BTC USD 92,462.6 Gold USD 3,333.88
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Koleksi Cerita Seram Tok Awang Ngah (Updated 26/3/2025 - End)

lempeng

Fun Poster
Messages
338
Joined
Dec 16, 2005
Messages
338
Reaction score
76
Points
20
Koleksi TWN.JPG



ULAR DALAM KUBUR WANITA



Lama juga orang-orang kampung bercerita mengenai kematian Latip Pekak semasa memandikan mayat, isterinya Mak Yot Bidan yang kononnya balik ke rumah semula. Judin Bauk yang menjadi saksi peristiwa itu bersama adik arwah Mak Yot Bidan iaitu Usin Macuk. Tetapi kata orang tua-tua yang balik semula ke rumah itu bukannya Mak Yot Bidan tetapi jelmaan hantu bungkus.


Semasa orang-orang kampung mengkebumikan jenazah Latip Pekak, didapati kubur Mak Yot Bidan berlubang kira-kira sebesar lilitan betis. Apabila dijolok oleh Lebai Piut ke dalam, kayu penyolok itu sampai ke bawah. Berbunyi papan liang lahadnya ketika diketuk-ketuk.


Selepas kematian Latip Pekak tidaklah didengar lagi suara jeritan dari kubur Mak Yot Bidan. Apakah rahsia di sebalik kejadian itu tidak pula diketahui oleh orang-orang kampung. Ketika saya sampai ke kampung ini dapatlah saya mendengar serba sedikit ceritanya dari Judin Bauk.


“Tak tau aku apakah ilmu yang dipakai oleh arwah tu.’ Jelas Judin Bauk apabila saya tanyakan kepadannya.


“Yang aku tau, dia seorang bidann di kampung ni dulu. Agaknya ilmu membidankan orang tentulah ada padanya.” Ujarnya bagaikan tergambar kepadanya peristiwa yang berlaku.


“Sudah selesai semua, tak payahlah kita sebut-sebut lagi.” Lebai Piut mencelah.



“Perkara dah berlalu, biarlah orang-orang yang masih hidup ni jadikan tauladan tentang petunjuk 2 sedemikian dari Allah…” katanya perlahan.


“Benar kata aki tu..” Saya tersengih-sengih memerhatikan dia. “Tapi baik juga kita mengetahui latar belakang mengapa kejadian itu berlaku. Dari sini bolehlah kita jadikan tauladan kepada masyarakat kita. Sebab petunjuk dari Allah itu supaya kita semua insaf.” Keinginan saya masih membara ingin mengetahui latar belakang kejadian yang menimpa diri aruah Mak Yot Bidan itu.


“Kadangkala…” Lebai Piut mengangguk-angguk lemah, kemudian menyambung, “Kita melihat zahir saja, sedangkan yang zahir itu pun tidak semuanya kita tahu, hanya Allah saja Maha Mengetahui.” Katanya.


Saya memahami maksud Lebai Piut itu. Dia tidak mahu cerita mengenai kubur berasap itu dipanjang-panjangkan. Tidaklah mengherankan kepada saya mengenai Lebai Piut itu. Dia memang bekas murid aruah Tok Aki saya. Oleh itu saya cam betul akan tabiatnya seakan-akan mirip dengan aruah Tok Aki saya.


Sebenarnya saya datang ke kampung tersebut semata-mata mahu menziarahi Lebai Piut. Tetapi secara kebetulan cerita mengenai kubur berasap itu masih menjadi buah mulut orang-orang kampung itu, sengajalah saya tanyakan kepada Judin Bauk. Ketika saya ke Merlimau di Melaka pun ada juga cerita mengenai kisah-kisah yang serupa dengan kejadian di kubur Mak Yot Bidan ini. Kawan saya Ali Burn yang ceritakan kepada saya. Tetapi saya tidak ambil peduli dengan cerita Ali Burn ini, fasal kadang-kala ceritanya bercampur temberang sedikit.


Kira-kira dalam bulan Jun 1982, Ali Burn telah mengajak saya berjumpa dengan seorang lelaki tua di Felda dekat Johor. Lelaki ini tinggal bersama anak perempuannya di situ. Tetapi dia bukanlah berasal dari Merlimau iaitu kampung Ali Burn. Bagaimanapun menantu Pak Uduh ini memang berasal dari Merlimau. Pak Uduh sudah berumur 80 tahun. Dia kelihatan sudah uzur kerana penyakit. Matanya pun sudah rabun dan suaranya pun tidak berapa jelas bila bercakap. Tetapi bila Ali Burn datang dia terlalu gembira. Memang Ali Burn selalu datang ke situ menemui Rahman menantu Pak Uduh.


“Lama kau tak datang sini?” Tanya Pak Uduh semasa Ali Burn memperkenalkan saya kepadanya.


“Kalau aku selalu datang nanti Pak Uduh bosan.” Ali Burn bergurau dengannya. “Lagipun Pak Uduh nak simpan-simpann saanngat, kala ada apa-apa tu bagilah pada orang muda.” Tambahnya sambil duduk rapt dengann orang tua itu.


“Apa yang kau hendakkann pada aku, orang taua tak berguna.” Sahut Pak Uduh tersengih-sengih.


“Orang tua tak bergunalah selalunya ada isi…” Kata Ali Burn memaut bahu orang tua itu.


“Kemenyan sebesar lutut kalau tak dibakar tak berbau Pak Uduh.” Dia menepuk-nepuk bahu Pak Uduh.


Orang tua itu tersenyum. Dia tahu Ali Burn hanya bergurau. Kedatangan Ali Burn menemui dia juga memang mempunyai tujuan, Saya juga tahu Ali Burn datang menemui Pak Uduh kerana mahu mencungkil-cungkil rahsia ilmu kebatinan orang tua itu. Memang menjadi kelaziman orang tua-tua seperti Pak Uduh itu tidak akan menurunkan ilmunya kepada orang-orang yang tidak boleh diharapkan.


Maksud orang yang tidak boleh diharap ialah mereka yang tidak bersungguh melain sekadar mahu menguji-nguji atau tidak sepenuh hati. Sebab itulah Pak Uduh sering mengelak-gelak bila Ali Burn cuba mendapatkan sesuatu ilmu kebatinan darinya. Selepas itu Ali Burn memperkenalkan saya pada Pak Uduh. Memang saya sendiri berhajat mahu bertemu dengannya setelah Ali Burn menceritakan serba sedikit mengenai diri orang tua itu kepada saya.


“Jabat tangan pun aku dah tau dah, jabat tangan orang berisi….” Kata Pak Uduh sambil tersengih-sengih merenung saya. Mungkin kerana matanya yang rabun dia terpaksa merenung saya tepat-tepat.


“Adalah isinnya Pak Uduh” Sahut Ali Burn pantas. “Kalau tak ada isi kosonglah semuanya, baru jadi hantu penanggal, semua tali perut habis terkeluar ditarik kepala katanya ketawa terkekeh-kekeh.


Pak Uduh juga ketawa. Saya juga ikut sama ketawa. Geli juga dengan kata-kata Ali Burn itu. Sebab itulah kawan-kawan kami gelar dia Ali Burn temberang, kerana ada saja ceritanya mahu memanaskan suasana dengan gelak ketawa.


“Iyalah, tahi pun isi juga namanya.” Balas Pak Uduh di hujung ketawanya. “Tetapi berisi dengan tahi, tak sama berisi dengan ilmu..” ujarnya macam menyindir.


Dari Pak Uduh inilah saya mendapat cerita mengenai kisah Naesah Lawa yang kuburnya berasap seperti yang diceritakan Ali Burn sebelum itu. Kampung Pak Uduh memang di Melaka, tetapi bukanlah dari Merlimau. Naesah Lawa itu seorang janda muda yang mudah memikat pemuda-pemuda. Antara yang jatuh hati pada Naesah Lawa ialah Pak Uduh sendiri.


Akhirnya Naesah berkahwin juga dengan Pak Uduh, tetapi mereka tidak mempunyai anak. Ketika berkawin dengan Pak Uduh, Naesah Lawa sudah dua kali bersuami. Sebagai orang yang warak, Pak Uduh selalu menghabiskan masanya di surau menunaikan ibadat, di samping belajar agama dari guru-guru agama yang diundang khas.


Naesah Lawa pula dalam diam-diam berkenalan dengan seorang anak muda yang lain pula. Perhubungannya dengan anak muda, satu hari telah terserempak dengan emak Pak Uduh. Apa lagi, perkara itu terus diberitahu kepada Pak Uduh. Tetapi Pak Uduh tidak terus terburuburu. Dia meminta emaknya bersabar dulu, kerana dia belum melihat dengan matanya sendiri akan perbuatan isterinya itu.


Sejak itu emak Pak Uduh mula tidak senang dengan sikap Naesah Lawa. Malah dia menuduh Naesah Lawa sudah menggunakan ubat pengasih menyebabkan Pak Uduh tunduk mengikut perintahnya. Sebenarnya Pak Uduh bukanlah terkena ilmu guna-guna atau ubat pengasih. Dia seorang yang taat kepada perintah agama. Sebab itulah dia masih boleh bersabar mendengar aduan dari emaknya sendiri terhadap kecurangan isterinya itu.Tetapi emaknya tetap berkeras menyalahkan Pak Uduh.


Tidak lama kemudian emak Pak Uduh jatuh sakit muntah-muntah darah. Ada bomoh mengatakan dia terkena santau. Sebaliknya apabila dibawa ke hospital, pihak hospital mengatakan dia terkena penyakit batuk kering. Hospital pula mengesyurkan supaya dihantar untuk mendapat rawatan lanjut di Kuala Lumpur.


Bagaimana pun emak Pak Uduh tidak mahu berubat di hospital. Akhirnya dia mati kerana mengidap penyakit batuk darah. Sama ada dakwaan bomoh yang mengubatinya benar atau tidak, Pak Uduh juga tidak mahu mempercayai sangat.Tetapi Pak Uduh sendiri sudah mencubanya sendiri mengubat emaknya dengan membacakan ayat-ayat Quran seperti yang dipelajarinya.


Setiap kali dia memberi emaknya minum air yang sudah dibacakan Yassin, emaknya muntah-muntah darah. Di dalam darah beku itu terdapat beberapa helai rambut. Malangnya, Pak Uduh sudah terlambat mahu mengubat emaknya. Orang tua itu meninggal dunia sebelum sempat Pak Uduh mengubatnya lebih mendalam.


Disebabkan terpengaruh juga dengan dakwaan bomoh mengenai emaknya yang termakan santau itu, Pak Uduh telah mengerjakan sembahyang sunat tahjud 44 malam agar orang yang menganiaya emaknya bertaubat. Dia tidak berharap untuk bertemu dengan orang yang menganiaya itu, kerana gurunya berpesan supaya tidak berbuat demikian. Hanya yang diajarkan oleh gurunya memohon doa agar orang yang menganiaya itu bertaubat kepada Allah.


Tidak sampai 44 malam Pak Uduh melakukan sembahyang sunat tahjudnya, tiba-tiba Naesah Lawa isterinya jatuh sakit. Dia meracau-racau dan menjerit-jerit sepanjang malam. Dia menuduh emak mertuanya sengaja membuat fitnah mengenai hubungan sulitnya dengan seorang pemuda.


Disebabkan tidak tertahan dengan peristiwa emaknya baru saja meninggal dunia, kemudian isterinya mula jatuh sakit meracau-racau, maka Pak Uduh terpaksa minta tolong kepada gurunya To' Kiyai Parjo dari Johor.


"Mengapa tak diubat sendiri?" tanya To'Kiyai Parjo apabila Pak Uduh menceritakan masalahnya.


"Hati saya tak tenteram To' Kiyai, tak dapat nak khusyuk..." dia menjelaskan dalam perasaan bimbang.


"Kalau begitu kau tak tahan diuji" sahut To' Kiyai Parjo mengingatkan. "Tak tenteram bererti kau tak sabar, kalau mau cari kemenangan mesti sabar. Mesti tenteram, barulah kau dapat menggunakan ilmu kau" ujarnya macam kesal dengan sikap Pak Uduh.


Tetapi Pak Uduh tidak pedulikan lagi mengenai kata-kata gurunya. Yang penting dia mesti selamatkan isterinya Naesah Lawa. Dia tidak sanggup kehilangan isteri, setelah kehilangan emaknya.


"Sekarang, aku mahu kau sendiri mengubatnya" tegas To' Kiyai Parjo memberi isyarat.


Pak Uduh memahami isyarat itu. Dia mesti ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo untuk melihat sendiri penyakit isterinya. Dengan cara itu barulah dia dapat mengubat mengikut cara yang diajar oleh To' Kiyai Parjo. Ketika ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo, Pak Uduh merasa dirinya keluar dari jasadnya. Dia terapung-apung di awangan menurut perintah To' Kiyai Parjo. Apabila disuruh melihat tubuh isterinya Naesah Lawa, dia nampak Naesah Lawa terbaring dengan seluruh tubuhnya berlubang-lubang. Kelihatan nanah dan darah keluar dari lubang-lubang sebesar guli itu.


"Apa yang kau nampak?" dia terdengar suara To' Kiyai Parjo sayup-sayup dari jauh.


"Berlubang-lubang badannya. Ada darah dan nanah keluar" Pak Uduh memberitahu apa yang dilihatnya.


"Bacakan ayat ini dan hembuskan ke situ" perintah To' Kiyai Parjo.


Dia membacakan tiga kali ayat yang diajarkan oleh To' Kiyai Parjo, kemudian dihembuskan ke tubuh Naesah Lawa. Sebaik saja dihembuskan seluruh tubuh Naesah Lawa menjadi hancur. Ketika ini Pak Uduh merasakan sekelilingnya bagai dilanda ribut kencang, hingga dia juga hampir-hampir diterbangkan.


"Mengapa?" soal To' Kiyai Parjo.


"Ribut kencang..." jelasnya cemas.


"Bacakan doa ini" kata To' Kiyai Parjo memberi panduan.


Sebaik dibacakan ribut kencang tiba-tiba berhenti. Dia tidak nampak lagi tubuh Naesah Lawa, tetapi kelihatan seorang lelaki berjubah putih dengan janggutnya juga putih sampai ke pusat. Dia memberitahu apa yang dilihatnya kepada To' Kiyai Parjo. Tetapi apabila dia membacakan ayat yang diperintahkan oleh To' Kiyai Parjo, lelaki berjubah putih itu tersenyum lalu memberi salam. Ketika ini Pak Uduh sudah tidak mendengar lagi suara To' Kiyai Parjo yang sayup-sayup tadi. Dia merasa begitu jauh terasing. Pak Uduh menyahut salam lelaki berjubah itu.


"Kenapa kau nak tolong orang yang akan mati?" lelaki berjubah itu bertanya.


"Mati hanya ditentukan oleh Allah....." sahut Pak Uduh keras.


"Kau orang berilmu" ujar lelaki berkenaan macam menyindir. "Tetapi tidak mendalami ilmu kau. Ilmu Allah luas dan kau tak akan jemu-jemu mempelajarinya" kata lelaki berjubah putih itu lagi.


Pak Uduh dapat mengagak bahawa lelaki berjubah putih di depannya bukanlah syaitan. Kerana syaitan tidak akan berani menyebut ayat-ayat Allah. Bagaimanapun dia tidak berani bertanya siapakah lelaki berkenaan. Apa lagi dia tidak dapat lagi berhubungan dengan To' Kiyai Parjo.


"Sekarang, baliklah kau" lelaki berjubah putih itu memerintahkan dia meninggalkan tempat itu.


"Tidak......aku mahu selamatkan isteri aku!" tegas Pak Uduh.


"Isteri seorang mukmin ialah perempuan yang mempunyai cukup syarat di sisi Allah" suara orang tua berjubah putih itu keras.


"Apakah kau mau seorang isteri yang dilaknati di sisi Allah" jelas orang tua itu lagi.


"Kau setan, memang pendusta" sahut Pak Uduh menahan kemarahan yang mula membakar hatinya. Dia cuba mengharapkan To' Kiyai Parjo segera menyeru namanya, tetapi sia-sia belaka.


“Astaghafarullah-alazzim......" keluh lelaki tua itu menyesali sikap Pak Uduh. "Jangan kau jadikan yang hak itu batil, dan yang batil itu hak," katanya mengingatkan.


"Jadi kau siapa?" Pak Uduh masih mendongkol.


"Orang berilmu mesti banyak bersabar" orang tua berjubah putih itu menasihati dia.


"Aku tau To' Kiyai Parjo, aku juga tau tentang kau. Bukankah kau telah menunaikan Sunat Tahajud selama 44 malam?" katanya mengingatkan Pak Uduh.


"Iya....." angguk Pak Uduh.


"Kau sudah memohon pada Allah tunjukkan kebenaran?" tanyanya lagi. Pak Uduh angguk. "Sekarang itulah kebenaran!" tegas orang tua berjubah putih itu lagi. "Aku guru pada To' Kiyai Parjo, dan aku bukan syaitan yang mahu mempengaruhi kau. Mari ke mari......." dia menghulurkan tangannya.


Cepat-cepat Pak Uduh memeluknya. Terbau padanya sekelilingnya harum semerbak yang belum pernah diciumnya selama itu. Sekaligus air mata Pak Uduh menitis. "Maafkan saya To' Wali" Pak Uduh menangis terisak-isak.


"Sudahlah Uduh.." dia memujuk sambil mengusap-ngusap kepala Pak Uduh. "Naesah yang memberi emak kau racun santau, kerana emak kau terserempak akan perbuatan curangnya terhadap kau. Sekarang baliklah kau" katanya meninggalkan Pak Uduh.


Barulah Pak Uduh dapat mendengar suara bisikan To' Kiyai Parjo. Bagaimanapun Pak Uduh meminta untuk balik segera masuk ke tubuhnya. Tidak lama kemudian dia membuka mata, dan dilihatnya Naesah Lawa masih terlentang menderita sakit.


"Saya fikir tak payahlah kita ubatkan lagi Naesah ni To' Kiyai....." bisik Pak Uduh.


To' Kiyai Parjo tersenyum. Dia sudah tahu apakah yang tersirat di hati Pak Uduh. Malah pertemuan Pak Uduh dengan arwah gurunya itu juga sudah difahami oleh To' Kiyai Parjo.


"Kalau kau dah kata begitu, terpulanglah" ujar To' Kiyai Parjo perlahan.


Tiga hari selepas itu pun perut Naesah Lawa menjadi buncit. Lama kelamaan menjadi busung hingga kulit perutnya mengening-ngening. Apa yang dilihat oleh Pak Uduh melalui makrifatnya jelas telah berlaku ke atas Naesah Lawa. Seminggu selepas perutnya menjadi busung Naesah Lawa pun meninggal dunia.


Pada senja waktu maghrib hari dikebumikannya itulah Pak Uduh mendengar jeritan nyaring dari tanah perkuburan. Jeritan itu juga didengar oleh orang-orang kampung. Selepas menunaikan fardhu maghrib Pak Uduh bersama adik iparnya (iaitu adik lelaki Naesah Lawa) bernama Selamat telah pergi ke tanah perkuburan.


Jeritan itu memang jelas seakan-akan suara Naesah Lawa. Sebab itulah dia mengajak Selamat ikut sama melihatnya. Memang betul jeritan itu datangnya dari kubur Naesah Lawa. Ketika mereka berdua sampai rintihan dan ngongoian Naesah Lawa begitu jelas dan menusuk perasaan. Dari kubur itu kelihatan asap berkepul naik. Air mata Pak Uduh menitik melihat peristiwa yang menimpa ke atas kubur isterinya. Kalaulah emaknya masih hidup bolehlah dia melutut meminta ampun kepada emaknya bagi pihak Naesah Lawa. Tetapi semuanya telah berlalu, dia hanya dapat berdoa meminta pertolongan Allah supaya mengampunkan Naesah Lawa.


"Mat...." kata Pak Uduh sayu, “Kakak kau terseksa. Kau balik dan beritahu To' Kiyai Parjo. Biar abang tunggu di sini buat apa yang patut" bisiknya tersedu sedan. Kesedihan yang menusuk di jiwanya bukanlah kerana kematian isterinya, tetapi penderitaan yang ditanggung oleh isterinya setelah disemadikan di dalam kubur. Kalaulah benar Naesah Lawa membuat perhubungan dengan lelaki lain dia boleh melupakan saja segalanya. Dia sedia mengampunkan dosa Naesah Lawa terhadapnya. Tetapi perbuatan Naesah Lawa tergamak memberikan emaknya makan racun santau itu, hanya emaknya sajalah yang boleh mengampunkan.


"Baliklah Mat, minta bantuan dari orang kampung" katanya lagi menahan kesedihan.


"Baiklah bang" sahut Selamat perlahan.


"Macam mana pun abang sabarlah. Apa nak buat dah nasib dia..." Selamat cuba mententeramkan perasaan Pak Uduh.


Selamat terus balik ke rumah Pak Uduh, kerana di sana orang sudah berkumpul untuk mengadakan kenduri aruah. To' Kiyai Parjo juga ada menunggu di rumah Pak Uduh. Segala kejadian yang dilihatnya di kubur kakaknya diberitahu oleh Selamat kepada mereka yang ada di situ.


"Abang Uduh minta To' Kiyai ke sana" jelas Selamat.


Beberapa orang yang ada di atas rumah turun ke bawah. Mereka bersama-sama To' Kiyai Parjo mengikut Selamat menuju ke kubur Naesah Lawa. Apabila sampai di kubur mereka dapati Pak Uduh sedang membacakan Surah Yassin dengan tenang. Bunyi jeritan juga mula mengendur. Kepul asap juga sudah mula berkurangan. Tetapi keadaan demikian sementara saja. Selepas itu asap dari kubur semakin menebal dan jeritan suara meminta tolong semakin kuat. Sekalisekala keluar api dari celah-celah kepulan asap itu. Semakin kuat bacaan Surah Yassin dibacakan, semakin kedengaran jeritan nyaring tidak ketahuan.


"Begini Uduh...." To' Kiyai Parjo menepuk bahu Pak Uduh. "Kalau kau izinkan kita galikan semula kubur Naesah ni, kita mandikan dia dengan air Yassin" ujarnya menahan kesedihan yang menusuk-nusuk.


Pak Uduh hanya mengangguk. Lidahnya sudah tidak terucapkan apa-apa lagi.


"Kalau begitu, kau, Selamat, bawalah kawan-kawan" To' Kiyai Parjo berpaling pada Selamat. "Bawa cangkul, bawa lampu gaslin dan bawa air segeluk" perintahnya.


Selamat tidak menyahut. Dia terus mengajak beberapa orang pemuda balik semula mengambil barang-barang yang dipesan oleh To' Kiyai Parjo. Sementara bahang panas dari kubur Naesah Lawa sudah dirasakan oleh Pak Uduh.Bagaimanapun dia tidak undur dari menahan panas yang semakin membahang itu. To' Kiyai Parjo membacakan sesuatu doa sambil menghembuskan ke kubur Naesah Lawa.


Lama To' Kiyai Parjo berdoa barulah terasa bahang panas itu terasa berkurangan. Pak Uduh juga ikut sama berdoa seperti yang pernah diajarkan oleh To' Kiyai Parjo kepadanya. Tidak lama kemudian Selamat bersama dua tiga orang pemuda tadi datang membawa cangkul dan lampu gaslin. Air sejuk di dalam jag diberikannya kepada To' Kiyai Parjo.


Setelah diperintahkan gali oleh To' Kiyai Parjo mereka pun sama-sama menggali semula kubur tersebut. To' Kiyai Parjo mahu memandikan saja jenazah yang sudah dikebumikan itu dengan air yang sudah dibacakan Surah Yassin. Ketika menggalinya Selamat merungut-rungut juga kerana terasa panas. Tetapi To' Kiyai Parjo menasihatkan supaya tidak disebut-sebutkan perkara bahang panas itu. Setelah digali semula Selamat cuba membuka papan yang menutup liang lahad, tiba-tiba dia terkejut dan cepat-cepat melompat ke atas. Mukanya jadi pucat ketakutan.


"Kenapa Mat...?" tanya Pak Uduh.


Selamat tidak menjawab. Dia terkaku tidak boleh bercakap apa-apa. Untuk mempastikan keadaan sebenarnya mereka mendekatkan lampu gaslin ke tebing kubur. Pak Uduh sendiri membukakan papan dinding liang lahad tersebut. Sebaik saja papan dinding itu ditarik ke atas mereka dapat melihat ular-ular bisa berkumpul di dalam liang tersebut membelit jenazah Naesah Lawa yang baru saja dikebumikan siang tadinya. Dari mana datangnya ular-ular tersebut?


"Hanya Allah Yang Maha Mengetahui" kata To' Kiyai Parjo bila melihat kejadian tersebut.


Tentulah mustahil terdapat ular di dalam kubur yang baru saja dikorek dan baru saja dikambus semula. Mustahil jua ada sarang ular di situ. Kalau mahu dikira ular bersarang di situ, bagaimana pula dengan api dan asap yang kelihatan di atas kubur tersebut. Anehnya apabila sudah digali tidak ada langsung kesan asap atau api di situ.


"Jangan difikirkan sangat" To' Kiyai Parjo menasihatkan mereka yang terpegun melihat kejadian tersebut. "Pengetahuan Allah meliputi tujuh petala bumi tujuh petala langit. Kita yang hidup ini insaflah........" jelasnya dengan linangan air mata, bukan kerana kesedihan tetapi gementarnya kepada Allah.


Kemudian dia menyiramkan air sejuk di dalam jag yang sudah dibacakan Yassin ke tubuh Naesah yang dibelit ular-ular bisa itu. Setelah disiram air tersebut ular-ular berkenaan lari menyusup di dalam lubang liang lahad dan hilang entah ke mana. To' Kiyai Parjo turun ke dalam kubur lalu mengepal tanah tiga kepal. Dia berdoa sambil menghembuskan kepada kepalan tanah itu. Dengan tidak menghiraukan sesiapa dia terus meletakkan tanah yang dikepal tadi ke kepala mayat. Setelah semuanya selesai To' Kiyai Parjo memerintahkan supaya dikambus semula. Hari berikutnya tidak ada lagi kedengaran jeritan dari kubur Naesah Lawa.


Sementara di rumahnya Pak Uduh membaca Yassin setiap malam seperti yang diingatkan oleh To' Kiyai Parjo. Jadi, bila teringatkan pertemuan saya dengan Pak Uduh bersama Ali Burn, saya merasakan ada sesuatu yang mesti telah berlaku menyebabkan kubur Mat Yot Bidan itu jadi demikian. Tetapi disebabkan Lebai Piut tidak mahu diungkit-ungkit lagi maka saya pun tidaklah mahu bertanyakan lagi pada Judin Bauk. Bagaimanapun setelah Judin Bauk balik ke rumah barulah Lebai Piut mahu menerangkan kepada saya kisah sebenarnya mengapa kubur Mak Yot Bidan boleh jadi begitu.


"Bukan kerana ilmu sesat yang dituntut" kata Lebai Piut serba salah mahu menceritakan kepada saya. Tetapi dosa kepada sesama makhluk, inilah yang berat hendak kita tanggung" jelasnya mengeluh pendek.


"Tak ada dia menuntut ilmu sesat?" tanya saya.


"Wallahhu'alam..." dia tersengih-sengih bagaikan soalan itu mencuit hatinya. "Tetapi Yot tu berkehendakkan Latip Pekak semasa dalam tangan suaminya lagi, iaitu aruah abang haji" katanya lagi.


"Ohhh, begitu..." saya terangguk-angguk mendengarkannya.


Aruah abang haji yang disebutkan oleh Lebai Piut itu ialah abangnya sendiri Haji Suri. Saya juga mendengar berita kematian aruah Haji Suri akibat termakan racun. Heran juga saya ketika itu, kerana orang seperti dia masih ada juga orang sakit hati hingga tergamak memberi racun. Setahu saya aruah Haji Suri itu memang warak. Dia tidak pernah ambil tahu masalah peribadi orang lain. Malah dia akan bercakap kalau ada perkara-perkara yang ditanyakan kepadanya saja. Bagaimana orang seperti dia masih ada orang yang sakit hati terhadapnya. Kalau setakat hati pun tak apa juga, tetapi tergamak pula memberikan racun.


"Yot yang memberinya racun....." tiba-tiba isteri Lebai Piut mencelah.


"Hisss, awak tu diam" Lebai Piut berpaling kepada isterinya yang baru saja sampai menatang dulang air ke depan kami. "Mana awak tahu Yot yang racun, awak nampak?" katanya perlahan, tetapi jelas dia tidak senang dengan sikap isterinya membuat tuduhan itu.


"Ramai orang cakap...." jelas Mak Ton tegas.


"Cakap orang cuma syak wasangka saja. Allah saja Yang Maha Mengetahui" ujar Lebai Piut kesal dengan keterlanjuran isterinya itu. Memang Lebai Piut tidak mahu menerangkan lebih lanjut perkara sebenarnya.


Tetapi esoknya apabila saya tanyakan kepada Judin Bauk mengenai cerita kematian aruah Haji Suri itu, memang dia juga pernah mendengar khabar angin kononnya kematian aruah Haji Suri itu akibat diracun oleh Mak Yot Bidan. Habis saja edah selepas kematian aruah Haji Suri itu, Mak Yot Bidan pun terus berkahwin dengan Latip Pekak. Bagaimanapun orang-orang kampung tidak dapat ceritanya yang sahih, selain dari khabar-khabar angin. Kalau adapun, mereka yang tahu tidak ada siapa pula yang berani bercakap terus terang. Maklum sajalah Mak Yot Bidan itu merupakan bidan di dalam kampung. Masing-masing memerlukan pertolongan Mak Yot Bidan bila tiba waktunya.
 
Last edited:
Sponsored Post

1741315876167.png



Pokok Petai: Misteri Malam di Kampung Simpang

Malam itu, ketika saya baru hendak melelapkan mata, isteri saya menggoyangkan bahu saya perlahan. Ada seseorang memanggil dari halaman rumah. Dengan mata yang masih mengantuk, saya mencapai suis lampu dan melangkah ke pintu depan.

Seorang lelaki separuh umur sedang berdiri di sisi motosikal Honda tua, jelas kelihatan gelisah.

"Maaf ustaz, saya ganggu malam-malam begini..." katanya dengan nada cemas sebaik sahaja saya membuka pintu.

Saya tersenyum kecil walaupun mata masih berat. Waktu baru menginjak jam sepuluh lebih, tetapi sudah menjadi kebiasaan saya tidur awal kerana akan bangun semula menjelang tengah malam untuk menunaikan solat Tahajud dan Tasbih, terutama pada malam Jumaat.

"Tak mengapa, silakan masuk," saya mempelawanya.

"Tak perlulah, ustaz," lelaki itu menolak sambil melangkah lebih dekat. "Saya cuma nak minta tolong. Aki Sahak yang suruh saya panggil ustaz."

Saya mengangkat kening. "Di mana rumahnya?" Saya kurang mengenali lelaki ini, tapi dari paras wajahnya, jelas dia lebih tua daripada saya.

"Saya Sonok, dari Kampung Simpang." Dia menghulurkan tangan. "Petang tadi saya bawa Aki Sahak dari Mancis, rumah anaknya. Sekarang dia di rumah saya, tapi dia tetap suruh panggil ustaz."

Jantung saya berdegup sedikit lebih laju. Jika Aki Sahak memanggil saya, pasti ada sesuatu yang serius. Aki Sahak bukanlah orang yang mudah meminta bantuan orang lain, terutama jika hanya berdepan dengan gangguan biasa. Saya menelan liur, cuba menenangkan fikiran. Jika saya menolak, apa pula kata Aki Sahak? Sejak saya berpindah ke daerah ini, dia sering meminta bantuan saya, dan walaupun saya tidak selesa dengan tanggapan orang yang menganggap saya bomoh, saya tetap sukar menolak permintaan lelaki tua itu.

"Kerja ini semua kerana Allah," pesannya berkali-kali sebelum ini.

Saya segera bersiap, menyarung baju, dan membonceng motosikal Sonok menuju ke rumahnya. Malam itu gelap gelita, tanpa sebutir bintang pun di langit. Kami tiba di rumah Sonok sekitar jam sebelas lebih. Di serambi, Aki Sahak duduk bersila, dikelilingi beberapa orang jiran yang kelihatan serius.

Saya memberi salam, menaiki tangga, dan bersalaman dengan mereka yang hadir. Seorang lelaki tua memberi isyarat agar saya duduk di hujung serambi bersama Aki Sahak. Dari raut wajah mereka, jelas ada sesuatu yang tidak kena.

"Anak Sonok hilang," kata Aki Sahak perlahan tetapi tegas. "Kami perlukan bantuan ustaz."

Saya tersentak. "Bila hilangnya?"

"Tengah hari tadi," jawab Sonok. "Dia keluar menggembala kambsayaa mening di tepi kebun getah, tapi bila petang, kambing pulang... dia pula entah ke mana."

Perasaan tidak enak mula menjalar di hati saya. Anak Sonok yang hilang itu, Tamin, baru berusia sepuluh tahun. Penduduk kampung sudah pun mencari di kawasan sekitar, namun tiada sebarang jejak ditemui. Isteri Sonok, Siti, muncul di pintu dengan mata yang bengkak akibat menangis.

"Saya mohon ustaz, carilah anak saya. Kalau dia mati sekali pun, biarlah saya dapat lihat jasadnya..." rayunya sambil teresak-esak.

"Jangan cakap begitu, Siti," tegur Sonok perlahan, cuba menenangkan isterinya. Namun, saya tahu dia sendiri dihimpit keresahan.

Saya menenangkan diri seketika, lalu menoleh kepada Aki Sahak. "Apa yang Aki rasakan?"

