lempeng
Fun Poster
- Messages
- 338
- Joined
- Dec 16, 2005
- Messages
- 338
- Reaction score
- 76
- Points
- 20
SUMPAH PELESIT TURUN TEMURUN
Sehingga pukul 10 malam, Simah, isteri Meon, masih mengerang-ngerang sakit kepala.
Pada mulanya, saya menyangkakan dia pening kepala biasa saja, mungkin disebabkan hawa panas. Tetapi akhirnya, Meon memberitahu bahawa Simah akan diserang sakit kepala setiap kali saya datang ke situ.
Bagaimanapun, sakit kepalanya itu akan beransur hilang bila saya meninggalkan rumahnya. Sebenarnya, Simah memang selalu diserang sakit kepala, cuma sakitnya bertambah berat kalau saya datang menemui Meon. Setelah lima tahun berkahwin dengan Meon, rumahtangga mereka tidak begitu tenteram.
Simah sentiasa merasa tidak tenteram dengan sikap Meon. Tetapi mengapa dia merasa tidak senang dengan Meon, dia sendiri tidak tahu. Mujurlah Meon dapat bersabar dengan perangai Simah. Kalau tidak, memang sudah lama rumahtangga mereka runtuh. Meon dapat memikirkan bahawa tentulah ada masalah lain yang menyebabkan Simah berperangai benci saja melihat Meon.
Bila hatinya senang, Simah tetap menunjukkan kasih sayangnya terhadap Meon. Sebab itulah Meon dapat memahami bahawa Simah memang ada gangguan lain yang menyebabkan dia berperangai sentiasa benci apabila tiba masanya hatinya tidak tenang.
Memang Meon berhajat untuk membawa isterinya menemui Ulung Bahar. Jadi, kedatangan saya ke rumah Meon pun memang ada kaitannya dengan cadangan Meon untuk membawa Simah berubat kepada Ulung Bahar.
"Dah lama ke Simah sakit macam ni?" tanya saya bila Simah semakin kuat mengerang sebaik saja saya masuk ke biliknya.
"Sejak saya kahwin memang inilah sakit idapannya," ujar Meon lemah.
"Sabar sungguh awak, Meon..." kata saya.
Meon terdiam. Terkejut juga dia bila saya kata demikian. Pada anggapannya, saya mengatakan sabar disebabkan dia boleh bertahan demikian lama dengan Simah. Saya dapat menangkap perasaan Meon bila saya memberitahu demikian tadi.
Oleh itu, cepat-cepat saya menyambung,
"Maksudnya, kau tak bawa Simah berubat. Lama sangat kau bersabar membiarkan Simah macam ni..." jelas saya supaya Meon tidak terkeliru dengan kata-kata saya itu.
"Inilah saya nak bawa jumpa Ulung Bahar nanti," keluh Meon sambil memerhati isterinya mengerang sakit kepala.
Simah, isteri Meon ini, berasal dari Air Tawar, Perak. Sejak berkahwin dengan Meon lima tahun dulu, jarang mereka balik ke kampung Meon di Temerloh. Lagi pula, memang Meon tidak menyangka Simah mengidap penyakit demikian, sebab itulah dia tidak cepat-cepat membawanya bertemu Ulung Bahar.
Baru kebelakangan ini Meon menyedari Simah sebenarnya sakit. Kadangkala, bila sakit kepalanya menyerang, dia akan memaki hamun Meon. Mula-mula dulu, terkejut juga Meon sampai hampir-hampir dia menceraikan Simah. Apabila Simah pulih semula, dia sendiri tidak tahu apa yang telah dicakapkannya kepada Meon.
Kebetulan saya berhajat mahu bertemu dengan Ulung Bahar, maka Meon bercadang membawa Simah berubat sekali dengan Ulung Bahar.
"Cubalah ustaz tengokkan dulu..." kata Meon semakin rusuh melihat isterinya mengerang sakit kepala.
"Sakit kepala lain ni, Meon," jelas saya merasakan bulu roma saya meremang seram sejuk.
"Kalau dia melawan tak terkawal dek kita. Cubalah kau telefon adik kau di Datuk Keramat, suruh dia datang. Kalau ramai nanti panjang juga ikhtiar kita..." saya menyuruhnya menelefon adiknya, Jamlus, di Datuk Keramat.
