BTC USD 81,377.8 Gold USD 4,165.56
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KOMPILASI Renungan Jumaat

Kita Bukan Lemah

flower_zps60826eb6.jpg


Buta lagi miskin. Jauh dia berjalan menempuh laluan berliku yang tidak dapat dilihat pun oleh matanya. Bersungguh dan gagah kakinya melangkah ke teratak ilmu Nabi Muhammad S.A.W untuk bertemu baginda. Niat dihatinya ingin menuntut ilmu tentang Islam.

Namun, baginda begitu khusyuk melayani pembesar Quraisy yang ingin mendalami Islam sehingga tidak mengendahkan kehadirannya di majlis tersebut. Malah, ketika terlihat kelibat Abdullah, Rasulullah S.A.W menarik muka masam dan berpaling daripadanya. Kecacatan Abdullah membuatkan Rasulullah S.A.W tidak yakin akan kemampuannya. Merasa dirinya tersisih, dia mundur. Sedih kerana langsung tidak diendahkan oleh Rasulullah S.A.W.

Elak Pandang Rendah

Maka turunlah firman Allah yang menegur tegas sikap Rasulullah yang tidak mengendahkan seseorang yang kurang upaya seperti Abdullah, yang disebut dalam kitab Allah yang Agung:

“Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling, kerana seorang buta telah datang kepadanya. Dan tahukah engkau (Muhammad) barangkali dia ingin menyucikan dirinya (daripada dosa), atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, yang bermanfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup (pembesar-pembesar Quraisy), maka engkau (Muhammad) memberi perhatian kepadanya, padahal tidak ada (cela) atasmu kalau dia tidak menyucikan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran), sedang dia takut (kepada Allah), engkau (Muhammad) malah mengabaikannya. Sekali-kali jangan (begitu)! Sungguh (ajaran-ajaran Allah) itu suatu peringatan”. (‘Abasa: 1-11)

Sejak mendapat teguran ini, Rasulullah sedar akan kesilapannya dan mula melayani dan memenuhi segala keperluan Abdullah setiap kali dia bertandang.

Kekurangan yang kita miliki kadang-kala membuatkan kita tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri dan terasa kita seolah-olah disisihkan oleh masyarakat. Tanpa mencuba kita terus membuat spekulasi bahawa kita seorang yang lemah. Pernahkah anda merasakan diri anda seorang yang lemah? Semestinya. Anda akan mengalami perasaan ini jika anda seorang manusia yang normal.

Sedih Bukan Sebab Untuk Menjadi Lemah

Saya juga pernah merasakan yang demikian disaat saya kecewa dan sedih. Tetapi itu bukan alasan untuk saya menjadi lemah, malah itulah punca saya menjadi lebih kuat untuk menghadapi dugaan-dugaan mendatang. Allah menciptakan kita dengan kekuatan dan kelemahan kita masing-masing. Disaat Allah memberikan kita kelemahan, disitulah Allah sisipkan kekuatan. Kita cuma perlu berusaha untuk mencari kekuatan itu. Ada. Saya pasti ia ada dalam setiap seorang yang bergelar manusia.

Tatkala kita merasa sedih, jangan takut. Merasa sedih itu biasa. Jika ada manusia yang tidak pernah merasa sedih, maka dia bukan manusia. Sedangkan Rasulullah S.A.W juga pernah merasa sedih yang amat ketika kehilangan datuk dan isteri kesayangannya. Baginda juga pernah berasa tidak mampu menanggung beban sehingga pergi memencilkan diri buat sementara waktu semata-mata untuk mengembalikan keyakinan hidup baginda. Inikan kita cuma insan biasa, yang tidak pun maksum, malah sering kali bergelumang dengan dosa, merasa sedih itu patut ada dalam diri kita.

Betul. Sedih dan merasa lemah adalah dua perkara yang berbeza tetapi mereka amat berkait antara satu sama lain. Kerana kita merasa kecewa, kita akan bersedih. Bersedih terlalu lama dan enggan bangun dari kekecewaan yang kita alami, maka kita akan menjadi lemah. Lemah di sini merujuk kepada perasaan yang tidak yakin terhadap kemampuan diri sendiri. Kita sering kali merasa rendah diri dan merasa diri kita kurang daripada orang lain.

Kita merasakan kita tidak mampu menjadi manusia yang dapat menandingi manusia yang lain. Tidak. Manusia lain juga tidak hebat. Mereka tidak lahir dan terus menjadi hebat. Mereka berusaha untuk menjadi hebat. Jadi kenapa kita harus berfikir kita lemah dari manusia lain? Mereka juga manusia seperti kita, mempunyai kebolehan berfikir dan berdikari yang sama untuk memajukan taraf hidup masing-masing.

Pasti banyak perkara yang terjadi dalam hidup ini membuat kita bersedih dan kecewa. Satu perkara yang kita tahu sejak azali lagi, bersedih bukan bermakna kita lemah. Titisnya setiap airmata bukan bermaksud kita lemah. Allah jadikan setiap airmata itu dengan seribu satu kekuatan dan hikmah yang besar. Jadi jangan sesekali kita menangis untuk benda yang sia-sia.

Kita hidup bukan untuk mengejar kesempurnaan hidup. Kita hidup untuk menyempurnakan aspek kehidupan kita di akhirat kelak. Duit yang banyak dan syarikat yang berjaya bukan matlamat kita. Kenapa kita harus bersedih atas kehilangan benda-benda sebegitu?
Sering kali terdengar ungkapan ini sama ada di kaca televisyen atau dunia realiti “Saya hanya manusia biasa yang lemah, tidak mampu berbuat apa-apa selain pasrah dengan setiap ketentuan Allah.” Salah! Sangat salah untuk kita berpegang pada kata-kata ini.