Aki Sahak menarik nafas panjang. "Budaknya tak ada di dunia kita sekarang."

Saya terdiam. Saya tahu maksud kata-kata Aki Sahak. Jika bukan di dunia nyata, hanya ada satu kemungkinan—budak itu telah disembunyikan oleh makhluk halus.

Kami segera merancang pencarian. Saya mengambil keputusan untuk melakukan 'tidur'—satu teknik yang pernah saya gunakan bersama Aki Sahak sebelum ini. Dengan izin Allah, saya akan cuba 'melihat' di mana Tamin berada.

Saya bersila, memejamkan mata, membaca ayat-ayat suci, dan perlahan-lahan membiarkan kesedaran saya 'melayang'. Tidak lama selepas itu, saya melihat diri saya berada di sebuah kawasan paya. Saya melangkah ke hadapan, menyeberangi tanah lembap, dan mendekati belukar rotan yang padat. Mata saya melilau, mencari kelibat Tamin, namun tidak kelihatan.

Saya membaca Surah Waddhuha, memohon petunjuk. Tiba-tiba, di atas sebatang pokok petai yang menjulang tinggi, saya melihatnya—Tamin, duduk kaku di celah dahan.

Saya mengingati setiap butiran lokasi itu sebelum membuka mata. "Dia ada di atas pokok petai yang sangat tinggi," saya beritahu mereka. "Terlalu tinggi untuk dipanjat oleh budak seusianya."

Kami segera bergerak ke lokasi itu dengan beberapa orang kampung. Tapa Sungkur, yang mahir memanjat, membawa tali untuk menyelamatkan Tamin. Namun, sebaik sahaja dia mula memanjat, sesuatu yang aneh berlaku. Pokok yang kukuh itu mula bergoyang sendiri, seolah-olah ada sesuatu yang tidak membenarkan kami mendekati budak itu.

Pak Jeli, seorang bomoh tua di kampung itu, melangkah ke hadapan. "Jangan gopoh. Ini bukan kerja manusia biasa." Dia mengelilingi pokok itu tiga kali sebelum menampar batangnya dengan tapak tangan.

Seketika, satu bayang hitam besar muncul dari batang pokok, berdiri dengan mata merah menyala. Suaranya bergema di dalam hutan. "Pergi dari sini! Budak ini milik kami sekarang!"

Saya merasakan bulu roma saya meremang. Tetapi Aki Sahak tetap tenang. "Bismillah..." katanya perlahan sebelum membaca beberapa ayat. Saya dan Pak Jeli turut serta. Seakan-akan disambar kilat, bayangan hitam itu menjerit kesakitan dan menghilang dalam kepulan asap.

Tamin tiba-tiba tersedar, matanya terpinga-pinga. Tapa Sungkur segera mengangkatnya turun. Anak itu selamat, namun wajahnya masih kosong, seolah-olah jiwanya belum sepenuhnya kembali.

Menjelang subuh, kami kembali ke rumah Sonok. Siti menangis kegembiraan melihat anaknya kembali. Namun, saya dan Aki Sahak tahu, masih ada satu perkara yang perlu dilakukan. Tamin perlu dipulihkan—bukan sekadar tubuhnya, tetapi juga rohnya yang telah diganggu oleh makhluk alam lain.

Disebabkan saya tidak boleh lagi menunggu lama di rumah Sonok, saya pun segera balik ke rumah. Lagipun saya terpaksa bertugas.Bayangkan bagaimana mahu bertugas dalam masa mata terlalu mengantuk tidak tidur semalaman. Perkara mengubati Tamin saya serahkan pada Aki Sahak dan Pak Jeli saja.

Malam itu, saya merenung langit yang kelam. Hutan di kampung ini menyimpan terlalu banyak misteri. Dan saya tahu, ini bukan kali terakhir saya berdepan dengan sesuatu di luar batas pemahaman manusia.
 
Last edited:
1741316286682.png


HANTU BOTAK DALAM LOMBONG


Baru saja saya meneguk kopi di rumah Aki Sahak, dua orang lelaki tiba-tiba memanggilnya dari tengah halaman. Aki Sahak ini memang kenal baik dengan Pak Tua Mahat saya. Sebab itulah dia juga sangat menghormati saya. Dua orang lelaki itu saya lihat dalam keadaan cemas. Tetapi dia tidak terus memberitahu tujuan kedatangannya. Mereka berdua seolah-olah terkejut melihat saya ada di rumah Aki Sahak. Mungkin saya orang baru di situ, dan mereka menyangka saya juga datang meminta pertolongan dari Aki Sahak.

Memang ramai orang dari kampung-kampung jauh datang ke kampung tempat Aki Sahak tinggal ini. Mereka tahu Aki Sahak selalu dicari orang kerana mahu berubat. Sudah lebih dua puluh tahun Aki Sahak pindah ke kampung tersebut apabila berkahwin dengan isterinya Makda Saodah.

"Apa halnya?" tanya Aki Sahak.

"Adalah sikit perkaranya Aki..." sahut salah seorang darinya.

"Emm, kalau iya pun naiklah dulu" pelawanya sambil undur sedikit dari muka pintu.

Dua orang lelaki itu naik ke rumah. Mereka duduk bersebelahan dengan saya. Saya menghulurkan tangan kepada mereka berdua.

"Mat Deh..." ucap saya ketika bersalaman.

"Sali" sahut lelaki yang duduk berhampiran dengan saya tersenyum. Kami mengangguk tanda mula berkenalan.

"Saya Tonel" seorang lagi memperkenalkan diri.

"Mat Deh ni orang kampung aku..." Aki Sahak menerangkan kepada mereka. "Sengaja datang nak jenguk-jenguk aku. Kebetulan pula dia baru tukar kerja ke sini" ujarnya lalu memanggil isterinya supaya membawakan dua buah cawan lagi.

Tidak lama kemudian Makda Saodah keluar membawakan dua buah cawan kosong. Dia menuangkan kopi lalu menghulurkan kepada dua orang lelaki tadi. Kami tidak banyak berbual. Sali dan Tonel kelihatan resah saja hendak memberitahu sesuatu. Seolah-olah kehadiran saya di situ mengganggu mereka hendak bercakap kepada Aki Sahak.

"Cakaplah, apa halnya?" kata Aki Sahak setelah masing-masing terdiam.

"Begini Aki..." jelas Sali tergagap-gagap.

"Anak Bang Amud di baruh jatuh lombong, sampai sekarang tak jumpa" dia terus memberitahu perkara yang sebenar tujuan kedatangan mereka.

"Huss, mcam mana boleh jatuh lombong?" Aki Sahak macam terkejut.

"Mandi dengan kawan-kawannya. Tiba-tiba dia tenggelam, sampai sekarang tak jumpa" Tonel pula menerangkan.

Aki Sahak terdiam. Saya lihat dia merenung sesuatu yang sukar hendak dilihat dengan mata kasar.

"Banyak sangat dia nak korban. Bulan dulu lelaki tua, sekarang ni pula kanak-kanak, huss...!" Aki Sahak mendengus macam menyimpan dendam.

Dengan tidak banyak bicara saya dan Aki Sahak terus mengikut dua lelaki tadi menuju ke lombong yang dikatakan. Saya dapati sudah ramai orang berkumpul di tepi lombong. Penyelam-penyelam yang didatangkan dari bandar juga sudah silih berganti menyelam ke dalam air. Semua penyelam itu memberitahu susah mahu melihat ke dalam air kerana terlalu keruh.

Sebaliknya orang-orang kampung sudah tidak sabar lagi. Budak yang mati lemas di dalam lombong itu sepatutnya sudah ditemui. Lombong itu bukanlah luas sangat. Tetapi bagaimana pula mayat budak itu tidak ditemui lagi?

Ada juga setengah pihak mencadangkan supaya menunggu saja sampai mayat tersebut timbul. Kononnya kalau mayat mati lemas ianya akan timbul apabila perut sudah kembung dipenuhi air. Tetapi sejak dari tenggelamnya kira-kira pukul 10 pagi, sehingga jam 5.30 petang mayat berkenaan tidak juga timbul.

Ketua Kampung Pak Semail sudah berbincang dengan ketua penyelam-penyelam itu supaya diusahakan secara tradisional untuk menemui semula mayat budak tersebut. Sebaliknya ketua penyelam-penyelam itu seorang lelaki India menolak kemahuan Ketua Kampung Pak Semail. Dia tetap berpendapat kegagalan usaha menemui mayat budak yang tenggelam itu disebabkan air lombong terlalu keruh. Abang Amud yang dikatakan oleh Sali tadi, iaitu ayah kanak-kanak berkenaan sudah mula tidak yakin lagi anaknya boleh ditemui.

Dia tahu anaknya sudah mati lemas. Tetapi mengapa mayat anaknya tidak timbul ke permukaan air? Kalaulah hendak dikatakan tenggelam dalam lumpur adalah mustahil. Kemudian saya nampak Aki Sahak menarik bahu Abang Amud ke satu tempat yang jauh dari orang ramai berkumpul. Saya tidak tahu apakah yang dikatakan oleh Aki Sahak kepadanya. Saya bersama Sali dan Tonel asyik memerhatikan penyelam-penyelam silih berganti menyelam ke dalam lombong.

Sehingga jam 7.00 malam anak lelaki Abang Amud tidak juga ditemui. Ketua penyelam itu memberitahu orang-orang kampung kerja menyelam itu ditangguhkan hingga ke esok harinya. Mereka tidak dapat lagi menyelam disebabkan hari semakin gelap. Penghulu Mukim yang ikut menyaksikan peristiwa tersebut cuba mententeramkan keluarga Abang Amud. Dia nasihatkan supaya keluarga Abang Amud bersabar hingga besok paginya. Bagaimanapun penyelam-penyelam itu tetap berkhemah di tepi lombong untuk memudahkan kerjanya pada esok pagi.

Tidak lama selepas penyelam-penyelam itu menangguhkan kerja-kerja menyelam, saya nampak Aki Sahak bersama Pak Semail menghampiri Penghulu Mukim yang baru saja mahu meninggalkan tempat itu. Entah apa pula dicakapkan oleh Aki Sahak kepadanya tidak pula saya ketahui. Cuma dalam samar-samar senja saya lihat Penghulu Mukim terangguk-angguk kepala saja. Sekali-sekali dia tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Aki Sahak.

Dalam masa saya asyik memerhati Aki Sahak bersama Pak Semail bercakap-cakap dengan Penghulu Mukim, tiba-tiba Abang Amud datang menepuk bahu saya. Dia tersengih-sengih saja menjabat tangan saya. Sali dan Tonel yang ada bersama lalu memperkenalkan kami.

"Aki Sahak dah beritahu tentang Mat Deh ni..." kata Abang Amud masih dalam keadaan rusuh. "Jadi, saya nak minta tolonglah pada Mat Deh. Tolong benar-benarlah Mat Deh..." ujarnya dengan penuh harapan.

"Eh, tolong apa ni?" sahut saya tersengihsengih juga.

"Janganlah berdalih lagi Mat Deh. Saya minta tolong benar-benar ni. Aki Sahak minta saya sendiri sampaikan kepada Mat Deh" Abang Amud mendesak.

Saya menjadi serba salah dengan permintaan Abang Amud itu. Saya berpaling ke arah Aki Sahak. Dia bertiga dengan Penghulu Mukim dan Pak Semail datang menghampiri saya.

"Kalau boleh tolonglah apa-apa pun Mat Deh..." Penghulu Mukim menghulur tangan kepada saya. Cepat-cepat saya menyambut tangan Penghulu Mukim. Belum sempat saya menyahut Aki Sahak sudah menyuruh saya diam. Aki Sahak meminta saya membantunya dalam usaha mencari mayat anak Abang Amud yang tenggelam itu.

"Lombong ni bukannya sungai. Kalau sungai bolehlah kita kata budak tu hanyut. Tentu ada sesuatu yang menyorokkan..." demikian Aki Sahak menerangkan kepada orang-orang kampung yang berkumpul di tepi lombong.

Penyelam-penyelam yang bertugas juga ada sama menyaksikan. Mereka juga tidaklah membantah bila Aki Sahak menawarkan diri untuk menolong kerana mereka sudah pun mengambil keputusan menangguhkan kerjakerja menyelam.

"Perlukah bara api dan kemenyan?" soal Abang Amud.

"Tak payah. Ini bukan kerja asap kemenyan. Saya dan Ustaz Mat Deh ni tahulah nak buat macam mana..." Aki Sahak memberi jaminan.

Sedangkan saya kebingungan dengan keputusan Aki Sahak. Saya tidak tahu bagaimanakah cara mahu menolongnya. Tetapi saya tidak berani untuk bertanyakan kepadanya. Lagipun dia berkali-kali menyebut fasal Pak Tua Mahat iaitu bapa saudara saya yang sudah lama meninggal dunia. Dia memberitahu tentang Pak Tua Mahat pernah memberitahu dia mengenai diri saya.

"Kita buat Mat Deh, kita buat kerana Allah" Aki Sahak berbisik kepada saya.

Sebelum memulakan rancangan Aki Sahak itu kami semua menunaikan fardhu Maghrib terlebih dahulu. Selesai sembahyang Maghrib barulah Aki Sahak menerangkan bahawa dia mahu menidurkan saya. Barulah saya faham bahawa cara menidurkan orang satu cara perubatan yang memang pernah diajar oleh Pak Tua Mahat kepada saya, tetapi jarang saya amalkan.

Saya pun bersetujulah untuk membantu Aki Sahak. Saya sendiri yang akan ditidurkan, dan rawan (yakni roh sewaktu kita tidur) saya sendiri yang dikeluarkan mencari budak tersebut disembunyikan. Bagi orang-orang yang tidak memahami mungkin merasa pelik bagaimanakah cara demikian boleh dilakukan. Tetapi bagi mereka yang sudah mempelajari Usuluddin tidak ada apa yang hendak dipelikkan. Di sini saya tidak mahulah menerangkan, tetapi eloklah sesiapa yang ingin mengetahuinya bertanyalah kepada ahli-ahli Usuluddin.

Dipendekkan cerita, dibentangkanlah tikar di bawah sepohon pokok. Sali yang masih mempunyai air sembahyang diminta oleh Aki Sahak berdiri di belakang saya untuk menyambut tubuh saya apabila rebah ke belakang. Segala apa yang hendak dilakukan oleh Aki Sahak itu memang saya sudah ketahui.

Sebenarnya Aki Sahak juga tahu bahawa saya boleh tidur sendiri dengan tidak payah dipandu olehnya, tetapi saya sendiri berkehendakkan dia mengawas saya kalau-kalau apa yang saya hadapi nanti sukar dilawan.

"Mulakan zikir..." bisik Aki Sahak.

Saya hanya tersenyum. Kerana apa yang dicakapkan oleh Aki Sahak itu bukanlah ditujukan kepada saya. Aki Sahak memang dapat merasa diri seseorang itu sama ada berzikir atau tidak.

Dalam beberapa saat saja saya merasakan dunia menjadi gelap. Hanya saya dengar suara Aki Sahak saja memerintahkan saya supaya terus berzikir. Ketika ini saya merasakan diri saya

melayang ke udara. Apabila Aki Sahak menyuruh melihat diri sendiri, saya nampak tubuh saya terbaring di atas tikar.

"Sekarang kamu cari di mana anak Abang Amud yang tenggelam di dalam lombong ni pagi

tadi" suara Aki Sahak begitu jelas kedengaran ke telinga saya.

Dengan tidak bertangguh saya rasakan diri saya terus masuk ke dalam air lombong. Semuanya gelap gelita tidak kelihatan apa-apa. Kemudian saya dengar Aki Sahak menyuruh saya membacakan Surah Waddhuha. Setelah saya bacakan ayat berkenaan semuanya menjadi terang benderang.

Ketika ini saya nampak di tengah lombong satu lembaga manusia yang duduk bersila di tengah dasar lombong sambil meriba budak lelaki.

"Dah jumpa" bisik saya perlahan sambil memerhatikan kelakuan lembaga tersebut.

Saya berligar-ligar di dalam air itu mahu menghampiri lembaga yang duduk bersila di tengah dasar lombong sambil meriba budak lelaki. Tiba-tiba dia berpaling memerhati ke arah saya. Matanya kelihatan merah menyala-nyala seperti puntung api.

"Lepaskan budak tu..." perintah saya mengancam lembaga tersebut. Tetapi dia tidak

menghiraukan saya.

Saya terus memberi isyarat supaya dia melepaskan mayat anak Abang Amud yang diribanya. Memang saya tahu budak tersebut tidak boleh diselamatkan lagi, tetapi tidak patut puaka air itu tidak mahu lepaskan. Kalau puaka air itu berkeras saya sudah merasakan geruh telah menanti.

Sama ada saya akan menerima geruh atau sebaliknya adalah kuasa Allah saja. Tetapi puaka air itu tetap jenis syaitan yang menjadi musuh semua anak Adam. Syaitan juga mempunyai ilmu yang hebat kalau anak-anak Adam tidak mempunyai cukup persediaan.

"Lepaskan!" perintah saya lagi mengancam lembaga botak itu. "Budak ini mengganggu anak cucu aku bermain" sahut lembaga botak itu menyahut cabaran saya.

"Aku cakap lepaskan!" saya terus memberi amaran. "Mana budak tu tau anak cucu kau bermain. Kau tubuh halus, kenapa tak menyisih semasa budak tu mandi di sini" ujar saya mengingatkan.

Lembaga botak itu tetap menggelengkan kepala. Dia berkeras tidak mahu melepaskan mayat anak Abang Amud.

"Lanarjumannakum walayamassannakum minna azabun 'alim..." saya menghembus perlahan-lahan ke arah lembaga tersebut. Setiap kali saya menghembuskan nafas berpuluh-puluh anak panah dengan api menyala menjunam ke tubuh lembaga botak itu.

Saya nampak lembaga botak itu menggeliatgeliat setiap kali anak panah berapi itu singgah ke tubuhnya. Dia menjerit-jerit sambil meronta meminta saya berhenti membacakan ayat tersebut.

"Ampun minta maaf kami. Ampun..." laung lembaga botak itu menahan kesakitan. "Kami tahu awak anak buah Tok Pawang Mahat. Kami tahu, tapi janganlah seksa kami macam ni" dia merintih-rintih.

"Kalau kau tak mahu dipanah dengan api, lepaskan budak tu" perintah saya lagi.

Lembaga itu tidak menyahut. Dia hanya terkial-kial merintih meminta belas kasihan dari saya. Untuk menguji sama ada dia benar-benar mahu mengaku kalah, saya cuba berhenti dari berzikir. Sebaik saja saya berhenti berzikir tiba-tiba dia melontarkan sesuatu ke arah saya. Berdecap rantai besi memukul kepala saya. Belum sempat dia mengulangi untuk melemparkan rantai besi itu ke arah saya, cepat-cepat saya menguatkan zikir di dalam hati saya.

"Wah, kau nak main-main ye. Kau nak duga aku, kau nak duga!" saya mengherdik.

Dalam keadaan ini saya mendengar suara Aki Sahak membisikkan kepada saya, "Allahu Akhbar". Lantas saya mengucapkan Allahu Akhbar tiga kali, kemudian menghembuskan ke arah lembaga botak itu. Seluruh kawasan lombong itu bergegar bagaikan ditimpa letusan gunung berapi. Tubuh lembaga botak itu berputar-putar seperti debu ditiup angin. Dia melolong-lolong meminta saya berhenti dari mengucapkan Allahu Akhbar.

"Minta ampun kami, minta ampun..." dia merintih-rintih menahan gegaran yang menggoncangkan seluruh kawasan lombong.

"Sekarang lepaskan budak tu! Lepaskan anak Abang Amud. Budak tu dah mati lemas, tak ada guna kau sorokkan dia" jerkah saya mengancam.

"Tolonglah berhentikan dulu gegaran ni" katanya merayu-rayu.

Apabila saya berhenti menghembuskan nafas, gegaran itu berhenti. Dia tercongok semula di tengah dasar lombong meriba mayat anak Abang Amud. Saya lihat dia merintih-rintih seperti orang menahan seksaan yang berat. Tetapi dia tetap berdegil tidak mahu mengalah. Dalam keadaan tergigil-gigil menahan kesakitan itu lembaga berkenaan tidak juga melepaskan mayat anak Abang Amud yang diribanya.

"Kalau kau berdegil aku bakar kau lagi" tegas saya mengingatkan.

"Nantilah dulu tunggu sampai kami puas bermain-main dengan budak ni" dia tersenyum mengerling ke arah saya seolah-olah mahu mengejek.

"Nampaknya awak tak serik!" bentak saya.

"Kami tak mahu lawan ustaz. Kami nak bermain-main dulu dengan budak ni" ujarnya ketawa kecil.

"Kalau nak bermain kenapa tak main dengan anak cucu kau. Mau tak kalau aku ambil anak cucu kau buat mainan?" saya cuba mengujinya.

"Apa salahnya kalau ustaz nak bertukar-tukar..." dia semakin galak ketawa.

Ketika ini saya terdengar suara Aki Sahak mengingatkan supaya syaitan jangan dilayan.

Memang syaitan sengaja melalaikan kita dengan janji-janji kosongnya. Sebab itu kalau berhadapan dengan syaitan jangan lagi dilayan bercakap. Teruskan saja menyerang sampai dia tidak dapat bertahan.

Saya tahu memang syaitan tidak boleh dilayan. Tetapi saya cuma mahu menduga saja. Saya mahu tahu sejauh mana permainan puaka air yang menjelma sebagai lembaga botak itu.

Sebaliknya Aki Sahak mahu saya bertindak cepat. Mungkin orang ramai yang berkumpul di darat sudah tidak sabar lagi menunggu. Segala pertelingkahan saya dengan lembaga botak itu memang dapat didengar dengan jelas oleh mereka. Bagi orang-orang yang tidak mengetahui seperti penyelam-penyelam yang ada di situ, mungkin mereka merasakan saya sedang merepek atau bercakap sendirian. Atau bercakap untuk memperolok-olokkan orang ramai saja.

Tetapi kuasa Allah itu tidak dapatlah hendak saya tunjukkan kepada sesiapa. Kecuali mereka yang memahami dan mempelajarinya saja. Pengalaman yang sedang saya lalui itu hanya boleh diketahui oleh mereka yang mengetahui tentang ilmu Allah saja.

"Panah saja dengan lanarjumannakum..." bisik Aki Sahak. Saya mendengar suara Aki Sahak sayup-sayup dari permukaan air.

"Besarkan tubuh kamu, kerana roh manusia boleh membesar tidak ada had" kata Aki Sahak.

Saya menarik nafas. Ketika ini saya nampak dengan jelas tubuh saya menjadi besar berkalikali ganda. Lantas saya tangkap tengkuk lembaga botak itu.

"Lepaskan" perintah saya keras.

"Ampun..." sahut lembaga botak tergigil-gigil.

"Taubat, kami tak buat lagi. Kami akan lepaskan budak ni" katanya gementar. Tetapi dia tetap meriba budak itu.

"Walauanna quranna suyyirat bihiljibalu..." saya berdoa dengan khusyuk dan taqwa kepada Allah. Lalu saya hembuskan ke kepala lembaga botak itu. Kepala itu menjadi hancur seperti debu berterbangan. Jeritannya bergema ke segenap pelusuk. Hanya saya saja yang dapat mendengar jeritannya yang menggema itu. Kalaulah semua orang yang berkumpul di tepi lombong itu dapat mendengarnya, tentulah mereka sedar betapa besarnya kuasa Allah.

Hanya ayat-ayat Allah saja dapat menghancur-leburkan segala gangguan syaitan. Malah ayat-ayat yang dibacakan setiap hari sewaktu menunaikan fardhu sembahyang itu boleh menggegarkan jantung syaitan. Sekiranya mereka dapat melihat bagaimana terancamnya syaitan dengan ayat-ayat Allah itu, sudah tentu mereka insaf dengan diri mereka.

Inilah yang berlaku ke atas lembaga botak jelmaan dari puaka air itu. Dia tidak dapat menyembunyikan dirinya apabila dibacakan Surah Waddhuha. Kemudian seluruh anggotanya menjadi debu bila dibacakan ayat-ayat Quran. Kalaulah dengan ayat-ayat Quran gunung boleh dihancur-leburkan, apa sangatlah kepada Allah kalau mahu meleburkan makhluknya seperti syaitan itu.

Sebaik saja tubuh lembaga botak itu berkecai menjadi debu, mayat anak Abang Amud itu terlepaslah dari ribaannya.

"Sudah dilepaskan mayat budak tu, kejap lagi timbullah" saya memberitahu Aki Sahak. "Baiklah sekarang masuk semula ke dalam tubuh kamu, dan buka mata" saya dengar Aki Sahak memberi arahan.

Perlahan-lahan saya masuk ke tubuh yang terbaring. Kemudian semuanya menjadi gelap. Apabila saya buka mata semua orang masih mengelilingi saya. Tatkala saya mahu duduk, terdengar dua tiga orang memekik dari tepi lombong, "Itu dia, itu dia...mayat budak tu dah timbul di tengah lombong" kata mereka kegembiraan.

Tiba-tiba saya tergamam bila Abang Amud memeluk leher saya. Terasa air matanya hangat menitis di atas bahu saya. Ketika ini orang ramai sudah mula menarik jenazah anak Abang Amud ke tepi. Ketua penyelam itu segera mendapatkan Penghulu Mukim, dan dia sibuk menyediakan laporan mengenai gerakan mencari mayat budak tersebut. Di samping itu dia juga telah melaporkan ke ibu pejabatnya mengenai kejayaan menemui mayat itu.

Penyelam-penyelam itu juga mengambil keputusan untuk membatalkan perkhemahan di situ, di samping mahu membawa jenazah berkenaan ke hospital terlebih dahulu. Sementara Abang Amud membantah tidak mahu lagi jenazah anaknya dibawa ke hospital. Setelah Penghulu Mukim memberi jaminan kepada Abang Amud bahawa mayat anaknya tidak akan dibedah apabila dibawa ke hospital, barulah Abang Amud setuju. Saya juga nasihatkan Abang Amud supaya bekerjasama dengan penyelam-penyelam tersebut kerana terpaksa membawa jenazah anaknya ke hospital terlebih dulu sebagai urusan rasminya.

"Mereka juga bersusah payah menolong Abang Amud" kata saya mententeramkan Abang Amud.

"Ah, dia nak cari nama je..." rungut Abang Amud mendongkol fasal Ketua Penyelam itu pada mulanya tidak mahu kerjasama dari Aki Sahak.

"Mereka juga sama berpenat lelah" Aki Sahak juga meningatkan dia.

"Dia datang kerana tugas, sebab itu dia

perlukan bawa jenazah budak ni ke hospital.

Biarlah tugasnya selesai..." Penghulu Mukim memujuk Abang Amud.

Malam itu juga jenazah anak Abang Amud dibawa ke hospital. Sementara Penghulu Mukim sendiri mengikutnya bagi mengelakkan dilakukan pembedahan ke atas mayat berkenaan. Kira-kira pukul 2.00 pagi barulah jenazah itu dapat dibawa balik ke rumah.

Semasa orang-orang kampung berkumpul di rumah Abang Amud menunggu kepulangan jenazah anaknya, satu bunyi menggerunkan kedengaran dari arah lombong. Bunyi itu bergaung kuat seperti air disedut. Sali merapati saya dan bertanyakan apakah bunyi yang kedengaran dari lombong tersebut. Saya sendiri tidak tahu apakah harus dijawab. Sebenarnya saya tidak tahu mengenai latar belakang kampung tersebut. Tentulah saya tidak tahu kejadian yang berlaku ke atas anak Abang Amud. Hanya beberapa minggu sebelum itu seorang pengail tua mati lemas di lombong berkenaan.

Sali bertanyakan kepada saya kerana disangkanya saya dapat melihat semua keadaan di dalam lombong. Memanglah sukar bagi saya mahu menerangkan kepada Sali bagaimana saya melihat lembaga botak di dalam lombong tadi, tetapi bukannya melihat semua penjuru yang terdapat di dalam lombong.

Bunyi bergaung macam air disedut itu berulang kali semakin kuat. Saya juga terkejut dengan bunyi yang menggerunkan itu. Saya lihat Aki Sahak melelapkan mata menggunakan makrifat mahu mencari punca bunyi tersebut.

"Nampaknya dia nak minta geruh juga" bisik Aki Sahak. Mukanya kelihatan garang seperti menghadapi musuh di hadapan.

Saya merasakan bulu roma saya tegak. Ini bukanlah bererti saya bimbang menghadapi gangguan syaitan, tetapi secara automatik apabila zikir dikuatkan di dalam hati, bulu roma mudah saja tegak. Apalagi tatkala mengetahui akan gangguan syaitan.

"Kalau dia nak geruh, kita bagi geruh!" sahut saya macam mencabar lawan.

"Ini geruh lain yang dipintanya" kata Aki Sahak menggertap bibir. "Dia nak minta aku sendiri. Laknat...!" kemarahan terbayang pada wajah Aki Sahak.

Ketika ini jenazah anak Abang Amud belum sampai lagi ke rumah. Kira-kira dalam pukul 12.30 tengah malam. Bunyi bergaung macam air disedut itu cukup jelas kedengaran kepada orang ramai yang berkumpul di rumah Abang Amud menunggu kepulangan jenazah.

"Kalau begitu kita mesti ke hospital" Sali mengesyorkan. "Mana tahu kalau diganggunya pula jenazah budak tu" dia kelihatan cemas menghadapi suasana demikian.

"Nanti dulu..." ujar Aki Sahak.

"Selalukah bunyi macam tu kedengaran?" tanya saya pada Sali

"Tak pernah..." katanya menggelengkan kepala. "Seumur hidup saya tak pernah dengar bunyi macam tu" jelasnya semakin bertambah bimbang.

"Macam mana?" Aki Sahak pula bertanya kepada saya. "Aki dah biasa di sini, terpulanglah pada Aki" sahut saya perlahan.

Saya tahu Aki Sahak mahukan buah fikiran saya bagaimana mahu menghadapi keadaan selanjutnya. Cuma saya dan Aki Sahak saja yang tahu mengenai hantu botak jelmaan puaka air itu. Sebab itu dia bertanyakan kepada saya, kerana jenis puaka air ini sama juga dengan syaitan yang mesti dimusuhi oleh anak-anak Adam.

Dari Kak Liah isteri Abang Amud kami diberitahu mengenai lombong itu adalah bermula dari sungai mati iaitu teluk sungai yang terputus apabila sungai menjadi lurus. Kata Kak Liah nenek moyang Abang Amudlah yang menjaga lombong berkenaan. Semasa arwah ayah Abang Amud masih hidup dia sering membuat ancak sebagai makanan kepada penunggu di situ. Dia melakukannya adalah mengikut seperti mana dipesankan oleh ayahnya pula. Mereka turun temurun membuat ancak di tepi lombong setahun sekali dengan meletakkan ayam separuh masak di situ. Tetapi setelah kedatangan Aki Sahak ke situ, Abang Amud datang belajar agama dari Aki Sahak. Sejak itu dia tidak pernah lagi melakukan kerja-kerja memberi makan penunggu.

Seperti yang diceritakan oleh Kak Liah, sejak beberapa keturunan Abang Amud lombong itu memang sudah ada di situ. Lombong itu berasal dari sungai mati seperti yang disebutkan tadi. Lama kelamaan lombong berkenaan menjadi besar. Ikan banyak di situ. Ketika ini Pak Jarak merupakan pengail di kampung tersebut. Dari Pak Jarak inilah asal usul keturunan Abang Amud kemudiannya. Tiap-tiap hari Pak Jarak mengail tetapi tidak dapat ikan. Mahu menjala dia tidak berani masuk ke tengah disebabkan lombong itu dalam. Kalau mahu menjala dari tepi saja mungkin tersangkut pada akar-akar kayu.

Satu hari ketika hujan turun renyai-renyai Pak Jarak nampak seekor ular besar berlingkar di atas sebatang kayu yang melintang di tengah lombong. Ketika dia ternampak ular ini mata kailnya direntap ikan. Tetapi sayangnya mata kail dia tersangkut di dalam air. Pak Jarak menjadi serba salah sama ada mahu turun ke air melepaskan mata kailnya yang tersangkut atau membiarkannya begitu saja. Kalau mahu turun ke air dia bimbang akan ular besar yang berlingkar di tengah lombong berhampiran dengan tempatnya menghulur joran kail.

Dalam keadaan serba salah ini satu lembaga botak muncul di depannya. Lembaga botak ini pula berpaut pada hujung ekor ular tadi.

"Jarak...!" lembaga botak ini menegurnya. "Awak mengail di sini tak minta kebenaran kawan. Lombong ini kawan yang punya..." katanya mengingatkan.

"Mana aku tau awak yang punya" sahut Pak Jarak memberanikan hati. Sedikit sebanyak dia juga memang pawang terkenal di kampung itu.

"Kawan tak mahu awak mengail lagi di sini!" kata lembaga botak itu memberi amaran.

"Aku tak peduli..." sahut Pak Jarak tersinggung dengan sikap lembaga botak berkenaan. "Selama ini rupanya kaulah yang menyebabkan aku tak dapat ikan" jerkahnya lalu menghunus parang.

Pantas dia mencacakkan mata parang ke tanah, sambil membaca jampi serapah seperti yang pernah dituntutnya. Lembaga botak itu menjadi marah lantas melontar Pak Jarak dengan rantai besi. Pak Jarak menepisnya sambil menghentakkan tumit tiga kali ke bumi. Lembaga botak itu terhuyung hayang bagaikan dadanya kena hentak dengan tumit.

"Kalau awak berkeras juga..." laung lembaga botak itu menahan kesakitan di dadanya.