Saya tahu Meon mempunyai adik di Kuala Lumpur yang tinggal di Datuk Keramat. Sudah dua tiga kali kami bertemu di rumah Meon itu. Kalau ada saudara mara, Meon tidak segan juga saya mahu mencuba mengetahui punca penyakitnya.
Cepat-cepat Meon menelefon Jamlus, adiknya. Di samping itu, dia juga memanggil jirannya. Dalam keadaan demikian, masing-masing kelam kabut juga melihat keadaan isteri Meon.
Jiran-jiran yang baru datang menjengah, terkejut juga mendengar kata-kata Simah yang memaki hamun Meon sambil menuduhnya mati pucuk kerana sudah lima tahun berkahwin tetapi masih belum mendapat anak.
Bagi Meon, maki hamun demikian sudah perkara biasa kepadanya. Dia tidak tersinggung kalau Simah bercakap demikian. Tetapi bagi jiran-jiran yang baru datang, mereka benar-benar terkejut mendengarnya.
Tidak lama kemudian, kira-kira jam 11.30 malam, Jamlus datang bersama isterinya. Terkejut juga dia apabila Meon menelefon fasal Simah sakit. Tentulah sakit Simah berat menyebabkan abangnya menelefon dia suruh datang segera.
"Kita bawa hospital aje..." kata Jamlus sebaik saja melihat kakak iparnya mengerang kesakitan. "Boleh jadi migraine. Elok cepat kita bawa ke hospital," gesanya tidak sabar lagi melihat Simah menggelepar di atas katil.
"Sabar dulu..." sahut Meon menahan kerusuhan hatinya.
Jiran-jiran yang lain juga mendesak supaya Simah dibawa ke hospital memandangkan keadaannya menggelepar seperti ayam kena sembelih. Saya masih berfikir apakah cara yang harus dilakukan dengan keadaan yang demikian.
Keadaan sebegini bukanlah kali pertama saya tempuhi, sebab itu saya tidak tergopoh-gopoh sangat melihat keadaan Simah itu.
"Kak Simah ni kena migraine agaknya. Jangan sabar-sabar lagi, bawa aje ke hospital," desak Jamlus lagi.
Tetapi Meon yakin Simah bukan dihinggapi sakit migraine. Kalaulah Simah kena sakit migraine, masakan dia akan memaki hamunnya dan menuduh dirinya yang bukan-bukan? Sehingga Simah tergamak mengatakan dia mati pucuk kerana tidak mendapat seorang anak pun setelah lima tahun berkahwin.
Mujurlah Meon dapat menahan sabar apabila dituduh demikian. Memang dia sedar Simah sakit, tetapi tidak dapat memastikan sakit sebenarnya. Setelah ada ura-ura saya mahu menemui Ulung Bahar, barulah dia bercadang mahu mencuba membawa Simah berubat kepada Ulung Bahar.
"Ada dukun di sini yang boleh kita cuba?" saya bertanya kepada Meon.
Meon menggeleng kepala, tidak tahu. Memang dia tidak tahu siapa dukun di kawasan perumahan itu. Maklumlah masing-masing sibuk dengan tugas harian, kadang-kadang jiran sebelah rumah pun tidak kenal. Inikan pula mahu tahu mengenai siapa menjadi dukun di situ.
"Kita cari di Sungai Pusu..." seorang jiran memberitahu.
"Boleh juga kita panggil dukun tu," kata saya berpaling kepada jiran yang memberitahu itu.
"Saya tak tahu rumahnya," sahut dia serba salah. "Tetapi saya dengar dia duduk di Sungai Pusu. Kalau kena penyakit macam ni, selalunya orang panggil dia," jelas jiran itu lagi.
"Kalau tak tahu rumah, macam mana nak cari malam-malam ni..." keluh Jamlus pula.
Kata-kata Jamlus itu benar juga. Sekiranya hari siang, boleh juga bertanya pada siapa-siapa yang melintas di situ. Tetapi bila hari malam, masakan mahu mengetuk rumah orang mencari dukun tersebut.
"Ah, Sungai Pusu tu bukannya besar sangat," seorang lagi jiran mencelah. "Mari kita ke sana, kita carilah sampai dapat..." ujarnya mengajak Jamlus mencari dukun berkenaan di Sungai Pusu.
Setelah Jamlus dan jiran itu pergi, keadaan Simah masih juga tidak berubah. Dia menggelepar ke kiri ke kanan sambil mengerang sakit kepala. Jiran-jiran yang datang menziarah tadi tidak keruan dengan keadaan tersebut.
