa ashiila' (Allah Maha Besar dengan segala kebesaran, segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, Maha Suci Allah, baik pada waktu pagi mahupun petang). Selesai salat, Rasulullah SAW bertanya, 'Siapakah yang mengucapkan kalimat tadi?' Seorang sahabat menjawab, 'Saya, wahai Rasulullah.' Baginda lalu bersabda, 'Sungguh aku sangat kagum dengan kalimat zikir tadi sebab pintu-pintu langit dibuka kerana kalimat itu' Kata Ibnu Umar, 'Maka aku tak pernah lagi meninggalkannya semenjak aku mendengar Rasulullah SAW mengucapkan hal itu.' (HR Muslim No 601) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Doa iftitah adalah pembuka dalam solat yang mengandungi pujian dan tasbih kepada Allah. Ia adalah ungkapan keagungan dan ketundukan kepada-Nya sebelum kita memasuki bacaan surah dalam solat. Rasulullah SAW sendiri mengagumi lafaz zikir doa ini kerana ia menyebabkan pintu langit terbuka.

2. Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, kenyataan tentang “terbukanya pintu-pintu langit” menunjukkan Zikir itu diterima serta-merta di sisi Allah.

3. Imam Muslim menghimpunkan hadis ini dalam kumpulan lafaz-lafaz zikir yang boleh dibaca pada permulaan solat, selepas takbiratul ihram dan sebelum membaca Surah Al-Fatihah.

4. Jadilah seperti Abdullah bin Umar yang berazam tidak akan meninggalkan doa iftitah tersebut ketika solat dan semoga ia menjadi pembuka pintu Rahmat Allah buat kita.

Amalkan bacaan doa iftitah setiap kali kita solat dan sebelum membaca surah al fatihah. Terdapat beberapa lafaz zikir antaranya dengan bacaan ini

اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

26hb Zulhijjah 1446H
23hb Jun 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir Ketika Iktidal dan Keutamaan

عَنْ رِفَاعَةَ بْنِ رَافِعٍ الزُّرَقِيِّ، قَالَ: " كُنَّا يَوْمًا نُصَلِّي وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرَّكْعَةِ قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ "، قَالَ رَجُلٌ وَرَاءَهُ: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ، فَلَمَّا انْصَرَفَ، قَالَ: «مَنِ المُتَكَلِّمُ قَالَ: أَنَا، قَالَ: «رَأَيْتُ بِضْعَةً وَثَلاَثِينَ مَلَكًا يَبْتَدِرُونَهَا أَيُّهُمْ يَكْتُبُهَا أَوَّلُ

Daripada Rifaah bin Rafi
al-Zuraqi r.a. katanya: Pada satu hari kami solat di belakang Nabi SAW maka apabila Baginda mengangkat kepalanya bangun daripada ruku’ Baginda SAW membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ Tiba-tiba ada seorang daripada sahabat yang membaca, رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ (Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian, aku memuji-Mu dengan pujian yang banyak, yang baik dan penuh dengan barakah). Selepas selesai solat, Rasulullah SAW bertanya: “Siapa yang mengucapkan kalimah itu?” Sahabat itu berkata, “Saya.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Aku melihat lebih tiga puluh malaikat berebut untuk menjadi yang pertama pada mencatatnya (pahalanya).” (HR Bukhari No: 799) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Memuji dan menyanjung Allah dengan pujian yang layak bagi-Nya adalah antara bentuk ibadah yang paling agung yang boleh dilakukan oleh seorang hamba. Menjadi tanda dekatnya seseorang kepada Allah dan mendatangkan ganjaran yang tinggi serta kemuliaan di dunia dan akhirat.

2. Dalam hadis ini, Rifaah RA melaporkan bahawa beliau pernah solat bersama Nabi SAW dan ketika Nabi SAW melakukan iktidal, Baginda membaca: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ (Sami’allahu liman hamidah). Lalu seorang lelaki di belakang Baginda menyambutnya dengan bacaan: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ (Rabbana wa lakal hamdu hamdan kathiran toyyiban mubarakan fihi). Iaitu pujian yang ikhlas, bebas daripada riya’ (menunjuk) dan sumʿah (inginkan pujian), serta sarat dengan kebaikan.