"Kawan balas dendam pada anak bini awak. Anak bini awak pun selalu mengail ke sini!" katanya mengancam.

Pak Jarak menjadi serba salah. Dia tahu puaka air itu tidak dapat melawan dia, bagaimanapun dendamnya tetap membara. Mungkin anak atau isterinya akan diganggu apabila datang ke lombong tersebut. Dia tidak boleh menegah isteri atau anaknya supaya jangan mengail di situ kalau tidak bersebab. Dia juga tidak boleh memberitahu mereka tentang apa yang dilihatnya sekarang.

"Jadi awak nak apa?" soal Pak Jarak bercekak pinggang.

"Lebih baik kita bersahabat" sahutnya tegas.

Tawaran puaka air itu mudah saja diterima oleh Pak Jarak. Ilmu kebatinannya yang dituntut selama ini memberi kesan juga. Bukan mudah mahu bersahabat dengan puaka air, seperti juga bersahabat dengan hantu raya dan lain-lain. Syarat bersahabat pun memang dia tahu. Dia perlu memberi makan sahabatnya itu setahun sekali iaitu seekor ayam panggang masak mentah, bertih dan darah ayam berkenaan. Setelah bersahabat dia boleh mengarahkan puaka air itu mendapatkan apa saja keperluannya. Dia juga boleh mendapatkan pertolongan menentang musuh-musuhnya kalau perlu apabila sudah bersahabat.

"Kalau kau mahu bersahabat, apa salahnya" ujar Pak Jarak lalu mencabut parangnya. Dia memulangkan semula rantai besi yang dilemparkan oleh puaka air ke arahnya tadi. Di situlah mereka berteguhan janji sebagai sahabat.

"Ingat, kau jangan ganggu anak cucu dan keturunan aku!" katanya meminta janji.

"Baiklah..asal saja kita tak putus sahabat" balasnya. Selepas itu ular yang berlingkar di atas batang melintang di tengah lombong itu menyelam semula ke dalam air bersama lembaga botak yang berpaut pada hujung ekornya.

Kemudian Pak Jarak merentap kailnya dan dapatlah ikan kelah sebesar daun keladi. Tiap-tiap hari bila dia mengail sentiasa dapat banyak ikan. Bagaimanapun kalau hari hujan panas dia melarang anak cucunya bermain di tepi lombong itu. Siapa yang mengail ketika itu disuruhnya balik. Apakah rahsia hujan panas itu tidak pernah diberinya tahu kepada anak cucunya.

"Macam itulah ceritanya..." jelas Kak Liah pada saya.

"Kalau begitu..." bisik saya pada Sali. "Mari kita ke baruh tengok apa yang ada di lombong sekarang" kata saya mengajaknya. Aki Sahak juga membenarkan saya pergi melihat apakah sebenarnya yang berlaku di lombong. Dia sendiri menunggu di situ saja.

Kemudian saya dan Sali terus menuju ke baruh. Sali membawa lampu picit dan berjalan di depan. Saya mengekorinya dari belakang. Ketika sampai di lombong suasana di situ terlalu gelap. Kami menyusup di celah-celah teberau untuk memerhatikan lebih dekat apakah yang sebenarnya berbunyi. Sali sendiri tidak pernah lagi mendengar bunyi tersebut. Memang bunyinya sungguh menggerunkan.

Saya menyuruh Sali memadamkan lampu picit terlebih dulu. Oleh itu kami terpaksa merempuh belukar teberau itu dalam keadaan gelap gelita. Sebaik saja sampai di tebing lombong, terdengar bunyi ergaung itu seperti air disedut. Tidak ada apa-apa yang kelihatan walaupun bunyinya terlalu hampir dengan kami. Sali terdiam tidak bercakap apa-apa. Saya tahu dia benar-benar dalam ketakutan.

"Jangan-jangan naga tak ustaz?" bisiknya gementar.

"Entahlah" jawab saya, kerana cerita naga ini tidak terlintas langsung di kepala saya.

"Sebenarnya inilah lombong yang dipanggil orang lombong guntung" beritahunya perlahan dalam keadaan cemas. "Kalau hari hujan panas pernah orang nampak ular besar timbul di tengah lombong" katanya tidak pernah renggang dari saya.

"Kau pernah nampak?" tanya saya menduga.

"Tidak.." katanya sambil memerhati ke tengah lombong.

"Pernah mengail?" soal saya lagi.

"Ada juga.." jelasnya. "Kadangkala menjala juga dengan orang kampung" dia menerangkan selanjutnya.

"Tak ada pula jumpa ular?" saya kehairanan dengan keterangan dia.

"Selalunya Abang Amud bakar kemenyan barulah orang berani mencari ikan" Sali menceritakan kepada saya latar belakang sebenarnya lombong guntung itu. Mengapakah dipanggil lombong guntung Sali juga tidak tahu, kononnya nama itu sudah ada sejak turun temurun.

Saya hanya mengangguk-angguk saja mendengar cerita Sali. Mungkin orang bandar mengatakan itu sebagai tahyol, tetapi bagi saya bukannya perkara mustahil. Di dalam Quran pun ada disebutkan tentang peranan syaitan yang menjadi musuh setiap insan. Syaitan yang nyata ialah perbuatan seseorang insan itu, tetapi syaitan yang tidak nyata adalah makhluk halus yang tidak boleh dilihat dengan pancaindera. Bagaimanapun apakah caranya saya hendak menerangkan kepada Sali tentang puaka air yang disebutkan tadi.

Memang cerita Kak Liah itu juga dianggap tahyol. Tetapi apa yang diceritakan oleh Kak Liah, sudah dapat saya lihat sendiri melalui makrifat yang dilakukan oleh Aki Sahak. Itulah lembaga botak yang dikatakan pernah ditemui oleh Pak Jarak. Sayangnya Pak Jarak cuma mempunyai ilmu pawang, bukannya ilmu agama. Maka dia telah menerima syaitan menjadi sahabatnya.

Sepatutnya seseorang insan tidak boleh menjadikan syaitan itu sahabat, sebaliknya mestilah menggunakan syaitan itu sendiri untuk melawan syaitan yang lain. Sebenarnya kita boleh menggunakan syaitan, tetapi jangan biarkan diri kita digunakan oleh syaitan. Cara bersahabat yang dibuat oleh Pak Jarak, memang selalu digunakan oleh pawang-pawang di masa lalu.

Cara bersahabat ini secara tidak langsung telah menjadikan diri kita dipergunakan oleh syaitan. Insan berhak memerintah syaitan seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam. Dan ilmu syaitan tidak akan dapat mengatasi ilmu insan seperti diterangkan dalam Quran mengenai Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam.

Tatkala Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam mahukan istana Puteri Ratu Balqis dipindahkan dan dibawakan kepadanya, jin Afrit yang merupakan syaitan paling tinggi ilmunya telah menyahut seruan Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam berjanji akan membawa istana Balqis sebelum sempat Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam bangun dari duduk.

Tetapi seorang insan telah menyahut dengan berjanji akan membawa istana Balqis sebelum sempat mata Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam berkedip. Ini menunjukkan ilmu syaitan tidak akan dapat menandingi ilmu insan. Jadi, mengapakah kita mengambil jalan bersahabat dengan syaitan?

Hal ini susah saya hendak terangkan kepada Sali. Lama saya dan Sali berdiri di tepi tebing lombong itu, tetapi tidak ada lagi bunyi menggerunkan seperti tadi. Kalau ada bunyinya saya akan menyuruh Sali menyuluh, walaupun saya tahu kalau disuluh pun tentulah tidak akan kelihatan apa-apa.

"Dah tak ada bunyinya.." keluh Sali pendek.

"Pukul berapa sekarang?" saya bertanya. Sali menyuluh jam tangannya.

"Dekat pukul dua..." beritahunya perlahan.

"Kita balik dulu..." ujar saya menepuk bahunya. "Kalau ada lagi bunyinya, esok kita ajak Aki Sahak kerjakan" terus saya tolak dia suruh berjalan di hadapan.

Sali tidak menyahut. Dia memasang lampu picit semula merempuh belukar teberau. Ketika berdiri di tebing lombong itu sempat juga saya membaca Ayatul Kursi sebanyak 133 kali. Sepanjang perjalanan balik itu tidak ada pun kami dengar bunyi macam air disedut itu lagi.

Semasa kami sampai di halaman rumah Abang Amud itulah, jenazah anaknya baru sampai dibawa balik dari hospital.
 
Last edited:
1741411531215.png



PAK KAMAT MENUNGGANG HARIMAU



Sudah lama saya tidak balik ke kampung. Kalau tidak ada hal mustahak, memang jarang saya balik. Lagipun, ayah saya sering mengirim surat memberitahu khabar berita di kampung. Bagaimanapun, dalam bulan Ogos 1975, saya balik juga menemui kedua orang tua. Tergerak saja hati saya mahu balik menemui mereka.

Ketika saya balik, emak saya masih dalam kesedihan. Heran juga saya mengapa emak dalam kesedihan kerana semasa mengirim surat, ayah saya tidak ada memberitahu apa-apa tentang berita tidak baik. Rupanya, emak bersedih disebabkan dua ekor lembunya mati. Seekor lembu dara tengah naik tubuh, dan seekor lagi induk lembu sudah dua kali beranak. Inilah yang menyedihkan emak saya. Dia memang sayang pada binatang ternakannya. Emak pernah sugul sampai dua minggu kerana kucing kesayangannya mati ditetak orang dengan parang.

Sempat kucing itu balik ke rumah dengan belakangnya terbelah akibat ditetak dengan parang. Emak terpaksa membasuh luka kucing itu dan dibubuh ubat. Bagaimanapun, dua hari kemudian kucing tersebut mati juga kerana lukanya sudah berulat.

"Kalau jual lembu tu tak kurang dari tujuh ratus ringgit seekor," ujar emak masih dalam kesedihan. "Tapi, bukan duitnya yang kita kenang. Mengapa orang sampai hati menganiaya binatang?" tegas emak terharu dengan nasib yang menimpa binatang ternakannya. Misalnya, kucing kesayangan dia yang ditetak dengan parang itu. Apalah dosa kucing itu sampai tergamak tangan manusia menetaknya dengan parang. Di manakah letaknya perikemanusiaan sebagai makhluk yang termulia dijadikan Allah sehingga sanggup melakukan perbuatan yang lebih hina dari seekor haiwan.

"Lembu tu kena racun ke?" tanya saya perlahan.

Emak tidak menjawab. Dia masih menahan kesedihan akibat kematian dua ekor lembu itu. Memang emaklah yang mengembala lembu tersebut. Emak ada memelihara enam ekor lembu. Dia tidak melepaskan lembunya seperti kebanyakan lembu yang diternak di kampung kami. Emak hanya menambatkan saja lembunya di tengah sawah kami yang tidak dapat dikerjakan kerana tidak dapat bekalan air secukupnya.

Tengahari, emak akan mengembala lembu-lembunya ke sungai untuk diberi minum. Kemudian, ditambat semula. Dalam satu hari itu, emak perlu mengalihkan lembu tiga atau empat kali saja ditambat ke tempat yang ada kawasan rumput. Jadi, adalah mustahil boleh termakan racun lembu-lembu berkenaan.

"Boleh jadi Cina meracun di kebun pisang agaknya," saya mengagak kalaulah benar lembu-lembu itu termakan racun. "Kadangkala bekas dia meracun tu boleh membahayakan kalau tak dicuci bersih," jelas saya lagi.

"Racun apa...?" ayah saya mendengus. "Dua gulung kawat mata punai sebesar tekoh dalam perutnya," beritahu ayah saya terbatuk-batuk.

"Kawat mata punai...?" saya keheranan.

"Orang Jabatan Haiwan yang belah perut lembu-lembu tu. Mereka tunjukkan kawat mata punai tu," kata ayah saya menahan perasaan terharu bila mengenangkan peristiwa tersebut. Itulah yang mengherankan emak saya. Semasa dimasukkan ke dalam kandang, emak dapati semua lembunya sihat petang tersebut. Malamnya, ketika ayah saya membetulkan unggun api, tidak ada tanda-tanda mencurigakan ke atas semua lembunya. Esok paginya, apabila ayah saya mahu ke kebun, dilihatnya seekor lembu sudah terkinjal-kinjal.

Ayah saya cuba memulihkan dengan cara mendoakan pada garam. Tetapi dia tidak berjaya. Sebab itulah ayah saya terus memberitahu Pejabat Haiwan Daerah. Kalau tidak dapat dipulihkan pun, boleh juga dijual ke pasar sekiranya pihak Pejabat Haiwan mendapati tidak ada penyakit.

Ketika ayah saya membawa Pegawai Pejabat Haiwan, seekor lagi lembunya tergolek. Sempatlah ayah saya menyembelih kedua-dua ekor lembu tersebut. Pihak Pejabat Haiwan mendapati tidak ada apa-apa penyakit. Untuk memastikan sama ada termakan racun atau tidak, mereka pun membelah perut lembu tersebut. Alangkah terperanjatnya mereka mendapati segulung kawat mata punai sebesar tekoan air di dalam perut lembu itu. Kedua-duanya terdapat segulung seekor yang sama besarnya. Setelah disahkan tidak ada termakan racun, daging lembu dijual di pasar borong saja seratus ringgit seekor.

Tidakkah mengherankan bagaimana segulung kawat mata punai sebesar tekoan air boleh terdapat di dalam perut lembu? Kalau pun lembu makan menelan seperti ular, tentu tidak tertelan kawat mata punai seperti itu. Apa lagi lembu makan mengunyah. Tetapi bila memikirkan tentang kekuasaan Allah, maka tidaklah mengherankan. Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, tentulah apa saja permohonan dari makhluknya hatta dari syaitan pun akan dimakbulkan-Nya.

"Subhanallah..." keluh saya apabila mendengar cerita dari ayah saya.

"Ah, siapa lagi, tentu orang tu yang punya kerja," ujar isteri pula geram.

"Jangan menuduh!" ayah saya mengingatkan. "Kita tak boleh menuduh, kerana kita tak tahu," jelasnya perlahan.

KEJADIAN TAK TERDUGA

"Apakah mereka merancang sesuatu yang lebih buruk lagi?" tanya saya. Ayah saya menggeleng. "Kita tak tahu apa yang ada dalam hati mereka. Ada yang terbawa perasaan tak suka pada kita," jawab ayah saya, masih dengan nada perlahan.

Isteri saya pula terdiam, tetapi air muka jelas menunjukkan dia terkejut dan sedikit terkejut mendengar apa yang ayah saya katakan. Memang tidak ada apa-apa yang lebih mengerikan selain dari meracuni haiwan yang kita sayang, apalagi untuk orang yang mempunyai niat jahat.

Tapi, tentu ada yang terfikir, apakah manfaat di sebalik perbuatan itu? Mungkin mereka tidak tahu, akibatnya bukan saja terkena pada keluarga, tetapi pada haiwan peliharaan kami. Sejak kecil saya diajar bahawa setiap perbuatan ada balasan yang menanti.

"Dia nak tujukan pada ayah dan kau..." beritahu ayah saya apabila emak dan isteri saya sudah masuk ke dalam.

Saya hanya mengangguk-angguk saja. Ini adalah sebahagian dari dugaan kepada mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu Allah. Musuh sentiasa berada di sekeliling pinggang. Kebanyakan musuh-musuh itu adalah terdiri dari manusia biasa yang diperalatkan oleh syaitan. Mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu syaitan sentiasa panas miang seperti terganggang ke api, apabila terserempak dengan mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu Allah.

Sebab itulah mereka tidak senang diam apabila keadaan mereka terancam.

"Kalau kau nak tengok sendiri, cubalah..." ujar ayah saya tersenyum. Saya tahu maksudnya menyuruh saya melakukan pengubatan cara tidur itu.

"Tak payahlah," sahut saya menyesali kejadian yang menimpa di tengah keluarga saya. "Perkara dah lepas, sudahlah," ujar saya selanjutnya.

Saya percaya dengan kata-kata ayah saya bahawa ada orang berniat tidak baik kepada diri saya dan ayah saya. Seperti saya katakan tadi Allah telah menolong hambaNya yang lemah dari dianiaya. Maka itulah sasaran orang berniat jahat tidak tepat, lalu terkena kepada dua ekor lembu.

Sebenarnya kalau Allah mengizinkan perbuatan mereka adalah tidak mustahil kalau sasarannya mengenai kami berdua. Ayah saya sendiri pernah menerima akibat dari perbuatan orang yang tidak menyenanginya. Kisahnya berlaku semasa saya masih kecil lagi dan arwah Tok Aji iaitu tok aki saya masih hidup lagi.

Di kampung ayah saya dikenali dengan panggilan Bilal Hud kerana dia menjadi bilal di surau kampung itu. Untuk menyara hidup masa itu ayah saya bekerja mengambil upah membuat kerja-kerja bertukang. Pak Kamat telah mengajaknya mengambil kontrak mengangkut pasir iaitu menggali sungai untuk membuat empangan air. Ajakan Pak Kamat ini diterima oleh ayah saya, memandangkan mereka berkawan baik.

Dari segi umur memang Pak Kamat lebih tua dari ayah saya, tetapi mereka berkawan baik kerana ada persefahaman. Sebenarnya Pak Kamat merupakan seorang pawang terkenal juga.

Seminggu mereka sama-sama bekerja mengangkut pasir, tiba-tiba hujan panas turun. Pak Kamat mengajak ayah saya berteduh di bawah rumpun buluh yang berdekatan. Semasa mereka berteduh di bawah rumpun buluh inilah ayah saya melihat Pak Kamat berdiri secara tiba-tiba. Pak Kamat mendongak dengan muka meradang. Kemudian segumpal asap berpusar-pusar di udara lalu tergendeng macam papan liang lahad mahu menyerkup mereka berdua.

Pak Kamat membaca menteranya dan dihembuskan ke arah asap berkepul tergendeng macam papan itu. Kemudian papan itu berkecai terus membentuk satu lembaga besar seperti orang berdiri terkangkang. Asap yang berbentuk lembaga orang terkangkang terbatuk-batuk beberapa kali.

"Kau jangan mungkir janji Kamat!" bentak lembaga itu keras.

"Janji apa...?" sahut Pak Kamat mendongak ke langit kerana lembaga itu terlalu tinggi seolah-olah kepalanya mencecah ke awan. "Kau tau janji kau aje, janji aku kau tak peduli..." dia menggertap bibir.

"Kamat...!" asap berbentuk lembaga menyeru namanya. "Jangan menyesal kemudian," katanya memberi amaran.

Asap berbentuk lembaga itu hilang kemudiannya. Sebaik saja asap berbentuk lembaga manusia itu hilang, hujan panas pun berhenti. Pak Kamat pucat setelah diganggu oleh hantu tinggi yang menjelma tiba-tiba.

"Bilal Hud, biarlah kawan balik dulu," katanya perlahan dalam keadaan rusuh. "Kalau awak nak balik marilah sama, kalau nak habiskan kerja, suka awaklah..." ujarnya semakin resah.

"Biarlah kawan habiskan kerja ni dulu Abang Kamat," sahut ayah saya. Memang ayah saya tidak mahu kerja bertangguh-tangguh. Kalau boleh dia mahu cepat siapkan. Lagipun Pak Kamat sudah berjanji membayar wang secara berkongsi mengenai kerja kontrak mengangkut pasir itu.

Ayah saya pula menjadi ketua beberapa orang lagi pekerja di situ. Sebab itu ayah saya tidak boleh balik bagi mengawasi mereka yang bekerja.

"Kalau begitu biar kawan balik, kawan rasa tak sedap badan," ujar Pak Kamat serba salah mengingatkan kejadian yang baru menimpa dirinya tadi.

Sebenarnya semasa hantu tinggi menjelma dalam bentuk kepulan asap tadi, tidak siapa pun menduga ianya sedang berbalah dengan Pak Kamat. Ayah saya sendiri tidak tahu. Begitu juga dengan pekerja-pekerja yang mengangkut pasir seramai sembilan orang itu, mereka juga tidak tahu kejadian yang menimpa Pak Kamat sebentar tadi.

Setelah Pak Kamat balik, mereka semua meneruskan kerja menggali sungai dan mengangkut pasir bagi tujuan membuat empangan air. Projek empangan air itu dibuat zaman penjajah bagi membekalkan air ke sawah-sawah. Kerajaan orang putih ketika itulah memberikan kontrak tersebut kepada Pak Kamat.

Apabila balik ke rumah Pak Kamat masih tidak dapat melelapkan mata semalaman itu. Walaupun dia seorang pawang terkenal, tetapi keadaan yang dialaminya sekarang sukar untuk diatasi. Sebagai seorang pawang memanglah caranya bersahabat dengan jenis-jenis syaitan seperti hantu tinggi. Kalau dia tidak memenuhi kehendak sahabatnya, maka dirinya atau keluarganya akan menerima padah.

Dia mesti memenuhi kehendak sahabatnya bagi membolehkan sahabatnya sentiasa mendampingi dia. Mudahlah dia memenangi hati Tuan Pegawai Daerah mendapatkan kerja-kerja seperti menggali sungai itu selagi sahabatnya sentiasa berdamping.

Puas dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah tersebut. Kesalahannya pada sahabatnya kecil saja, tetapi bagi sahabatnya adalah besar. Sebenarnya dia terlupa membuat simah semasa memulakan kerja seminggu sebelum itu.

Pak Kamat tidak menyembelih kambing sebagai simah dan menyimbahkan darah kambing di kawasan tempat kerja. Simah inilah kononnya yang dituntut oleh sahabatnya. Apabila dia tidak melakukan simah, maka galang gantinya adalah nyawa manusia. Inilah yang menyulitkan Pak Kamat.

Sudah tentulah korban yang dikehendakinya itu salah seorang dari pekerja di situ. Mungkin ada mala petaka yang menimpa pekerja-pekerja seramai sembilan orang, sama ada tergelincir mati lemas di dalam sungai, sama ada terkena cangkul, dan sebagainya. Pak Kamat tidak mahu pekerjanya menjadi mangsa ketika membuat kerja-kerja tersebut.

Esoknya Pak Kamat datang juga ke situ. Dia telah memberitahu ayah saya mengenai masalah dirinya. Memang kepada ayah sayalah dia meluahkan masalahnya. Sebab itulah persahabatan mereka sangat baik.

"Susah betul hati kawan Bilal Hud..." keluhnya bila mengenangkan amaran hantu tinggi yang direnungnya semalam.

"Awak yang salah, adakan hantu dibuat sahabat," ujar ayah saya bergurau. Sebenarnya ayah saya tidaklah percaya sangat dengan perkara-perkara demikian. Dia hanya menganggap tahyol saja.

"Ini bukan main-main Bilal," tegasnya meyakinkan hati ayah saya.

"Beginilah Abang Kamat..." ayah saya masih juga bergurau kerana disangkanya Pak Kamat terlalu percaya dengan perkara tahyol. "Kalau dia nak sangat, suruh ajelah jumpa kawan," katanya tersengih-sengih.

"Awak jangan cakap macam tu Bilal," Pak Kamat mengingatkan. Mukanya menjadi pucat bila mengenangkan sahabatnya menuntut janji itu. "Kawan bukan cakap main-main. Ini perkara tak boleh main-main Bilal..." ujarnya.

Ayah saya tetap dengan pendiriannya menganggap tahyol saja perkara-perkara yang dihadapi oleh Pak Kamat. Dia percaya disebabkan Pak Kamat terlalu percaya kepada tahyollah menyebabkan dirinya sentiasa dibayangi oleh khayalan tahyol itu.

Bagi Pak Kamat tentulah sukar mahu menerangkannya bila ayah saya tidak percaya akan kata-katanya.

Hari itu sekali lagi hujan panas turun. Semua pekerja berlindung di bawah rumpun aur berdekatan. Sekali lagi Pak Kamat melihat kepulan asap datang dan terdiri lembaga manusia yang tinggi, kepalanya sampai mencecah ke awan. Seperti semalam juga lembaga itu datang menuntut janjinya.

Ketika ini Pak Kamat teringat akan kata-kata ayah saya mahu bertemu dengan sahabatnya itu. Tetapi Pak Kamat tidak sampai hati mahu memberitahu perkara tersebut. Lagipun dia sudah lama berkawan dengan ayah saya. Hubungan mereka sudah macam adik beradik. Dia tahu ayah saya cuma bergurau saja semasa bercakap demikian.

"Awak berilah kawan berfikir sehari dua..." Pak Kamat menengadah hantu tinggi yang menjelma dalam kepulan asap.

"Awak nak suruh Bilal Hud lawan kawan?" jerkah lembaga tersebut marah.

"Heh, awak jangan macam tu!" terkejut juga Pak Kamat kerana lembaga itu dapat mengagak apa yang tersirat di hatinya.

"Awak jangan nak menipu kawan, Kamat," bentaknya semakin marah. "Fasal Bilal Hud awak lupa beri kawan makan..." dia mengingatkan Pak Kamat lagi. "Awak jangan mungkir janji, Kamat. Nanti awak juga yang susah," tegas lembaga itu memberi amaran.

Pak Kamat bertambah gementar. Dia semakin takut mendengar amaran yang diberikan. Selama ini dia sentiasa mematuhi apa saja kehendak sahabatnya. Dia tahu padahnya kalau membantah.

Memang perkara ini tidak dapat diterangkannya kepada sesiapa saja, kerana pertemuan dia dengan sahabatnya tidak dapat disaksikan dengan pancaindera biasa. Tentulah semua orang menganggapnya tahyol belaka, seperti ayah saya menganggap dia.

Bagaimanapun orang-orang kampung heran juga melihat keadaan dirinya. Walaupun umurnya sudah meningkat lebih lima puluh tahun, tetapi susuk badannya masih tampan. Malah dia kelihatan seakan-akan sebaya dengan anak lelakinya sendiri yang sudah berumur tiga puluh tahun. Dia juga boleh mengangkat barang yang berat-berat seperti batang sagu yang tidak dikerat-kerat, kayu tiang jambatan dan sebagainya.

Kekuatan dan ketampanannya memang mengkagumkan orang. Tetapi orang tidak tahu rahsia di sebalik kekuatan dan ketampanan dia selama ini.

"Fasal Bilal Hud, awak lupakan kawan!" bentak lembaga tinggi di dalam kepulan asap itu.

"Bukan, dia tak ada kena mengena," Pak Kamat mempertahankan ayah saya.

"Kalau awak tak berkawan dengan dia, tentu awak tak lupa nak beri kawan makan..." katanya, mengingatkan Pak Kamat.

"Tidak, bukan salah dia," ujar Pak Kamat serba salah. "Kawan yang salah. Berilah kawan tempoh berfikir sehari dua lagi," jelasnya cuba mententeramkan kemarahan sahabatnya itu.

Selepas itu, asap berkepul itu hilang dari pandangan mereka yang sama-sama berteduh di bawah rumpun aur. Mereka tidak sedar bahawa kepulan asap itu ialah jelmaan hantu tinggi yang hanya dapat dilihat oleh Pak Kamat. Setelah kabus tebal itu hilang, hujan panas juga turut berhenti. Mereka kembali membuat kerja masing-masing.

Seperti semalam juga, Pak Kamat balik dulu kerana tidak sihat badan. Ayah saya terus menggantikannya mengawas pekerja-pekerja.

"Kalau kawan tak datang esok, awak sajalah teruskan Bilal," pesannya semasa mencapai basikal untuk balik ke rumah.

"Kalau Abang Kamat tak sihat, berehatlah di rumah dua tiga hari dulu," beritahu ayah saya. Kesihan juga dia melihat Pak Kamat seperti orang tidak siuman setiap kali hujan panas turun.

Esoknya, memang Pak Kamat tidak datang. Ayah saya menjangka tentulah Pak Kamat sakit. Sejak semalamnya lagi dia sudah melihat Pak Kamat tidak cukup sihat. Mukanya pucat dan sentiasa rusuh tidak tenteram.

Bagaimanapun, kerja-kerja menggali sungai diteruskan juga. Ayah saya mahu kerja-kerja itu disiapkan seperti yang telah dijanjikan. Paginya apabila dia dan pekerjanya sampai di tempat kerja, didapati pasir yang sudah dinaikkan ke tebing semuanya sudah ditolak semula ke dalam sungai.

Pasir sudah bertimbun semula di dalam sungai. Sekurang-kurangnya memakan masa seminggu untuk mengangkutnya naik ke tebing semula. Bermakna kerja mereka bertambah lewat seminggu.

"Macam mana ni Bilal...?" salah seorang yang bekerja di situ bernama Usin Rimau bertanya. Heran juga dia bagaimana pasir-pasir tersebut boleh dikaut semula masuk ke sungai. Kalau kerja manusia, tentu sekurang-kurangnya tiga puluh atau empat puluh orang yang melakukannya.

Ayah saya juga heran. Bagaimanapun, dia menyuruh mereka semua mengangkut semula pasir naik ke tebing.

"Susah kita macam ni, Bilal," kata Usin Rimau lagi.

"Kita buat ajelah kerja kita," ayah saya mententeramkan pekerja-pekerja yang naik radang melihat keadaan tersebut.

Hari itu mereka terus bekerja seperti biasa. Terpaksa bersusah payah mengangkut semula pasir naik ke tebing. Sama ada lambat atau cepat siap kerjanya, mereka sudah tidak peduli lagi. Tetapi yang bermain di fikiran mereka siapakah punya angkara yang melakukannya.

Petangnya apabila mereka balik ke rumah, semua perkakas-perkakas kerja seperti penyodok (spade), pungkis dan cangkul semuanya dibawa balik. Mereka bimbang orang yang tidak bertanggungjawab akan datang lagi menggunakan perkakas kerja mereka untuk mengaut semula pasir di tebing ke dalam sungai.

Tetapi anehnya apabila mereka datang lagi esok paginya, semua pasir yang ada di tebing sudah dikaut ke dalam sungai. Ayah saya mula mengesyaki sesuatu. Tidak mungkin ianya dilakukan oleh manusia. Adalah mustahil manusia datang pada sebelah malam semata-mata mahu mengaut pasir di tebing dimasukkan ke dalam sungai.

"Tak apalah petang nanti aku jumpa Pak Kamat," ujar ayah saya kesal dengan kejadian tersebut.

"Lebih baik kita intai saja malam ni Bilal," Usin Rimau mencadang. Geram juga dia kerana ada orang berani mengganggu kerjanya. Kalau berani, mengapa tidak berani melakukan ketika semua pekerja ada di situ? Mengapa mesti bersembunyi kalau mahu tunjuk keberanian?

"Awak semua letih..." ayah saya tidak mahu menyiasatnya. Dia bimbang kalau bertemu dengan orang yang melakukan, tentulah terjadi pergaduhan. Masakan pekerja yang sudah berpenat lelah itu dapat menahan sabar bila ada orang cuba mengkhianati kerja mereka.

"Awak semua letih, buat apa nak berjaga-jaga malam hari. Ini semua kerja aku dengan Pak Kamat, serahkan saja pada kami," kata ayah saya, meminta Usin Rimau bertenang.

Tempat mereka mengangkut pasir itu memang jauh dari kampung, kira-kira sebatu jaraknya ke pinggir hutan. Sudah tentulah bukan kerja orang-orang yang tinggal di kampung mahu ke situ semata-mata mahu mengkhianati kerja mereka. Lagipun, siapa orang yang berani memperolok-olokkan kerja Pak Kamat, kerana mereka semua tahu projek mengangkut pasir itu kepunyaan Pak Kamat.

"Kawan seorang pun sanggup mengintainya, Bilal..." Usin Rimau menggertap bibir sambil menggenggam hulu parangnya. "Biar malam ni kawan intai, kawan nak lihat jantan siapa berani mengganggu kerja kita," ujarnya bersemangat.

Semua pekerja-pekerja itu sanggup menyiasat siapa yang mahu melakukan kerja mengaut semula pasir ke dalam sungai. Mereka serentak bertekad akan menentang musuh yang mengkhianati mereka. Soal sudah letih kerana bekerja seharian tidak perlu difikirkan. Mereka tidak mahu tenaga mereka menjadi sia-sia akibat perbuatan orang yang mengkhianat.

Mahu tidak mahu, ayah saya terpaksa mengalah. Dia juga bersetuju untuk sama-sama menyiasat. Kalau kerja manusia, apakah tujuan mereka melakukannya? Siapakah yang menyuruh? Apakah faedahnya? Adakah mereka mendapat keuntungan apabila mengganggu kerja-kerja tersebut.

Kalaulah kerja itu cepat siap tentu semua orang kampung akan senang. Kerajaan akan membina empangan batu di situ yang boleh menampung pengairan ke sawah meliputi satu mukim, yakni termasuk beberapa kampung seperti Kampung Tegom, Kampung Gasing, Kampung Cendak, Kampung Lepam, Kampung Tangah dan Kampung Hilir. Pesawah-pesawah tidak perlu lagi menggunakan empangan papan menampung air dari anak-anak sungai kecil bagi mendapatkan bekalan air.

Kadangkala terpaksa berkongsi tujuh lapan orang untuk membina empangan papan. Sawah mereka juga kekurangan air kecuali di bahagian berhampiran dengan anak-anak air. Tetapi rancangan mendirikan empangan batu itu boleh mengairkan kawasan tinggi, yang selalunya tidak dapat ditanam padi kerana tidak dapat air.

Alangkah baiknya kerja-kerja untuk mempercepatkan pembinaan empangan batu tersebut.

Sebab itu ayah saya tidak percaya orang-orang dari kampung yang melakukannya. Walau bagaimanapun, kerana Usin Rimau dan kawannya sanggup menyengkang mata untuk menyiasat, ayah saya juga bersedia mengikut kemahuan mereka. Di samping itu, mereka juga tidak mahu memberitahu Pak Kamat, kerana orang tua itu masih tidak sihat. Mereka tidak mahu mengganggu Pak Kamat, mana tahu penyakitnya akan bertambah teruk bila mendengar kejadian yang menimpa pekerja-pekerjanya.