"Sebelum dukun tu sampai, ustazlah cuba-cuba dulu..." Meon menepuk bahu saya.
Saya tahu Meon memang ikhlas meminta saya mendoakan supaya isterinya sembuh. Dalam masa setahun dia mengenali saya, memang dia sudah mengagak mestilah ada sebab mengapa saya berhajat sangat mahu menemui Ulung Bahar.
Selalu juga bila Meon terasa sakit gigi, dia mengusik-ngusik suruh saya ubatkan. Tetapi tidak pernah saya penuhi permintaannya. Kalau dia mendesak juga, saya suruh dia ke klinik gigi.
Bagaimanapun, Meon tidak pernah berkecil hati kalau saya bersikap demikian. Pernah juga dia meminta saya doakan supaya tidak basah terkena hujan, saya beritahu dia, "Doa supaya tidak basah terkena hujan, pakailah payung."
Semua ini adalah usik-mengusik saja. Dia hanya mahu berolok-olok dengan saya, seperti juga dia pernah berolok-olok dengan Ulung Bahar. Tetapi kali ini saya sedar Meon bukanlah berolok-olok. Dia meminta dengan ikhlas.
Saya menjadi serba salah dengan permintaan Meon, di samping keadaan Simah yang semakin membimbangkan. Dalam ingatan saya, sudah tergambar mungkin ada benda lain yang mengganggu, menyebabkan Simah cepat diserang penyakitnya apabila saya berada di rumah itu.
Hingga pukul 12.00 malam, dukun dari Sungai Pusu yang dijemput oleh Jamlus masih belum datang. Jamlus juga tidak nampak muka hidung.
Memandangkan keadaan Simah menggelepar menahan sakit di kepalanya, saya pun meminta izin dari Meon untuk memegang kepala Simah.
Kira-kira dua minit saya memegang kepalanya, tiba-tiba Simah bingkas bangun lalu meludah saya.
"Kau yang tukang kacau, laknat!" bentak Simah macam mahu menerkam ke arah saya. "Buat apa kau datang selalu ke sini? Kau nak nikah dengan aku ke?" dia ketawa mengilai.
"Kau harus sabar, Meon..." bisik saya perlahan. "Yang bercakap ni bukan Simah lagi, yang lain bercakap ni," kata saya menerangkan kepada Meon.
"Saya tahu, ustaz," jelas Meon merapati saya. "Buatlah macam mana pun, memang saya tahu, fasal saya selalu ikut Ulung Bahar," ujarnya.
Simah terus berdiri dengan tangannya mahu mencengkam leher saya. Cepat-cepat Meon memegang pinggangnya dan membaringkannya semula ke katil.
"Meon, kau jangan jadi bodoh!" Simah meronta-ronta mahu melepaskan diri dari Meon. "Inilah jantannya yang menggoda aku. Dia nak nikah dengan aku, tapi aku tak mahu. Aku sayangkan kau, Meon," dia merintih-rintih bagaikan merayu.
"Siapa hendakkan kau? Aku pun tak mahu!" bentak Meon.
"Kau tak mahu pada aku?" mata Simah terjengil memerhati Meon.
"Aku tak mahu..!" sahut Meon keras.
"Sekarang ceraikan aku..." Simah juga bersuara keras.
"Berambuslah kau!" kata Meon.
"Lepaskan aku...!" Simah meronta-ronta sekuat tenaga. "Lepaskan aku, biar aku berambus," dia membentak-bentak sambil menumbuk dada Meon.
"Kalau kau nak berambus, berambuslah," jerkah Meon semakin kuat memaut pinggang Simah. "Tapi, tinggalkan Simah tau!" katanya memahami apa sebenarnya berlaku di sebalik keadaan Simah demikian.
"Kau gila, aku ni bukankah Simah?" dia tertawa mengejek.
"Aku tahu kau setan!" bentak Meon.
Dari cara Meon bercakap itu, memang saya tahu dia juga menyedari akan penyakit isterinya. Tetapi selama ini dia sengaja merahsiakan dari pengetahuan saya. Dia bimbang kalau saya mengetahuinya, nanti akan menyusahkan saya pula.
Memang Meon tahu akan gangguan syaitan tersebut. Tetapi apakah jenis gangguannya, tidaklah diketahui.
"Sekejap lagi dukun Sungai Pusu datang, kau rasa nanti!" Meon cuba mengugut.