3. Selepas solat, Nabi SAW memberitahu bahawa Baginda melihat sekumpulan malaikat, lebih daripada 30, segera mencatat kata-kata itu. Masing-masing berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama mencatatnya.

4. Hadis ini menjelaskan kelebihan berzikir memuji Allah SWT sehingga diberi perhatian istimewa oleh para malaikat, menunjukkan betapa bernilainya setiap kalimah zikir dan pujian kepada Allah SWT.

5. Ucapan "رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ، حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ" menjadi antara zikir yang dianjurkan semasa iktidal selepas membaca 'سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ', kerana ia penuh makna penghargaan dan kesyukuran kepada Allah.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

27hb Zulhijjah 1446H
24hb Jun 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir dan Doa Selepas Salam

كَتَبَ الْمُغِيرَةُ بْنُ شُعْبَةَ إِلَى مُعَاوِيَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا فَرَغَ مِنْ الصَّلَاةِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

Mughirah bin Syu'bah pernah berkirim surat kepada Muawiyah, bahawa apabila Rasulullah SAW selesai solat dan mengucapkan salam, baginda memanjatkan doa:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ
(Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nyalah segala kerajaan dan milik-Nyalah segala pujian, dan Dia Maha berkuasa atas segala sesuatu. Ya Allah, tiada yang dapat menghalang apa yang Engkau berikan, dan tidak ada yang dapat memberi apa yang Engkau halang, dan tidak akan memberi manfaat seseorang yang memiliki kekayaan atau kedudukan, daripada kekayaan atau kedudukan itu di sisi Mu). (HR Muslim No: 933) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara perkara yang digalakkan selepas solat waktu ialah berzikir dan berdoa.

2. Antara zikir dan doa yang sunat dibaca selepas solat fardhu:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

3. Hadis ini mengajarkan amalan zikir yang mengukuhkan hubungan seorang hamba dengan Tuhannya. Dengan melafazkan zikir dan doa ini, seorang Muslim menguatkan keimanan kepada tauhid, qadha’, dan qadar Allah SWT. Selain itu, dapat mendidik jiwa untuk menjadi lebih tawaduk, bersyukur, dan bergantung kepada Allah SWT dalam setiap aspek kehidupan.

4. Berdoalah agar menjadi orang mulia di sisi Allah

لَيسَ شَيْءٌ أَكْرَمَ عَلَى اللهِ تَعَالَى مِنَ الدُّعَاءِ
Maksudnya: Tidak ada yang paling mulia di sisi Allah daripada doa (HR Ahmad No: 362)

5. Hadis ini menunjukkan keutamaan zikir selepas solat sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia mengajar kita untuk sentiasa bersyukur, bertawakal, dan mengukuhkan keimanan kepada Allah. Dengan mengamalkan zikir ini, seseorang akan memperoleh ketenangan jiwa, keberkatan hidup, dan perlindungan daripada kesukaran dunia serta akhirat.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

28hb Zulhijjah 1446H
25hb Jun 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hijrah Untuk Kesejahteraan

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Daripada Abdullah bin Amru dari Nabi SAW, bersabda: "Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari (gangguan) lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir (penghijrah) adalah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah " (HR Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Muslim yang sempurna adalah seorang yang sentiasa sejahtera kepada orang Islam lain (sentiasa selamat dari gangguan lidah seperti umpatan, fitnah, menyebarkan berita palsu, adu domba dan gangguan perbuatan atau tangannya seperti memukul, mencuri, melanggar dan sebagainya).

2. Seseorang yang mempunyai iman yang sempurna akan mendorong pemiliknya untuk melaksanakan hak-hak iman. Di antara hak-hak iman adalah: Menjaga amanah, jujur dalam bermuamalah, dan menahan diri dari berbuat zalim terhadap sesama manusia dalam perkara darah dan harta mereka sehingga orang lain merasa aman (kerana merasa tidak terganggu) darah dan harta mereka.