Kira-kira jam 11 pagi, hujan panas turun lagi seperti beberapa hari sebelumnya. Mereka semua berteduh di bawah rumpun aur yang berhampiran di situ sementara menunggu hujan panas berhenti.

Tidak lama kemudian, ayah saya merasa sakit kepala. Dia memberitahu Usin Rimau kepalanya terlalu sakit, bagaikan ditusuk dengan besi tajam. Tiba-tiba saja, ayah saya pengsan tidak sedarkan diri menyebabkan semua pekerja-pekerja kelam-kabut.

Sebaik saja hujan panas berhenti, Usin Rimau pun menyuruh kawan-kawannya meninggalkan saja kerja dan membawa ayah saya balik ke rumah.

Sampai di rumah, ayah saya masih belum sedarkan diri. Satu hari, satu malam keadaannya tetap tidak berubah. Memandangkan keadaan semakin tenat, nenek saya menyuruh panggilkan saja Pak Kamat. Cuma Pak Kamat saja di kampung itu yang dikenali sebagai pawang.

"Pak Kamat pun sakit..." beritahu Usin Rimau.

"Kalau begitu, panggilkan Mahat," kata nenek saya seterusnya. "Agaknya Mahat boleh mencuba-cubakan..." jelasnya supaya diberitahu segera Pak Tua Mahat saya, iaitu anak nenek saya yang tua.

Dalam masa Usin Rimau masih teragak-agak mahu memanggil Pak Tua Mahat, Tok Aji pun sampai bersama nenek saya di sebelah ayah.

Mereka berdua sudah pun diberitahu mengenai ayah saya yang tiba-tiba saja pengsan.

"Macam mana anak kita ni, besan?" tanya Tok Aji pada nenek saya.

"Entahlah, Aji..." sahut nenek saya rusuh. "Kena dekat tempat dia mengangkut pasir itulah. Tak semena-mena hujan panas, kata Usin, lepas tu teruslah dia tak sedar diri," beritahu nenek.

Tidak lama kemudian, Usin Rimau pun terus memanggil Pak Tua Mahat. Apabila dia sampai, nenek pun menyuruh Pak Tua Mahat mengubati ayah saya yang terlantar tidak sedarkan diri.

"Pak Aji ada..." kata Pak Tua Mahat perlahan.

"Biar saya yang mengikut Pak Aji," jelasnya apabila mendapati Tok Aji sudah ada di situ.

Heran juga jiran-jiran bila Pak Tua Mahat menyerahkan kepada Tok Aji. Selama ini mereka tahu Tok Aji hanya seorang guru agama, bukannya dukun yang boleh mengubati orang sakit. Bagi mereka yang mengubat orang sakit ialah pawang seperti Pak Kamat, dan Pak Tua Mahat yang baru mahu mencuba menjadi bomoh.

"Pak Aji ni guru saya..." ujar Pak Tua Mahat sambil menepuk bahu Tok Aji. "Biarlah guru mulakan, nanti saya akan mengikutnya," katanya lagi tersengih-sengih.

Tok Aji tidak menyahut. Dia mengisar punggung menghadap ayah saya.

Tok Aji membacakan beberapa doa, tetapi keadaan ayah saya tidak juga berubah.

Bagaimanapun, Tok Aji tetap bertenang. Tidak ada kekusutan pada fikirannya menghadapi masalah tersebut sekalipun anaknya sendiri dalam keadaan tenat.

Ayah saya cuma terlentang saja tidak bergerak seperti mayat. Cuma nafasnya saja kencang turun naik. Emak saudara saya sudah mula mengusap-ngusap kepala saya seolah-olah saya akan ditinggalkan oleh ayah saya. Mereka menyangkakan tentulah ajal ayah saya sudah sampai.

Kesedihan menyelubungi suasana di rumah itu. Keadaan ayah saya memang bagaikan mayat yang dibujurkan.

Pada malam kedua ayah saya tidak sedar diri, Pak Tua Mahat pula menggunakan cara tidurnya. Hanya beberapa minit dia memulakan cara pengubatannya, dia kembali terbangun. Pak Tua Mahat tidak dapat menyemadikan dirinya untuk melakukan pengubatan cara tidur.

"Tak dapat saya masuk Pak Aji..." beritahu Pak Tua Mahat kecewa.

Tok Aji tidak menyahut. Dia mengeluh pendek melihat keadaan anaknya yang tidak sedar diri. Setelah berfikir sejenak, Tok Aji pun terus mengambil wuduk. Dia menunaikan solat sunat dua rakaat. Pak Tua Mahat mengikut apa saja yang dilakukan oleh Tok Aji.

Selesai mereka berdua solat sunat dua rakaat, Tok Aji menyuruh sesiapa yang tidak hafal Yassin mengambil Surah Yassin dan membacanya beramai-ramai. Ketika ini emak saya sudah menangis teresak-esak kerana menyangka ayah saya sudah tidak dapat diubat lagi. Ini bererti saat kematian saja yang ditunggu.

"Apa yang kau tangiskan ni?" Tok Aji memarahi emak saya.

Kemudian, Tok Aji mula membaca Yassin bersama jiran-jiran yang berkumpul di situ. Tidak kurang dari 40 orang turut membacakan Yassin. Petangnya pun Usin Rimau sudah membawakan beberapa Surah Yassin dari surau. Oleh itu, apabila Tok Aji mahu membacakan Yassin, mereka semua sudah pun bersedia.

"Kita gempur Mahat..." bisik Tok Aji pada Pak Tua Mahat.

Pak Tua Mahat mengangguk.

Semasa membaca Yassin ini, jiran-jiran semuanya melihat Pak Tua Mahat dan Tok Aji kusyuk membacakan Yassin. Ketika ini mereka berdua sudah meninggalkan tempat duduk, dan melayang-layang mencari punca yang menyebabkan ayah saya tidak sedar diri.

Selepas selesai membaca Yassin beramai-ramai, Tok Aji dan Pak Tua Mahat kelihatan terlalu letih. Mereka berdua pun tidur seperti tidak bermaya. Sehingga jam 3.00 pagi barulah mereka berdua dikejutkan oleh emak saya, setelah ayah saya mulai sedarkan diri.

Esoknya, ayah saya terus mengajak Usin Rimau ke tempat mereka mengangkut pasir. Walaupun ditegah oleh nenek saya kerana dia baru baik dari sakit, tetapi ayah saya tetap berkeras. Dia tidak kelihatan seperti sakit sekalipun tidak sedarkan diri dua hari dua malam, serta tidak makan dan minum.

Tetapi Tok Aji tidak melarang. Usin Rimau terpaksa juga ikut menemankan ayah saya, kerana dia bimbangkan keadaan diri ayah saya.

Apabila mereka sampai di situ, Usin Rimau terkejut kerana semua pasir yang dikaut ke dalam sungai sudah diangkutkan semula ke tebing. Kerja mereka selama ini tidaklah sia-sia.

Setelah ayah saya balik, barulah dia menceritakan keadaan dirinya selepas dia sakit kepala. Ketika ini, satu lembaga besar memukul kepalanya dengan kapak menyebabkan dia tersungkur. Bagaimanapun, dia sempat mengingatkan beberapa ayat Quran yang membolehkan dia bangun semula. Dia terpaksa menentang lembaga itu dengan segala kekuatan batiniahnya.

Lembaga itu melarikan diri jauh-jauh kerana tidak tertahan dengan serangan ayah saya. Lembaga itu melemparkan beribu-ribu kapak ke tubuhnya. Ayah saya merasakan kapak tersebut melekat pada segenap tubuhnya. Tetapi apabila dibacakan ayat-ayat tertentu, semua kapak-kapak itu jadi cair.

"Sekarang kau nak kacau kerja aku ye!" ayah saya semakin marah.

"Nyawa kau dalam tangan aku sekarang.." ejek lembaga itu tertawa terbahak-bahak. "Kau jangan cuba nak melawan," katanya mengancam.

"Nyawa aku di tangan Allah, bukan di tangan kau..." sahut ayah saya lalu menghembuskan ayat lanarjumannakum.

Berpuluh-puluh panah berapi menjunam tidak dapat dielakkannya.

Ketika ini, ayah saya nampak Tok Aji datang lalu menampar muka lembaga hitam bertubuh tinggi itu. Lembaga itu menjadi gerun bila terpandang Tok Aji. Tetapi Tok Aji tidak menyerang berterusan.

"Aku tahu, kau nak menguji anak aku. Cubalah!" Tok Aji mengejeknya. "Tapi jangan tunggu sampai aku sendiri memusnahkan seluruh kaum keluarga kau..." sekali lagi Tok Aji menampar mukanya sampai lembaga bertubuh hitam itu berguling. Dia tidak berani langsung mengangkat mukanya menghadap Tok Aji.

Rupanya semasa Tok Aji mengubat ayah saya, dia sudah tahu bahawa ayah saya memang sedang berlawan dengan lembaga tersebut. Sebab itulah dia bertenang walaupun ayah saya masih belum sedarkan diri. Mereka menyangka ayah saya tidak sedarkan diri kerana pengsan, tetapi sebenarnya dia sedang bertarung secara kebatinan.

"Aku takkan lepaskan kau, selagi aku tak tahu siapa yang menyuruh kau memukul curi terhadap aku!" bentak ayah saya melepaskan panah berapi-api.

Tidak lama kemudian, Pak Tua Mahat pula datang menyusul. Semasa Pak Tua Mahat sampai, lembaga itu berteriak kepada ayah saya, "Kalau kau anak jantan mari satu lawan satu, jangan kau panggil orang membantu," katanya mencabar setelah mendapati tekanan semakin kuat.

"Aku tak meminta bantuan siapa pun..." sahut ayah saya keras. Dia nampak Pak Tua Mahat datang. Cepat-cepat ayah saya menyuruh balik segera dan jangan datang membantu. Dia sendiri mahu menghadapi musuhnya.

Setelah tidak ada siapa pun datang membantu, lembaga berkenaan melontarkan semua pohon-pohon kayu lima enam pemeluk yang menerjah ke tubuh ayah saya. Semuanya datang seperti ribut. Hampir juga ayah saya lemas akibat diterjah pohon-pohon lima enam pemeluk itu.

Cepat-cepat dia membaca Surah Al-Ikhlas tiga kali kemudian menghembuskannya. Ribut pohon-pohon kayu itu terhenti disambut oleh petir halilintar yang menerkam ke arah lembaga hitam itu. Terlolong-lolong dia bila dipanah petir tidak berhenti.

"Sekarang tunjukkan siapa yang menyuruh kau datang menyerang aku?" tanya ayah saya menggertap bibir.

Lembaga itu tetap merahsiakan. Sekali-sekala dia menyerang ayah saya dengan kapak berterbangan. Tetapi setiap serangannya dapat dipertahankan oleh ayah saya. Akhirnya ayah saya tercengang-cengang bila tiba-tiba saja kawasan di situ bergegar kuat seperti dilanda gempa.

Dia nampak Tok Aji dan Pak Tua Mahat datang menghentak-hentak kaki hingga semua bukit-bukit berkecai. Lembaga itu menjadi gementar melihat Tok Aji datang bersama Pak Tua Mahat. Puas ayah saya menegahnya supaya jangan masuk campur, tetapi mereka berdua tidak peduli. Tok Aji menampar muka lembaga tersebut lalu berkecai menjadi debu. Pak Tua Mahat pula menendang dadanya sampai tulang-tulang dada lembaga itu remuk.

Lembaga hitam itu terjerit-jerit kesakitan. Dia berpusing-pusing cuba bertahan.

"Setan!" herdik Tok Aji. "Dah tahu kau teruk macam ni, masih nak berdegil lagi. Kalau aku dengan Mahat tak bantu pun, kau tak dapat kalahkan Hud. Jangan cuba kau nak kalahkan dia, kulit dia pun tak dapat kau nyenyehkan...!"

Tok Aji menghembuskan hazihi jahannamullati kuntum tu a'dun berulang kali.

Ketika ini lembaga itu berputar-putar seperti habuk dikisar angin kencang. Dia terlolong-lolong kesakitan. Dalam gema jeritannya inilah, Pak Kamat datang dengan menunggang harimau untuk menolong lembaga hitam yang berputar-putar itu.

"Cukuplah, cukuplah.." rayu Pak Kamat pada Tok Aji.

"Awak rupanya yang menganiaya kawan. Awak nak bunuh kawan!" bentak ayah saya melihat Pak Kamat di depannya.

"Minta maaf kawan Bilal Hud," ujar Pak Kamat sedih. "Dia nakkan anak kawan, sebab itu kawan gantikan pada awak," jelasnya tidak dapat menyembunyikan kesal yang amat sangat.

Setelah Pak Kamat datang ke situ menunggang harimau, Tok Aji dan Pak Tua Mahat tidak kelihatan lagi. Ayah saya seorang diri saja berdepan dengan Pak Kamat yang sudah mengakui kesilapannya. Bagaimanapun dia tidak dapat menolak janjinya dengan hantu tinggi. Dia rela anaknya menjadi korban.

Balik dari tempat mengangkut pasir dengan Usin Rimau, ayah saya mendengar berita ketika berhenti minum teh di kedai, bahawa anak perempuan Pak Kamat yang baru berumur dua tahun mati mengejut. Mereka berdua pun terus menziarahi anak Pak Kamat. Semasa ayah saya di situ, Pak Kamat sentiasa mengelak diri tidak mahu bertembung dengan ayah saya.

Itulah kisah yang pernah dihadapi oleh ayah saya. Oleh itu, saya kira peristiwa dua ekor lembu ternakannya tiba-tiba mati, dan didapati segulung kawat mata punai sebesar tekoan air di dalam perutnya itu, sebahagian dari ujian dan dugaan yang mesti diterima.
 
Last edited:
1741411203073.png



DIA BERLARI ATAS AIR



Sudah ramai orang menziarahi Aki Sahak ketika saya sampai bersama isteri saya dan Sali. Sepanjang jalan menuju ke rumah Aki Sahak, saya berfikir bagaimana Aki Sahak boleh muntah darah. Namun, saya belum dapat memastikan bagaimana keadaan Aki Sahak sebenarnya.

Hendak bertanya pada Sali pun saya rasa tidak penting. Lagi pun, Sali dalam keadaan gelabah, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Bila Abang Amud suruh memanggil saya, dia panggil. Makda Saodah suruh dia panjat kelapa ambil buah kelapa muda, dia panjat. Itu saja yang dia tahu.

Ketika saya masuk untuk mendapatkan Aki Sahak, saya lihat Abang Amud ada duduk di kepalanya. Manakala Tonel sedang menyudukan air kelapa muda yang dijampi oleh Abang Amud.

"Macam mana jadi ni?" saya duduk sebelah Tonel.

"Emm, dah geruh macam mana pula?" sahut Aki Sahak tenang. Saya lihat beberapa helai kain sudah basah dengan darah yang keluar dari mulut Aki Sahak.

Teringat saya pada kata-kata Aki Sahak semasa terdengar bunyi air disedut dekat lombong ketika anak Abang Amud mati lemas. Aki Sahak pernah menyebut puaka lombong mahukan geruh dia, bererti puaka lombong mahukan Aki Sahak sendiri menjadi galang ganti.

Heran juga saya bagaimana Aki Sahak boleh terlalai sehingga puaka lombong dapat mengganggu dia. Tetapi ini bukanlah mustahil kerana manusia ini ada kelebihan dan kelemahan. Musuh manusia akan sentiasa menunggu kelemahan itu. Begitulah yang terjadi kepada seorang ulama di Seremban, iaitu mufti Negeri Sembilan. Saya mendapat tahu Allahyarham merupakan ulama yang doanya selalu menolong orang ramai. Tetapi beliau juga menghembuskan nafas akibat muntah darah.

Jadi, tidaklah heran perkara yang sama boleh berlaku kepada Aki Sahak. Sedangkan ulama besar seperti mufti itu pun bila sampai masanya tidak dapat mengelak dari geruh, apakan pula Aki Sahak yang cuma belajar pondok. Semuanya telah ditentukan oleh Allah. Bagaimanapun, Aki Sahak masih kelihatan segar, walaupun darah banyak keluar dari mulutnya.

"Buatlah apa-apa patut ustaz..." bisik Abang Amud perlahan.

Saya tidak menyahut. Saya memerhatikan pelupuk mata Aki Sahak. Pelupuk mata itu masih segar. Cuma bibirnya agak lebam sedikit. Ada juga yang mengatakan Aki Sahak terkena 'kelintasan' yakni dilangkah oleh hantu raya atau hantu tinggi. Ada juga yang menuduh puaka lombong membalas dendam. Tetapi pada pendapat saya, jenis-jenis syaitan tidak akan berani mengganggu Aki Sahak memandangkan amalannya selama ini sudah cukup kuat mendinding dirinya.

Boleh jadi syaitan digunakan oleh orang-orang berilmu untuk menyempurnakan tugasnya. Inilah yang boleh memporak-perandakan manusia. Arwah Tok Aji, iaitu tok aki saya, juga pernah menghadapi perbuatan orang-orang berilmu yang menggunakan syaitan bagi memenuhi kehendak mereka. Tok Aji ini dilahirkan di Sumatera, kemudian dia berhijrah ke Tanah Melayu. Dia sudah berkahwin di Semenyih, di Singapura dan di Kota Tinggi, kemudian menetap di kampung saya.

Semasa dia menikah dengan nenek saya, Tok Aji sudah berumur hampir 60 tahun, manakala nenek saya baru berumur 18 tahun. Tetapi itu jodoh namanya. Tok Aji kekal dengan nenek saya sehingga akhir hayatnya.

Disebabkan Tok Aji berkahwin muda, maka ada orang yang iri hati dengannya. Dalam satu kenduri di rumah seorang kawannya, dia telah dihidangkan dengan kopi. Sebelum kopi itu diunjukkan kepadanya, Tok Aji sudah tahu bahawa yang diberikan kepadanya ialah racun santau. Bagaimanapun, Tok Aji tidak boleh mengelak dan dia mesti meminumnya juga.

"Wah, sedap kopi ni," katanya bila menghirup kopi tersebut. Orang ramai yang menyaksikan tidak tahu apa yang telah berlaku.

Setelah diminumnya, Tok Aji seperti biasa saja. Tidak ada apa-apa yang berlaku ke atas dirinya. Tetapi tidak semena-mena, anjing di bawah rumah terjerit-jerit lalu mati dengan darah mengalir di mulutnya. Selepas itu, beberapa kali Tok Aji telah diuji, dan dia terpaksa meminumnya sekalipun diketahuinya air tersebut telah dibubuh racun santau.

Arwah Tok Aji memberitahu saya, racun santau ini dibuat oleh manusia dari serbuk kaca yang mempunyai ibu. Kadangkala orang yang menyimpan santau ini tidak perlu membubuhkan sendiri racun santau tersebut, memadai dengan menyeru saja maka ibu racun itu akan terbang seperti lipas dan memasukkan racun santau berkenaan ke dalam makanan mangsanya.

Sebab itulah ayah saya tidak mahu mengetahui sangat tentang racun santau, kerana katanya sesiapa yang sudah mengetahui, maka dugaan sentiasa mengganggu seperti arwah Tok Aji. Bagaimanapun, ayah saya pernah juga mahu diduga. Semasa saya bersamanya mengikut orang bertakbir Hari Raya pada malam Hari Raya, tiba-tiba gelas yang dihulurkan orang kepada ayah saya meletup dan pecah. Air kopi dari gelas itu menimpa kepala saya.

Semua orang menyangka pipi dan muka saya melecur terkena air panas. Tetapi apa yang saya rasakan adalah sebaliknya. Air kopi itu sejuk seperti dimasukkan ketul air batu. Rupanya ayah saya tidak mengambil ilmu santau dari Tok Aji yang mesti diminum kalau mengetahui santau ada di dalamnya. Ayah saya mempelajari doa supaya tidak sampai untuk diberikan kepadanya.

Walaupun Tok Aji dapat mempertahankan dirinya dari racun santau, tetapi apabila akhir hayatnya, bisa racun santau itu naik semula. Dia tercungap-cungap seperti itik kena sembelih sehinggalah nafasnya yang terakhir.



PENYAKIT YANG MENGANCAM

Saya duduk bersendirian merenung kembali kejadian yang berlaku pada Aki Sahak. Keadaannya yang semakin teruk, batuk berdarah yang dikeluarkannya, mengingatkan saya kepada sesuatu yang pernah terjadi kepada orang lain. Saya teringat kepada kata-kata yang selalu diulang oleh aruah Tok Aji, yang mengingatkan tentang bahaya racun santau yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada seseorang.

Inilah yang saya fikirkan kalau apa yang dialami oleh aruah Tok Aji dilakukan oleh Aki Sahak. Mana tahu bisa racun santau yang mengancamnya sekarang sudah bertahun-tahun dulu dihirupnya. Mungkin dia terpaksa menghirupnya seperti aruah Tok Aji kerana amalannya terpaksa meminum juga.

Hal demikian bukan berlaku ke atas orang-orang yang mendalami ilmu agama saja. Malah bomoh-bomoh terkenal juga mengalaminya. Seorang sahabat saya telah mempelajari ilmu mempertahankan diri dari racun santau ini dari ayahnya yang seorang bomoh. Sekarang sahabat saya berkhidmat dalam pasukan askar. Ketika dia menuntut ilmu dari ayahnya, dia masih di kampung dan menoreh getah.

Pernah juga dia mengajak saya menuntut dari ayahnya ilmu mempertahankan diri. Tetapi entah mengapa hati saya enggan saja mahu mempelajarinya. Mungkin kerana saya lebih tertarik dengan pelajaran agama dari aruah Tok Aji, menyebabkan saya tidak tertarik hati dengan ilmu-ilmu bomoh ini. Lagi pun saya tidak berniat langsung untuk menjadi bomoh, seperti kawan saya itu. Malah dia sendiri, setelah menyertai pasukan askar, langsung melupakan cita-citanya mahu menjadi bomoh itu.

Selepas dia tamat melalui ujian ilmu mempertahankan diri dari racun santau, satu hari apabila dia balik dari menoreh getah, dia terasa haus lalu meminta air dari emaknya. Oleh kerana emaknya lewat membawakan air, maka kawan saya terpandangkan botol aiskrim soda. Pada sangkaannya itu tentulah aiskrim soda. Tanpa berfikir panjang, dia pun menghirupnya hingga habis sebotol.

Apabila emaknya keluar, alangkah terperanjatnya orang tua itu kerana yang diminum oleh kawan saya itu ialah cuka getah yang baru dibeli oleh emaknya. Kelam kabutlah emaknya menyaksikan kejadian tersebut. Tetapi tidak ada apa pun merosakkan dia. Kawan saya hanya tersenyum saja selepas meminum cuka getah tadi.

Tidak tahulah bagaimana dia sekarang, kerana sudah lama saya tidak berjumpa dengannya. Dia pun sudah berkahwin dengan orang Kluang di Johor. Jadi, jaranglah saya dapat bertemu dengannya.

KEADAAN AKI SAHAK

"Cubalah buat apa-apa ustaz..." desak Abang Amud lagi.

Aki Sahak tersandar pada bantal. Dia kelihatan letih sedikit, tetapi matanya tetap segar. Dia tersenyum memerhati saya yang sudah ada di sisinya.

"Takkan kau nak biarkan Aki macam ni?" tangannya menampar lutut saya.

Saya tidak juga menyahut. Menghadapi orang berilmu seperti Aki Sahak bukanlah mudah. Kadangkala dia sengaja mahu menguji seseorang walhal dia memang tahu bagaimana mahu mengatasinya. Tidak ada langsung tanda-tanda dia dalam kesakitan apabila saya mula-mula menjengahnya tadi.

"Buatlah apa-apa pun..." pinta Aki Sahak masih memegang kepala lutut saya.

"Bila kena ni?" saya mengeluh pendek.

"Tiba-tiba aje..." Makda Saodah mencelah.

"Lepas makan tengahari tadi dia rasa sakit dada. Langsunglah jadi macam tu," jelasnya dalam keadaan rusuh.

"Aki, tak buat apa-apa?" tanya saya perlahan.

"Nak buat apa...!" jawabnya tersengih-sengih. "Tok Kadi pun tak boleh nikahkan diri dia sendiri. Orang sakit macam Aki ni pun tentulah tak dapat nak ubat diri sendiri..." ujarnya ketawa seperti menyindir.

Serba salah juga saya dibuatnya. Keadaan Aki Sahak memang tenat, tetapi saya lihat dia tidak seperti orang sakit. Suaranya tetap tenang. Sekali-sekala dia terbatuk hingga keluar darah pekat dari mulutnya. Darah yang keluar dari mulut Aki Sahak itu seolah-olah orang yang mengalami luka parah. Kalau dibiarkan, mungkin Aki Sahak akan kehilangan darah. Ada juga orang yang mendesak Aki Sahak supaya dibawa ke hospital, tetapi Aki Sahak enggan. Dia yang suruh Abang Amud segera memanggil saya.

Sebenarnya saya jadi bingung menghadapi keadaan demikian. Kalau Aki Sahak yang saya anggap guru sudah tidak dapat bertahan, bagaimana pula saya boleh membantunya? Saya sendiri tidak tahu apakah ubatnya, kerana sebelum ini saya tidak pernah mengubati orang terkena racun atau santau. Lainlah kalau gangguan syaitan, boleh juga saya mencuba-cuba.

"Penyakit macam ni jenis gangguan syaitan juga..." ujar Aki Sahak macam mengetahui apa yang terbendung di jiwa saya.

"Macam mana saya nak mulakan?" saya serba salah.

"Buatlah macam mana pun..." desak Aki Sahak tersenyum pahit. Darah masih mengalir juga apabila dia terbatuk.

Saya hanya mencuba. Tidak tahu apakah ayat-ayat tertentu harus digunakan. Saya merenung muka Aki Sahak tepat-tepat sambil berzikir khusyuk di dalam hati hingga terasa zikir itu menyeluruh ke segenap badan. Ketika ini, saya dapat merasakan diri saya ditolak kuat oleh satu tenaga, tetapi tenaga itu tidak berdaya menolak saya.

Akhirnya saya tenggelam dalam zikir. Saya tidak takut kepada apa pun yang mencabar. Hanya berserah saja kepada Allah untuk meminta pertolongan dan perlindungan. Saya terus menyemadikan diri, "Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Hayyum Ya Qayyum, Ya Zaljalalil Wal Ikram, kepada Engkaulah aku memohon pertolongan". Demikian saya memulakan doa yang menyerahkan diri semata-mata kepada Allah.

Lama saya menguatkan zikir saya, barulah saya merasakan diri saya cukup gagah. Kekuatan yang ada pada saya sudah cukup untuk menghadapi sebarang musuh yang berdampingan dengan syaitan.

PENYELAMATAN DARI KEJADIAN MISTERI

Saya melihat seorang lelaki tua yang pernah saya temui sedang mengambil miang rebung yang dikumpulkan dalam satu balang. Puas saya cuba mengingatkan di mana saya pernah bertemu orang tua tersebut. Orangnya kurus, tetapi tinggi susuk tubuhnya. Dahinya sulah dan rambutnya jarang sedikit. Sudah dipenuhi uban hingga memutih.

"Tua kutuk..." keluh saya meluat melihat perangainya. Tidak sedar sudah tua tetapi masih mahu melakukan perbuatan yang dilaknati Allah. Sepatutnya orang tua seperti itu mestilah melebihkan amal ibadat.

Miang rebung yang diambilnya tadi digaul dengan serbuk kaca yang ditumbuk halus. Kemudian balang berisi serbuk kaca yang digaul dengan miang rebung itu diasap dengan kemenyan. Selepas itu, balang tersebut ditapakan jauh dari kampung, di satu tempat yang dirahsiakan.

Orang tua itu memuja balang berisi serbuk kaca dengan miang rebung itu hingga timbul ulat-ulat seperti bubuk di dalamnya. Ulat-ulat ini menjalar dalam gumpalan miang rebung yang seakan-akan rambut itu. Sebenarnya saya tidak nampak dengan jelas, hanya seperti bayang-bayang saja. Sebab itulah orang tua yang saya lihat hanya seperti bayang saja. Bagaimanapun, saya cam mukanya kalau bertemu di mana-mana.

"Tua kutuk..." keluh saya perlahan.

Orang tua itu berpaling. Dia seolah-olah mendengar keluhan saya tadi. Sebaik saja melihat saya berdiri bercekak pinggang menghadapnya, orang tua itu cepat-cepat melontarkan serbuk kaca itu ke mata saya. Tetapi serbuk kaca yang dilemparkan kepada saya itu tersekat pada tembok yang memagari saya tiba-tiba.

"Kau berani datang ye!" pekik orang tua tersebut kelihatan marah.

"Orang tua macam awak ni patutnya banyakkan amal ibadat," saya menyindir. Marah sangat saya kerana dicabar oleh orang tua berkenaan.

"Kau datang nak cabar aku...?" dia mengancam dengan pandangan yang menggerunkan.

"Bukan fasal cabar mencabar," jelas saya mengerling ke arahnya. "Kerja awak ni kerja syaitan. Jadi hamba syaitan. Dilaknat Allah..." ujar saya seterusnya.

Dia semakin marah bila saya sindir begitu. Dia melepaskan beribu-ribu ekor ular mahu mematuk saya. Tetapi ular-ular yang dilepaskan oleh orang tua itu semuanya terbakar hangus bila saya hembuskan ayat-ayat yang tertentu. Bertambah marah dia bila dilihatnya semua ular-ular yang menyerang tadi terbakar hangus.

Kemudian, dia membawa saya ke lombong tempat anak Abang Amud mati lemas. Dia berlari-lari di atas air tersebut bagaikan berpijak di atas bumi. Orang tua itu ketawa berdekah-dekah bila melihat saya kehairanan memerhati dia berjejak di atas air.

"Awak berkawan dengan puaka, berkawan dengan syaitan..." bentak saya mula mengancam dia. Melihatkan saya marah orang tua itu semakin kuat tertawa. Dia bertandak di atas air lombong itu seolah-olah memperagakan kebolehan luar biasanya.

"Awak nak tunjuk kepandaian awak ye!" saya cuba mengawal perasaan marah apabila diejek-ejek. Dia tidak menghiraukan kata-kata saya, sebaliknya terus bertandak-tandak. Tetapi dia tidaklah menyerang saya seperti mula-mula tadi. Mungkin pada peringkat kedua dia hanya mahu saya meradang saja. Memang inilah cara syaitan mahu mengalahkan manusia. Dia sengaja mahukan kita marah supaya mudah baginya mencari kelemahan.

Mujurlah saya sedar akan tipu muslihat syaitan yang mahukan saya marah. Setelah dapat mengawal diri, saya pun mula membacakan beberapa ayat Quran dan menghembuskan ke arahnya. Air lombong tiba-tiba menggelegak dan cair. Orang tua itu tercungap-cungap lari mencari tanah daratan.

"Sahabat kau tak akan datang menolong!" saya mengejek dia. Kerana saya tahu dia lari ke lombong adalah untuk mendapatkan pertolongan syaitan yang menjadi sahabatnya.

"Sahabat kau akan dipanah petir kalau berani datang menolong kau," kata saya lagi menyebabkan dia mulai marah. Gelak ketawanya tidak kedengaran lagi, sebaliknya mendengus-dengus marah.

Dia berpaling mahu menentang. Entah macam mana dia menjadi gementar apabila bertentang mata dengan saya, ketika ini saya sedang azan. Gema azan itulah menyebabkan syaitan yang diserunya tidak berani datang menolong. Nampaknya dia menggunakan puaka lombong itu untuk menentang saya.

"Serulah sahabat-sahabat kau," saya terus mengejek. "Selagi kau bersahabat dengan syaitan, selama itulah kau ditipu oleh syaitan. Tak mungkin syaitan datang menolong kalau dia tak dapat keuntungan," kata saya lagi.

Orang tua itu semakin marah. Tetapi dia tidak berani menentang saya disebabkan syaitan yang diserunya tidak datang setelah saya azan tadi. Bumi tempatnya berpijak juga bergegar menyebabkan dia terhuyung-hayang tidak dapat berjejak.

"Bertaubatlah, dan kembali ke jalan Allah," saya menyerunya.

Dia tidak juga menyahut. Berlegar-legar dia mahu menyerang. Tetapi setiap kali dia mahu mencuba, gegaran bumi semakin kuat menyebabkan dia terhuyung-hayang tidak dapat berjejak.

Orang tua ini memang manusia biasa, tetapi dia menggunakan ilmu syaitan untuk kepentingan diri sendiri. Tidak heranlah mengapa manusia demikian mudah tertipu kerana syaitan boleh memperdayakan mereka dengan janji-janji untuk memberi kekuatan, kekayaan, kemewahan atau apa saja yang dihajat.

Syaitan akan memberikan mereka kebal tidak lut oleh besi, syaitan menjanjikan kebolehan menyerang musuh dari jauh saja, syaitan menjanjikan ilmu yang boleh ghaib dari pandangan mata. Hal-hal seperti inilah menyebabkan manusia mudah terpedaya. Segala janji-janji syaitan itu adalah untuk sementara saja, iaitu selagi manusia mahu mengikut perintahnya.

Bagaimanapun, syaitan akan lari meninggalkan manusia tadi, apabila dia terseksa dengan ayat-ayat Quran. Dengan itu, manusia yang ditinggalkan oleh syaitan akan terseksa pula sebagai galang gantinya. Inilah yang terjadi pada orang tua berkenaan.