"Ah, bapak dukun Sungai Pusu pun aku tak takut!" balas Simah termengah-mengah mahu melepaskan diri dari Meon.
"Dukun Sungai Pusu tu takut pada aku, takkan dia berani datang...!" dia tertawa macam menyindir Meon.
"Diam...!" herdik saya merenung muka Simah.
Ketika ini saya tidak nampak Simah lagi meronta-ronta di atas katil. Saya berada jauh dari rumah Meon di Gombak, di sebuah bukit dekat Air Tawar di Perak.
"Diam, kata aku. Sekarang kau datang ke sini, supaya aku bakar kau dengan Ayatul Kursi...!" saya terus membaca Ayatul Kursi sebanyak 17 kali.
Selesai saja saya membaca Ayatul Kursi, wajah Simah bertukar menjadi seorang perempuan tua kurus dengan rambut menggerbang putih.
Perempuan tua itu mengilai ketawa mengejek-ngejek saya. Dia merenung saya bagaikan mahu menerkam, tetapi tidak dapat mara.
"Jangan nak sembunyi lagi!" suara saya semakin keras.
"Ah, merepeklah kau. Jangan cuba nak goda aku..." perempuan tua itu terkekeh-kekeh ketawa. "Aku ni bini Meon, buat apa kau goda? Mentang-mentang Meon mati pucuk, kau fikir aku mudah tergoda dengan kau?" dia cuba menyakitkan hati Meon yang mendengarnya.
"Kau fikir Meon bodoh?" sahut saya sambil memerhatikan gerak-gerinya yang mencari tipu helah. "Kau dah tua, Meon tengok pun tak ada nafsu," saya pula menyakitkan hatinya.
Dia menjadi marah bila saya katakan dirinya sudah tua. Dia tetap mengaku dirinya Simah, walaupun saya sudah melihat akan rupa asalnya.
"Jangan kau nak berdusta!" saya membaca Ayat Yassin dan menghembuskan ke arahnya.
Angin kencang bertiup menyebabkan dia melayang-layang tidak jejak ke bumi.
"Aku tahu kau perempuan tua simpan pelesit. Tubuh kau kurus, rambut menggerbang putih macam pontianak. Siapa pun tengok tak naik nafsu," kata saya lagi.
Dia bertambah marah bila saya sudah mengetahui dirinya yang sebenar. Pada sangkaannya, saya hanya melihat Simah terbaring meronta-ronta menggelepar di atas katil. Barulah disedarinya saya sudah melihat dirinya yang sebenar dari kawasan hutan terbiar di sebuah bukit di kampung Simah.
Bila diketahuinya dirinya sudah dapat dikesan, dia terpaksa menentang habis-habisan.
Perempuan tua itu mengeluarkan botol kecil dari ikatan pinggangnya, lalu mengeluarkan seekor belalang.
"Anak aku ini akan mengajar kau...!" gerutunya lalu melepaskan belalang tersebut.
Seekor belalang sebesar pohon kelapa menerpa ke arah saya. Cepat-cepat saya melompat ke atas belalang tersebut.
Saya menyebut "Allahu Akhbar" tiga kali menyebabkan belalang itu kembali menjadi kecil dan jatuh ke dalam genggaman saya.
Perlahan-lahan saya memulas kepala belalang itu sambil membaca Ayatul Kursi 33 kali.
Ketika ini, perempuan tua itu terjerit-jerit memegang tengkuknya menahan kesakitan. Dia terkial-kial merebahkan badan ke bumi mahu melawan balik.
Apabila saya pulaskan kepala belalang itu sampai putus, tubuh perempuan itu bertukar menjadi belalang lalu terbang berligar-ligar di kepala saya mahu menyerang.
Bagaimanapun, dia tidak dapat menghampiri saya.
Kemudian saya membaca "lanarjumannakum" dari Surah Yassin menyebabkan dia terpelanting ke tanah.
Berpuluh-puluh panah api datang menerjah ke tubuhnya. Dia menggeliat menahan panahan api itu, tetapi masih bertahan tidak mahu mengalah.
Apabila tidak tahan dengan panahan api, belalang berkenaan berkepul-kepul menjadi asap hitam lalu membentuk satu lembaga manusia.
Lama-kelamaan, dia menjelma di depan saya. Dia seorang lelaki tua bertubuh kurus memakai pakaian serba hitam. Mukanya cengkung berkedut-kedut macam kulit gajah.