3. Hijrah adalah perpindahan dari satu situasi atau keadaan kepada satu situasi atau keadaan yang lain. Muhajir atau seorang yang berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan berdosa dan maksiat kepada yang baik dan mendatangkan pahala.

4. Hijrah dengan meninggalkan segala bentuk larangan Allah, meninggalkan sifat mazmumah seperti hasad, takabur, riak adalah dituntut ke atas setiap Muslim. Untuk berubah, setiap kita perlu melakukan hijrah.

5. Hijrah dan perubahan menuntut pengorbanan. Para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki di Mekah dan menempuh perit getir perjalanan untuk ke Madinah sehingga mereka selamat sampai. Oleh itu untuk berhijrah dan berubah, setiap kita perlu berkorban.

6. Hadis ini mengajar kita bahawa seorang Muslim yang sebenar ialah yang menjaga akhlak terhadap sesama manusia dan berusaha menjauhi segala bentuk dosa. Ia menekankan pentingnya menjadi insan yang membawa keamanan dan kebaikan dalam masyarakat serta berhijrah sikap dan amal dengan meninggalkan larangan Allah.

7. Marilah kita melakukan pengorbanan untuk perubahan yang lebih cemerlang. Ayuhlah berhijrah dari maksiat kepada ketaatan, dari keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih cemerlang dan gemilang serta diredhai Allah.

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1447
Membangun Ummah Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

29hb Zulhijjah 1446H
26hb Jun 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Muharam Bulan Afdhal Puasa Selepas Ramadan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ، شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ، وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ، صَلَاةُ اللَّيْلِ

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Puasa yang paling afdhal (paling baik) selepas puasa bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Tahajud). (HR Abu Daud No: 2429) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat.

2. Sebaik-baik puasa setelah puasa wajib di bulan Ramadan adalah puasa sunat di bulan Muharam.

3. Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan? Maka jawab baginda SAW:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ

Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah. (HR Tirmizi No: 741)

4. Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihan bulan Muharam. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.

5. Menurut Imam Nawawi bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyak puasa sunat. Antaranya berpuasa pada hari ke-9 Muharam (Tasuua’a) dan ke-10 Muharam (Asyura’).

6. Solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat sunat di malam hari seperti solat Tahajud, Witir dan lain-lain.

7. Hadis ini mengajarkan kita bahawa amalan sunat yang dilakukan dengan ikhlas dan berterusan selepas amalan fardhu merupakan jalan mendekatkan diri kepada Allah. Ia menggalakkan kesungguhan ibadah puasa walaupun di luar bulan Ramadhan, serta menjadikan waktu malam sebagai peluang besar untuk meningkatkan pahala.

8. Marilah kita perbanyakkan berpuasa sunat pada bulan ini, antaranya puasa sunat Isnin, Khamis, puasa sunat hari puteh (13, 14 dan 15 hb) juga puasa Sunat Tasuua’a dan Asyura pada 9 dan 10 hb Muharam.

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1447
Membangun Ummah Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

01hb Muharam 1447H
27hb Jun 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Niat dan Hijrah Kerana Allah

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ: إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.

Daripada Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab RA, dia berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang ia menginginkannya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya (yang dia niatkan). (HR Bukhari No: 1) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap amal atau perbuatan seseorang itu bergantung kepada niat.

2. Niat merupakan syarat diterima atau tidaknya sesuatu amal perbuatan. Amal ibadah tidak akan menghasilkan pahala kecuali berdasarkan niat yang benar dan Ikhlas (kerana Allah).

3. Ikhlas melakukan sesuatu amal semata-mata kerana Allah adalah dituntut pada semua amal dan ibadah.

4. Ganjaran pahala seorang mukmin akan diberi berdasarkan kadar niatnya.

5. Orang yang berhijrah atau melakukan sesuatu perbuatan kerana dunia, maka dia hanya akan dapat dunia yang diinginkan.

6. Orang yang berhijrah kerana wanita, dia hanya akan dapat seperti yang diniatkan.

7. Orang yang berhijrah kerana Allah, dia akan memperoleh apa yang diniatkan dengan ganjaran pahala.

8. Hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang buruk dan dilarang oleh Allah kepada melakukan sesuatu yang lebih baik dan diredai Allah. Mari bersama berhijrah.