Pasrah vs Redha

Pasrah itu berbeza dengan redha. Selagi anda berusaha, anda tidak lemah. Selagi anda berharap pada Allah dan berdoa kepada-Nya, anda tidak lemah. Allah memberikan kita kekuatan untuk bertahan di muka bumi ini, kenapa kita harus mengiktiraf diri kita lemah? Orang yang kuat mentalnya tidak akan sesekali mengiktiraf dirinya lemah dan mengaku kalah pada masalah yang dihadapinya.
Ingatkah anda pada kalamullah yang disebut dalam kitab-Nya yang agung yang bermaksud :

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. (Al-Baqarah: 286)

Allah menghadiahkan musibah ke atas hamba-Nya sebagai tanda sayang, kerana Dia tahu hamba-Nya mampu untuk menyelesaikan setiap musibah yang diberikan. Setiap masalah yang ada di muka bumi ini ada jalan penyelesaiannya, jika kita manusia berusaha mencari solusinya. Jika kita enggan menerima musibah daripada Allah, siapakah kita ini? Sedangkan nabi-nabi Allah, termasuk kekasih Allah Nabi Muhammad S.A.W juga menerima musibah yang hebat semasa hayat mereka. Dan mereka menerimanya dengan hati yang terbuka dan menganggapnya sebagai satu nikmat kehidupan.

Mungkin ada yang berfikir mereka itu nabi, kita ini cuma manusia biasa, mereka tidak sama dengan kita. Pemikiran itu salah sama sekali. Para nabi bukan malaikat. Para nabi juga manusia. Sama diciptakan dari tanah seperti kita yang hidup pada tahun 2013 ini dan tahun-tahun sebelumnya. Yang membezakan kita dengan para nabi ialah mukjizat. Mereka manusia terpilih di sisi Allah.

Kita seharusnya bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang Muslim dan merupakan pengikut kepada kekasih Allah yang mulia. Kita mempunyai seorang idol yang cukup tabah ketika hayat baginda S.A.W. Adalah sangat tidak wajar untuk merasa lemah terhadap diri sendiri jika mempunyai seorang pemimpin yang berwibawa seperti baginda. Kita umatnya dan kita harus mengikut setiap apa yang diajarkan kepada kita.

Merasa lemah bukanlah sesuatu yang ditegah. Dengan merasa lemah, kita tahu di mana taraf kita sebagai manusia di muka bumi ini. Namun, ada sesetengah perkara yang perlu kita titikberatkan untuk sentiasa maju dan tabah dalam kehiduan seharian kita. Ada manusia yang menanggap dirinya sudah tabah dan enggan menitiskan airmata lagi akibat kecewa dengan peristiwa lampau.

Satu contoh yang mana kita harus membuka mata, dengan kelemahan kitalah kita boleh menjadi kuat. Kita merupakan hamba Allah yang paling bertuah di muka bumi ini selagi mana kita ditimpa masalah. Berhenti merasakan diri kita lemah, cuma kita perlu tahu yang kita ada kelemahan dan kelemahan itu adalah sesuatu yang kita boleh atasi dengan usaha dan tawakkal.


iluvislam.com
 
Ujian & Dugaan, Tanda Allah Sayang

ujian_zpsb87258e3.jpg


"Ya Allah kenapa engkau timpakan ujian ini terhadapku" aku tidak kuat ya Allah dalam menghadapinya...itulah ungkapan yg sering diucapkan kepada seorang hamba Allah yg lemah ini. Tetapi ingatlah bahawa setiap ujian yg diturunkan kepada kita pasti ada hikmahnya..mungkin kekadang kita merasakan yg kita sudah berbuat yg terbaik tetapi tetap diuji..Allah akan menguji setiap hambanya yg beriman...

Setiap org menghadapi ujian yg berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya..." la yukallifullahu nafsan illa wus'aha". itulah ayat yg dirakamkan Allah di dalam Al-Quran. Tidak dikatakan beriman seseorang itu selagi dia tidak diuji..Oleh itu, sbagai hamba Allah yg beriman mmg akan selalu diuji..Ujian yg Allah turunkan kepada kita semua adalah satu peringatan kpd kita supaya kembali semula mengingati Allah yang maha agong..Jangan sesekali bermegah-megah, riak ataupun nampak alim di sisi manusia tetapi hina di sisi Allah...nauzubillahi min zalik..ya Allah jauhkanlah aku dari semua itu..tetapkanlah hatiku ini dengan keimanan yg teguh terhadapmu.."Wahai tuhan yg membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami pada agamamu dan ketaatan kepadamu.." Amin..

Di dalam al-Quran, ujian dan dugaan disebut oleh Allah sebagai البلاء (bala’) serta الفتنة (fitnah). Menurut kamus المحيط (al-Muhit), kedua-duanya berkongsi maksud yang sama. [Al-Muhit, Kaherah, Mesir. http://lexicons.sakhr.com/intro/intro.aspx?fileurl=takdeem.asp]

Menjalani liku-liku hidup sebagai seorang manusia, kita tidak akan dapat lari daripada diuji oleh Allah Azza wa Jalla. Ujian yang mendatang selalunya menjadikan diri kita lebih tegar dan kuat. Masakan tidak. Ujian mengajar seseorang untuk jadi lebih lasak dalam menggalas setiap bebanan kehidupan.

Menurut Ibn Manzur dalam Lisanu al-‘Arb, bala’ itu adalah ujian yang terdiri daripada yang baik juga yang buruk. Seperti mana yang diberitakan pada surah al-Anbiyaa’ iaitu;


ونبلوكم بالشر والخير فتنة وإلينا ترجعون

Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan. [Al-Anbiyaa’: 35]

Al-Hafiz Ibn Katsir dalam memberikan penerangan terhadap ayat ini menyatakan bahawa Allah menguji hambanya dengan musibah pada satu waktu, dan kemudian dengan nikmat pada waktu yang lain, untuk melihat siapa yang bersyukur dan siapa yang kufur, siapa pula yang sabar, dan siapa yang putus harap.