Memang saya cam orang tua tersebut. Bagaimanapun, saya terpaksa rahsiakan dia dari pengetahuan orang-orang kampung. Orang tua ini ada hubungan kekeluargaan dengan Abang Amud. Semasa saya membantu Aki Sahak mencari mayat anak Abang Amud yang tenggelam di dalam lombong, dia juga ada menyaksikannya bersama.

Dialah yang mendesak Ketua Penyelam itu supaya meneruskan kerja mencari mayat tersebut dengan tidak payah pertolongan dari Aki Sahak. Apakah tujuannya tidaklah saya tahu.

PERBICARAAN DENGAN ORANG TUA

"Apa yang awak sakit hati sangat pada Aki Sahak?" soal saya mengherdiknya.

Dia mengacau hak orang..." sahutnya marah.

"Apa yang dikacaunya?"

"Kawasan ni kami punya!"

"Kawasan apa?"

"Kawasan anak ubat kami..." katanya dengan penuh kemarahan.

"Dia cuma menolong," saya cuba menjelaskan.

"Tidak! Dia bawa ilmu Allah, awak kata mengacau?" sindir saya.

Orang tua itu menjadi serba salah. Memang ada niat dia mahu menyerang saya. Tetapi setiap kali dia mahu menyerang terasa dadanya bagaikan kena pijak. Memang telah saya perhatikan sikapnya, sebab itu saya sudah menghentakkan tumit saya ke bumi dengan makrifat memijak jantungnya.

"Kalau awak berani lepaskanlah kawan.." bentaknya pula mahu menerkam saya.

"Kalau sahabat awak boleh menolong lepaskanlah sendiri," sahut saya mengejeknya.

"Awak halang dia, macam mana dia nak datang!" katanya.

"Kalau awak handal lepaskan halangan tu," kata saya sengaja menyakitkan hatinya.

Berkali-kali dia cuba menerkam tetapi terasa jantungnya terpijak. Dia mengerang kesakitan bila terasa jantung kena pijak. Akhirnya dia memekik kuat melepaskan kemarahannya. "Kau nak bunuh aku ke?" jeritnya menggema.

"Awak nak bunuh Aki Sahak kan?" soal saya kuat sedikit.

"Fasal dia nak bunuh sahabat aku!" jawabnya membentak.

"Kalau awak tak mahu malu, pergi sekarang," perintah saya masih tidak melepaskan tumit yang dihentak ke bumi. "Kalau tidak awak malu, keluarga awak pun malu," saya mengingatkan dia.

"Biar mati aku takkan mengalah dengan kau!" dia berkeras tidak mahu mengalah.

"Mengapa kau beri Aki Sahak santau?" jerkah saya apabila dia berkeras tidak mahu berundur.

"Kau fikir kau boleh selamat? Ayat-ayat Allah lebih berkuasa dari santau, awak tau!" ujar saya seterusnya.

Untuk mengujinya sengaja saya lepaskan tumit dari menekan bumi. Serentak dengan itu dia menerkam saya. Bagaimanapun, belum sempat dia sampai kepada saya, orang tua itu jatuh terhempap ke bumi. Saya menghembusnya dengan Surah Al Fatihah hingga dia terlambung tidak dapat bertahan.

Kemudian saya susul dengan Surah Al Ikhlas. Ketika ini berpuluh-puluh bukit berterbangan menimpa ke atas dirinya. Dia terhimpit di bawah bukit-bukit yang berterbangan.

"Kau tidak akan dibantu oleh sahabat kau. Dia juga akan hancur kalau cuba mendekati," saya menyerunya berulang kali.

Setelah saya melihat dia tidak bergerak di bawah himpitan bukit-bukit yang berterbangan, barulah saya mengembalikan diri saya seperti sediakala. Saya masih menghadapi Aki Sahak yang terbaring. Dia kelihatan lemah sedikit. Darah juga sudah mula kering dari mulutnya. Di samping itu air kelapa muda yang sudah didoakan oleh Abang Amud tadi disudukan ke mulut Aki Sahak. Saya tahu Abang Amud mendoakan 'peluruh' iaitu mengatasi bisa racun, tetapi 'peluruh' yang diberikannya belum lagi berkesan.

Walaupun keadaan Aki Sahak sudah ada reda, dia masih juga terbatuk-batuk. Bahang panas di dadanya terasa berwap-wap. Lalu saya pun meminta air sejuk dari Makda Saodah. Pada sangkaannya saya mahukan air minum, maka mereka pun memberikan kopi O.

"Bukan saya nak minum," ujar saya tersenyum kerana geli hati. "Air nak buat ubat..." jelas saya.

Barulah Makda Saodah menghulurkan kepada saya satu jag air sejuk. Saya membacakan Yassin tiga kali. Selepas itu air tersebut diberi minum pada Aki Sahak. Kira-kira sepuluh minit selepas dia minum air tersebut, Aki Sahak muntahkan darah dengan lendir-lendir putih.

Saya suruh muntah itu ditadah dalam besen supaya tidak habis tempat tidur. Tiga kali Aki Sahak terjeluih muntah. Kali yang ketiga muntahnya tidak lagi darah tetapi segumpal rambut sebesar penumbuk, serbuk kaca dan miang rebung. Setelah semuanya habis keluar, barulah kelihatan Aki Sahak terkulai lemah akibat keletihan.

Disebabkan keadaan baru pulih, saya pun menyuruh Aki Sahak tidur saja. Jiran-jiran pun saya tidak beri mengganggunya. Biarlah jangan ditanyakan apa-apa sehingga Aki Sahak pulih betul-betul. Biasanya dalam masa seminggu barulah ada perubahan sedikit.

"Kerja siapa agaknya?" Sali menggertap bibir.

Barulah dia mahu bersuara setelah melihat Aki Sahak tidak lagi terbatuk-batuk.

"Siapa agaknya ustaz?" Abang Amud pula bertanya.

"Mana kita nak tau?" sahut saya lemah.

Sebenarnya saya juga terlalu letih. Pada lahirnya memang nampak saya duduk saja di situ, tetapi keletihan yang saya alami seolah-olah baru saja mengangkat beban berpikul-pikul.

"Kalau tau orangnya..." Sali menumbuk-numbuk tinju ke tapak tangan. "Kalau tau orangnya, aku pijak-pijak kepalanya. Aku terajang dia...!" gerutunya macam menyimpan dendam.

Saya mendiamkan diri saja. Biarlah Sali melepaskan geramnya. Saya tahu dia tidak akan bertindak kerana dia tidak tahu siapakah yang didendamnya. Tugas saya sudah selesai iaitu cuba mengubati Aki Sahak. Soal membalas dendam bukan kerja saya. Sebab Allah sendiri menjanjikan: Setiap perbuatan yang baik ada ganjarannya di akhirat, dan setiap perbuatan jahat ada balasannya di akhirat.

"Hati binatang!" Sali masih merungut marah.

Kalaulah saya terangkan siapakah orang yang ternampak oleh saya, mungkin Sali sanggup menyerangnya. Tetapi saya tidak boleh memberitahunya.

Kadangkala bayangan yang kita lihat itu tidak semestinya benar. Boleh jadi orang yang berniat jahat itu menjelmakan dirinya seperti orang lain. Sudah tentulah kita menganiaya orang apabila kita memberitahu apa yang kita lihat.

Sebab itu aruah tok aki saya melarang menyebutkan orang yang kita lihat melalui bayangan itu kepada keluarga pesakit. Ditakuti mereka akan bertindak membalas dendam.

"Ustaz tak tau siapa orangnya?" tanya Sali semakin kejap menggertap bibir.

"Tidak..." saya menggeleng kepala.

"Kita baca Yassin ramai-ramai," Abang Amud pula mencadangkan. "Kita balikkan semula pada orang yang membuat Aki Sahak," katanya membayangkan kemarahan yang membakar perasaannya. Dia berkisar punggung bagaikan mahu melompat menerkam sesiapa saja.

"Jangan ikut perasaan..." Aki Sahak membuka matanya perlahan. Rupanya sejak tadi dia mendengar saja perbualan kami. "Jangan ikut perasaan. Kau boleh bacakan Yassin dengan niat nak membunuh orang. Kalau Allah makbulkan, kau mesti ingat dosanya! Dosanya tetap dosa membunuh juga," suara Aki Sahak masih lemah tetapi nadanya keras.

"Orang hati binatang yang buat ni..." sahut Sali mengepal tinju kejap-kejap, kemudian meninju-ninju kepala lututnya.

"Habis, kau nak ikut pula jadi hati binatang?" soal Aki Sahak bangun perlahan-lahan bersandar pada bantal. "Kalau kau nak balas juga, kau pun sama macam dia. Sama berhati binatang!" Aki Sahak mengingatkan.

Sali tidak berani membantah cakap Aki Sahak lagi. Bukan saja Aki Sahak itu gurunya, tetapi juga pangkat bapa saudara pula. Makda Saodah itulah emak saudara Sali. Sebab itu dia tidak berani sangat berbantah-bantah dengan Aki Sahak.

"Allah lebih Maha Mengetahui..." jelas saya setelah Sali terdiam dimarahi Aki Sahak. "Kalau setiap hari sekurang-kurangnya kita melafazkan iyya kana'budu waiyya kanastai'n tujuh belas kali dalam solat kita ketika membaca Fatihah iaitu hanya kepada Engkau aku sembah dan hanya kepada Engkau aku memohon pertolongan, mengapa kita mesti membalas dendam! Mengapa kita tidak mematuhi ikrar kita dengan Allah?" kata saya mengerling Sali.

Sali terdiam. Terasa juga dia sudah terlanjur bercakap mengikut perasaan.

Ketika itu, terdengar suara seorang perempuan memanggil Pak Semail, Ketua Kampung, dari tengah halaman. Pak Semail yang duduk di belakang saya terkejut juga apabila mendengar ada orang yang mencarinya ketika itu, sedangkan Aki Sahak masih belum pulih akibat termakan santau.

"Ada Abang Mail di sini?" perempuan itu bertanya dari tengah halaman sebaik saja pintu serambi dibuka oleh Makda Saodah.

"Oh, kau tadi Sumi, naiklah," pelawa Makda Saodah masih berdiri di muka pintu.

"Ada Abang Mail di sini?" ulangi perempuan yang dipanggil Sumi oleh Makda Saodah itu.

"Ada..." jawab Makda Saodah. "Macam mana pun, naiklah dulu..." dia mengajak Sumi naik ke rumah.

Belum sempat Sumi menyahut, Pak Semail sudah berdiri di belakang Makda Saodah. "Apa halnya, Sumi?" tanya Pak Semail bimbang.

Berdebar juga hatinya bila adiknya itu datang memanggilnya ke situ. Sumi tidak terus memberitahu. Dia kelihatan rusuh sedikit tetapi masih juga tercegat di tengah halaman.

"Apa halnya?" tanya Pak Semail lagi.

"Rumah kami dilanda ribut," jelas Sumi tergagap-gagap.

"Abang Fakeh terperangkap dalam runtuhan rumah tu..." dia tersedu-sedu menahan perasaannya yang menyebak ke dada.

"Ribut apa pula?" Pak Semail keheranan kerana kampung itu tidak dilanda ribut.

Tidak ada tanda ribut atau hujan melanda. Kampung itu tetap cerah dengan cahaya matahari petang yang memancar bersih.

"Macam mana boleh ada ribut, rumah kau bukan jauh dari sini..." ujarnya sambil beristighfar beberapa kali.

"Entahlah..." Sumi menggeleng kepala. "Tapi ribut kencang tadi saya ada di rumah. Saya sempat terjun ke tanah sebelum rumah tu roboh," jelasnya perlahan. Dia juga heran kerana di kawasan rumah Aki Sahak itu tidak ada pun kesan-kesan dilanda ribut. Kalau ada ribut melanda, tentulah habis sebuah kampung terlibat. Inilah yang mengherankan mereka.

"Marilah kita pergi tengok Pak Fakeh..." saya mencadangkan.

Saya bersama beberapa orang jiran lelaki yang ada menziarahi Aki Sahak terus mengikut Pak Semail.

Apabila sampai ke rumah Pak Fakeh, memang semuanya terkejut melihat keadaan di situ. Rumah Pak Fakeh habis musnah ditimpa kayu jongkang kalang. Mereka bertambah heran bagaimana Sumi boleh terselamat kalau melihat keadaan rumah tersebut. Pokok kelapa tidak kurang dari lapan batang bertumpang tindih menimpa rumah. Pokok durian juga melintang menghempap dari tengah bumbung.

Kalau mahu dikira sempat melompat ke tanah, memang tidak masuk akal langsung bagaimana Sumi boleh terselamat. Mujurlah juga cucu-cucu mereka tidak ada di rumah ketika itu. Kesan ribut juga jelas di sekitar kawasan rumah itu kerana banyak pokok-pokok yang patah dahan.

"Macam mana ribut di sini aje?" keluh Sali yang sama mengikut kami tadi.

"Kencang betul ributnya," beritahu Sumi masih dalam ketakutan. "Tengoklah pokok-pokok tu habis terbongkar akar," katanya lemah.

"Habis macam mana Mak Sumi lepaskan diri?" tanya Tonel pula.

"Entahlah..." ujarnya gementar mengenangkan peristiwa yang menimpa dirinya. "Mak Sumi rasa macam mati hidup balik..." dia mengesat mata dengan hujung lengan bajunya.

Terpaksa pula masing-masing mengambil kapak dan gergaji untuk memotong kayu yang jongkang kalang menimpa rumah Pak Fakeh. Hampir dua jam barulah kawasan rumah itu dapat dibersihkan. Kira-kira sudah dekat masuk Maghrib barulah mayat Pak Fakeh ditarik keluar dari bawah pokok durian. Kepalanya berkecai remuk. Mata, hidung dan telinganya dipenuhi darah pekat.

Memang Pak Fakeh yang saya lihat ketika saya mengubati Aki Sahak tadi. Tetapi saya tidak mahu memberitahu sesiapa pun tentang Pak Fakeh itu. Biarlah mereka semua menyangka Pak Fakeh menemui ajalnya apabila rumahnya dilanda ribut.
 
1741657536661.png




TIBA-TIBA MAYAT MENJADI BERAT


MADRASAH Tok Aji dibina di depan rumahnya saja. Ramai penuntut-penuntut yang datang belajar di situ. Ada yang datang dari Johor, ada yang datang dari Pahang, ada yang dari Selangor dan ada yang datang dari Negeri Sembilan. Saya ikut sama belajar di madrasah Tok Aji, kerana ayah saya lebih suka saya memulakan pelajaran pondok. Itu pun dihantar pada sebelah petang saja, kerana paginya ayah mahu saya belajar di sekolah Melayu atau sekarang ini di sekolah rendah.

Kegiatan saya masa di madrasah Tok Aji ini memang cergas. Saya pernah memenangi pertandingan syarahan seluruh daerah bagi murid-murid sekolah agama termasuk sekolah pondok. Ustaz Noor yang membimbing saya hingga menjadi johan syarahan itu sangat gembira.

Tetapi yang hendak saya ceritakan di sini bukanlah pengalaman ketika saya mengaji di madrasah Tok Aji. Saya tertarik dengan beberapa cerita Tok Aji mengenai kisah masa remajanya ketika di Sumatera lagi. Seperti saya telah jelaskan, Tok Aji adalah berasal dari Sumatera. Kemudian merantau ke Tanah Melayu ketika umurnya sudah meningkat dua puluhan.

Sebelum datang ke kampung di daerah saya dan bernikah dengan nenek saya iaitu emak ayah saya, Tok Aji sudah menikah di Semenyih, Selangor. Dia juga menikah di Singapura dan di Kota tinggi, Johor. Apa yang Tok Aji ceritakan ialah pengalamannya semasa di Sumatera dari aruah ayahnya. Ketika ini seorang pelajar bertanya kepada ayah Tok Aji mengenai tingkah laku orang yang nazak, sama ada mereka yang tersenyum itu sudah ternampak ganjaran baik dari Allah.

Ayah Tok Aji menerangkan belum tentu orang yang nazak itu tersenyum kerana ternampak ganjaran dari Allah. Hanya Allah saja yang Maha Mengetahui. Boleh jadi orang yang tersenyum tatkala nazak itu sedang mendengar janji-janji iblis yang menunggu peluang, manakala orang yang masam mukanya itu sedang memarahi iblis yang cuba mengganggu.

"Kita tak tahu rahsia itu..." jelas Tok Aji semasa mengajar apabila saya sudah mula dewasa.

Tok Aji juga menceritakan tentang seorang yang terkenal sebagai ahli agama di Sumatera, yang mempunyai madrasah sendiri. Dia juga digelar orang ulama di kampung tersebut. Ulama ini mempunyai seorang anak yang mempunyai kelulusan dari Mesir.

Satu hari ulama itu pun meninggal dunia. Selang beberapa hari selepas kematiannya orang-orang kampung menjadi terkejut melihat seekor harimau sedang wirid di atas masjid. Apabila dipandang dari belakang rupanya seakan-akan ulama yang baru meninggal dunia itu.

Tiap-tiap waktu Maghrib harimau berkenaan dilihat ada di tempat ulama itu selalu duduk. Disebabkan orang-orang kampung takut dengan kehadiran harimau tersebut, mereka pun memberitahu kejadian itu kepada anaknya. Setelah dilihat oleh anaknya, jelaslah kepada dia memang harimau itu adalah jelmaan dari ayahnya.

Alangkah anehnya seorang ulama apabila mati telah menjelma menjadi harimau. Sebagai orang yang berpelajaran tinggi dalam agama, si anak tadi terus datang kepada harimau yang sedang wirid itu. Berkatalah si anak, "Ayah, apa boleh buat kehendak Allah begini. Kita tak boleh menolak iradatNya. Bagaimanapun janganlah ayah datang lagi ke sini, kerana orang-orang kampung takut dengan keadaan ayah sekarang.

Mendengarkan kata-kata si anak itu maka harimau itu menangis. Air matanya mengalir dari pelupuk mata, dia hanya mengangguk-angguk seolah-olah faham akan kata-kata manusia. Kemudian dia dipimpin oleh si anak turun dari masjid lalu dibawa balik ke kuburnya. Dia ghaib sebaik saja sampai ke atas kubur.

"Rahsia demikian pun hanya Allah saja yang Maha Mengetahui..." Tok Aji menerangkan.

Memang seronok mendengar Tok Aji bercerita mengenai pengalamannya semasa menerangkan sesuatu kejadian yang dianggap aneh oleh orang. Kerana bagi Tok Aji tidak ada satu kejadian pun di muka bumi ini yang aneh, disebabkan semua itu adalah di dalam kudrat dan iradat Allah belaka.

Dalam masa Tok Aji bercerita mengenai pengalamannya inilah Dolah Moyok datang termengah-mengah mencari Tok Aji. Tergagap-gagap Dolah Moyok bila ditanya mengapa dia tercungap-cungap macam dikejar anjing gila. Lama Dolah Moyok jadi ayam berak kapur, barulah dia dapat bertenang.

"Mengapa kau ni, ada apa halnya?" Tok Aji geli hati dengan kelakuan Dolah Moyok termengah-mengah berlari mendapatkan dia di madrasah.

"Mak, minta Pak Aji datang ke rumah" jelas Dolah Moyok masih lagi tercungap-cungap menahan mengah.

"Apa halnya?" Tok Aji mendesak.

"Dia suruh Pak Aji datang aje..." beritahu Dolah Moyok tidak ketahuan. Disebabkan Dolah Moyok tidak dapat menerangkan maka Tok Aji tidaklah bertanya lebih lanjut. Sebaliknya dia tersengih-sengih geli hati melihatkan telatah Dolah Moyok.

"Kau balik dulu, nanti Pak Aji datang" kata Tok Aji.

Dolah Moyok terus balik. Dia tidak peduli sama ada Tok Aji datang atau tidak. Dia pun tidak mahu menunggu Tok Aji. Tetapi Tok Aji tahu Dolah Moyok itu bodoh-bodoh alang. Salahnya, Mak Munah sendiri yang mengharapkan anaknya itu. Sudah tahu Dolah Moyok bodoh-bodoh alang mengapa diserahkan pada dia membuat urusan.

Bagaimana kalau Tok Aji menyangka urusan itu tidak penting, dan dia sengaja lambat datang? Puas memikirkan mengapa Dolah Moyok datang tergesa-gesa, barulah Tok Aji mengambil keputusan mahu melihat segera masalah yang dihadapi oleh Mak Munah. Kalau tidak perkara mustahak tentulah Mak Munah tidak tergesagesa menyuruh Dolah Moyok menjemput. Bagaimanapun Tok Aji mengajak nenek pergi bersama.

Ketika Tok Aji sampai di rumah Mak Munah keadaan di dalam rumah itu muram. Mak Munah menangis teresak-esak. Dolah Moyok duduk di sudut serambi terkebil-kebil mata. Dua tiga orang jiran sudah pun sampai terlebih dulu dari Tok Aji. Melihat keadaan itu Tok Aji menjadi bingung.

"Mengapa ni...?" tanya Tok Aji memerhatikan Mak Munah.

"Abang Aji dah lambat..." Mak Munah mengongoi hiba.

"Mengapa?" ulangi Tok Aji.

"Masuklah ke dalam" katanya dengan tidak menerangkan apa-apa.

Tok Aji tidak membantah. Dia terus masuk ke dalam mahu memastikan apakah yang menyebabkan Mak Munah muram. Apabila dia masuk ke dalam dilihatnya anak gadis Mak Munah terlentang tidak bergerak. Darah mengalir di mulut gadis itu. Nafasnya juga tidak berombak-ombak lagi seperti sewaktu Dolah Moyok berkejar mendapatkan Tok Aji.

"Milah, Abang Aji" jelas Mak Munah tersedu-sedu.

"Milah dah tak ada, dah tak ada" dia masih mengongoi menahan kesedihan yang menimpa ke atas anak gadisnya itu.

Milah baru berumur 16 tahun. Orangnya memang cantik, sebab itu di kampung dia dikenali dengan panggilan Milah Cantik. Kerana kecantikan Milah, ramai pemuda-pemuda yang terpikat kepadanya. Tetapi bukanlah senang mahu memikat Milah.

Milah masih boleh mengawal dirinya dari digoda. Apa lagi dia mendapat didikan agama dari madrasah Tok Aji. Bagaimanapun hanya beberapa bulan sebelumnya malapetaka menimpa diri Milah Cantik. Dia didapati mengandung enam bulan. Setelah perutnya membesar barulah berita dia mengandung itu pecah.

Mak Munah sudah pun menemui Tok Aji meminta doanya supaya kandungan itu digugurkan, tetapi Tok Aji enggan. Tok Aji nasihatkan supaya biarkan saja Milah Cantik lahirkan bayi dalam kandungan itu sampai selamat. Manakala Milah Cantik pula tidak mahu memberitahu siapakah yang melakukan sehingga dia mengandung.

"Kalau kita buang, sama juga macam membunuh" jelas Tok Aji pada Mak Munah.

"Apa nak dimalukan kepada manusia, sedangkan kepada Allah tidak malu ketika melakukannya" Tok Aji menasihatkan Mak Munah supaya bersabar.

Tetapi Mak Munah tidak dapat menahan sabar. Dia mahu menghalau saja Milah Cantik dari rumah kerana memberi malu kepada keluarga. Marah sangat dia dengan perbuatan anak gadisnya itu. Sia-sia dia menyuruh belajar agama di madrasah Tok Aji. Sia-sia pelajaran agama yang dididik oleh Tok Aji selama ini hingga sanggup mencemarkan nama baik keluarga dan kampung halaman sendiri.

"Jangan bertindak terburu-buru..." kata Tok Aji lagi mengingatkan Mak Munah. "Boleh jadi bukan salah Milah. Boleh jadi dia diperkosa orang, sebab itu dia malu menerangkan siapa yang melakukannya" dia menyabarkan Mak Munah yang sudah mula hilang punca akibat malapetaka yang menimpa keluarganya itu. Tidak pula disangka oleh Tok Aji tindakan Milah selanjutnya sampai demikian.

Baru beberapa hari sebelum itu Tok Aji menasihatkan Milah Cantik supaya bersabar. Tok Aji sendiri meminta Milah Cantik menerangkan siapakah lelaki yang telah melakukan perbuatan terkutuk itu. Milah Cantik menceritakan kepada Tok Aji dengan linangan air mata. Segala rahsianya dicurahkan kepada Tok Aji. Atas sebab-sebab inilah Tok Aji meminta dia bersabar, kerana pada pendapat Tok Aji kesalahan itu tidak seharusnya dibebankan kepada Milah Cantik. Sayangnya, Milah Cantik tidak dapat juga menerima nasihat Tok Aji. Dia membunuh diri dengan meminum racun tikus yang digunakan oleh Mak Munah untuk meracun tikus di sawah.

"Kalau saya cepat sampai pun, mungkin Milah tak dapat diselamatkan Munah" Tok Aji menasihatkan Mak Munah supaya bertenang.

"Ajalnya sudah ditentukan demikian, siapa pun tak dapat menyelamatkan..." keluh Tok Aji lalu menutup mayat Milah Cantik.

Bila mengenangkan cerita Milah Cantik terasa juga sebaknya dada Tok Aji. Tidak disangkanya gadis secantik Milah itu sanggup meminum racun tikus hanya disebabkan mengandung. Tetapi Tok Aji sudah menasihatkannya supaya bersabar, sayangnya Milah Cantik tidak dapat menahan kesabaran.

Sebagai gadis cantik, Milah Cantik selalu diusik oleh pemuda-pemuda yang ingin memikatnya. Kadangkala usikan itu sampai menyakitkan hati pula. Akibat dari usikan yang sudah melampaui batas itu, sekali sekala Milah Cantik terpaksa juga mengeluarkan kata-kata kesat. Inilah yang terjadi dengan seorang duda bernama Lajak Jongang apabila mengusik Milah Cantik.

Kalau mahu dikira tua Lajak Jongang tidaklah tua sangat baru berumur kira-kira 38 tahun. Tetapi tidaklah patut dia cuba memikat gadis baru berumur 16 tahun seperti Milah Cantik. Dia bercerai dengan isterinya disebabkan Lajak Jongang suka main daun terup berjudi. Kadangkala semalaman tidak balik ke rumah.

Setelah bercerai Lajak Jongang jadi miang tidak menentu. Pantang nampak dahi licin dia akan cuba memikat. Mahu dikira tampan tidaklah tampan Lajak Jongang ini. Kulitnya putih kuning, tetapi bertubuh kurus keding. Giginya jongang sedikit dan mukanya banyak ditumbuhi jerawat.

"Hai Milah..." tegur Lajak Jongang ketika Milah Cantik singgah membeli biskut di kedai Mamak Kadir. "Orang cantik bertambah cantik bila pakai kurung merah jambu" katanya mengusik.

Milah Cantik tidak menyahut. Dia mengerling masam. Menyampah sangat dia dengan Lajak Jongang. Tidak sedar diri sudah beranak lima, cuba nak memikat gadis seperti dia. Bukan sekali dua Lajak Jongang bersikap demikian. Sudah selalu sangat dia mengusik bila bertemu dengan Milah Cantik.

"Janganlah marah, takkan tak boleh nak bergurau sedikit" usik Lajak Jongang lagi.

Dua tiga orang pemuda ada tercongok di bangku panjang di kedai Mamak Kadir itu sedang menunggu kawan-kawan lain mahu bermain terup, tertawa berdekah-dekah mengejek Lajak Jongang cuba memikat Milah Cantik.

"Anak orang jangan diusik Abang Lajak" kata seorang pemuda. "Nanti kena ludah baru padan jadi ubat jerawat..." ujarnya macam mahu menyakitkan hati Lajak Jongang.

Marah juga Lajak Jongang bila diungkit fasal mukanya yang penuh jerawat itu. Mahu saja dipeluknya Milah Cantik di situ untuk membuktikan pada anak-anak muda itu bahawa dia masih boleh memikat gadis cantik seperti Milah Cantik.

"Kalau aku nikah dengan Milah baru padan muka engkau orang" sahutnya kesal kerana diejek.

"Bagi can orang muda Abang Lajak" anak-anak muda yang bertenggong di bangku panjang terus mengejeknya. "Abang Lajak dah tua, anak dah lima. Nak bersanding pun dah tak padan" siul mereka melangsing ikut sama mengusik Milah Cantik.

"Kau tengoklah nanti..." marah sangat Lajak Jongang dipersendakan oleh anak-anak muda. "Kalau Lajak tak bersanding atas pelamin dengan Milah Cantik, jangan haraplah kau orang nak bersanding. Kempunanlah engkau orang semua" ujarnya menggertap bibir.

Anak-anak muda terus ketawa mengejek. Masakan Milah Cantik boleh terpikat dengan Lajak Jongang kaki main terup pakau. Rupa pun tidaklah boleh memikat. Sudahlah muka tirus, jerawat batu pula timbul dua tiga hingga muka jadi bokop. Lainlah macam P.Ramlee bintang filem terkemuka ketika itu. Walaupun badan kurus ceding, muka bokop berjerawat, P.Ramlee boleh menyanyi, berlakon dan terkenal. Siapa yang tidak tergila-gilakan bintang filem masa itu.

Tetapi Lajak Jongang orang kampung menoreh getah. Asyik pula menghabiskan masa di belakang kedai kopi Mamak Kadir bermain terup pakau. Ada isteri pun lari meninggalkan dia. Macam mana pula ada keinginan memikat Milah Cantik gadis comel baru berumur 16 tahun itu.

"Jangan pungguk rindukan bulan Abang Lajak..." ketawa budak-budak semakin meninggi.

Terasa pada Lajak Jongang dia benar-benar dipandang seperti lelaki tidak berharga di sisi wanita. Mentang-mentanglah isterinya lari menuntut cerai, tidak bererti dia tidak dihargai oleh isterinya. Malu benar-benar dihina oleh anak-anak muda itu di depan Milah Cantik. Dia terus merapati Milah Cantik sambil tersengih-sengih.

"Milah..." dia tersenyum menegur Milah Cantik.

"Ah, sudah..." bentak Milah Cantik mencapai biskut yang dibelinya dari kedai Mamak Kadir.

"Tak padan dah tua nak jadi ulat bulu. Kalau miang sangat mengapa biarkan Kak Dah lari dari rumah" kata Milah Cantik marah. Tersinggung sangat dia dengan sikap Lajak Jongang tidak sedar diri itu.

"Hei, Milah..." panggil Lajak Jongang serba salah. Tetapi Milah Cantik sudah pun berlari keluar dari kedai Mamak Kadir.

Anak-anak muda di bangku panjang terus ketawa mengejek. Tebal rasanya muka Lajak Jongang mendengar kata-kata Milah Cantik tadi. Perkara Midah lari meninggalkan dia tidak wajar diungkit oleh anak gadis seperti Milah Cantik. Mungkin Midah melarikan diri disebabkan selalu meleteri dia, menyebabkan dia cepat naik angin.

Dia benar-benar merasa terhina bila seorang gadis mentah berani mempertikaikan keruntuhan rumahtangganya. Lajak Jongang terus meninggalkan kedai Mamak Kadir dalam ejekan anak-anak muda yang ketawa berdekahdekah. Semalaman Lajak Jongang tidak dapat melelapkan mata. Malu benar dia mendengar kata-kata Milah Cantik di depan anak-anak muda yang suka mengejek. Kalau Milah Cantik tidak sudi menyahut pun janganlah ungkit fasal kegagalan rumahtangganya dengan Midah.

Esoknya pagi-pagi lagi Lajak Jongang menemui Tok Batin di hulu kampung. Hampir sebulan dia berulang alik menemui Tok Batin sehingga dia tidak pernah lagi menjenguk muka di kedai Mamak Kadir. Kuranglah kaki main terup pakau dengan ketiadaan Lajak Jongang. Tup-tup satu hari terjongol saja muka Lajak Jongang di kedai Mamak Kadir. Apabila dipelawa main terup, dia terus saja tumpang sekali.

Semasa bermain ini anak-anak muda juga mengusiknya. Mereka mengatakan Lajak Jongang merajuk kerana Milah Cantik tidak mahu melayan.

"Merajuk, siapa nak pujuk Abang Lajak!" Johar menyinggung bahunya sambil tersengihsengih.

"Takkan Milah Cantik nak datang pujuk" celah Leman pula.

Mereka ketawa terkekeh-kekeh untuk menyakitkan hati Lajak Jongang. Tetapi Lajak Jongang tidak marah. Dia hanya tersenyum saja, walaupun mukanya merah padam menahan marah.

"Nanti Abang Lajak gigit jari..." cepat-cepat Kahar menyampuk. "Milah Cantik selalu jeling-jeling Johar nampaknya sekarang ni" ujarnya disambut ketawa berderai.

Dalam masa mereka mengusik-ngusik Lajak Jongang itu, Milah Cantik datang ke kedai Mamak Kadir. Apabila mereka tahu Milah Cantik datang cepat-cepat Johar menguis bahu Lajak Jongang. Tetapi dia tidak ambil peduli langsung anak-anak muda itu mengusiknya. Sebaik sampai saja di kedai Mamak Kadir, terus saja Milah Cantik menjengah ke belakang kedai memerhati orang bermain terup. Tidak pernah selama ini dia menjengah ke situ.

Selepas terpandang Lajak Jongang bermain terup dia tersenyum mengerling ke arah lelaki duda tersebut. Lajak Jongang pura-pura tidak nampak Milah Cantik memerhatikan dia. Anak-anak muda yang mengejek juga terdiam dengan perubahan Milah Cantik mengerling dan tersenyum merenung Lajak Jongang itu. Mereka melihatnya seperti dalam mimpi saja, bagaimanakah Milah Cantik boleh tersenyum merenung Lajak Jongang.