9. Lakukanlah apa juga amal kebaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Berusahalah melakukan hijrah kepada sesuatu yang lebih baik dan diredai serta meninggalkan segala perkara yang buruk dan dosa.

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1447
Membangun Ummah Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

02hb Muharam 1447H
28hb Jun 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Membangun dan Mengimarahkan Masjid

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ بَنَى مَسْجِدًا يُذْكَرُ فِيهِ اسْمُ اللَّهِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

Daripada Umar Ibnul Khatthab RA ia berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa membangunkan masjid yang di dalamnya digunakan untuk berzikir kepada Allah, maka Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah di syurga." (Sunan Ibnu Majah No: 727) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Allah memberikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang membina masjid dengan ikhlas semata-mata untuk digunakan di dalamnya bagi mengingati Allah.

2. Orang yang membangunkan masjid ini tergolong dalam kalangan pemakmur masjid Allah. Firman Allah:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain Allah, maka merekalah yang termasuk golongan orang-orang yang selalu mendapat petunjuk (dari Allah Ta’ala)” (Surah At-Taubah: 18).

3. Ibnu al-Jauzi dalam Zaadul Masiir (3/408) berkata: yang dimaksudkan dengan “memakmurkan” dalam ayat di atas ialah mereka yang:

a. Selalu mendatangi masjid dan beribadat di dalamnya
b. Membangun masjid dan memperbaikinya.

4. Masjid perlu dibangunkan fizikal serta rohnya (program dan aktiviti yang mendekatkan seseorang kepada Allah). Orang yang membangunkan masjid akan diberi ganjaran mahligai di syurga.

5. Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah adalah membina Masjid. Dimulakan dengan masjid Quba dan diikuti dengan Masjid Madinah. Masjid dijadikan tempat menghimpunkan rakyat, merapatkan ukhuwah, menyampaikan dakwah, mengajarkan al-Quran serta mengurus pemerintahan.

6. Jangan jadikan masjid seperti *gajah puteh*. Kata Saidina Ali: Akan datang suatu zaman ke atas manusia, tidak kekal di dalam Islam kecuali namanya sahaja dan tidak kekal dalam ajaran al-Quran melainkan tinggal tulisannya sahaja, masjid yang besar dan indah dibangunkan di sana sini tetapi manusia tidak mengambil petunjuk daripadanya.

Marilah sempena Sambutan Hijrah 1447 ini kita mencontohi kejayaan dan kegemilangan Rasulullah SAW membangunkan Negara Islam Madinah dengan dimulakan di masjid. Jom ikat diri kita dengan masjid. Mengimarahkan Masjid Tanggungjawab Kita.

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1447
Membangun Ummah Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

03hb Muharam 1447H
29hb Jun 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Syurga Untuk Pengunjung Masjid

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلًا كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid pada pagi atau petang hari, maka Allah akan menyediakan persinggahan baginya di syurga, setiap kali dia berangkat ke masjid di pagi atau petang hari." (HR Muslim No:1073) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Orang yang sentiasa solat waktu di masjid pagi dan petang akan disediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga.

2. Rasulullah SAW menjanjikan perlindungan di hari kiamat kepada tujuh golongan, satu daripada golongan itu adalah …. mereka yang hatinya terikat dengan masjid walau di mana dia berada:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ….. وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (di hari Akhirat): …. seorang yang hatinya sentiasa terikat ke masjid. (Sahih Bukhari: 660)

3. Bersungguhlah menjaga solat berjemaah khususnya di masjid bagi kaum lelaki. Ingatlah kisah Sulaiman Ibn Hamzah al-Maqdisi keturunan Ibn Qudamah seorang ketua hakim di Syam, beliau pernah berkata: Aku tidak pernah solat fardu secara sendirian kecuali 2 kali dan sehingga sekarang aku seakan-akan merasa masih belum mengerjakannya (padahal usianya ketika itu mencecah 90 tahun) (dalam ar-Raqaik oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid)

4. Tempat pertama yang Rasulullah SAW bina ketika sampai ke Quba dalam peristiwa hijrah baginda adalah Masjid iaitu masjid Quba. Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan masjid sebagai rumah kedua kita untuk menunaikan solat berjemaah, mendalami ilmu agama, dan mengeratkan hubungan ukhuwah sesama ahli kariah. Sahutlah seruan muazin ketika azan dikumandangkan … “Hayya a’lal Solah, Hayya a’lal Falah” (mari menunaikan solat, mari menuju kejayaan)… Kunjungilah masjid khususnya apabila masuk waktu solat fardhu.