Dan al-Hafiz ada menukilkan kata-kata Ibnu ‘Abbas dalam menafsirkan ayat ini, bahawa Allah menguji hambanya dengan kecelakaan dan kesenangan, dengan kesihatan dan kesakitan, dengan kemewahan serta kemiskinan, dengan perkara yang halal dan apa yang haram, dengan ketaatan dan kemaksiatan, serta dengan hidayah dan kesesatan. [Tafsir al-Quran al-‘Adzim, Ibn Katsir, Abu al-Fida’.

Ujian yang berbeza untuk mengukur keimanan

Berdasarkan tafsiran Ibnu ‘Abbas tersebut, dapat kita ketahui bahawa pada setiap orang, berbeza tahap ujian yang dikenakan ke atasnya. Ini adalah selari dengan ayat pada surah al-Baqarah apabila Allah menyatakan;

لا يكلف الله نفسا إلا وسعها

Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya.
( QS. Al-Baqarah: 286)


Dari ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya. Dan setiap orang pula berbeza tahap tanggungannya dan penerimaan mereka terhadap ujian serta dugaan.

Ujian yang diberikan juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba. Ini telah dibuktikan secara jelas berdasarkan ayat 2-3 surah al’-Ankabut;


أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون. ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta.
(QS. al-Ankabut: 2-3)


Ganjaran menanti bagi yang diuji

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menyifatan bahawa ujian yang diberikan kepada kaum manusia adalah tanda kecintaan Allah kepada mereka. Dan semakin besar dugaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia, menandakan besar juga pahala yang diperoleh. Ini sebagaimana hadith yang datang dari Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wassalam bersabda;

إن عظم الجزاء مع عظم البلاء ، وإن الله تعالى إذا أحب قوما ابتلاهم ، فمن رضي فله الرضا ، ومن سخط فله السخط

Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. [Riwayat al-Tirmidzi, al-Albani menyatakannya sebagai hasan dalam Sahih dan Dha’if Sunan al-Tirmidzi.]

Jelas bahawa ujian yang diberikan adalah untuk menguji keimanan seorang manusia. Jika dia beriman, maka dia akan menerimanya dengan keredhaan. Dan padanya rahmat Allah Azza wa Jalla serta keredhaan-Nya. Namun bagi manusia yang lalai serta tidak meredhai ujian yang diberikan ke atasnya. Maka dia sekadar mendapat kemurkaan daripada Allah.

Hadith di atas termasuk dalam bab Sabar (الصبر) oleh Imam al-Nawawi dalam karya beliau dalam bidang hadith; iaitu Riyadh al-Salihin. Di sini dapat dijelaskan bahawa, bagi orang-orang yang beriman dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala adalah bersabar dengan segala dugaan serta mehnah yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Jelas juga, daripada hadith tersebut bahawa semakin besar dugaan yang diperoleh oleh seorang manusia, maka semakin besar ganjara pahala yang akan dia dapati.
Dalam ayat ke-214 surah al-Baqarah, ada dinyatakan bahawa orang yang diuji itu akan mendapat pertolongan daripada Allah serta akan diganjari dengan syurga;


أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأساء والضراء وزلزلوا حتى يقول الرسول والذين آمنوا معه متى نصر الله ألا إن نصر الله قريب

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (QS. Al-Baqarah: 214)

Bentuk-bentuk ujian yang diberikan

Di dalam al-Quran, ada disebutkan ujian-ujian yang diberikan oleh Allah kepada kaum manusia hambanya. Antaranya adalah;

1. Dugaan yang diberikan kepada kaum Nabi Musa dan Harun adalah dengan anak lembu, yang mana mereka jadikan sembahan. (al-A’raf: 148, Thohaa: 90)
2. Unta betina sebagai ujian buat kaum Tsamud (al-Qamar: 27)
3. Bangunan-bangunan tinggi (yang mewah) buat kaum ‘Ad (al-Fajr: 7-8)
4. Dugaan yang diberikan ke atas pemilik kebun-kebun dari kalangan kaum Musyrik dengan kebakaran. (al-Qalam: 17)
5. Ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa serta buah-buahan. (al-Baqarah: 155)
6. Anak-anak serta harta benda sebagai dugaan. (al-Taghabun: 15)
7. Jihad sebagai ujian bagi orang yang beriman (al-‘Ankabut: 6)
8. Nikmat duniawi sebagai ujian buat para manusia. (al-Zumar: 49)
9. Kekayaan dan kemiskinan sebagai ujian. (al-Fajr: 15-16)
10. Kehidupan serta kematian sebagai ujian. (al-Mulk: 2)

Nabi Allah juga diuji

Para Nabi juga diuji. Dan ujian yang dikenakan kepada para Nabi adalah lebih berat berbanding manusia biasa. Hal ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam;

إن أشد الناس بلاء الانبياء ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم

“Sesungguhnya, manusia yang menerima ujian yang paling berat adalah para Nabi, kemudian orang yang mengikuti mereka, kemudian orang yang mengikuti mereka, dan kemudian orang yang mengikuti mereka.” [al-Silsilah al-Sahihah, al-Albani]

1. Nabi Adam diuji dengan pohon yang terdapat dalam Syurga Allah. (al-Baqarah: 34)
2. Nabi Nuh menghadapi ujian dari anak yang tidak mahu taat kepada Allah. (Huud: 11)
3. Nabi Soleh menerima ujian melalui kaum Tsamud. (al-A’raf:73)
4. Nabi Ibrahim adalah antara Rasul Allah yang menerima banyak ujian, antaranya, penyembelihan anaknya Ismail. (as-Saffat: 102)
5. Nabi Luth diuji dengan kaumnya, (al-A’raf: 80)
6. Nabi Yusuf diuji dengan wanita (Yusuf: 23)
7. Nabi Musa diuji dengan Fira’un yang angkuh. (Thoha: 59-60)
8. Nabi Sulaiman diuji dengan kerajaan yang besar dan mewah. (Sad: 35)
9. Nabi Isa diuji dengan pengikut-pengikutnya. (al-Ma’idah: 112-113)
10. Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga Rasul yang dikenakan dengan banyak, antaranya diuji dengan bapa saudaranya, Abu Talib. (al-Qasas: 56)