Sejak dari hari itulah Milah Cantik sentiasa teringatkan Lajak Jongang. Tidur pun sentiasa termimpi-mimpikan Lajak Jongang datang. Setiap malam seperti ada saja orang memandunya datang menemui Lajak Jongang di rumah lelaki duda bermuka bokop itu.

Selepas puas melepaskan hawa nafsunya terhadap gadis mentah itu, Lajak Jongang pun memulihkan semula semangat Milah Cantik. Sejak itu Milah Cantik kembali sedar apa yang berlaku. Dia bagaikan mahu menjerit bila menyedari bahawa kehormatannya sudah dinoda oleh lelaki yang dibencinya selama ini.

Apabila dia menyedari dirinya mengandung, Milah Cantik sengaja mendiamkan diri. Dia bimbang kalau dia menerangkan kedudukan sebenarnya tentulah emaknya memaksa dia bernikah dengan Lajak Jongang, sedangkan hatinya tidak terbuka pun mahu menerima Lajak Jongang.

Hinggalah saat Milah Cantik menutup mata dengan meminum racun tikus, tidak siapa pun mengetahui rahsianya. Kecuali Tok Aji satu-satunya orang yang mengetahui tentang Lajak Jongang. Tok Aji jugalah yang tahu tentang perbuatan Lajak Jongang memuja semangat Milah Cantik supaya menyerah kepadanya.

Ketika hayatnya Milah Cantik disuruh oleh Tok Aji melakukan solat sunat Tahajud setiap malam, supaya dirinya dilindungkan dari sebarang bencana malu. Biarlah masyarakat dapat menerima hakikat sebenarnya bahawa dirinya telah diperalatkan oleh syaitan yang bertopengkan manusia.

Sama ada dia melakukannya atau tidak, Tok Aji sendiri tidak tahu. Tetapi menurut cerita Mak Munah memang setiap malam Milah Cantik bangun tengah malam menunaikan solat sunat. Apakah doanya tidaklah diketahui oleh Mak Munah. Tetapi, mengapa pula dia tergamak meminum racun kalau sentiasa mengerjakan solat?

Disebabkan dia mati ketika mengandung orang-orang kampung menasihatkan Mak Munah supaya mengkebumikan Milah Cantik mengikut kepercayaan mereka iaitu membubuh jarum di tapak tangan, telur di bawah ketiak dan emas di dalam mulutnya. Kononnya, kalau tidak dilakukan begitu dia akan bertukar menjadi

langsuyar.

Walaupun Tok Aji tidak bersetuju dengan kepercayaan tersebut, tetapi dia tidaklah membantah. Dia tidak mahu masyarakat akan membuat anggapan buruk pula kalau ditegur kepercayaan mereka. Akibatnya boleh mendatangkan perpecahan di kalangan masyarakat apabila berbantah-bantah.

Dalam masa orang ramai sedang membuat persiapan untuk memandikan, tiba-tiba suasana menjadi gempar bila Lajak Jongang datang menangis-nangis menyembah kaki Mak Munah. Dia mengaku di depan Mak Munah melakukan perbuatan terkutuk itu menyebabkan Milah Cantik mengandung. Dia sendiri tidak menyangka Milah Cantik tergamak membunuh diri. Malah kalau Milah Cantik sudi dia sanggup mengambilnya menjadi isteri.

Akhirnya Lajak Jongang terpaksa menceritakan semua yang dilakukannya terhadap Milah Cantik. Orang-orang kampung mendengar pengakuan itu dengan rasa benci, kerana selama ini mereka menuduh tentulah kalau tidak bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi. Dengan pengakuan Lajak Jongang itu barulah mereka sedari bahawa Milah Cantik hanya teraniaya selama ini.

Serentak dengan itu Mak Munah sudah mencapai parang mahu menerkam Lajak Jongang. Terpaksalah orang ramai mententeramkan keadaan.

"Yang mati, dah tentulah mati...!" Ketua Kampung mengingatkan Mak Munah. "Jangan yang hidup pula, tak ada beban batu digalas. Cukuplah Munah, jangan ikutkan sangat perasaan kau" nasihat Ketua Kampung.

"Binatang ni salah, binatang ni salah!" Mak Munah menangis teresak-esak sambil meronta mahu melepaskan diri dari pegangan orang ramai. Lajak Jongang tidak berganjak menunggu serangan Mak Munah. Dia seolah-olah menyerahkan diri saja tidak bertindak melarikan diri pun.

"Munah...!' Tok Aji pula bersuara.

"Pengakuan Lajak di hadapan orang ramai ini satu rahmat besar dari Allah. Sepatutnya kau bersyukur, kerana Allah telah menunjukkan kepada hamba-Nya bahawa anak kau tidak berdosa. Dia dianiaya" jelas Tok Aji meminta Mak Munah bertenang.

Semakin lemah Mak Munah dipegang ramai-ramai. Dia tidak berdaya lagi mahu meronta. Kalau ikutkan perasaannya memang dia tidak benarkan Lajak Jongang menjejakkan kaki ke rumahnya. Tetapi Lajak Jongang sedikit pun tidak mengangkat muka walau dimaki macam mana pun.

"Sabarlah Munah" pujuk Tok Aji lagi.

Mak Munah dipapah ke dapur untuk meredakan suasana kerana Lajak Jongang tetap melutut di sisi jenazah. Dia tidak mahu berundur walaupun orang ramai menasihatkan dia supaya meninggalkan rumah tersebut buat sementara waktu. Bila keadaan sudah pulih barulah diselesaikan perkara itu dengan Mak Munah.

Ketika jenazah hendak dimandikan orang menjadi bingung kerana mereka tidak terangkat jenazah untuk ditatang ke tempat dimandikan. Hingga tujuh lapan orang lelaki mencuba mengangkatnya, tetapi jenazah tidak bergerak sedikit pun. Puas mencubanya, maka mereka pun mengadukan hal itu kepada Ketua Kampung.

"Macam mana Pak Aji...?" tanya Ketua Kampung dalam kebingungan. "Tak pernah pula saya menemui kejadian macam ni seumur hidup saya" katanya keheranan mendengar penerangan dari orang-orang yang mahu memandikan jenazah.

"Lajak..." Tok Aji memanggil Lajak Jongang.

"Boleh jadi dia meminta pertolongan kau" ujarnya menyuruh Lajak Jongang mengangkat jenazah itu ke tempat hendak dimandikan.

Mudah saja Lajak Jongang menatang jenazah itu seorang diri. Heran juga orang yang mengangkat mua-mula tadi, kerana mereka telah mencubanya beramai-ramai tetapi tidak berjaya. Bagaimana dengan Lajak Jongang hanya seorang diri saja boleh mengangkat jenazah tersebut.

Mereka mula menuduh Lajak Jongang masih menggunakan ilmu Tok Batin, sebab dia sendiri mahu mengangkat jenazah Milah Cantik. Memang Lajak Jongang yang menyebabkan mayat menjadi berat. Bagaimanapun Tok Aji menasihatkan mereka supaya tidak menuduh sesuka hati.

"Serahkan kepada Allah, hanya Allah Yang Maha Mengetahui..." Tok Aji mengingatkan mereka.

Tetapi mereka tidak puas hati dengan alasan Tok Aji. Saudara mara Mak Munah juga menyimpan dendam pada Lajak Jongang. Kalaulah tidak mengenangkan Tok Aji dengan Ketua Kampung memang mereka mahu menghalau Lajak Jongang dari situ. Kedatangan Lajak Jongang semata-mata untuk menimbulkan keributan saja.

"Entah apa tangkal yang dipakainya, fasal itu jenazah jadi berat" rungut salah seorang dari mereka.

Tok Aji tidak peduli sangat dengan rungutan demikian. Dia hanya memberi nasihat, kalau orang tidak mahu mendengar nasihatnya dia tidak ambil peduli sangat. Terpulanglah pada orang itu sama ada mahu menerima nasihatnya atau tidak.

Setelah selesai dimandikan dengan sempurna maka dikapankan oranglah jenazah Milah Cantik. Terpaksalah Lajak Jongang mengangkat jenazah itu untuk dikapankan dan kemudiannya diletakkan di depan Tok Aji untuk disembahyangkan. Setelah selesai disembahyangkan dimasukkan ke dalam usungan. Lajak Jongang juga terpaksa membawanya ke dalam usungan.

Ketika usungan hendak dibawa ke kubur sekali lagi tidak dapat dilakukan. Usungan tidak bergerak langsung dan mereka yang memikul usungan terasa jenazah itu terlalu berat. Mahu tidak mahu dipanggil juga Lajak Jongang memikul usungan. Barulah orang-orang yang merungut tadi sedar akan kata-kata Tok Aji hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Kalau semasa memandikan jenazah bolehlah mereka menuduh Lajak Jongang menggunakan tangkal azimat supaya jenazah menjadi berat, bagi membolehkan dia memeluk jenazah untuk melepaskan geramnya kepada gadis kesayangannya. Tetapi bagaimana pula dengan usungan?

Sepanjang jalan kira-kira setengah batu menuju ke tanah perkuburan Lajak Jongang tidak dapat bergilir-gilir seperti orang lain memikul usungan jenazah. Kalau Lajak Jongang menukarkan kepada orang lain maka usungan itu tidak dapat dibawa bergerak ke depan. Masing-masing merasa terlalu berat. Mereka tidak dapat melangkah langsung. Mahu tidak mahu terpaksa juga Lajak Jongang memikulnya dengan tidak dapat bergilir-gilir. Lajak Jongang tidak membantah. Dia terpaksa melakukan kerana dia merasa berdosa menyebabkan Milah Cantik jadi demikian.

Untuk menebus dosanya, dia sanggup melakukan apa saja di hari pengebumian Milah Cantik. Orang ramai yang melihat Lajak Jongang berpeluh-peluh memikul usungan itu mula merasa simpati terhadapnya. Tetapi mereka tidak dapat menolong. Walaupun ada orang yang mahu menggilirkan dia memikul usungan, tiba-tiba saja usungan tidak bergerak. Kaki mereka tidak dapat melangkah kerana menahan beban yang terlalu berat.

"Sabarlah, Lajak" bisik Tok Aji yang berjalan berhampiran dengannya. Lajak Jongang hanya mengangguk. Dia teringat juga akan masa manisnya bersama Milah Cantik, sekalipun melalui guna-guna yang dipuja oleh Tok Batin.

"Ingatlah, Allah Maha Pengampun..." Tok Aji memberi nasihat kepadanya kerana kasihan melihat Lajak Jongang tersenget-senget bahu memikul usungan jenazah. Lajak Jongang tidak menyahut. Dia mengangguk lemah. Air matanya berlinang di pelupuk mata menyesali perbuatannya terhadap gadis mentah yang tidak berdosa itu.

Apabila sampai di kubur, sekali lagi menjadi kecoh kerana jenazah tidak dapat diturunkan ke liang lahad. Mereka semua tidak terdaya mahu mengangkat jenazah. Disebabkan mereka sudah tahu masalahnya, maka disuruh saja Lajak Jongang masuk ke dalam kubur menyambut jenazah.

Lajak Jonganglah menyambutnya, dan dia jugalah yang memasukkan jenazah ke liang lahad. Sebaik saja orang mengambuskan tanah, tiba-tiba Lajak Jongang tidak dapat mengangkat kakinya. Dia meronta-ronta mahu melepaskan kakinya yang terlekat di tanah.

"Tanah ni lekit..." katanya sambil menghulurkan tangan minta ditarik ke atas. Sebaik saja mahu ditarik ke atas kakinya semakin tenggelam. Terpaksalah berhenti orang menariknya. Asal saja cuba ditarik maka kakinya akan bertambah tenggelam. Puas Lajak Jongang meronta mahu melepaskan diri, tetapi tidak juga berjaya. Selagi Lajak Jongang tidak ditarik naik ke atas maka kubur tersebut tidak dapat dikambus.

Memang keadaan semakin terdesak. Tok Aji pun menyuruh Lajak Jongang berastaghfar. Masing-masing bertambah bingung dengan kejadian yang berlaku tidak semena-mena itu.

"Cuba kau melompat Lajak..." ujar Mak Munah yang mula kasihan melihat Lajak Jongang bersusah payah mengkebumikan anaknya.

Lajak Jongang cuba melompat tetapi tidak boleh bergerak. "Kaki saya panas" katanya mendongak ke atas terkebil-kebil mata. Suaranya gementar dalam ketakutan. Tok Aji mengadap kiblat terus azan dengan lantang suaranya. Selepas azan Tok Aji merenung ke liang lahad, lalu dia masuk ke lubang kubur. Tok Aji membongkok bagaikan bercakap-cakap dengan jenazah Milah Cantik. Kemudian dia berdiri semula sambil berkata dengan tenang:

"Milah, pergilah kau saja. Tinggalkan Lajak di sini. Biarlah urusan Allah diserahkan kepada Allah." Setelah itu Tok Aji memberi isyarat supaya Lajak Jongang ditarik ke atas. Barulah Lajak Jongang dapat ditarik keluar.

Selepas itu disempurnakanlah pengkebumian Milah Cantik. Bagaimanapun Lajak Jongang tidak lama kemudiannya jadi gila. Seluruh badannya dipenuhi kudis dan tokak. Kira-kira dua tahun dia menanggung penderitaan itu, Lajak Jongang pun meninggal dunia.

 
1741658014260.png


MAYAT BERNYAWA KUAT MAKAN


SUDAH lama saya bercadang mahu berpindah saja dari tempat tinggal Aki Sahak. Ini bukanlah isebabkan saya tidak mahu menanggung beban yang sering diletakkan oleh Aki Sahak ke bahu saya. Sebenarnya saya merasa penduduk-penduduk di situ sudah menganggap saya berlebihan, malah lebih penting lagi dari Aki Sahak.

Apa lagi Aki Sahak sendiri yang menceritakan tentang hubungan saya dengan Pak Tua Mahat di sebelah emak, dan Tok Aji di sebelah ayah. Memanglah benar Pak Tua Mahat itu abang emak saya yang tua, manakala Tok Aji itu ialah tok aki saya iaitu ayah kepada ayah saya.

Perkara keturunan bukanlah perkara yang hendak disebut-sebut selalu, tetapi entah mengapa Aki Sahak selalu saja mengaitkan saya dengan Pak Tua Mahat sedangkan dia juga pernah berguru dengan Pak Tua Mahat saya itu.

Sekarang mereka berdua sudah lama meninggal dunia. Sebab itulah saya mengambi keputusan untuk berpindah saja dari situ, sama ada balik ke kampung atau pun bertukar ke kampung isteri saya. Tetapi permohonan saya mahu bertukar itu masih belum diputuskan oleh pihak atasan.

Apabila saya beritahu kepada Aki Sahak mengenai cadangan saya mahu berpindah itu, dia seolah-olah berat mahu melepaskan, tetapi dia tidaklah menghalang keputusan tersebut. Berkali-kali dia mengingatkan saya bahawa setiap usaha menolong orang yang dilakukannya itu bukanlah untuk membebankan saya, sebaliknya dia tahu kebolehan saya melebihi dirinya. Sedangkan saya sendiri tidak tahu apakah ukuran yang dibuatnya.

Setahu saya Aki Sahak sudah lama berguru dengan Pak Tua Mahat. Dia berkawan rapat dengan Pak Tua Mahat kerana umur mereka lebih kurang sebaya. Sebelum berkahwin dengan Makda Saodah, dia enetap di kampung saya. Tetapi setelah berpindah ke kampung isterinya hampir 20 tahun jarang pula dia balik ke kampung. Sebab itulah hubungan saya hampir terputus dengannya.

Abang pada Aki Sahak ini pun bukanlah calang-calang orang. Saya percaya tentulah Aki Sahak ada juga menuntut dari abangnya. Bagaimanapun semasa abang Aki Sahak itu meninggal dunia dulu, saya masih kecil lagi kira-kira berumur 10 tahun. Tetapi saya masih ingat akan kejadian yang menimpa arwah Aki Mat Tera.

Lama Aki Mat Tera jatuh sakit menyebabkan badannya menjadi kurus kering. Walaupun sakit terlantar namun Aki Mat Tera berselera bila makan. Dia makan bertambah-tambah. Malah kalah pula orang yang sihat kalau melawan makan dengannya. Isterinya bercadang mahu memanggil Pak Tua Mahat atau Aki Sahak sendiri datang mengubatnya. Tetapi Aki Mat Tera enggan diubat oleh Pak Tua Mahat atau Aki Sahak.

"Aku pawang besar..." jelasnya membantah bila isterinya Simit mahu memanggil Pak Tua Mahat. "Takkan orang baru nak belajar berpawang nak mengubat aku" katanya angkuh.

"Jangan begitu" pujuk Simit masih mengharapkan suaminya mehu berubat. "Pawang ni bukan kira besar kecilnya, berubat ikut rasi..kalau rasi dengan penyakit, pawang kecil mengubat boleh sembuh" tegasnya mencemik. Meluat juga dia dengan perangai sombong suaminya yang tidak mahu berubat dengan Pak Tua Mahat.

"Aku tak mahu berubat dengan Mahat" dia tetap berkeras tidak mahu Simit menjemput Pak Tua Mahat. "Aku tahu siapa Mahat, dulu aku makam garam dari dia. Takkan dia ada rupa nak mengubat aku" dia terus mengejek-ngejek kebolehan Pak Tua Mahat.

"Kalau tak mahu dengan Mahat, cubacubalah dengan Sahak" Simit tetap mendesak.

"Sahak nak mengubat aku..." Aki Mat Tera tersengih mengejek. "Budak hingus meleleh nak ubat aku. Kau tau, dia tu belajar dengan aku!" katanya masih berkeras tidak mahu berubat pada Pak Tua Mahat dan Aki Sahak.

Simit tidak tertahan dengan sikap Aki Mat Tera kerana sudah terlalu lama terlantar. Tubuhnya semakin kurus hanya tinggal rangka saja. Bolehlah diibaratkan sebagai kata orang kalau tak ada kulit, tulang pun habis berkecai. Begitulah kurusnya tubuh Aki Mat Tera.

Malah sepanjang dia sakit itu Aki Mat Tera tidak membenarkan Aki Sahak menjejakkan kaki ke rumahnya. Dia menuduh Aki Sahak cuba memikat Simit. Inilah yang menyinggung perasaan Aki Sahak. Sejak itu Aki Sahak juga tidak mahu menjengah abangnya yang sakit tenat itu. Hinggalah Aki Mat Tera tidak boleh bergerak lagi dia tetap tidak mahu diubat oleh Pak Tua Mahat. Bagaimanapun selera makannya tetap terbuka.

Dengan tidak setahu Aki Mat Tera, Simit terus memberitahu Pak Tua Mahat supaya datang mengubat Aki Mat Tera. Setelah merasakan sesuatu yang tidak kena pada Aki Mat Tera, lantas Pak Tua Mahat menyuruh Simit memanggil Aki Sahak datang ke rumahnya.

Setelah Aki Sahak datang dia pun mengajak Aki Sahak sama-sama mengubati Aki Mat Tera. Pada mulanya Aki Sahak memang enggan juga pergi ke rumah Aki Mat Tera, tetapi setelah didesak oleh Pak Tua Mahat barulah dia

mengalah.

"Ini bukan perkara Abang Mat Tera yang kita hadapi" jelas Pak Tua Mahat menasihati Aki Sahak. "Perkara lain yang kita sama-sama tak tau..." suaranya keras apabila Aki Sahak enggan menemui Aki Mat Tera.

"Kecil hati aku Abang Mahat" Aki Sahak terharu bila mengenangkan tuduhan abangnya. "Kecil hati aku fasal dia tuduh aku ke rumahnya kerana nak mengulang Kak Simit. Adakah patut dia tuduh aku macam tu!" ujarnya menahan perasaan kesal.

"Ah, cakap setan kau nak ikut" Pak Tua Mahat mendengus. "Bukan Abang Mat Tera yang cakap macam tu, setan yang cakap! Setan yang cakap!" dia menambah macam memarahi sikap Aki Sahak kerana enggan menziarahi abang sendiri yang sedang terlantar sakit.

"Iyalah dia yang ikut cakap setan..." balas Aki Sahak.

"Fasal itu kita jangan peduli"

"Sakit hati aku dibuatnya!"

"Kau nak jadi setan juga?"

"Dia cakap tak fikir dulu..."

"Kau nak jadi setan?"

"Tak patut dia tuduh aku macam tu..."

"Kau nak jadi setan?"

"Siapa nak sabar Abang Mahat...!"

"Kau nak jadi setan?" suara Pak Tua Mahat semakin keras menyebabkan Aki Sahak serba salah. Dia terdiam bila ditanya bertalu-talu oleh Pak Tua Mahat.

"Kau nak jadi setan?" ulangi Pak Tua Mahat merenung tepat-tepat. Dia merasa tidak patut Aki Sahak langsung tidak mahu menziarahi abangnya kalau sekadar dituduh mahukan kakak ipar sendiri. Orang sakit selalunya mempunyai fikiran yang tidak tenteram. Sebablah cakapnya merepek sampai melalut tidak ketahuan.

Sepatutnya Aki Sahak tidak boleh ambil hati dengan tuduhan orang yang terlantar sakit seperti Aki Mat Tera itu. Lagi pun kalau dibandingkan isteri Aki Sahak dengan Simit pun, jauh lebih muda dan menariknya isteri Aki Sahak. Masakan dia boleh terpengaruh dengan tuduhan orang yang sedang terlantar sakit kerana orang seperti ini fikirannya sudah nyanyuk.

Mahu tidak mahu Aki Sahak terpaksa mengalah juga. Dia mengikut Pak Tua Mahat ke rumah Aki Mat Tera. Jiran-jiran juga berkumpul di rumah Aki Mat Tera apabila mendengar Pak Tua Mahat sanggup mengubatinya.

Sebaik saja Pak Tua Mahat dan Aki Sahak naik ke rumah terus dimaki hamun oleh Aki Mat Tera. Terkial-kial dia mahu bangun tetapi tenaganya ternyata lemah. Saya sendiri duduk tidak jauh dari hujung kaki Aki Mat Tera bersama emak saya..

"Aku tau kau berdua nak berbini dengan Simit..." gerutu Aki Mat Tera terkial-kial mahu bangun.

"Sabarlah Abang Mat Tera" emak saya memujuk supaya Aki Mat Tera tidak berkuat mahu bangun. "Abang Mat Tera sakit, biarlah Abang Mahat cuba-cuba tengok..." ujar emak saya lembut.

"Mahat nak ubat aku..." dia tertawa mengejek sambil mengerling emak saya. "Dia bukan nak ubat aku, dia nak jumpa Simit. Aku tahu dia selalu berzina dengan Simit" katanya lagi menggertap bibir.

Saya lihat Simit menangis teresak-esak mendengar tuduhan Aki Mat Tera itu.

"Astaghfarullah al-azzim" keluhnya menahan perasaan sebak yang menusuk-nusuk di jiwa.

"Jangan ambil hati Kak Simit" emak saya memegang bahu Kak Simit. "Orang sakit tenat memang macam tu. Cakapnya merepek" ujarnya memujuk.

Simit tidak menyahut. Dia menganggukangguk kepala saja menyetujui kata-kata emak saya tadi.

"Aku tau Simit, aku tau..." Aki Mat Tera terus mengejek. "Kau berzina dengan Mahat, kau berzina dengan Sahak" katanya tertawa menyakiti hati mereka yang dituduhnya.

"Tutup mulut kau Abang Mat Tera!" jerkah Aki Sahak tidak sabar dengan tuduhan Aki Mat Tera. Kalaulah tidak mengenangkan jiran-jiran ramai berkumpul di situ, memang sanggup dia menerkam abangnya. Dia tidak peduli lagi fasal abangnya sakit terlantar berbulan-bulan di tempat tidur.

"Sahak..." Pak Tua Mahat memarahi Aki sahak. "Ingat! Kau bukan bercakap dengan Abang Mat Tera, kau bercakap dengan setan. Ingat tu...!" katanya mengerling Aki Sahak yang masih kelihatan marah.

Aki Sahak tertunduk. Dia sedar tidak dapat mengawal dirinya apabila mendengar tuduhan yang dilemparkan. Perkara menuduh dirinya berzina dengan kakak ipar sendiri, tentulah macam mencontengkan arang ke mukanya. Manakala tuduhan itu dibuat oleh abang kandungnya sendiri.

Walaupun abangnya dalam keadaan sakit tenat, namun dia percaya fikirannya masih baik. Aki Mat Tera masih dapat mengingat semua kejadian yang pernah dilalui. Sebab itulah Aki Sahak percaya abangnya itu tidak nyanyuk. Tuduhan yang dilemparkan oleh abangnya memang terbit dari hatinya sendiri yang mulai cemburu terhadap isterinya.

Sudah berbulan-bulan dia terlantar sakit. Tentulah timbul rasa cemburu, apabila melihat Simit sering menemui Aki Sahak dan Pak Tua Mahat meminta tolong, sedangkan dia sudah melarang supaya jangan meminta tolong dari dua orang lelaki berkenaan.

"Kau mesti banyak bersabar" ujar Pak Tua Mahat masih memandang ke arah Aki Sahak.

"Usah nak berpura-pura Mahat, aku tau kau dah berzina dengan Simit. Bukan sekali dua, sudah berkali-kali. Simit akan buntingkan anak kau, tau..." Aki Mat Tera mengejek.

Simit menangis tersedu-sedu mendengar tuduhan suaminya itu. Tetapi dia tidak menyahut. Dia tahu Aki Mat Tera sedang sakit tenat. Mungkin juga boleh dianggap membuang tebiat, kerana masanya sudah semakin hampir. Sebab itu Simit tidak menghiraukan sangat.

"Kau pandai berpura-pura! Kau berzina dengan bini orang! Dengan Simit! pekik Aki Mat Tera terketar-ketar.

Pak Tua Mahat tidak menyahut. Dia membacakan sesuatu sambil menghembuskan kepada Aki Mat Tera. biarlah Aki Mat Tera memaki hamunnya tidak berhenti-henti, namun Pak Tua Mahat tetap tidak berundur. Dia terus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran yang tertentu.

Setelah lama Pak Tua Mahat membacakannya, tiba-tiba Aki Mat Tera terus memekik. Dia meronta-ronta bagaikan mahu bangun melawan, tetapi tubuhnya ternyata lemah.

"Bangsat kau Simit..." gerutu Aki Mat Tera.

"Dah aku cakap Mahat dengan Sahak jangan jangan diberi naik ke rumah ni, seksa aku!" dia merintih-rintih kesakitan.

"Kau tak beri aku dengan Sahak datang, fasal takut rahsia kau terbuka!" tiba-tiba Pak Tua Mahat membentak.

"Rahsia apa?" Aki Mat Tera tersengih-sengih bagaikan orang yang tersipu malu.

"Sekarang pergi dari sini!" jerkah Pak Tua Mahat merenung Aki Mat Tera tidak berkelip matanya. "Tinggalkan Mat Tera biar diuruskan oleh keluarganya. Kau tidak ada hak nak menguruskan Mat Tera!" suaranya keras macam memberi amaran yang mengancam.

"Pergi nak ke mana?" tanya Aki Mat Tera seperti tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Pak Tua Mahat.

Ketika ini semua jiran-jiran yang berkumpul di situ melihat Aki Mat Tera berbantah-bantah dengan Pak Tua Mahat. Tetapi seperti yang diceritakan oleh Aki Sahak kemudiannya kepada saya, masa itu dia sendiri sudah nampak keadaan sebenarnya. Barulah dia menyesal kerana memarahi abangnya apabila dituduh berzina dengan kakak ipar sendiri.

Aki Sahak ikut sama menyertai Pak Tua Mahat. Dia melihat satu lembaga besar sedang memangku Aki Mat Tera seolah-olah seorang ayah sedang meriba anak kecil saja lakunya. Muka lembaga itu tidaklah jelas sangat hanya seperti bayang-bayang hitam yang terlindung. Lembaga besar itu pun seakan-akan asap pekat saja.

"Tinggalkan Mat Tera...!" perintah Pak Tua Mahat.

"Nak tinggalkan Mat Tera atau kami serang kamu dengan petir" Aki Sahak pula mencelah.

Lembaga itu memerhatikan Pak Tua Mahat bersama Aki Sahak sudah bersedia untuk menyerangnya. Dia masih juga meriba Aki Mat Tera seperti ayah yang meriba bayi. Sementara Aki Mat Tera pula dilihatnya seperti bayi tidur tidak bergerak langsung.

"Kau berdua..." sahut lembaga besar seperti asap tebal itu. "Jangan ganggu aku. Ini anak aku yang mesti aku jaga. Mengapa kau bersusah payah mahu mengambilnya dari aku" dia ketawa mengejek lalu melemparkan besi serampang ke dada Pak Tua Mahat. Dengan pantas Pak Tua Mahat menangkap besi serampang itu. Kemudian diramas-ramasnya hingga menjadi cair.

"Mat Tera tu abang aku, bukan anak kau" kata Aki Sahak sambil membacakan beberapa ayat dihembuskan kepada lembaga berkenaan. Ketika ini petir memancar memukul kepala lembaga besar tersebut hingga berkecai. Tidak lama kemudian dia bertaup semula lantas meriba Aki Mat Tera yang tidur seperti bayi.

"Sia-sia aje kerja kau Sahak" lembaga itu mengejek-ngejek kerana dia terlepas dari ancaman petir tadi.

Belum sempat dia duduk tetap, Pak Tua Mahat menghembuskan ayat-ayat Quran yang datang seperti gunung menimpa kepala lembaga berkenaan. Dia terhimpit di bawahnya merontarontak mahu melepaskan diri. Puas dia terkialkial akhirnya dapat juga dia keluar dari bawah gunung yang menimpa dirinya.

"Nampaknya kau nak bunuh aku, Mahat" pekik lembaga itu meradang.

"Memang aku nak bunuh kau" sahut Pak Tua Mahat pula mengejek. "Sekarang, tinggalkan

Mat Tera!" ujarnya mencabar lembaga tersebut terus bertarung.

Lembaga itu tertawa menyakitkan hati Pak Tua Mahat. Tiba-tiba saja dia melontarkan beratus-ratus tombak menuju ke dada Pak Tua Mahat. Dengan pantas pula Pak Tua Mahat menghembuskan api membakar semua tombak-tombak yang berterbangan itu. Dia masih juga tertawa mengejek Pak Tua Mahat.

Tetapi Pak Tua Mahat tahu lembaga besar yang meriba Aki Mat Tera itu sudah menderita kesakitan. Bagaimanapun dia tetap berpura-pura menunjukkan serangan yang dibuat ke atasnya tidak memberi bekas. Inilah yang dipermainkan oleh syaitan bagi menguji kekuatan iman insan. Sekiranya insan cepat putus asa, maka sudah tentu syaitan akan beroleh kemenangan.

"Kita serang serentak Sahak..." Pak Tua Mahat memberi arahan kepada Aki Sahak.

Aki Sahak membacakan sesuatu lalu berterbangan panah dari api menerkam ke arah lembaga besar itu. Serentak dengan itu Pak Tua Mahat pula menghembuskan ke arah lembaga tersebut hingga terlempar rantai besi melilit seluruh tubuhnya. Pak Tua Mahat dan Aki Sahak terus menyerang dari berbagai sudut.

Bukan saja rantai besi melilit tubuh lembaga besar itu, di samping panah api datang dari segenap penjuru, petir juga berdentum membakarnya. Batu sebesar gunung menimpa kepalanya.

"Kau tipu aku Mahat. Kau berdua dengan Sahak, aku berseorangan. Mana boleh aci macam ni..." dia menggeliat-geliat menahan serangan bertubi-tubi.

"Aku suruh kau tinggalkan Mat Tera!" suara Pak Tua Mahat semakin keras. Dia tidak berhenti dari terus menyerang. Habis satu ayat, dibacanya ayat yang lain. Berhenti batu sebesar gunung menimpa kepalanya, datang pula panah api meradak. Lembaga besar itu terjerit-jerit menahan kesakitan.

Jeritan itu dapat didengar oleh jiran-jiran yang menyaksikan melalui suara Aki Mat Tera yang menggeliat-geliat di tempat tidur. Serangan Pak Tua Mahat ditambah lagi oleh serangan Aki Sahak yang tak putus-putus membaca Ayatul Kursi. Sehingga sampai 333 kali Aki Sahak membacakan Ayatul Kursi terdengarlah rintihan dari lembaga itu meminta diberhentikan.

"Cukuplah, terseksa aku!" rintih lembaga itu merayu.

"Kalau takut terseksa, pergi sekarang" perintah Pak Tua Mahat.

"Aku tak boleh tinggalkan anak aku" jelas lembaga itu mempertahankan diri.

"Boleh atau tak boleh kau mesti tinggalkan Mat Tera!" tegas Pak Tua Mahat tidak mahu bertolak ansur pun.

"Ini anak aku" sahut lembaga itu berkeras.

"Sahak, teruskan..." Pak Tua Mahat menyuruh Aki Sahak terus membacakan Ayatul Kursi.

"Jangan, jangan..." lembaga itu menangis teresak-esak melalui Aki Mat Tera yang terbaring lemah.

"Tak tahan aku bahang api, panas..." ujarnya merayu-rayu.

"Aku beri tempoh lima minit" Pak Tua Mahat memberi amaran. "Kalau kau tak pergi juga, aku akan hancur musnahkan macam debu" katanya menggertap bibir.

Kelihatan Aki Mat Tera tidur nyenyak. Dia tidak bergerak lagi seperti mula-mula kedatangan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak datang. Saya yang duduk di lunjur kakinya bersama emak saya, dapat melihat ombak dadanya turun naik dengan kencang. Matanya lelap. Sekali-sekala saya lihat mukanya memang menggerunkan. Pipinya sudah cengkung, sementara matanya jauh ke dalam. Tulang pipinya menungkal ke atas. Mukanya juga sudah menjadi kecil dan dagunya kelihatan terlalu panjang. Tetapi dia masih juga terlantar di tempat tidur.

