Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,772
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,772
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Komuniti Semakin Menua, Pelancongan Warisan Berpotensi Pacu Ekonomi Setempat Di Kampung Cina
Suasana di sebuah kedai runcit milik Ma Suat Ngo (empat, kanan) yang riuh apabila dikunjungi rakan-rakannya di Kampung Cina.
Deretan rumah kedai lama yang menjadi identiti Kampung Cina di sini semakin sepi apabila majoriti penduduk di situ terdiri daripada warga emas susulan penghijrahan generasi muda untuk mencari peluang pekerjaan lebih baik.
Walaupun berhadapan fenomena penuaan komuniti, kawasan warisan berusia lebih 300 tahun itu masih berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan warisan yang mampu menghidupkan semula ekonomi setempat.
Wakil komuniti Kampung Cina yang juga penyelidik Lorenz Law, 65, berkata Kampung Cina dipercayai didiami masyarakat Cina sejak abad ke-17 apabila golongan perantau dari wilayah Hokkien di selatan China mencari kehidupan baharu.
Pada peringkat awal, Law berkata masyarakat Cina membina penempatan awal di Bukit Datu, Manir, Pulau Bahagia, Telemong, Kampung Tiruk, Wakaf Tapai sehingga Kuala Berang.
“Memasuki abad ke-18, Kampung Cina mula berkembang sebagai pusat perdagangan penting hasil kehadiran pedagang dari pelbagai negara termasuk India, China, Vietnam dan Thailand,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Law berkata Kampung Cina terkenal dengan deretan rumah kedai dua tingkat bercirikan vernakular Cina yang dibina seawal abad ke-19 dengan sebahagian besar bangunan masih mengekalkan struktur kayu, pintu lama dan jubin asal.
Kawasan itu juga dikenali menerusi identiti masyarakat Cina Peranakan yang mengekalkan penggunaan loghat Terengganu dan mengamalkan budaya tempatan dalam kehidupan harian dengan jumlah penduduk di situ kini dianggarkan kira-kira 1,500 orang, dengan bilangan warga emas lebih 70 tahun semakin berkurangan.
“Di Jalan Kampung Cina sahaja, warga emas berusia lebih 70 tahun mungkin kira-kira 20 orang dan jika termasuk kawasan sekitar seperti Kampung Tiong jumlahnya mungkin 50 orang. Jika ini berterusan, kawasan ini mungkin menjadi semakin sepi dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.
Law berkata generasi muda berusaha menghidupkan semula kawasan itu menerusi pembukaan hotel dan pelbagai premis perniagaan pada 2010, selain usaha pemuliharaan juga dilakukan pada 2004 seperti mengecat semula bangunan serta menaik taraf infrastruktur termasuk membina laluan pejalan kaki konkrit satu kilometer pada 2005.