Bala’ dalam konteks semasa

Mehnah dan tribulasi dalam konteks kehidupan hari ini dapat dilihat di sekeliling kita. Bahawa setiap orang akan diuji dan tiada yang akan terlepas daripada ujian Allah. Perkara yang ringan pada seorang, adalah berat pada satu orang yang lain pula. Dan cara kita berinteraksi dengan dugaan yang mendatang adalah manifestasi keimanan kita kepada Allah. Pada kaca mata orang yang miskin, ujian buatnya adalah dengan kemiskinan. Namun buat orang yang kaya pula, kekayaannya menjadi ujian buat dirinya.

Manusia juga diuji dengan anak-anak. Ada orang yang mendapat anak yang cacat, menjadi dugaan kepada mereka. Ada orang yang mendapat anak yang tenggelam dalam jenayah. Juga menjadi ujian buat dirinya. Ada orang pula mendapat anak yang baik serta bijak. Namun itu juga boleh jadi dugaan buat dirinya.


Lain orang, lain kesusahan yang tertanggung.

Ada orang yang diberikan dengan kesakitan. Sebagai satu peringatan samada dia ingat serta beriman kepada Allah atau tidak. Ada orang pula diuji dengan kesihatan, yang mana jika dia lalai sewaktu sihatnya. Maka itu akan jadi liabiliti padanya. Ada orang diuji dengan kehidupan. Ada orang diuji dengan kematian yang terdekat.

Pendek kata, setiap orang akan, telah, atau mungkin sedang diuji. Namun dengan cara yang berbeza, dengan perasaan yang berlainan. Inilah kebijaksanaan Allah Azza wa Jalla yang menjadikan sesuatu pada takaran yang tersendiri.


Sabar sebagai pelampung bagi orang yang beriman

Orang yang beriman, telah diperingatkan oleh Allah Azza wa Jalla supaya bersabar dalam menghadapi masalah. Telah datang petunjuk buat orang beriman apabila diuji;

يا أيها الذين آمنوا اصبروا وصابروا ورابطوا واتقوا الله لعلكم تفلحون

Hai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersedia dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung. [Ali Imran: 200]
Menurut al-Baghawi, al-Qurtubi menafsirkan arahan supaya bersabar itu adalah merujuk kepada; bersabar di atas ketaatan kepada Allah.


Kesabaran mesti dijana dengan ketaatan sebagai dasar untuk mengelakkan goyah iman serta berputus asa. Bahkan, kerana ketaatan jugalah, manusia akan menjadi redha atas ujian yang berlaku.

Sabar itu juga adalah sunnah para Nabi dan Rasul. Ini jelas sebagaimana dikhabarkan oleh Allah;


وإسماعيل وإدريس وذا الكفل كل من الصابرين

Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta ZulKifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar. [Al-Anbiya’: 85]
Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam menyatakan bahawa Allah menyukai orang yang bersabar. Ini adalah sebagaimana yang datang di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas;


قال رسول الله صلى الله عليه و سلم للأشج أشج عبدالقيس إن فيك خصلتين يحبهما الله الحلم والأناة

Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam berkata kepada al-A-syaj Abdul Qays; “Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua perkara yang dicintai oleh Allah, iaitu kesabaran serta lemah lembut.” [Riwayat Muslim]

Kaedah Bersabar

Rasulullah melalui satu hadith mengisyaratkan bersabar itu perlulah pada awal kejadian atau pada kejadian yang pertama.

الصبر عند الصدمة الأولى

Bersabar itu adalah pada pukulan yang pertama. [Riwayat Muslim]

Jika dilihat pada sudut logik akal, manusia ini diukur pada peringkat yang awal. Peringkat pertama adalah yang paling penting dalam menghadapi sesuatu hal. Seandainya dia tidak mampu bertahan pada ujian yang awal. Nescaya, pada yang seterusnya dia mungkin saja rebah. Jadi, di sini, bilamana dikenakan ujian, maka penting sekali untuk kita membina ketahanan diri. Bukan atas faktor ‘alah bisa tegal biasa’, akan tetapi, apabila seorang manusia sudah mempunyai pengalaman pada yang awal tentu sekali dia sudah mula bersedia dan menjadi lebih rasional dalam menghadapi ujian lain yang sama takaran dengannya.

Kesimpulan

Maka bersabarlah. Bersabarlah dalam menghadapi dugaan dan ujian daripada Allah dengan mencontohi sikap para Nabi. Dan ketahuilah, bahawa untuk setiap ujian yang diberikan oleh Allah pasti aka nada perkara yang lebih baik menanti.

Maka, jadikanlah, atsar dari ‘Umar al-Khattab ini sebagai panduan.

Umar berkata, “Alangkah baiknya mendapat separuh beban pada dua sisi binatang tunggangan. Alangkah baiknya apa yang ada di antara beban dua sisi itu, “iaitu, orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Sesungguhnya kami kepunyaan Allah, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Nya.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah: 156-157). Juga firman-Nya, “Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu.” (al-Baqarah: 45) [Riwayat al-Bukhari, http://opi.110mb.com/haditsweb/bukhari/b23_kitab_jenazah.htm]

Wajib untuk kita bersabar, dan selain itu, untuk bersyukur kepada Allah Azza wa Jalla. Kerana orang yang diberikan musibah, atau ujian, pasti akan mendapat ganjaran dari Allah Azza wa Jalla, sebagaimana hadith yang datang pada awal tadi.
Dan bersabarlah! Kerana Allah bersama-sama orang yang sabar!