Setelah lima minit, Pak Tua Mahat melihat ke dalam makrifat, dia dapati lembaga itu masih meriba Aki Mat Tera. Tetapi seluruh badannya sudah bertukar menjadi hitam akibat serangan bertalu-talu tadi. Bila menyedari Pak Tua Mahat kembali datang untuk menyerang bersama Aki Sahak, lembaga besar itu melepaskan Aki Mat Tera dari ribaannya.

Melihat keadaan ini Pak Tua Mahat tahu lembaga itu sudah mengalah. Dia tidak sanggup lagi melawan.

"Ilmu kau berdua, bukan ilmu pawang. Aku tak tau apa ilmu yang kamu pakai" lembaga itu bersuara terketar-ketar.

"Jangan tanya tentang ilmu, sekarang tinggalkan Mat Tera!" jerkah Pak Tua Mahat.

"Kau mahu kami serang lagi...?" tanya Aki Sahak mengeraskan suara.

"Jangan, ampun...ampun" rintihnya menangis teresak-esak. "Aku tak tau jalan balik" katanya berpusing-pusing di sekeliling Aki Mat Tera.

"Datang tau, balik tak tau ye..." Aki Sahak tidak mempercayai dalih lembaga tersebut.

"Tolonglah lepaskan aku. Bukakan ikatan aku..." lembaga itu merayu bersungguh-sungguh.

Pak Tua Mahat mengangguk. Dia bersetuju dengan permintaan lembaga itu mahu pergi dengan tidak diganggu. Ikatan yang dimaksudkan oleh lembaga itu ialah terletak pada Aki Mat Tera sendiri. Memang Pak Tua Mahat tahu mengenai ikatan lembaga tersebut dengan Aki Mat Tera.

"Kak Simit jangan terkejut..." bisik Pak Tua Mahat pada isteri Aki Mat Tera. "Selama ini Abang Mat Tera pakai ilmu salah, inilah yang menyeksa dia sekarang" beritahu Pak Tua Mahat.

"Habis, apa kakak nak buat?" Simit serba salah bila mendengar keterangan Pak Tua Mahat itu.

"Suruh orang bukakan lantai rumah sekeping, atap sekeping dan anak tangga bawah sekali" jelas Pak Tua Mahat.

Apa yang dikatakan oleh Pak Tua Mahat itu dilakukan oleh orang. Papan lantai sekeping dikopakkan, atap juga dibuang sekeping, manakala anak tangga rumah juga ditetas pengikatnya. Setelah semuanya dilakukan, Aki Mat Tera pun meninggal dunia.

Apabila Aki Mat Tera meninggal dunia, mayatnya pun diselubungkan dengan kain. Mereka pun bersiap-siaplah untuk menguruskan pengebumiannya pada esok harinya. Ketika mahu memandikan mayat alangkah terperanjatnya apabila melihat mayat Aki Mat Tera sudah reput. Hanya tulang-tulangnya saja yang tinggal seolah-olah dia sudah lama meninggal dunia.

Memang benar Aki Mat Tera sudah lama meninggal dunia. Yang dilihat sedang sakit itu hanyalah lembaga yang memelihara dia. Lembaga itulah yang kuat makan. Dan lembaga itulah yang melarang Simit dari menjemput Pak Tua Mahat dan Aki Sahak, kerana dia tahu orang-orang demikian adalah musuhnya.

Bila mengenangkan sumbangan Aki Sahak ini kepada orang ramai, saya rasa macam berdosa pula mahu berpindah dari situ disebabkan tidak senang dengan Aki Sahak. Saya seolah-olah mahu melarikan diri dari membantu dia di situ. Tetapi saya tidak sanggup membuat kerja-kerja seperti dilakukan oleh Aki Sahak itu.

Saya tidak mahu dijadikan tumpuan oleh masyarakat. Masalahnya berat kalau kita sudah mula mahu menerima harapan seseorang yang mengharapkan sesuatu dari kita. Sedangkan semua kerja-kerja ini mestilah dibuat dengan ikhlas. Bila hati kecil kita sudah mempertikaikan sesuatu, maka kerja-kerja yang dilakukan itu sudah menjadi sia-sia.

Kadangkala timbul pula tomahan dari orang lain yang mengatakan cara yang dilakukan itu sama seperti bomoh yang mencari wang. Padahal bukan semua bomoh mencari wang melalui cara pengubatan mereka. Kalau mahu dikira upah memang tidak setimpal dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Aki Sahak.

Apakah perasaan kita bila dikejutkan orang sewaktu mata baru mahu terlena tengah malam? Bagaimana kita mahu mencari nafkah apabila semalam-malaman berjaga merawat pesakit? Masyarakat hanya melihat dari satu aspek saja iaitu bomoh tidak mengeluarkan apa-apa modal apabila mengubati pesakit? Inilah yang susah hendak dijawab.

Sebab itulah saya mahu melarikan diri dari tempat kerja-kerja demikian. Kadangkala kepala mahu naik pitam apabila terpaksa membacakan satu-satu ayat itu dengan kusyuk. Ayat-ayat tersebut bukannya dibaca seperti menghafal senikata lagu yang dinyanyikan oleh anak-anak muda. Tetapi disekalikan dengan makrifatnya.

Untuk mencapai tingkat itulah yang boleh menyebabkan kepala naik pitam. Tetapi saya kesihan juga kepada Aki Sahak yang sudah mula mendapat bantuan dari saya. Tentulah dia kecewa sekiranya saya mengambil keputusan bertukar dari situ. Pernah juga Aki Sahak membisikkan kepada saya, sementara saya masih bertugas di daerah itu, mungkin Abang Amud bercadang juga mahu mendalami pengubatan cara ditidurkan ini.

Dalam masa berkira-kira mahu bertukar dari daerah itu hampir saya terlalai kerana Asar sudah masuk. Isteri saya juga sudah mengingatkan tentang Asar. Saya pun segera mengambil wudhuk di bilik air untuk menunaikan fardhu Asar berjemaah dengan isteri saya. Perkara mahu bertukar itu sudah saya beritahu pada isteri saya. Dia juga tidak membantah tujuan saya, kerana selama ini memang dia sedari saya selalu saja dipanggil orang. Kadangkala terkuap-kuap di tempat kerja menahan mengantuk.

Pernah juga isteri saya bergurau dengan memanggil saya doktor tak berijazah. Tetapi saya tidaklah hiraukan sangat. Bukan saya yang meminta diri saya dipanggil, tetapi masyarakat di situ yang mahu mencari saya. Semenjak Aki Sahak menyuruh mereka mendapatkan saya kalau menghadapi gangguan syaitan, maka saya sudah menjadi tumpuan.

Asar itu seperti biasa kami terus berjemaah menunaikan fardhu Asar. Semasa masuk rakaat kedua, saya terdengar ada orang memanggil saya dari halaman. Terpaksa saya mendehem kuat. Kemudian meneruskan sembahyang saya hingga selesai. Setelah memberi salam saya wirid pendek saja. Kemudian saya terus ke pintu hadapan menjengah siapa yang memanggil tadi. Sali tercegat di tengah halaman.

"Ada apa Sali?" tanya saya sambil mempelawanya masuk dahulu.

"Tak payah masuklah ustaz..." sahut Sali tersengih-sengih.

"Aki Sahak panggil?" tanya saya menduga. Selalunya mereka datang berjumpa saya kerana disuruh oleh Aki Sahak. Dia mengangguk.

"Kalau macam tu, masuklah dulu" saya berkeras juga mengajak dia masuk dulu.

"Masuklah, kita minum kopi dulu. Lepas tu barulah kita pergi. Tak apa tu, Aki Sahak dah ada cukuplah..." kata saya menyuruhnya masuk dulu.

"Elok kita cepat ustaz..." ujar Sali mendesak.

"Tak apa, masuklah dulu" ujar saya mendesaknya supaya masuk. Sali menjadi serba salah apabila didesak. Mahu tidak mahu terpaksa juga dia masuk. Tetapi saya lihat dia di dalam keadaan rusuh. Mungkinkah ada gangguan di lombong? Saya rasa puaka air di lombong itu masih belum musnah lagi. Bukanlah satu perkara mudah untuk menghapuskan mereka sama sekali, kecuali kita hanya boleh menghalang niat jahat syaitan saja.

"Takkan nak cepat sangat" isteri saya pula keluar dari bilik menyindir. "Datang cuma nak ajak ustaz aje?" katanya terus berjalan ke dapur.

Sali tersengih-sengih. Dia tidak banyak bercakap bila sudah duduk. Mungkin dia bimbang orang akan tertunggu-tunggu. Tentulah mereka menuduh dia tidak boleh diharap disuruh memanggil saya. Sepatutnya dia mesti segera datang semula membawa saya bersama.

"Apa halnya?" tanya saya.

"Abang Amud ajak ustaz cepat" dia memberitahu.

"Apa halnya...?" ulangi saya.

Sali terdiam. Susah benar dia mahu menerangkan kepada saya. Mengapa pula dia masih mahu menyembunyikan tujuan kedatangannya. Kalau dia disuruh oleh Abang Amud mendapatkan saya, mestilah saya hendak tahu jugak apa masalah Abang Amud. Sepatutnya Sali mesti memberitahu. Tetapi dia tetap membisu.

Sama seperti seorang gadis yang bekerja di pejabat daerah yang pernah menemui saya terlalu susah mahu menerangkan tujuannya. Dia mahu bercakap sama seorang saja dengan saya. Terpaksalah saya membawanya jauh sedikit. Dia memberitahu tentang seorang lelaki yang berjanji mahu mengahwini dia, tetapi masih juga enggan masuk meminang. Lelaki itu memberi berbagaibagai dalih. Akhirnya menghilangkan diri entah ke mana. Gadis itu meminta saya membuatkan sesuatu supaya lelaki tersebut kembali kepadanya.

Masalah gadis tersebut tentulah tidak sama dengan Sali. Gadis itu terpaksa menyembunyikannya kerana masalah peribadi. Saya sendiri tidak tahu apakah caranya mahu menolong, kerana seperti saya katakan, saya bukanlah seorang bomoh. Sedangkan gadis berkenaan menyangkakan saya seorang bomoh. Bagaimanapun saya nasihatkan gadis itu supaya sembahyang Tahajud memohon kepada Allah supaya lembutkan hati lelaki yang telah merosakkan masa depannya itu dan datang menikahinya. Sama ada dia melakukan atau tidak, saya pun tidak tahu. Selepas itu saya tidak pernah lagi menemui gadis tersebut.

"Apa halnya?" soal saya lagi.

"Abang Amud suruh ustaz cepat itu saja" jelasnya serba salah.

"Iyalah, cepat nak ke mana?" heran juga saya mengapa Sali tidak mahu berterus terang. Sebenarnya kalau memerlukan saya cepat pun tidaklah penting sangat, kerana Aki Sahak sendiri mempunyai pengalaman yang lebih dari saya.

Pengubatan cara tidur yang sering saya katakan itu memang saya belajar dari Aki Sahak juga. Malah bukanlah perkara yang pelik, kerana ada kawan saya yang pernah bekerja di Sarawak memberitahu, di Sarawak juga pengubatan secara ini sudah meluas digunakan.

"Cepat, nak ke mana?" saya mendesaknya.

Belum sempat Sali menjawab, isteri saya sudah keluar membawa kopi bersama karipap yang sudah disediakannya. Sali terus terkebil-kebil mata memerhati isteri saya datang.

"Bagilah can ustaz rehat-rehat di rumah..." isteri saya mengusik.

"Abang Amud yang suruh jemput" beritahu Sali tersengih-sengih.

"Kalau ustaz selalu aje dijemput, saya ni macam mana?" ujar isteri saya. Sebenarnya isteri saya bukanlah menyindir, sebaliknya dia memang gemar mengusik. Kadangkala kalau orang nipis telinga mungkin mengatakan isteri saya menyindir. Tetapi dia memang tahu mengapa masyarakat di situ menjemput saya tergesa-gesa.

Disebabkan mereka tidak pernah mengalami pengubatan yang sering saya dan Aki Sahak lakukan, jadi mereka menyangka ianya satu perkara baru. Sebenarnya ilmu Allah bukanlah baru, ianya sudah ujud sejak lama dulu.

"Minumlah dulu..." pelawa isteri saya menghulurkan cawan kepada Sali. "Lepas tu nak ambil ustaz, ambillah. Tapi hantar balik tau..." katanya tersenyum.

Sali tersengih-sengih mendengar usikan isteri saya itu. "Abang Amud suruh ustaz datang fasal Aki Sahaklah" kemudiannya dia memberitahu.

"Mengapa Aki Sahak?" tanya saya.

"Entah..." jelas Sali perlahan. "Sejak lepas Zohor tadi dia muntah darah. Fasal itu Abang Amud minta sangat ustaz datang cepat." Katanya bercampur rusuh.

Tidak jadi saya meneguk kopi bila mendengar cakap Sali. Lantas saya suruh isteri saya bersiap-siap untuk menziarahi Aki Sahak. Dalam kepala saya mula timbul bermacam-macam soalan, bagaimana Aki Sahak yang sentiasa beringat itu, sekali sekala terlalai juga. Tetapi, inilah sifat insan.
 
1741743705953.png



DENDAM ANGUT LUMPUH


SEBATANG parit yang melintasi tengah kampung selalu dikaitkan oleh orang-orang kampung dengan dendam Angut Lumpuh. Siapa saja yang terkena dendam Angut Lumpuh nescaya akan menjadi lumpuh kalau umur panjang, sebaliknya kalau sampai ajal akan mati.

Apakah yang dikatakan Angut Lumpuh ini pun saya tidaklah tahu sangat, cuma Kadir Misai yang mengajak saya ke Jerantut di Pahang apabila adiknya dikatakan sakit akibat disampuk dendam Angut Lumpuh ini. Kadir Misai pun hanya mengesyaki saja adiknya disampuk dendam Angut Lumpuh. Ini disebabkan apabila penduduk kampung itu diserang sakit luar biasa, maka mereka akan cepat mengesyaki terkena sampuk Angut Lumpuh.

Kerana tidak mahu menghampakan hati Kadir Misai saya pun bersetuju ke Jerantut pada malam itu juga. Lagi pun saya sendiri ingin untuk mengetahui apakah yang dikatakan Angut Lumpuh itu. Kalau puaka mengapa pula dinamakan Angut Lumpuh? Kalau jenis syaitan dari mana pula datangnya nama Angut Lumpuh?

Ketika saya sampai di rumah ayah Kadir Misai, memang adiknya berumur 13 tahun masih tidak sedar diri. Kata lebai Man iaitu ayah Kadir Misai sudah tiga hari Zuki anaknya tidak sedarkan diri.

"Kenapa awak tak panggil Ulung Bahar di Lancang?" tanya saya pada Kadir Misai.

"Ah, awak pun sama juga ustaz..." bisiknya.

"Tapi lebih elok orang sini juga" kata saya cuba menarik perhatian dia.

"Mana nak ingat semua tu, dalam keadaan macam ni" ujarnya sambil memanjangkan bibir menunjuk ke arah adiknya yang terlentang di tengah rumah.

"Kawan ingat, usaz pun bolehlah..." jelasnya perlahan.

"Ha, cubalah ustaz" Lebai Man pula menggesa.

Sukar juga saya mahu membuat keputusan. Orang sudah mendesak supaya saya tengokkan Zuki. Kalau saya mahu berdalih mengapa tidak menolak semasa Kadir Misai datang menjemput ke rumah. Sebenarnya saya datang hanya untuk mengetahui apakah yang dikatakan Angut Lumpuh itu.

Kebetulan Dukun Pak Cu Jabat sudah mengubatnya. Dia sendiri meminta saya pula mencubanya. Dukun Pak Cu Jabat juga mengesyaki memang angkara Angut Lumpuh. Dari dialah saya diberitahu mengenai parit yang melintasi kampung, yang telah saya lalui bersama Kadir Misai ketika datang ke situ, memang ada kaitan dengan Angut Lumpuh ini.

Beberapa tahun dulu anak saudara dia meninggal dunia setelah terkejut melihat seorang perempuan tua berjalan menginsut punggung di dalam parit tersebut. Dia tidaklah meninggal dunia sebaik saja melihat perempuan tua itu, sebaliknya jatuh demam. Budak baru berumur empat tahun itu memberitahu emaknya dia ternampak seorang nenek tua menginsut punggung mudik parit tersebut.

Kira-kira sebulan lebih budak itu sakit, dia pun meninggal dunia. Dukun Pak Cu Jabat memberitahu kalau ternampak perempuan tua itu nyatalah dia Angut Lumpuh. Maksudnya Angut ini ialah nenek kepada nenek. Sekiranya ternampak dia mudik bererti susahlah hendak diselamatkan pesakit berkenaan, sebaliknya kalau dia menginsut ke hilir masih ada harapan untuk sembuh, tetapi mangsanya itu akan lumpuh.

Dia juga menceritakan seorang lelaki tepok di dalam kampung itu yang disebabkan angkara dendam Angut Lumpuh. Kaki dan tangan sebelah kanannya menjadi lumpuh setelah sembuh dari sakitnya. Lelaki itu sekarang sudah berumur lebih 40 tahun dikenali sebagai panggilan Apat Tepok saja.

Seorang lagi sepupu Lebai Man menjadi tidak siuman selepas sembuh dari sakit yang dikatakan akibat terkena sumpahan Angut Lumpuh ini. Sebenarnya sudah banyak mangsa Angut Lumpuh itu sejak beberapa tahun dulu. Parit itu adalah anak sungai kecil yang mata airnya terbit dari bukit dalam kampung itu juga, sekarang ini bukit berkenaan sudah pun ditebang tebas dijadikan kebun getah.

"Kalau ternampak Angut Lumpuh tu di dalam parit tu, hah tanda nahaslah tu..." ujar Dukun Pak Cu Jabat.

"Ada yang terjumpa?" tanya saya.

"Siapa yang jumpa Angut Lumpuh, kalau tak lumpuh, mati..." sahut Lebai Man pula menguatkan lagi dakwaan Pak Cu Jabat.

"Zuki ni jumpa?" soal saya lagi.

"Tak taulah..." beritahu Lebai Man perlahan.

"Tengah makan tiba-tiba dia pening kepala, langsunglah tak sedar diri. Fasal itulah kawan telefon pada Kadir di Kuala Lumpur" jelas orang tua itu seterusnya.

Lama saya memikirkan apakah cara mahu dilakukan terhadap Zuki. Kalau Pak Cu Jabat seorang dukun sudah berusaha memulihkan, pada hal dia sudah berpengalaman sekian lama di situ tetapi tidak berhasil, bagaimana pula saya mahu mencubanya.

Kerana tidak terfikirkan cara yang lain, lalu saya mengajak semua orang yang ada di situ bersama-sama dengan saya membaca Yassin. Mereka bersetuju dengan cadangan saya, iaitu membaca Surah Yassin. Lebai Man juga setuju saya mengepalai bacaan Yassin tersebut.

Tiga kali bacaan Yassin dibuat barulah saya dapati Zuki mula menggerakkan badannya. Bagaimanapun dia masih tidak sedarkan diri. Dia seolah-olah mahu bangun untuk melompat ke tanah, tetapi tenaganya masih lemah. Zuki terbaring semula. Apabila dipanggil namanya dia tetap mendiamkan diri.

Hati saya lega kerana Zuki sudah mula menggerakkan badan. Walaupun dia masih belum sedarkan diri, namun ada perubahan juga. Tidaklah terlentang tidak bergerak-gerak seperti mula-mula saya datang. Saya sampai di rumah Lebai Man kira-kira jam 11.30 malam. Ketika ini masih ramai lagi orang datang menziarahi Zuki.

Saya lihat Pak Cu Jabat juga tersenyum dengan perubahan Zuki. Setelah setengah jam Zuki boleh menggerakkan badan, dia pun mula berpusing ke kiri ke kanan dalam keadaan masih lemah. Nafasnya saja kencang turun naik. Dia tidak bercakap apa-apa pun.

"Ada perubahan nampaknya, ustaz..." kata Dukun Pak Cu Jabat.

"Alhamdulillah..." sahut saya perlahan.

"Dukun ni bukan kira besar kecil, kira rasi" ujar Pak Cu Jabat mengurut-ngurut misainya.

"Kira rasi, kalau rasi dukun dengan ubatnya, hah macam kunyit jumpa kapur aje laa" dia terangguk-angguk puas hati dengan perubahan Zuki yang sudah tiga malam tidak bergerakgerak.

Semakin lama semakin keras Zuki berpusing ke kiri ke kanan. Terpaksa pula Kadir Misai memegangkan kakinya. Tetapi cepat saja kaki Zuki menyinggahi dada Kadir Misai. Terundur juga Kadir Misai ke belakang bila kaki itu menerjah ke dadanya.

"Mari kita cuba sama-sama Pak Cu" saya menepuk bahu Pak Cu Jabat.

"Silakan dulu..." dia menyuruh saya terus menghadapi keadaan Zuki yang semakin keras.

"Pak Cu bantulah saya" kata saya mengharapkan dia sama-sama menggunakan kemahirannya.

"Iya, ya...silakan" ujarnya sambil rapat kepada Zuki. Zuki tidak meronta-ronta, tetapi dia membalikkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan. Makin lama semakin kencang dia membalikkan tubuh ke kiri dan ke kanan.

Saya lihat Pak Cu Jabat sudah terkumat kamit mulut membacakan ayat-ayat tertentu, yang saya tidak tahu apakah ayatnya. Seperti Ulung Bahar yang pernah saya temui, Pak Cu Jabat juga tidak menggunakan kemenyan, bertih, limau atau ramuan-ramuan khas bagi mengubati pesakit.



Zuki masih membalik-balikkan tubuh ke kiri ke kanan. Sekali-sekala dia mendengus bagaikan hidung tersumbat. Saya menyorot tubuhnya dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Lama kelamaan tubuh Zuki hilang dari sorotan saya. Keliling saya menjadi gelap seketika.

Setelah melepasi kegelapan itulah saya dapati diri saya terlalu jauh di dalam kawasan hutan yang terdapat satu parit anak sungai yang kecil. Parit tersebut sama seperti parit yang melintasi di tengah-tengah kampung Kadir Misai. Cuma keadaan kelilingnya saja dipenuhi hutan dan anak-anak pokok.

Lama saya berlegar-legar mencari punca di manakah saya telah sampai. Akhirnya saya dapat mengangak bahawa anak air yang saya temui itu adalah anak air di kampung itulah seperti keadaannya beberpa puluh tahun dulu.

"Mungkinkah saya sudah berjalan terlalu jauh?" fikir saya dalam kebingungan.

Ketika ini saya teringat untuk membaca Ayat Waddhuha. Saya membaca tiga kali barulah saya mendapat pedoman mengenai anak air itu. Memang itulah anak air yang saya cari. Tidak salahlah dakwaan Pak Cu Jabat mengenai anak air yang mengalir di tengah kampung itu sudah banyak memakan mangsa.

Dalam masa saya merayau-rayau ini kedengaran kepada saya suara orang mendehem. Cepat-cepat saya berpaling memerhatikan arah suara itu. Seorang lelaki berserban putih, mukanya bersih berbau harum sambil memegang tongkat semambu dari rotan beruas songsang. Dia memimpin tangan Zuki masih teragak-agak mahu melompati parit berkenaan.

"Assalamualaikum..." tiba-tiba dia memberi salam. Saya menjadi serba salah. Mustahil pula syaitan boleh memberi salam atau berbau harum demikian. Sekali lagi dia memberi salam. Mau tidak mau saya terpaksa juga menyahut salamnya.

"Anak jangan ragu-ragu" dia tersenyum seolah-olah dapat membaca perasaan saya yang tidak mempercayai dia.

"Anak mau budak ni balik, memang saya mau menghantar dia pada keluarganya" jelasnya sambil mengusap-ngusap kepala Zuki. Budak itu tersenyum mengerling ke arahnya.

"Tok Sheikh ni siapa? saya mula mempercayai dia.

"Saya menjaga tempat ni" beritahu dia ramah.

"Memang si lumpuh tu tak habis-habis berdendam, sampai budak Zuki ni pun dia nak kenakan. Mujur saya cepat sampai menolongnya..." katanya menghentakhentakkan tongkat rotan beruas songsang itu.

"Kenapa Tok Sheikh tak hantar Zuki balik...?" saya cuba menduga.

"Tak ada orang sampai ke sini. Pak Cu Jabat tak sampai, dia jauh lagi. Saya pula tak boleh keluar jauh dari sini" jelas lelaki yang saya panggil Tok Sheikh tu.

Tok Sheikh itu tidak pula menceritakan siapakah dirinya sebenar. Tetapi saya dapati dia memang berniat baik. Boleh jadi juga Pak Cu Jabat tidak sampai ke situ, sebab itulah Zuki tidak dapat dihantarnya balik. Kalaulah Zuki tidak dapat diambil balik bereti dia akan tidak sedarkan diri beberapa lama lagi. Inilah hakikat sebenarnya.

"Memang jauh anak berjalan..." katanya lalu mengajak duduk pada sepohon pokok. "Jarang orang boleh sampai ke sini, kalau kurang pengalaman memang sukar nak sampai ke sini" ujarnya.

Saya mengangguk-angguk kepala. Kagum juga saya dengan sifat ramah orang tua berkenaan. Kalaulah dia dari jenis syaitan masakan budi bahasanya begitu ramah. Oleh itu saya kuat mengagakkan dia bukanlah syaitan, tetapi golongan yang boleh membantu.

"Anak mau pertolongan saya?" tanyanya tersenyum memerhatikan saya dalam keadaan ragu-ragu.

"Tidak!" tegas saya. "Saya hanya memerlukan pertolongan Allah" kata saya ego sedikit.

"Alhamdulillah, kalau begitu..." suaranya lembut mempesonakan. "Saya tahu anak memang cucu Tok Aji Mat Kampar. Saya kenal dengan Tok Aji Mat Kampar" katanya lagi.

Kesal juga saya kerana bercakap seakan-akan kasar terhadap orang tua berkenaan. Tetapi saya masih tertanya-tanya siapakah dia sebenarnya? Belum pernah saya menghadapi suasana demikian, kerana selalunya kedatangan saya ditentang oleh jelmaan syaitan-syaitan.

Mahu bertanya berulang kali terasa juga segan. Maklum saja, menyoal orang demikian, tidak sama seperti menemui manusia biasa di alam nyata. Orang begini kadangkala sudah dapat membaca apa yang terbendung di hati kita. Dia juga tahu mengenai Tok Aji saya yang dikenali Tok Aji Mat Kampar itu. Tentulah orang tua itu bukannya musuh.

"Saya bukannya musuh..." katanya seolah-olah mengerti apa yang saya fikirkan. "Tapi, datang untuk menolong"

jelasnya.

Dia pun menceritakan mengenai Angut Lumpuh yang mengganggu itu. Katanya Angut Lumpuh itu seorang wanita yang pernah dimadukan oleh suaminya. Dia tinggal berhampiran dengan parit berkenaan. Kisah ini berlaku bertahun-tahun dulu sebelum kampung itu terbuka seperti sekarang.

Nama sebenar Angut Lumpuh ini ialah Mak Pilin, manakala suaminya Pak Bakok telah berkahwin seorang lagi atas alasan Mak Pilin tidak mempunyai anak. Dengan isteri mudanya Pak Bakok mendapat tiga orang anak. Mak Pilin tidaklah marah dengan perbuatan suaminya berkahwin lain, sekalipun pada mulanya dia merasa kecewa juga.

Lagipun dia tidaklah berani mahu melawan Pak Bakok. Kadangkala apabila diherdik Pak Bakok dia tidak berani langsung mahu menjawab. Satu hari Pak Bakok menyuruh Mak Pilin membasuh seluarnya yang sudah kupam. Seperti biasa Mak Pilin tidak membantah perintah suaminya, maklumlah sejak kebelakangan itu pula Pak Bakok menunjukkan sikap lebih sayang kepada isteri mudanya. Ini disebabkan isterinya yang muda mempunyai anak, sedangkan Mak Pilin bolehlah dianggap perempuan mandul.

Kerja-kerja di rumah lebih banyak dilakukan oleh Mak Pilin. kadangkala bila isteri Pak Bakok yang muda bernama Siti mahu membantu akan dimarahi pula oleh Pak Bakok. Jadi, terpaksalah Mak Pilin membuat kerja-kerja seperti membasuh, memasak, mencari kayu api dan sebagainya. Sementara Siti hanya menjaga anakanak saja.

Mereka tinggal serumah. Siti sangat menghormati Mak Pilin, sementara Mak Pilin juga menganggap Siti sebagai adiknya. Dia melayan anak-anak Siti sama seperti anaknya juga. Sayangnya sikap baik Mak Pilin ini disalah anggap oleh Pak Bakok. Dia memikirkan sikap baik Mak Pilin itu ada udang di sebalik batu.

Tentu Mak Pilin akhirnya akan menganiaya Siti anak-beranak melalui sikap lemah lembut itu. Memang ada niat Pak Bakok mahu membuat rumah berasingan, tetapi mestilah membawa Siti anak-beranak berpindah kerana rumah yang didudukinya itu adalah harta peninggalan ayah Mak Pilin. Untuk membina rumah lain tentulah memakan belanja yang besar.

Oleh itu terpaksalah Pak Bakok mendiamkan diri terlebih dulu dengan menumpang tinggal di rumah pusaka Mak Pilin. Bermula dari membasuh seluar kupam itulah rumahtangga Pak Bakok menjadi porak peranda. Pak Bakok menjadi berang kerana seluar yang dibasuh itu tidak bersih. Seolah-olah retak menanti belah saja bila didapatinya seluar tersebut tidak putih setelah dibasuh.

"Memang awak betina tak berguna, basuh kain pun tak boleh diharap!" bentak Pak Bakok melemparkan seluar tersebut ke muka Mak Pilin.

"Seluar tu memang kupam. Tak boleh putih lagi dah..." sahut Mak Pilin terharu dengan sikap suaminya. Selama ini dia tahu Pak Bakok tidak pernah bersikap demikian. Hanya setelah mendapat anak dari Siti barulah sikapnya berubah terhadap Mak Pilin.

"Awak jangan menjawab cakap aku!" gerutu Pak Bakok.

"Aku cakap yang benar" balas Mak Pilin tidak puas hati dengan tindakan suaminya yang kasar. "Macam mana nak putih kalau seluar tu kupam" ujarnya mempertahankan diri.

Memang seluar kupam itu tidak boleh putih walau macam mana dicuci pun. Tetapi Pak Bakok sengaja mahu mencari salah dia. Seolah-olah apa saja kerjanya semua tidak memuaskan hati Pak Bakok. Siti cuba masuk campur, tetapi diherdik oleh Pak Bakok. Dia tidak mahu Siti membela Mak Pilin. Padanya Mak Pilin memang tidak boleh diharap lagi. Membasuh kain baju pun sudah tidak cuci. Masak nasi sudah tidak menyelerakan. Semua yang dibuat oleh Mak Pilin tidak kena lagi pada dia.

"Bukan Kak Pilin yang basuh tu, aku yang basuh..." Siti cuba mempertahankan Mak Pilin.

"Seluar tu dah kupam, macam mana nak putih lagi. Sental macam mana pun tak hilang kupamnya" kata Siti dengan harapan kemarahan Pak Bakok boleh reda.

Rupa-rupanya dengan kata-kata Siti itu membuat Pak Bakok semakin berang. Matanya terjengil memerhati Mak Pilin.

“Kau menghambakan Siti ye?" dia terus menyepak paha Mak Pilin. "Kau suruh Siti membasuh, memasak, mencari kayu api. Kau duduk goyang kaki aje di rumah!" bentaknya menggertap bibir.

"Tak pernah aku buat macam tu..." sahut Mak Pilin terkejut juga dia dengan tindakan Pak Bakok menyepak dia.

"Habis, kenapa Siti mengaku dia membasuh seluar aku tu?" Pak Bakok terus menampar pipi Mak Pilin.

Cepat-cepat Siti memeluk Pak Bakok. Dia juga tidak menyangka Pak Bakok bertindak demikian jauh. "Awak dah gila ke buat Kak Pilin macam tu, awak dah gila!" Siti menangis teresakesak menahan sebak di dada.

Pak Bakok tidak peduli rayuan Siti. Dia terus melepaskan geramnya kepada Mak Pilin. Benci sangat dia pada Mak Pilin, setelah mendapati wanita itu seolah-olah menjadi beban saja kepadanya.

"Aku mau kau basuh seluar tu sampai putih, kalau tak putih aku bunuh kau!" kata Pak Bakok terus meninggalkan Mak Pilin dengan Siti di situ.

Apabila Mak Pilin mahu bangun tiba-tiba dirasakan kakinya sudah tidak boleh digunakan lagi. Dia tersepuk duduk tidak boleh berjalan. Terkejut juga Siti melihat kejadian yang menimpa Mak Pilin. Mungkin tendangan Pak Bakok terlalu kuat menyebabkan paha Mak Pilin patah.

Malamnya setelah Pak Bakok balik ke rumah, Siti memberitahu kejadian yang menimpa Mak Pilin. Tetapi Pak Bakok tidak memperlihatkan rasa kasihan dengan apa yang berlaku ke atas diri Mak Pilin. Dia juga tidak berusaha untuk mengubat kaki Mak Pilin. Sejak itulah Mak Pilin menjadi lumpuh. Dia berjalan dengan menginsut punggung.

Kerja-kerja di rumah tetap dilakukan seperti biasa. Pak Bakok tidak mahu dia membebankan kerja-kerja rumah pada Siti. Manakala Pak Bakok sehari-harian kerjanya pergi menyabung ayam. Jadi, terserahlah kepada Mak Pilin membuat kerja-kerja membasuh, memasak dan mencari kayu api.