5. Hadis ini mengajarkan bahawa melazimi ke masjid pagi dan petang merupakan tanda keimanan, dan Allah menjanjikan tempat istimewa di syurga bagi mereka yang istiqamah dalam amalan ini. Ia menanam nilai cinta kepada rumah Allah, disiplin dalam ibadah, dan keikhlasan dalam mencari keredhaan-Nya.

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1447
Membangun Ummah Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

04hb Muharam 1447H
30hb Jun 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. (HR Bukhari No: 12) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Ukhuwah sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2. Kesempurnaan iman seseorang dibuktikan dengan sifat berkasih sayang sesama saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri.

3. Mengikut Sarjana Muslim, maksud kasih sayang adalah:

a. Sifat memberikan manfaat kepada orang lain

b. Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang lain atau menjauhkannya daripada bencana.

4. Sebelum peristiwa Hijrah, Rasulullah SAW telah mengislamkan beberapa orang pimpinan kaum Aus dan Khazraj dan mereka telah dipersaudarakan yang sebelum ini puluhan tahun sering berperang dan bermusuhan tanpa henti. Tiada lagi permusuhan antara mereka, bahkan mereka saling berkasih sayang, bantu membantu antara satu sama lain. Apabila berlaku peristiwa hijrah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan pula golongan Muhajirin dan Ansar.

5. Langkah strategik Rasulullah SAW mempersaudarakan ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan penduduk Madinah kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang digeruni dan dihormati oleh kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi.

6. Marilah kita menjadikan peringatan peristiwa hijrah ini dengan menyemarakkan ikatan saling berkasih sayang. Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama.

7. Kesempurnaan iman bukan hanya diukur melalui ibadah khusus kita sahaja, tetapi sejauh mana seseorang itu mampu menyayangi dan menginginkan kebaikan untuk orang lain sebagaimana untuk dirinya sendiri.

JOM sempena Maal Hijrah 1447 ini kita sempurnakan iman dengan saling berkasih sayang dan berukhuwah untuk mewujudkan Negara Malaysia yang cemerlang dan diampuni Allah.

Membangun Ummah Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

05hb Muharam 1447H
01hb Julai 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Asyura

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ

Daripada Ibnu Abbas RA, beliau mengatakan: “Saya tidak pernah melihat Nabi SAW memilih satu hari untuk puasa yang lebih baginda utamakan dari pada yang lainnya kecuali puasa hari Asyura, dan puasa bulan Ramadan.” (HR Bukhari No: 1867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara ibadat puasa yang menjadi keutamaan kepada Rasulullah SAW untuk kita contohi selain puasa dibulan Ramadan ialah puasa pada hari Asyura (10hb Muharam)

2. Puasa Asyura ganjarannya dapat menghapuskan segala dosa setahun yang lalu (Imam Nawawi kata diampunkan segala dosa kecil). Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA, beliau mengatakan:

سئل عن صوم يوم عاشوراء فقال كفارة سنة

Nabi SAW ditanya tentang puasa Asyura, Baginda menjawab: “Puasa Asyura menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu.” (HR. Muslim No: 1976). Status: Hadis Sahih

Rebutlah peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura pada 6hb Julai ini. Semoga amalan berpuasa sunat Asyura akan menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu. Jadilah Muslim yang memiliki jati diri yang kukuh, bersih dari dosa dan maksiat. Kita perlu melahirkan warganegara yang merdeka daripada dosa, dan dalam masa yang sama memiliki peribadi yang utuh untuk membangunkan Negara yang Sejahtera.

Membangun Ummah Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

06hb Muharam 1447H
02hb Julai 2025
 
Back
Top
Log in Register