يا أيها الذين آمنوا استعينوا بالصبر والصلاة إن الله مع الصابرين

Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar. [al-Baqarah: 153]



nurmujahiddahsolehah.blogspot.com
 
Maaf

cat_zpsd032175f.jpg


Syaitan akan sentiasa menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam diri setiap manusia. Pertembungan dua unsur iaitu pemaaf dan nafsu kemarahan merupakan dua perkara yang saling ingin menguasai menyebabkan memberi/memohon maaf itu amat berat dilakukan.

Antara kisah yang paling masyhur mengenai sifat pemaaf ialah kisah Nabi kita, Nabi Muhammad SAW yang telah diracun seorang perempuan Yahudi dengan meletakkan racun itu kepada daging kambing panggang yang amat digemari Baginda. Walaupun sahabat Baginda, Bisyir bin Barra meninggal dunia selepas memakan daging kambing diberikan perempuan Yahudi itu, Rasulullah tetap memaafkan kesalahannya. Malah Baginda berdoa kepada Allah SWT supaya diberi petunjuk dan hidayah hingga akhirnya perempuan Yahudi itu memeluk agama Islam.

Biarpun kita hanya insan kerdil, tapi kita yakin semua kita adalah berjiwa besar. Jom kita sama-sama mencontohi Nabi Agung kita, Nabi Muhammad SAW.



Jadikan Maaf Sebahagian Daripada Diri Kita
Jaga Diri, Hiasi Peribadi. Wassalam



Myblogsantai.blogspot.com
 
Peristiwa Penting Pada Bulan Muharram

maalhijrah_zpsc4486f2a.jpg



Muharram merupakan bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Hijrah Rasulallah dari Mekah ke Yathrib kiraan bulan dibuat mengikut tahun masihi. Hijrah Rasulullah telah memberi kesan besar kepada Islam samada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharram membawa maksud “diharamkan” atau “dipantang” iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Mekah. (Al Baqarah 91).Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan tersebut.



Peristiwa-peristiwa penting bulan Muharram:

1. 1 Muharram – Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
2. 10 Muharram – Dinamakan juga hari “Asyura” pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah dari menegakkan keadilah dan kebenaran.


Pada 10 Muharram juga telah berlaku:

1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama 6 bulan
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar
13. Hari pertama Allah menciptakan alam
14. Hari Pertama Alllah menurunkan rahmat
15. Hari pertama Allah menurnkan hujan
16. Allah menjadikan ‘Arasy
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz
18. Allah menjadikan alam
19. Allah menjadikan Malaikat Jibril
20. Nabi Isa diangkat ke langit


aura-hikmah.blogspot.com
 
Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Marah itu sebenarnya ialah secebis api yang bersumber dari api Allah yang bernyala-nyala, yang panasnya naik ke pangkal hati, dan api itu bersemadi pula di dalam lubuk hati hingga berbara, kemudian diselaputi oleh abunya. Daripadanya terpancar sifat congkak yang terpendam di dalam hati setiap orang yang sombong dan bongkak, seperti terpancarnya api dari batu yang bergesek dengan besi.

Orang yang melihat dengan nurul-yaqin (cahaya keyakinan) dapat menyingkap, bahawa dari manusia itu telah ditarik sepotong urat, berkontek dengan syaitan yang terkutuk, apabila api kemarahannya mula berkobar-kobar, maka kontek itu menjadi kukuh, sebagaimana pernah diucapkan oleh syaitan sendiri dan diceritakan oleh al-Quran:

“Engkau (tuhan) telah menciptakan aku dari api, dan engkau ciptakan ia (manusia) dari tanah.” (al-A’raf: 12)

Bukankah sifat tanah itu sentiasa bertenang dan tetap manakala sifat api pula bernyala-nyala, menyerang, berkobar-kobar dan bergejolak.

Kemudian timbul dari sifat marah itu perasaan-perasaan yang lain; iaitu dendam, hasad dan dengki, dan menerusi sifat-sifat inilah telah banyak orang yang binasa dan banyak juga orang yang rosak. Pokok segala kebinasaan dan kerosakan itu, bersebab dari segumpal daging (hati), jika daging itu dijaga dengan baik, baik pulalah seluruh tubuh.

Jika sekiranya kita telah mengetahui, bahawa sifat-sifat dendam, dengki dan marah itu di antara sifat-sifat yang menarik manusia kepada sebab-sebab kemusnahan dan kecelakaan, maka alangkah perlunya manusia itu untuk mengetahui sebab-sebab pendorongnya atau punca-punca perosaknya, agar ia dapat menghindarkan diri daripada bahaya-bahaya itu, dan agar ia dapat berhati-hati dan menjauhkannya dari hati dengan seberapa yang boleh.


Kecelaan sifat marah

Allah s.w.t berfirman:

“Perhatikanlah ketika Allah menimbulkan dalam hati orang-orang yang tidak beriman kepadaNya itu, perasaan sombong; iaitu sifat sombong zaman jahiliah, lalu Allah menurunkan pula ketenananganNya ke atasa RasulNya dan ke atas kaum Mu’minin.” (al-Fath: 26)

Ayat ini telah mencela kaum Musyrikin atau orang-orang yang tidak beriman dengan Allah Ta’ala, disebabkan mereka telah melahirkan perasaan sombong yang timbul dari sebab marah terhadap yang hak dan membela yang batil. Begitu pula ia telah memuji juga kaum Mu’minin, atau orang-orang yang beriman dengan Allah s.w.t., disebabkan sikap mereka yang menerima yang hak, lalu diturunkan ke atas mereka perasaan tenang.

Diriwayatkan ada seorang telah mendatangi Rasulullah s.a.w. sambil memohon supaya baginda mewasiatkan sesuatu wasiat yang pendek dan sedikit saja. Maka baginda bersabda kepadanya: Jangan marah! Diulangi permintaannya lagi maka bagina sekali lagi: Jangan marah!

Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat: Apakah yang kamu dapat fahamkan tentang maksud bergelut? Kata para sahabat: Penggusti yang tidak dapat ditumbangkan dalam pergelutannya.

Sabda baginda; Bukan itu yang aku maksudkan. Tetapi orang yang bergelut itu ialah orang yang dapat menahan dirinya, ketika dalam kemuncak kemarahannya.

Berkata Ja’far r.a.: "Kemarahan itu kunci segala kecelakaan."

Setengah para sahabat berkata; Pokok dan pangkal sifat ***** itu, ialah degil dan pemimpinnya ialah marah.

Barangsiapa yang meredhakan dirinya dengan kejahilan, tidaklah perlu lagi baginya sifat toleransi. Toleransi adalah sifat yang baik dan banyak mendatangkan manfaat. Sedang kejahilan pula adalah sifat yang buruk dan mendatangkan banyak mudharat. Berdiam diri atau tidak melayani pertanyaan seorang yang ***** adalah jawabnya.

Berkata al-Hasan pula: Di antara tanda-tanda seorang Muslim yang sejati, ialah teguh agama, lemah-lembut kelakuan, penuh iman dan yakin, berilmu pengetahuan dan bertoleransi, pandai menjaga kepentingan dan berbelas kasihan, selalu memberi dengan hak, tidak boros meskipun kaya, murah hati meskipun miskin, berbuat baik walaupun berkuasa, menanggung jerih-perih bersama kawan-kawan, bersabar walaupun susah, tiada dikuasai oleh kemarahan, tiada selalu menurutkan perasaan, tiada dipengaruhi oleh syahwat dan nafsu, tiada dimalukan oleh kebatinan, tiada mementingkan keinginan, tiada terhad niat baik, sering menolong orang yang teraniaya, mengasihani orang yang lemah, tidak kikir dan tidak boros, tidak berbelanja berlebihan-lebihan dan tidak mengenggam tangan, bersedia mengamuni orang yang menganiayai, suka memaafkan oarng *****, biarlah dirinya berada di dalam kepayahan asalkan semua orang berada di dalam kesenangan.
Tingkatkan manusia ketika marah

Ketahuilah bahawasanya keganasan marah itu berpunca dari hati. Maknanya darah yang berada di dalam hati sedang menggelegak, lalu darah itu pun mengalir ke dalam urat-urat badan, dan terus memuncak tinggi ke anggota badan yang teratas sekali, sebagaimana api dan air memuncak tinggi ketika makanan mendidih di dalam periuk. Oleh kerana itu bila marah mula memuncak kelihatanlah darah manusia itu menyerap ke muka, sehingga wajah dan mata menjadi merah padam, dan kulit pula kerana kejernihannya, dapat menampakkan warna air yang di dalamnya.

Manusia dalam menghadapi keganasan marah terbahagi kepada tiga bahagian:

ketiadaan sifat marah
keterlampauan sifat marah
pertengahan antara marah dan tidak marah

Ketiadaan sifat marah

Orang yang tiada bersifat pemarah, ataupun yang lemah sifat kemarahannya itu tercela. Itulah orang yang dikatakan tidak mempunyai sifat cemburu pada diri Allah s.w.t. telah mensifatkan para sahabat Nabi s.a.w. dengan terkadang-kadang bersifat keras dan berperasaan cemburu atas diri seperti firman Allah ta’ala:

“Mereka itu bersikap keras terhadap orang-orang kafir.”

Allah telah berfirman ke atas NabiNya s.a.w.:

“Perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka.” (at-Tahrim:9)

Yang dikatakan bersikap keras dan tegas itu adalah bersumber dari adanya tanda-tanda kekuatan cemburu dalam diri, iaitu yang menyebabkan sifat marah.

Keterlampauan sifat marah

Yang dikatakan keterlampauan dalam marah itu, ialah bila sifat marah itu tidak dapat dikuasai lagi, sehingga ia terkeluar dari batas pertimbangan akal dan agama dan kepatuhannya. Orang yang bersikap seperti itu, tentulah tidak lagi mempunyai bashirah atau matahati yang dipandang dengannya, atau pemikiran untuk menimbang dengan akalnya dan ia tidak pilihan lagi, melainkan seperti seorang yang terpaksa saja.

Di antara tanda-tanda marah pada lahirnya ialah berubah warna kulit, menggeletar kaki tangan, kelakuan tidak menurut ketertiban dan ketentuan yang biasa, gerak-geri tidak menentu arah lagi, percakapan bercampur suara marah keluar dari rahangnya, mata merah padam, lubang hidung kembang kuncup, batang tubuh berupah rupa. Andaikata si pemarah ketika sedang marah dapat mengesan betapa buruk sifatnya pada masa itu, nescaya ia akan melenyapkan kemarahannya serta-merta, kerana sangat malu melihat keburukan sifatnya dan perubahan bentuk dan rupanya pada ketika itu. Ini hanya pada sifat lahiriahnya saja, dan sifat batinya tentulah lebih buruk lagi dari sifat lahirnya, kerana sifat lahir menunjukkan kepada sifat batin. Yang lazimnya bila rosak, rosak dululah sifat batin, lalu kerosakan itu berjangkit pada sifat lahir pula. Oleh itu dikatakan kerosakan pada lahir adalah pertanda adanya kerosakan pada batin. Bandingkanlah pohon dengan buahnya. Beginilah kesan-kesan atau tanda-tanda sifat terlampau marah itu pada tubuh badan.