"Aku sayang pada Simah ni..." ujar lelaki bertubuh kurus itu. "Aku nak nikah dengan dia, kenapa awak tak bagi?" suaranya lemah bagaikan meminta belas kasihan.
"Simah mahukah pada awak?" tanya saya.
"Ada masa dia mahu, ada masa tak mahu..." beritahunya perlahan berketar-ketar.
"Apa fasal dia tak mahu?" saya mengujinya.
"Dia kata saya mati pucuk..." ujarnya serba salah.
"Simah dah nikah dengan Meon!" jerkah saya memberi amaran. "Kenapa awak ganggu dia lagi?" tanya saya keras sambil mengejeknya.
"Saya cintakan dia," jelasnya menangis tersedu-sedu.
"Buruk sangat rupa awak, orang tua menangis..." sindir saya.
Dalam masa saya berkata-kata dengan lelaki tua itu, tiba-tiba perempuan tua bertubuh kurus itu menjelma semula.
Dia terlalu marah kerana lelaki itu cuba berbaik-baik dengan saya.
"Dia inilah yang selalu kacau kita...!" kata perempuan tua itu menjelirkan lidah kepada saya.
Saya mendiamkan diri. Saya mahu lihat sejauh mana tindakan seterusnya dari mereka berdua.
Tetapi mereka berdua tidak menyerang saya. Cuma perempuan tua itu saja menyindir untuk menyakitkan hati, sementara lelaki tua itu seolah-olah dalam ketakutan.
"Dia nak pisahkan kita!" ujar perempuan tua itu lagi.
"Kalau dia datang dekat, aku rasa tubuh aku terbakar. Sebab itu kita mesti jauhkan dia dari berkawan dengan Meon. Aku tak tahu apa ilmu yang dia pakai," perempuan tua itu menangis teresak-esak sambil menggeliat-geliat seperti menanggung bahang kepanasan.
Lelaki itu tetap mendiamkan diri. Dia mengusap-ngusap rambut yang menggerbang putih.
Sekali sekala saya nampak muka perempuan tua itu berubah menjadi Simah. Tetapi apabila saya hembuskan ayat "Hazihi jahannamullati kuntum tu’adun", wajah tersebut tidak jadi bertukar.
Dari situ, dapatlah saya fahami bahawa memanglah sukar mahu mengubati Simah, kerana gangguan yang datang itu bukanlah datangnya dari luar.
Gangguan ini datang dari keluarganya turun-temurun yang pernah menyimpan pelesit.
Apabila pelesit itu sudah tidak bertuan, maka ia mencari keturunan tuannya sebagai sumpahan untuk mencari naungan.
Simah yang tidak tahu apa-apa tidaklah mahu menerima kedatangan pelesit yang berasal dari datuk nenek moyangnya dulu.
Inilah yang selalu mengganggu dia kerana dirinya sudah terpisah jauh dari pelesit tersebut, sedangkan pelesit berkenaan cuba mendekatkan dirinya.
Sebab itulah pelesit berkenaan menjadi seperti orang yang diganggang oleh api bila berdekatan dengan orang-orang yang mengamalkan membaca Ayatul Kursi setiap hari.
Mungkin Simah sendiri tidak tahu tentang asal-usul datuk nenek moyangnya dulu ada memelihara pelesit.
"Jauhkan dia dari sini," rayu perempuan tua itu kepada lelaki tua yang berdiri di sampingnya.
Lelaki tua itu menghentakkan kakinya ke tanah tiga kali.
Kemudian, beribu-ribu belalang menerpa ke arah saya.
Sebaik saja belalang-belalang itu mahu menerpa, saya hembuskan Surah Al-Fatihah, menyebabkan semuanya gugur ke bumi seperti dibakar api.
Terasa saya seakan-akan lemas akibat bau hangit belalang terbakar.
Merah padam muka lelaki tersebut melihat semua belalangnya habis terbakar. Semua belalang yang jatuh itu tengkuknya terpatah dan keluarlah seulas nasi dan sehelai rambut dari tengkuk yang patah itu.
"Aku datang mencari anak cucu aku..." lelaki tua itu bersuara keras. "Tak patut awak putuskan hubungan kasih sayang kami," katanya kesal dengan tindakan saya yang menghalangnya.
"Simah tak perlukan awak lagi," sahut saya membentak. "Dia perlukan Meon. Biar Meon yang jaga dia. Awak tak perlu jaga dia," ujar saya memarahinya.