Adapun kesan-kesan atau tanda-tanda kemarahan yang terdapat pada lidah, umpamanya kelancangan lidah ketika menyebutkan caci-maki, dan kata-kata yang terkeji dalam percakapan, yang apabila didengar oleh orang yang waras fikiran, nescaya ia akan merasa malu dan segan, dan kalau diceritakan semula kepada orang yang mengucapkannya setelah hilang marahnya, tentu sekali ia juga akan merasa malu dan menyesal atas kelakuannya itu. Sebab ketika ia marah tadi, percakapannya kelam-kabut dan tidak teratur, sehingga semua perkataan-perkataan yang keluar dari mulutnya itu tidak menerima pertimbangan akal fikiran yang waras dan wajar.

Tentang kesan-kesan marah dan alamat-alamatya pada anggota, ialah suka memukul, menyerang, menghancurkan harta benda, melukai bahkan membunuh sekalipun, jika berkuasa melakukan seperti itu. Malah ada kalanya ia sampai menganiaya diri sendiri, mengoyak-ngoyakkan pakaiannya, memukul-mukul dirinya, atau terkadang-kadang ia memukul-mukul tanah. Biasa juga orang yang berkelakuan begini diserang oleh perasaan tidak sedarkan diri, sehingga semua tindakanya itu seperti tidakan orang tak siuman atau hilang akal. Orang yang dalam keadaan begini, tidak mustahil akan merosakkan harta benda, menganiaya binatang, memecahkan pinggan-mangkuk, ataupun sampai memaki-maki binatang. Tidaklah hairan pula, jika binatang itu menendangnya, ia akan menendang balik binatang itu. Jelaslah ketika itu, ia akan bersikap seperti orang gila.

Adapun kesan-kesan dan tanda-tandanya pada hati pula, ialah lahirnya sifat-sifat dendam dan dengki, memendamkan niat jahat terhadap orang lain, suka bersifat dengan segala sifat-sifat yang dicela dan dikeji. Ia tidak senang apabila melihat orang bergembira. Ia tidak segan untuk membocorkan rahsia orang. Ia suka melanggar penghormatan orang dan mengejek-ejeknya. Pendek kata semua sifat-sifat yang buruk itu akan dilengkapinya di dalam dirinya.

Demikianlah hasil sifat marah yang berlebih-lebihan atau yang melampaui batas.

Manakala hasil sifat marah yang lemah, ialah ketiadaan harga diri sama sekali untuk menentang sesuatu yang menggangu kehormatan peribadi dan kehormatan isteri. Ia bersifat acuh tak acuh saja, ketika peribadinya dihinakankan oleh orang-orang yang rendah budinya. Ia merasakan dirinya terlalu kecil dan rendah untuk mempertahankan peribadinya dari kecaman orang lain. Ini juga termasuk sifat yang tercela, sebab ia menelurkan sikap tidak cemburu ke atas kehormatan diri dan keluarga, padahal melindunginya dari pencabulan adalah wajib.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesungguhnya Sa’ad orang yang cemburu, dan saya lebih cemburu dari Sa’ad, manakala Allah pula lebih cemburu dari saya.”

Sifat cemburu itu dijadikan semata-mata kerana memelihara keturunan. Andaikata manusia amat bersenang-senang dalam soal cemburu ini, nescaya keturunannya akan bercampur aduk dan tidak terpelihara. Sebab itu ada pepatah mengatakan: Setiap ummat yang menentukan sifat cemburu pada kaum lelakinya, nescaya terpeliharalah kaum wanitanya. Dari sebab lemahnya sifat marah, akan timbul pula sifat suka menganiaya diri, serta mendiamkan diri apabila menyaksikan berbagai-bagai kemungkaran yang dilakukan. Allah s.w.t. telah berfirman:

“Dan jangan kamu semua merasa belas kasihan terhadap kedua penzina itu dalam menjalankan agama (hukuman) Allah.”

Tegasnya, ketiadaan sifat marah dalam diri adalah tercela. Tetapi yang baiknya adalah sifat marah yang terpimpin oleh pertimbangan akal dan perintak agama. Adakalanya marah itu perlu dan adakala penyantun pula yang perlu, tetapi sebaik-baiknya mengendalikan kedua-dua sifat marah dan penyantun itu menurut batas pertengahan, kalau marah jangan berlebih-lebihan, dan kalau penyantun pun jangan sampai melampaui batas. Biarlah yang dilakukan itu pertengahan, seperti yang dianjurkan oleh Allah s.w.t. ke atas sekalian hamba-hambaNya; iaitu cara tengah yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam salah sebuah sabdanya:

“Sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan.”


-KITAB BIMBINGAN MUKMIN - Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali-
(roslibz.blogspot.com)
 
Bimbingan Mukmin - Mencela, Marah, Dendam & Dengki (2)


Melenyapkan marah dengan latihan diri

Ketahuilah selagi manusia tetap bersifat suka dan benci sesuatu, maka ia tidak terlepas dari sifat jengkel dan marah, sebab kedua-dua sifat itu menjadi sebahagian dari tabiat semula jadi manusia. Akan tetapi latihan diri itu perlu juga dijaga untuk menghapuskan keganasan marah itu; iaitu dengan jalan perjuangan dan memaksa diri dengan sifat penyantuan dan penanggungan seketika waktu, sehingga semua sifat-sifat itu menjadi kebiasaan dan kelakuan yang kekal dalam diri.

Dengan latihan-latihan di atas itu saja tidak boleh sama sekali menghapuskan kemarahan hati, kerana yang demikian itu memang tidak mungkin. Tetapi tujuannya ialah untuk memimpinnya ke batas yang dianjurkan oleh syara’ dan dipandang baik oleh akal fikiran. Caranya ialah dengan mematahkan gejolaknya dan melemahkannya, sehingga api kemarahan itu tidak menyala-nyala di dalam batinnya. Perbuatan itu diteruskan sehingga kesan-kesannya tiada lagi kelihatan di wajah.