Ketika saya menyahut kata-katanya, dia menyimbahkan air ke atas bangkai-bangkai belalang tadi. Sekaligus, bangkai-bangkai yang terbakar itu menjadi kepulan asap hitam yang berjurai-jurai seperti rambut.
Juraian rambut itu menyerkup ke kepala saya menyebabkan pandangan saya gelap dan tidak kelihatan apa-apa lagi.
Namun, saya tetap bertenang menghadapi tekanan-tekanan seperti ini.
Semua yang saya hadapi itu adalah tipu daya syaitan belaka.
Beberapa ketika saya terperangkap dalam juraian rambut itu, hingga hampir-hampir meliliti seluruh tubuh saya.
Lalu, saya bacakan Surah Waddhuha sebanyak sepuluh kali.
Tiba-tiba juraian rambut itu melayang ditiup angin.
Lelaki tua itu semakin marah kerana rambut yang menyerungkup ke kepala saya tadi diterbangkan angin.
Itulah pertama kali serangannya sampai ke tubuh saya.
Memang kesilapan telah saya lakukan kerana membiarkan dia menyerang sambil melayani dia bercakap.
Tok Aji pernah mengingatkan saya supaya tidak melayani syaitan apabila berhadapan dengannya.
Kalau menentang syaitan, mestilah digempur sampai mereka kalah.
Sekiranya kita melayaninya, sudah tentulah kita termasuk ke dalam perangkap tipu dayanya untuk melalaikan kita.
Setelah teringatkan Tok Aji, saya pun menguatkan zikir saya.
Saya membaca beberapa ayat yang diajarkan oleh Tok Aji.
Ketika ini, seluruh kawasan itu bergoncang kuat seperti gempa, disambut oleh petir serta kilat.
Orang tua lelaki dan perempuan itu berlari-lari mahu menyelamatkan diri.
Batu-batu dari atas bukit juga gugur melayang menerjah ke arah mereka.
Mereka berdua menjadi panik dengan gempa yang datang secara tiba-tiba.
Saya tetap berdiri di tengah-tengah gempa itu, memerhatikan mereka berdua berlari ke sana sini mencari tempat selamat.
Tetapi ke mana saja mereka berlindung, petir dan kilat menyambar.
Mereka terpelanting apabila disambar kilat dan petir bertalu-talu.
Termengah-mengah mereka mencari tempat perlindungan.
Akhirnya, mereka lesap di dalam kepulan asap di tengah-tengah dentuman petir serta kilat menyambar.
Setelah mereka berdua hilang, saya memberhentikan bacaan.
Lama saya menunggu di situ, namun mereka tidak muncul-muncul lagi.
Saya rasa buat sementara itu mereka tidak akan datang lagi mengganggu.
Bagaimanapun, mereka tetap akan berusaha untuk meneruskan cita-citanya untuk bernaung kepada Simah.
Hal inilah yang mahu saya beritahu pada Meon, supaya dia sendiri mesti mempunyai persediaan menghadapi kemungkinan tersebut.
Setelah yakin mereka tidak akan mengganggu lagi, saya meninggalkan kawasan hutan di pinggir bukit itu dan kembali berdiri di dalam diri.
Apabila saya membuka mata, saya dapati Simah sudah pulih semula.
Tetapi keadaannya masih letih lagi.
Rupanya, ketika saya menghadapi suasana sengit tadi, Jamlus dan rakannya yang pergi menjemput dukun ke Sungai Pusu sudah balik.
Mereka berdua hampa kerana dukun berkenaan sudah pun dijemput oleh orang di Damansara.
Sehingga hampir pukul 2.00 pagi mereka menunggu, tetapi dukun itu tidak juga balik.
Akhirnya, terpaksalah mereka mengambil keputusan untuk balik semula ke rumah Meon.
Jamlus bertanyakan kepada saya siapakah yang melakukan gangguan itu.
Saya hanya tersenyum dengan soalan demikian.
Selalunya begitulah pertanyaan yang diterima apabila menghadapi masalah demikian.
Sepatutnya mereka bersyukur kerana dapat menjauhkan diri dari gangguan syaitan.
Siapa yang membuat gangguan itu tidak harus difikirkan lagi.
Apabila saya tanyakan kepada Simah, sama ada terdapat di kalangan keluarganya di masa lalu yang menjadi dukun atau bomoh, Simah memberitahu bahawa ayah kepada moyangnya dulu memang dukun terkenal.
Tetapi selepas peringkat moyangnya, dia tidak lagi mahu menjadi dukun hinggalah sampai kepada beberapa keturunan seterusnya.
"Saya sedar apa yang berlaku ke atas diri saya," ujar Simah dalam keletihan. "Tetapi saya tak dapat nak mengawal diri, macam ada kuasa lain yang mengawal saya.." jelasnya bila mengingatkan peristiwa sebentar tadi.
Memang saya akui cerita Simah itu.
Memang mereka yang menerima gangguan ini sedar apa yang sedang berlaku.
Tetapi mereka tidak dapat mengawal diri mereka sama ada bercakap atau bertindak.
Kejadian demikian memang aneh, tetapi itulah hakikat yang sebenarnya.
Apabila saya menerangkan kepada Simah mengenai belalang pelesit, dia teringat bahawa arwah neneknya pernah memberitahu tentang keluarganya dari keturunan dulu memang memelihara pelesit.
Semasa Tok Bani meninggal dunia, dia tidak sempat menurunkan pelesit peliharaannya itu kepada anak cucunya.
Maka pelesitnya itu sentiasalah mencari anak cucu Tok Bani untuk tempat bernaung.
Apabila pelesit itu tidak dapat bernaung, maka anak cucu Tok Bani pun menjadi mangsa.
Adik nenek Simah itu pernah menjadi lumpuh tanpa sebab.
Penyakit lumpuhnya itulah yang membawa maut kepadanya.
Selepas dia meninggal dunia akibat lumpuh, seorang lagi keluarganya mati muntah-muntah darah seperti termakan racun.
Hingga sampailah kepada bapa saudara Simah bernama Jana, yang secara tiba-tiba diserang penyakit lemah tenaga batin hingga menyebabkan dia menjadi tidak siuman.
Ketika mengubat Jana inilah Dukun Busu mendapat tahu tentang Tok Bani yang menyimpan pelesit.
Dukun Busu mencari punca-punca Jana hilang tenaga batin hingga menjadikan dia tidak siuman.
Dia mendapati bahawa pelesit Tok Bani yang sudah tidak bertuan itu mencari perlindungan kepada Jana.
Disebabkan Jana tidak tahu bagaimana mahu memeliharanya, maka pelesit itu telah memakan tuan sendiri.
Tidak ada siapa pun yang tahu bahawa Tok Bani memelihara pelesit.
Malah, isterinya sendiri, Yong Saenah, tidak tahu mengenai pelesit yang dipelihara oleh Tok Bani.
Setelah berkahwin dengan Yong Saenah, dia mendapat dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan.
Selepas itu, Tok Bani jatuh dari pokok menyebabkan dia patah pinggang.
Akibat dari kecederaan itulah, Tok Bani hilang tenaga kelelakiannya.
Bermula dari situ, keretakan rumahtangganya bermula apabila Yong Saenah mula bermain gila dengan anak muda.
Tok Bani tidak boleh berbuat apa-apa kerana kononnya Yong Saenah telah menggunakan bomoh untuk menundukkannya.
Walaupun Tok Bani tahu isterinya bermain gila dengan pemuda lain, dia tetap membisu saja.
Satu hari, telah berlaku pertengkaran di antara Tok Bani dengan isterinya, Yong Saenah.
"Kau dah tak ada jantan, buat apa nak cemburu?" kata Yong Saenah menyindir.
"Kau dah mati pucuk, takkan boleh nak pandang alu sengkalan aje sepanjang masa..." ujar Yong Saenah mencabarnya.
Kata-kata Yong Saenah itu benar-benar menghiris perasaan Tok Bani.
Bagi mengubat hatinya yang luka, Tok Bani selalu membawa diri bila terdengar ada anak muda datang menemui Yong Saenah.
Perasaan marahnya tetap membara setiap kali terpandang wajah pemuda yang bermain gila dengan isterinya.
Ada juga hatinya mahu bertindak, tetapi terpaksa dipendamkan saja bila teringatkan kata-kata Yong Saenah itu.
Satu malam, sebaik saja Tok Bani terlihat anak muda yang bermain gila dengan isterinya masuk ke bilik, dia pun keluar merayau-rayau ke dalam kampung tanpa tujuan.
Ketika sampai berhampiran dengan kawasan tanah perkuburan, dia terdengar bunyi budak menangis.