Adakalanya kemarahan seseorang itu dapat dilenyapkan dengan mengalihkan pemikirannya kepada pentauhidan Zat Allah Ta’ala, ataupun mengingatkan dirinya bahawa Allah s.w.t. menginginkannya supaya ia tidak marah. Mungkin pengaruh cintanya kepada Allah Ta’ala itu dapat menolong memadamkan api kemarahannya, ataupun mengalihkan perhatian hati kepada perkara yang lebih penting daripada kemarahan itu. Ketika itu hatinya tidak ada tempat lagi untuk menyimpan marah, sebab ia telah dikuasi oleh urusan lain yang lebih penting. Apabila hati sedang sibuk dengan perkara-perkara yang penting, tentulah ia akan menyisihkan ke samping perkara-perkara yang kurang penting.


Sebab-sebab kemarahan

Anda telah mengetahui, bahawa ubat segala penyakit mestilah dengan memotong pangkalnya dan melenyapkan sebab-sebabnya. Dengan hal yang demikian, maka anda mestilah mengetahui sebab dan punca timbulnya kemarahan itu terlebih dulu. Sebab-sebab yang membangkitkan kemarahan itu, ialah meninggi diri, ujub dan bangga, senda gurau, omong kosong, mengejek-ejek, mencela, berbantah-bantah, berlawan-lawan, berkhianat, kemahuan yang tak terbatas pada mencari wang dan menuntut kedudukan; semua sifat-sifat ini merupakan perilaku-perilaku yang tercela di dalam syariat Islam. Seseorang itu tidak mungkin terlepas dari sifat marah, selagi semua sifat-sifat ini masih kekal di dalam dirinya. Maka sayugialah, ia bersungguh-sungguh untuk menghapuskan segala sifat-sifat ini dengan sifat-sifat lawannya.

Hendaklah menyirnakan sifat membesar diri dengan merendah diri, menyirnakan sifat ujub dan bangga diri dengan mengenal diri sendiri, menyimpan sifat memuji diri dengan mengingati diri bahawa ia adalah dari jenis makhluk yang sangat rendah, yang bersatu keturunan dengan bapa yang satu, iaitu Adam a.s. Seterusnya untuk menyirnakan sifat megah diri pula, ialah dengan mengerjakan seberapa banyak kebajikan dan kebaikan dan hendaklah ia menyakini bahawa sifat megah diri atau bangga diri itu, adalah termasuk sifat-sifat yang amat tercela.

Adalah sifat senda gurauan itu, dapat disirnakan dengan menyibukkan diri dengan urusan-urusan agama yang penting, sehingga mengambil masa yang lanjut dari umur, ataypun lebih dari itu. Sifat suka beromong kosong dapat disirnakan dengan melakukan pekerjaan-pekerjaan yang berguna yang mendatangkan feadah, seperti mencari kelebihan-kelebihan hidup, mendidik diri dengan akhlak dan budi pekerti yang terpuji, dan menlengkapkan diri dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan agama yang boleh menyampaikan kepada kebahagiaan akhirat.

Seterusnya untuk menyirnakan sifat mengejek-ejek itu, dengan mengekang diri dari berbuat sesuatu yang boleh menyakiti orang lain, dan memeliharanya dari apa saja yang boleh menyebabkan orang lain mengejek balik. Sifat suka mencela orang lain dapat disirnakan dengan sentiasa menahan diri dari segala kaata-kaata yang tidak senonoh, dan memeliharanya juga dari menjawab orang lain dengan kata-kata pedas.

Adapun sifat suka mementingkan diri sendiri, dapat disirnakan dengan banyak-banyak sabar ke atas kepahitan hidup, dan selalu bersyukur terhadap apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sekadar yang termampu, untuk menjaga kemulian diri dari suka meminta-minta dan mengangkatnya dari kehinaan keperluan yang tidak ada batasnya.

Setiap perilaku dari perilaku-perilaku ini, dan setiap sifat dari sifat-sifat ini, memerlukan pengikisan dan pengubatan melalui jalan latihan dan penanggungan terhadap semua percubaannya. Tujuan menjalankan latihan seumpama ini, ialah untuk mengetahui kebencanaan sifat-sifatnya, agar jiwa merasa tidak senang kepadanya, dan melarikan diri dari segala keburukan-keburukan sifat-sifat tersebut. Kemudian membiasakan diri bersifat dengan sifat-sifat lawannya setakat jangka masa yang panjang pula, sehingga dengan kebiasaan itu dapat diterapkan kepada jiwa sifat-sifat yanfg baru itu, manakala jiwa pun tidak merasa berat untuk menerimanya setelah sifat-sifat itu menjadi kebiasaannya.

Apabila sifat buruk dan tercela itu telah disirnakan dari jiwa dan dihapuskan sama sekali, maka ketika itu jiwa akan suci murni, bersih dari segala sifat-sifat keji, dan barulah ia akan terselamat dari angkara sifat marah yang mencetuskan segala sifat-sifat yang tak baik itu.

Sementara itu punca utama yang menimbulkan sifat marah pada golongan orang yang ***** dan jahil itu, ialah anggapan mereka bahawa sifat marah itu adalah semacam keberanian, ketangkasan dan kemuliaan diri. Sebab itulah, maka jiwa orang-orang ini tertarik kepada sifat marah, dan menganggapnya suatu sifat yang baik, Anggapan ini adalah suatu ke*****an dan kejahilan dala diri, maka suatu penyakit dalam hati dan kurang pentimbangan dalam akal fikiran.

Untuk mengubati penyakit orang-orang ***** ini, ialah dengan mendengarkan kepada mereka cerita-cerita para ahli penyantun dan pemaaf, dan menunjukkan kepada mereka bagaimana orang-orang itu memilih cara menahan diri dari marah. Cara beginilah yang merupakan sebaik-baik cara, sebab telah dipraktikkan oleh para Nabi dan para ulama yang terdahulu.

-KITAB BIMBINGAN MUKMIN - Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali- (roslibz.blogspot.com)
 
Back
Top
Log in Register