Terasalah belas kasihan di hati Tok Bani mendengar tangisan bayi yang sangat menusuk kalbu.
Dia pun mencari arah bunyi tangisan bayi itu hingga sampai ke kawasan tanah perkuburan.
Semakin di hampirinya, semakin kuat bunyi tangisan bayi tadi.
Tok Bani memberanikan hatinya untuk melihat siapakah yang menangis itu.
Sebaik saja sampai di tempat bunyi bayi menangis itu, Tok Bani melihat satu bungkusan kain putih terselit pada perdu pokok mengkudu.
Dia memegang bungkusan itu, terasa lembik saja.
Apabila hendak dibukanya, bunyi tangisan itu menjadi kuat dan menggerunkan.
"Aku hanya nak menolong kau..." satu suara halus menegurnya.
Bila diselidiki oleh Tok Bani, ternyata bungkusan kain putih itulah yang berkata-kata dengannya.
"Siapa kau?" tanya Tok Bani kehairanan.
"Aku pelesit," sahut suara itu.
"Kau nak tolong aku?" dia merasa gembira bila ada makhluk yang sanggup menolong dia.
"Iya, aku akan menolong kau..." pelesit itu memberi jaminan.
Pelesit itu sanggup memulihkan semula tenaga batinnya dan menghapuskan siapa saja yang telah menodai Yong Saenah dengan menghilangkan tenaga batin orang itu pula.
Malah, dia juga berjanji akan menjaga harta benda Tok Bani dari diganggu oleh pencuri dan sebagainya.
Mendengarkan janji pelesit itu, Tok Bani tidak berfikir panjang dan terus menerima saja pertolongan tersebut.
"Tetapi dengan syarat, kita sama-sama berteguhan janji," tegas pelesit itu selanjutnya.
Tok Bani menerima juga syarat berteguhan janji itu.
"Syaratnya kau jangan buang aku, dan bila sampai masanya hendaklah kau serahkan aku pada waris kau untuk menjaga aku..." kata pelesit itu lagi.
Tidak ada bantahan apa-apa dari Tok Bani.
Dia menerima saja syarat tersebut kerana pada fikirannya, syarat itu bukanlah susah sangat.
"Setiap kali bulan mengambang, kau datanglah ke sini dan siramkan aku dengan darah ayam," pelesit itu mengingatkan dia.
Itu juga diterima dengan senang hati oleh Tok Bani.
Setelah berteguhan janji, Tok Bani pun membuka bungkusan tersebut.
Dilihatnya seorang bayi belum bersifat sedang memegang botol kecil.
Bayi itu menyuruhnya mengambil botol seperti botol susu itu, dan di dalamnya ada seekor belalang.
Tok Bani pun mengambil botol itu dan dibawa balik ke rumah.
Disimpannya baik-baik botol berisi belalang tersebut.
Sejak itu, siapa saja lelaki tidak berani lagi menggoda Yong Saenah.
Siapa saja yang berani main gila dengan Yong Saenah, alamatnya akan kena lemah tenaga batin seumur hidup.
Puaslah mereka berubat ke mana-mana pun, tetapi tidak akan dapat disembuhkan.
Sementara itu, Yong Saenah pula selepas itu sentiasa mahukan Tok Bani mendampinginya.
Akhirnya, dia sendiri tidak mampu lagi mahu melayani Tok Bani.
Terpaksa pula Yong Saenah meminangkan ramai anak-anak gadis untuk menjadi isteri Tok Bani.
Apabila Tok Bani meninggal dunia, botol berisi belalang itu dibuang oleh anak cucunya ke sungai, kerana pada sangkaan mereka, belalang itu hanya permainan Tok Bani saja.
Itulah cerita yang dapat diketahui oleh Dukun Busu ketika dia mengubat penyakit Jana.
Bagaimanapun, Jana tidak dapat diselamatkan juga.
Dia meninggal dunia setelah menderita sekian lama.
"Macam itulah cerita dari arwah nenek saya dulu," beritahu Simah dalam keletihan.
"Insya-Allah..." kata saya perlahan sambil merasa simpati dengan keadaan yang dialami oleh keluarga Simah itu.
"Sementara kita bertemu Ulung Bahar, kita cuba buat lagi macam tadi. Moga-moga dia lari dari awak, sebab ianya bukan penyakit tetapi benda permainan turun-temurun," ujar saya menjelaskan kepadanya.