Rupa-rupanya kemarahan Pak Bakok menjadi-jadi disebabkan dia kalah bersabung. Tapi nasibnya baik, apabila seluar kupam yang telah dibasuh oleh Mak Pilin itu dipakainya dia sentiasa menang bersabung ayam. Dia terlalu sayang dengan seluar tersebut, walaupun kelihatan kupam.

Siti tidak berani lagi masuk campur sekiranya Pak Bakok memarahi Mak Pilin. Dia tidak mahu berlaku lagi apabila dengan pengakuannya membasuh seluar itu telah menyebabkan Pak Bakok bertambah marah, padahal tujuannya adalah untuk meneyelamatkan Mak Pilin.

Setelah beberapa lama Mak Pilin menjadi lumpuh, satu hari sampailah masanya Siti pun meninggal dunia. Sedih juga hati Mak Pilin kerana Siti yang baik hati meninggal dunia. Anak-anak Siti yang ditinggalkan juga belumlah dewasa lagi. Pak Bakok pula tidak lama selepas kematian Siti, dia bernikah lagi dengan seorang janda.

Sejak berkahwin dengan janda itu Pak Bakok mengikut apa saja perintah isterinya. Sampaikan anaknya dengan Siti pun terbiar. Terpaksalah Mak Pilin mengambil berat akan nasib anak-anak Siti. Setiap hari dia terpaksa membasuh kain yang bertimbun-timbun. Janda itu bernama Encom kadangkala bertindak lebih garang dari Pak Bakok sendiri terhadap Mak Pilin.

Di parit anak sungai itulah Mak Pilin membasuh kain. Dia menginsut punggung untuk membasuh kain. Kadangkala anak-anak Siti tiga orang yang berumur 5, 3 dan 2 tahun itulah menemankan dia ke parit berkenaan. Kebetulan satu pagi dia ke parit itu bersamasama anak Siti tiga orang untuk membasuh kain.

Encom menyuruh budak-budak itu membantu Mak Pilin membasuh. Ketika sedang membasuh itu sehelai kain kesayangan Encom telah dihanyutkan air. Apabila menyedari kain itu hanyut anak Siti yang berumur 5 tahun bernama Minah terus menghilir air untuk mencari kain tersebut. Dia telah pergi bersama dua orang lagi adiknya.

"Biar aku cari ke hilir Mak Tua..." kata Minah meminta izin untuk pergi mencarinya.

"Tak payahlah..." Mak Pilin berkeras tidak membenarkan.

"Biar Mak Tua saja mencarinya. Kau semua tunggu di sini" ujarnya hiba.

"Mak Tua susah nak berjalan, biarlah aku cari" Minah ketakutan akibat kain tersebut hanyut tidak mereka sedari.

"Nanti Mak Encom marah, kalau kain tu hilang" dia tetap mahu mencari kain yang hanyut itu.

Mahu tidak mahu Mak Pilin terpaksa juga membenarkan Minah bersama adik-adiknya menghilir sungai mencari kain yang hanyut itu. Setelah matahari tegak di kepala dia menunggu, Minah tidak juga balik. Dia mulai bimbang kerana Minah tidak balik semula ke situ.

Tentulah suaminya menjadi berang kalau Minah tiga beradik tidak balik, sementara Encom pula akan merampus bila didapati kain kesayangannya hanyut tidak ditemui. Terpaksalah Mak Pilin menginsut punggung menghilir sungai untuk mencari Minah tiga beradik. Perkara kain Encom hilang tidak menjadi soal lagi kepadanya. Dia mesti mencari Minah sampai dapat.

Semasa menghilir sungai ini, Minah bersama tiga orang adiknya sudah pun menemui kain yang hanyut itu tersangkut pada rumpun aur. Tetapi apabila mudik semula ke hulu, dia tidak mengikut jalan sungai itu, sebaliknya naik ikut jalan darat supaya cepat sampai semula. Bimbang juga dia kalau-kalau Mak Pilin terlalu lama menunggu.

Apabila dia sampai ke tempat Mak Pilin membasuh didapati oleh Minah kain baju sudah siap berbasuh, tetapi Mak Pilin tidak ada. Puas dia menunggu Mak Pilin tidak juga muncul, Minah juga mengajak adik-adiknya balik untuk memberitahu perkara itu kepada ayahnya.

Sejak itulah Mak Pilin tidak lagi balik-balik ke rumah. Pak Bakok pula cuba juga menghilir parit tersebut untuk mencarinya, tetapi tidak bertemu kesannya. Akhirnya dengan hasutan Encom, dia pun melupakan saja ke mana hilangnya Mak Pilin.

Dengan kehilangan Mak Pilin itu terpaksalah Minah yang baru berumur lima tahun itu mengambil alih tugasnya membasuh, memasak dan mencari kayu api. Encom hanya memerintah saja, sementara Pak Bakok tidak berani membantah perbuatan Encom.

Satu hari semasa Minah membasuh di tempat yang selalu digunakan menjadi pengkanlan, dia ternampak Mak Pilin menginsut punggung mudik. Cepat-cepat dia berkejar mendapatkan Mak Pilin.

"Ke mana Mak Tua selama ni?" Minah menangis teresak-esak.

"Janganlah Minah menangis..." pujuk Mak Pilin. "Jagalah adik-adikmu baik-baik. Kau tak ada emak, tak ada Mak Tua lagi" dia mengusap-ngusap rambut anak kecil itu.

"Marilah kita balik Mak Tua" Minah mengajaknya. "Mak Tua tak boleh balik lagi" beritahu dia kepada Minah.

"Mak Tua dah tak sama lagi dengan Minah" ujarnya memujuk anak kecil itu.

Walaupun Minah masih kecil, tetapi pada Minahlah dia menceritakan apa yang telah terjadi. Semasa dia menghilir mencari Minah tiga beradik dia sudah berjalan terlalu jauh, sambil menginsut-insut punggung itu dia meraba-raba juga di tepi parit kalau kain kepunyaan Encom tersangkut di situ.

Hinggalah sampai ke satu pondok di tepi sungai di hilir yang tidak tahu di mana, seorang lelaki tua menunggu Mak Pilin di situ. Lelaki tua itu berjanji boleh mengubati kaki Mak Pilin yang lumpuh dengan syarat mesti bernikah dengannya. Mak Pilin memberitahu tentang suaminya Pak Bakok, oleh itu adalah mustahil untuk berkahwin lain.

Tetapi lelaki tua itu memberitahu bahwa kain Encom ada di tangannya. Dia akan memulangkan dengan syarat Mak Pilin mesti menjadi isterinya. Dia tertarik hati pada Mak Pilin kerana hatinya terlalu jujur kepada suami. Sebab itulah dia mahu sangat menikahi Mak Pilin, walaupun perempuan itu sudah tua.

Disebabkan takut dimarahi Pak Bakok, di samping kain Encom yang hilang itu pada lelaki berkenaan, maka Mak Pilin terpaksa menerima syarat tersebut. Bagaimanapun dia tidak dibenarkan balik semula pada Pak Bakok. Dengan janji itulah kain berkenaan ditemui semula oleh Minah, yang terlebih dahulu menghilir mencarinya sebelum Mak Pilin menghilir.

Memang Mak Pilin memerhatikan kain tersebut diserahkan oleh lelaki tua itu kepada Minah yang pada sangkaan Minah dia menemui kain tersebut tersangkut pada ranting aur. Sebenarnya Mak Pilin sudah dinikahi oleh puaka sungai berkenaan yang sekian lama telah memerhatikan keadaan kehidupan Mak Pilin suami isteri.

"Kalau Mak Tua mudik ke hulu itu tandanya Mak Tua nak makan" dia memberitahu Minah.

"Kalau Mak Tua menghilir, Mak Tua nak main-main aje" itulah pesan Mak Pilin pada anak tirinya.

Sebelum pergi Mak Pilin mengingatkan Minah supaya tidak terkejut kalau ditegur oleh Mak Pilin. Kalau Minah terkejut tidak dapatlah Mak Pilin mengetahui akan siapakah Minah sebenarnya, kerana dia sendiri memang tidak ada keturunan. Hanya Minah dianggapnya sebagai keturunan dia.

"Mak Tua tak akan mengganggu Minah" jelasnya.

Sejak itu hilanglah Mak Pilin dari pandangan Minah. Sebagaimana sumpahnya apabila dia mudik parit berkenaan, maka adalah mangsanya. Sebaliknya kalau ada yang menghilir, maka mangsanya akan lumpuh. Demikianlah kisah Angut Lumpuh yang diceritakan oleh Tok Sheikh.

"Sayalah keturunan dari Minah itu..." beritahu orang tua berserban yang memimpin Zuki.

"Jadi, Tok Sheikh pun tak suka dengan perbuatan Angut Lumpuh?" saya menduga.

"Iya..." dia mengangguk lemah. "Tapi, saya tak boleh menghalangnya. Cuma saya akan selamatkan mangsanya, itu saja" jelas dia tenang.

"Mengapa pula?" soal saya. "Sebab dia tidak menjadikan anak cucu Minah sebagai mangsanya" ujar orang tua berjubah dan berserban putih itu.

"Mana dia nak tau anak cucu Minah?" saya mendesak lagi. "Kalau tidak terkejut bila ternampak dia, itulah tandanya anak cucu Minah" beritahunya tersenyum mengerling ke arah saya.

"Bolehkah saya bertemu dengan Angut Lumpuh?" saya memberanikan hati bertanya kepada Tok Sheikh itu.

Tok Sheikh itu tidak menjawab pertanyaan saya. Dia pun menyerahkan Zuki kepada saya lantas menghilangkan diri. Heran juga saya mengapa dia tidak mahu menjawab pertanyaan saya untuk bertemu dengan Angut Lumpuh atau Mak Pilin yang sudah diperdayakan oleh syaitan itu.

Bagaimanapun saya tidaklah mengesyaki yang Mak Pilin itu bertemu dengan puaka sungai seperti yang diceritakan oleh Tok Sheikh. Kemungkinannya ialah dia mati lemas semasa menghilir parit itu. Sebenarnya Mak Pilin itu sendiri yang bertukar menjadi puaka di situ di sungai tersebut.

Ketika saya mahu membawa Zuki balik, saya ternampak seorang nenek tua lumpuh menginsut punggung mudik ke hulu. Matanya merah menyala seperti api. Mukanya kelihatan garang seolah-olah menyimpan dendam. Kelihatan dia terlalu payah mahu menginsut punggungnya.

Saat inilah Tok Sheikh yang menghilang tadi muncul di hadapan saya. Dia memegang tongkat rotan beruas songsang itu di tangannya.

"Angut jangan ganggu Zuki ni!" kata Tok Sheikh perlahan.

"Dah masuk ke tangan, takkan nak lepaskan" suaranya bergetar seperti menyimpan dendam.

"Tak usahlah Angut, dah banyak sangat mangsa Angut" Tok Sheikh mengeraskan suara.

"Kau jangan masuk campur!" jerkah Angut Lumpuh.

"Saya kata jangan, janganlah Angut..." Tok Sheikh memberi amaran. "Kalau Angut berkeras, saya juga akan berkeras" tegasnya lalu menghentakkan tongkat rotan beruas songsang itu ke tanah.

Terjerit Angut Lumpuh menekup dadanya dengan tangan. Kenudian dia melompat bertukar menjadi asap berkepul mahu menerkam ke arah Tok Sheikh. Tetapi Tok Sheikh tidak melepaskan tongkatnya yang tercancang di tanah. Asap berkepul itu tidak dapat menerpa.

Dia berlegar-legar mahu menerkam. Bagaimanapun dia tidak dapat merapati Tok Sheikh kerana tongkat itu tetap tercancang di situ. Sekali sekala suara jerit Angut Lumpuh bergema juga menahan kesakitan. Melihatkan keadaan tersebut saya pun mengambil kesempatan lalu membacakan lanarjumannakum, menyebabkan panahan api datang menerjah beratus-ratus. Angut Lumpuh terpekik-pekik menepis panahan api yang menerjah ke arahnya.

"Saya dah cakap, Angut jangan mengganggu lagi...!" seru Tok Sheikh melihat asap berkepul-kepul itu jatuh semula ke dalam parit. Terkial-kial Angut Lumpuh menginsut punggung.

"Angut tidak akan diganggu, kalau Angut tidak mengganggu orang" jelas Tok Sheikh mengingatkan. Angut Lumpuh mengerang-ngerang kesakitan. Dia masih tidak berputus asa mahu menerkam balik. Tetapi tongkat rotan beruas songsang yang tercancang di tanah itu membuatkan dia menekan-nekan dadanya. Tongkat tersebut seolah-olah menusuk ke dadanya.

Lama dia terkial-kial menekup dadanya barulah dia menghilir semula dengan hampa. Selepas dia menghilang, Tok Sheikh berpaling ke arah saya, "Bawalah budak ni balik. Insya Allah semuanya akan selamat..." beritahu Tok Sheikh itu kemudian pergi dengan tidak meninggalkan apa-apa pesan.

Beberapa kali Pak Cu Jabat menepuk bahu saya, barulah saya membuka mata. Dia memicit tengkuk saya, sambil menghembus ubun-ubun saya. Betul-betul saya keletihan.

"Berani sangat ustaz berjalan jauh..." bisiknya ke telinga saya. Baru saya sedari bahawa Pak Cu Jabat memang tahu saya sudah terlalu jauh melepasi had yang sepatutnya.

Saya menceritakan pengalaman saya kepada Pak Cu Jabat selepas itu. Kata Pak Cu Jabat bahawa Tok Sheikh yang saya temui itu memang tok akinya yang telah meninggal dunia berpuluh tahun dulu. Akinya memang seorang ulama yang pernah belajar agama di Sumatera. Dari Pak Cu Jabat juga saya mendapat tahu dia memang keturunan Minah anak tiri Angut Lumpuh itu.

Selepas Zuki pulih semula dia juga menceritakan dirinya telah dikurung di satu pondok buruk. Tidak lama kemudian datang Tok Sheikh itu membawa dia keluar dari pondok berkenaan. Angut Lumpuh cuba merampasnya dari Tok Sheikh, tetapi Tok Sheikh terus membawa dia lari.

"Saya fikir elok juga carikan saya rotan beruas songsang" saya memberitahu Pak Cu Jabat. Pak Cu Jabat tersenyum.

"Itulah pun musuh dia..." katanya. Dia tidak menceritakan lebih lanjut mengenai rotan beruas songsang itu. Tetapi saya memang sudah mengagaknya, kerana Tok Sheikh itu saya lihat memegang tongkat dari rotan beruas songsang.
 
1741743965641.png


ORANG BESAR KENA SUNAT


SERBA salah juga Ulung Bahar kalau orang sudah datang memanggil di rumah. Kalau tidak pergi nanti dituduh orang mementingkan diri saja, kalau pergi pula kerja sendiri terbengkalai. Orang datang menjemput tidak kira siang atau malam. Walaupun diberi saguhati, tetapi tidak tergamaklah mengambil lebih. Takut juga dia akan tuduhan orang mengatakan dia bomoh cari wang.



Dia sendiri tidak mahu dipanggil bomoh. Ulung Bahar tahu dirinya bukanlah bomoh. Tetapi entah mengapa orang ramai menganggap dia seorang bomoh. Segalanya bermula ketika dia pergi ke rumah anaknya di Felda Air Kuning sepuluh tahun dulu. Jiran anaknya memberitahu anak gadisnya berumur 17 tahun digigit lipan, sudah tiga hari tidak baik. Sudah pun dibawa ke hospital, tetapi bisa lipan itu semakin bertambah pasang.



"Di mana digigitnya?" tanya Ulung Bahar.



"Paha..." beritahu jiran itu sugul.



Ulung Bahar sengaja menziarahi jiran itu setelah mendengar berita anak gadisnya digigit lipan. Adat berjiran kenalah ziarah menziarahi bila ada di antaranya mendapat susah.



"Lipannya dapat dibunuh?" tanya Ulung Bahar lagi.



"Tidak..." jiran itu menggeleng kepala. "Tak sempat saya nak bunuh, sebab cepat sangat dia menghilang masuk ke bawah tikar" ujarnya.



"Nampak lipannya?" Ulung Bahar ingin tahu.



"Nampak..Nampak..." jelas jiran tersebut. "Lipan bara, memang saya nampak lipan itu menyusup bawah tikar, kemudian hilang" katanya mengingatkan kembali peristiwa bagaimana anaknya digigit lipan bara.



Tiba-tiba saja anak gadisnya terjerit sebaik selesai makan malam. Dia menepis bahagian pahanya sampai lipan tersebut jatuh ke tikar. Cepat-cepat dia mahu memukulnya, tetapi cepat-cepat pula lipan berkenaan menyusup ke bawah tikar.



"Cuba bagi saya air sejuk" pinta Ulung Bahar.



Dalam keadaan begini dia merasa patut juga membantu. Dia bukanlah mahu menunjukkan pandai, tetapi tidak mungkin bisa lipan bertambah pasang setelah tiga hari. Lagipun sudah dibawa ke hospital. Jiran itu segera mengambilkan air sejuk. Hatinya gembira kerana tiba-tiba saja ada orang sanggup menolong anaknya digigit lipan. Tidak pula disangkanya Ulung Bahar boleh mengubati anaknya itu. Kumat-kamit mulut Ulung Bahar merenung air sejuk di dalam gelas di tangannya. Pada mulanya dia mahu menyuruh gadis itu minum saja air tersebut, tetapi kemudian Ulung Bahar tidak jadi memberikan air tersebut pada gadis berkenaan.



"His, permainan orang..." Ulang Bahar mencebik bibir.



"Permainan macam mana tu Ulung?" tanya jiran itu keheranan.



"Tak usahlah kita panjangkan" sahutnya memerhatikan gadis itu masih mengerang kesakitan. "Tak ada bisa lipan, cuma perasaan dia saja sakit..." ujar Ulung Bahar sambil mengetuk-ngetuk jari telunjuk pada bibir gelas.



"Permainan macam mana tu?" desak jiran itu lagi.



"Permainan orang muda..." kata Ulung bahar tersenyum.



Termenung jiran itu memikirkan maksud Ulung Bahar. Bila dia mengerling pada anaknya, gadis itu masih juga mengerang-ngerang kesakitan. Tidak mungkin anaknya berpura-pura sakit kerana dia sendiri melihat lipan bara tersebut jatuh dari paha anaknya. Lipan itu lari menyusup ke bawah tikar. Sekaligus dia memukulkan jarinya kuat sedikit ke bibir gelas. Tiba-tiba terapung satu lembaga lipan diperbuat dari upih pinang di dalam gelas tersebut. Macam dibuat-buat saja nampaknya, gadis anak jiran itu pulih semula. Dia tidak merasa sakit apa pun.



Bila ditanya sama ada dia digigit lipan atau tidak, dia sendiri tidak tahu.



"Lipan apa pula...?"soalnya keheranan. Cepat-cepat emaknya melihat bahagian paha yang digigit lipan itu. Tidak ada kesan langsung digigit lipan.



"Permainan orang..." ulangi Ulung Bahar.



Barulah jiran itu faham, rupanya ada orang yang sengaja mempermain-mainkan anaknya dengan memuja upih pinang tadi dengan digambarkan seperti lipan. Jadi, anaknya merasa seolah-olah digigit lipan, sebaliknya sakit bisa lipan itu hanya pada pandangan anaknya saja. Anaknya sendiri tidak menyedari apakah sebenarnya yang telah berlaku ke atas dirinya.



"Pulangkan sajalah Ulung..." jiran itu menggertap bibir. Marah sangat dia pada orang yang melakukan tipu daya demikian.



Ulung Bahar tersenyum. Dia tahu inilah sifat manusia mudah saja mahu membalas dendam apabila dianiaya. Sepatutnya seseorang mukmin wajib mendoakan orang yang menganiaya orang itu supaya insaf dan bertaubat.



"Kita pulangkan saja Ulung" desak jiran itu.



"Apa faedah kita dapat?" Ulung Bahar marah bila didesak demikian. Tidak sepatutnya jiran itu memaksa dia melakukan sesuatu yang tidak disukainya.



"Biar dia jeran..." sahut jiran itu masih menyimpan dendam.



"Jangan berdendam" ujar Ulung Bahar mengingatkan. "Anak awak selamat cukuplah. Bersyukurlah pada Allah..." katanya macam menyindir.



Sejak itulah orang-orang di situ akan memanggil Ulung Bahar kalau mereka ditimpa sakit pening. Kadangkala mereka sanggup mengajak anaknya Dalip menjemput dia ke kampung. Tidak dapatlah Ulung Bahar mengelak lagi bila sudah ramai tahu mengenai kebolehannya. Orang-orang jauh dari Gedangsa di Selangor, Hutan Melintang di Perak, di Sabak Bernam, Pengkalan Kempas di Port Dickson akan datang mencari Ulung Bahar, setelah mendapat tahu dari mulut ke mulut yang bermula di Felda Air Kuning itu. Keballah dia dianggap seorang dukun di kalangan masyarakat.



Malah Ulung Bahar juga pernah dipanggil ke istana bagi mengubat kerabat diraja. Pendek kata nama Ulung Bahar sudah dikenali oleh ramai pembesar-pembesar dan pegawai tinggi kerajaan. Jadi, macam mana dia hendak mengelak apabila ada orang menjemputnya. Kalau sudah orang-orang besar memanggil tentulah serba salah mahu mengelak. Bila sudah pergi memenuhi jemputan orang-orang besar, tentu tidak sedap hati kalau mengelak dari menerima jemputan orang-orang kampung. Tentu mereka menuduh dia memilih pesakit kerana mengejar wang. Hanya orang-orang besar saja yang sanggup memberi wang banyak.



Tetapi bukanlah itu maksud Ulung Bahar. Dia terpaksa meninggalkan tanggungjawabnya mencari nafkah hidup, disebabkan selalu dipanggil mengubati orang. Walaupun dia tinggal bersama isterinya, disebabkan anak-anaknya semua sudah berumahtangga, tetapi tanggungjawab mencari nafkah hidup masih menjadi fardhu ain yang tidak boleh diwakilkan kepada sesiapa. Apakah pendapatannya tidak lumayan menjadi dukun? Perkara inilah yang sangat ditakutinya. Dia tidak mahu dituduh mencari nafkah hidup dengan berdukun. Walaupun tidak salah, tetapi tuduhan tersebut sangat menyeksa batinnya.



Inilah yang menyebabkan Ulung Bahar termenung panjang bila diminta datang ke Kuala Lumpur oleh seorang Orang Besar. Puas juga dia berfikir bagaimana caranya mahu mengelak, tetapi masih juga buntu. Malu juga dia mahu ke rumah Orang Besar itu, kerana apalah kurangnya ilmu bomoh-bomoh lain yang lebih terkenal. Ulung Bahar merasa dirinya terlalu kecil bila dibandingkan dengan bomoh-bomoh terkenal yang sering datang ke Kuala Lumpur. Tetapi anak saudaranya yang berkhidmat di bawah Orang Besar mendesak dia. Anak saudaranya itu sudah diberi kepercayaan oleh Orang Besar itu untuk mencari dukun yang boleh mengatasi masalah dia.



"Jangan nak mengelak pula Ulung" kata Meon mendesaknya. "Nanti malu saya kalau Ulung tak mau datang" ujarnya penuh harapan.



"Kau lagi malu, kalau Tuan tu tak sembuh" Ulung Bahar mencari alasan.



"Sembuh tak sembuh kuasa Allah..." balas Meon.



"Hah, mohon sajalah pada Allah..." cepat-cepat dia memintas cakap Meon.



"Nak meminta pada Allah pun ada aturannya" kata Meon menyindir. "Ulung tahu aturannya, jadi kenalah Ulung tunjukkan aturannya" dia menambah sambil menghulur rokok pada Ulung Bahar.



Sukar juga Ulung Bahar mahu memberi keputusan. Pergi ke rumah Orang Besar tidak sama dengan rumah orang kebanyakan. Orang kampung seperti dia banyak kesulitan mahu datang ke rumah Orang Besar. Maklumlah orang sudah tua, lat-lat setengah jam mahu ke bilik air saja. Tentulah dia kekok mahu ke bilik air saja bila berada di rumah Orang Besar. Begitu juga dengan makan minum. Pinggan mangkuk di rumah Orang Besar semuanya jenis mahal. Kalau tidak biasa memegangnya takut pula terlucut dari tangan dan terhempas pecah. Makan di rumah Orang Besar juga terpaksa pakai sudu dan garfu. Mencedok gulai tergigil-gigil dengan tangan kiri.



Ulung Bahar tidak biasa dengan suasana begitu. Dia lebih senang minum di koleh. Makan bertinggung lutut duduk di lantai. Ambil lauk cekup saja jari ke dalam piring gulai. Tentulah Meon akan malu kalau dia tidak tahu menyesuaikan diri dengan suasana di rumah Orang Besar.



"Bersiaplah Lung, kita ke Kuala Lumpur" kata Meon tidak sabar.



"Banyak kerja aku ni, Meon" sahut Ulung Bahar lemah.



"Ah, kerja-kerja tu Mak Lung boleh tengokkan" balas Meon mendesak lagi. "Urusan Ulung di Kuala Lumpur semuanya serahkan saja pada saya" tegasnya memberi jaminan.



Petang itu juga Ulung Bahar dibawa oleh Meon ke Kuala Lumpur menemui Orang Besar berkenaan. Terperanjat benar Ulung Bahar kerana terpaksa ditahan di pintu pagar sebelum dibenarkan masuk. Bagaimanapun setelah melihat Meon, mereka berdua pun dibenarkan masuk. Dia dibawa masuk menemui Orang Besar berkenaan di bilik khas. Cuma mereka berdua saja di situ. Orang Besar itu kelihatan sihat segar bugar. Tidak ada tanda-tanda ianya berpenyakit. Dia berbual juga seperti orang biasa tidak kelihatan pun akan dirinya menderita sakit.



Ulung Bahar tidaklah bertanyakan tentang penyakit Orang Besar tersebut. Dia tidak perlu bertanya apa-apa. Kalau dia sudah bertanya samalah macam terlalu mengetahui semua penyakit. Seolah-olah dia bersedia mengubat semua penyakit.



"Saya ni nampak saja sihat Tok Ulung..." Orang Besar itu bersuara sebaik saja semua orang keluar dari bilik khas. "Sebenarnya saya ni sakit. Itulah nak minta tengok-tengokkan pada Tok Ulung" katanya ramah.



"Cuba-cuba bolehlah Tuan" sahut Ulung Bahar perlahan. "Saya ni pun bukanlah pandai sangat. Maklumlah orang kampung" dia merendah diri.



"Orang bandar pun bukan pandai sangat" sahut Orang Besar tersengih-sengih. Dia masih belum menerangkan penyakitnya pada Ulung Bahar.



"Bodoh orang bandar tak sama dengan pandai orang kampung" Ulung Bahar pula tertawa bila mengenangkan dirinya tiba-tiba saja menjadi penting. Hinggakan Orang Besar terpaksa menjemputnya datang ke rumah yang tersergam bagaikan istana. "Bodoh orang bandar panjang ikhtiarnya, pandai orang kampung diri sendiri pun tak terkemaskan..." dia masih merendah bila membandingkan dirinya dengan Orang Besar itu.



"Panjang ikhtiar pun panjang ikhtiar nak menipu bangsa" Orang Besar itu macam meluahkan perasaan hatinya. Bagaikan terpancar kekusutan dalam fikirannya di sebalik kemewahan hidup yang menyelubungi dia selama ini. "Terlalu ramai orang nak menipu bangsa sendiri sekarang ni" jelas Orang Besar itu lagi. Terdiam Ulung Bahar mendengar kata-kata berupa rintihan yang terluah dari mulut Orang Besar tersebut. Dia bagaikan tenggelam oleh kekusutan fikiran yang menguasai dirinya. Inilah yang dapat dirasakan oleh Ulung Bahar sebagai kesan pertama apabila bertemu Orang Besar berkenaan.



Lama Orang Besar itu mendongak memerhati siling dengan keluhan memanjang selepas meluahkan perasaannya di depan Ulung Bahar. Kemudian perlahan-lahan dia bersuara. "Sebenarnya saya ni dah tak melawan lagi Tok Ulung. Dah puas saya berubat..."



Tersentak juga Ulung Bahar mendengar pengakuan terus terang Orang Besar tersebut. Tentulah hidupnya sebagai Orang Besar pun tidak bermakna lagi kalau menanggung beban seksa batin sepanjang hidup. Seseorang lelaki yang sudah hilang kelelakiannya samalah macam anak patung untuk menjadi hiasan di sudut rumah saja.



"Orang yang membuatnya saya tahu, tapi biarlah..." keluhnya menahan sebak di dada. Secara tidak langsung Orang Besar itu mengakui sudah berkahwin lain. Akibat dari perkahwinan itulah ada orang yang irihati menyebabkan tenaga kelelakiannya hilang. Ulung Bahar tidaklah banyak bertanyakan apa-apa mengenai masalah yang dihadapi oleh Orang Besar tersebut. Tujuannya bukan hendak mengetahui bagaimana puncanya, tetapi cuba mengubati sekiranya diizinkan Allah. Kalau tidak berhasil bukanlah tanggungjawab dia lagi.



"Saya hanya mencuba Tuan, kalau tak berjaya janganlah sesal pula" beritahu Ulung Bahar.



"Tidak, tidak..saya faham Tok Ulung" cepat-cepat dia memintas cakap Ulung Bahar yang terlalu merendahkan diri itu. "Tok Ulung cuma berusaha, yang menentukan tetap Allah jua" katanya.



"Alhamdulillah, Tuan kata macam tu..." sahut Ulung Bahar tersenyum.



Ulung Bahar meminta disediakan geluk air. Dan dia akan memberitahu ketika yang baik untuk memulakan usahanya, sama ada waktu Maghrib, atau Isyak atau tengah malam. Ini disebabkan dia mahu melihat cara mana permainan sebelah pihak. Segala yang dikehendaki oleh Ulung Bahar dipersetujui oleh Orang Besar. Malam itu dia tidak dibenarkan oleh Orang Besar mengikut Meon balik ke rumahnya di Gombak, tetapi disuruh menginap di rumah Orang Besar itu. Ulung Bahar disediakan bilik di situ untuk berehat, tempat tidur dan sembahyang. Selama di Kuala Lumpur dia dikehendaki menjadi tetamu Orang Besar tersebut.



Selepas menunaikan Isyak, Ulung Bahar memberitahu Orang Besar dia mahu memulakan usahanya mengubati masalah yang dihadapi Orang Besar. Beberapa orang kerabat terdekat Orang Besar ada sama setelah diberitahu mengenai Ulung Bahar akan mengubat itu. Memang kerabat terdekat Orang Besar sudah tahu masalah tersebut, malah mereka semua sudah berusaha menolongnya.



Fasal itulah Orang Besar menceritakan masalahnya kepada Meon. Ketika inilah Meon teringatkan Ulung Bahar di kampung. Lantas Meon menerangkan kepada Orang Besar akan kepandaian Ulung Bahar selama ini. Maka tidak bertangguh lagi Orang Besar menyuruh Meon memanggil Ulung Bahar. Segala perbelanjaan Meon membawa Ulung Bahar serta perjalanan Ulung Bahar selama berada di Kuala Lumpur adalah di bawah urusan Orang Besar.


Lebih kurang pukul 9.00 malam Ulung Bahar mula menarik geluk air ke depannya. Mulutnya kumat kamit serta matanya terpejam rapat. Sekali sekala dia membuka mata memerhati ke dalam geluk sambil menghembus perlahan-lahan. Ketika ini Ulung Bahar sudah menguatkan zikirnya di dalam hati. Seluruh bulu romanya terasa meremang. Dia melihat dalam makrifat tentang masalah yang dihadapi oleh Orang Besar. Sekali sekala orang-orang yang melihat Ulung Bahar nampak dia mengerutkan dahi sambil menggeleng-gelengkan kepala.


Ulung Bahar melihat seorang lelaki berpakaian seperti sami Budha tersengih-sengih menunggu kedatangannya. Lelaki itu dipenuhi dengan tangkal azimat di seluruh badan. Lelaki itu seolah-olah mempersilakan dia hampir kepadanya. Tetapi Ulung Bahar tidak mahu datang hampir. Dia membaca Fatihah tiga kali lantas dihembus kepada lelaki berkenaan. Terpelanting lelaki itu bila dihembuskan dengan Fatihah. Mukanya merah padam menahan perasaan marah.


"Aku terima kau baik-baik, kau balas dengan jahat!" bentak lelaki itu cepat-cepat berdiri bercekak pinggang.


"Kau nak tunjuk pandai dengan aku, sekarang terima habuan kau pula" pekiknya mengambil debu tanah lalu dihembuskan ke arah Ulung Bahar. Terasa pada Ulung Bahar ribut kencang mahu menerbangkannya, tetapi dia menguatkan zikir di dalam hati menyebabkan ribut kencang tersebut tidak dapat menerbangkan dia. Setelah ribut kencang itu berhenti, Ulung Bahar tidak nampak lagi ke mana lelaki tadi bersembunyi.


"Kenapa kau lari?" Ulung Bahar mencabar.


"Aku tak lari...!" sahut lelaki tadi tertawa mengejek. "Nampaknya kau takut dengan aku" lelaki itu terus mempersenda-sendakan Ulung Bahar.


"Aku tak takut pada kau. Aku takut pada Allah" kata Ulung Bahar memerhati di sekeliling kawasan itu menjadi hutan rimba yang jauh dari manusia. Tetapi suara lelaki itu tertawa berdekah-dekah masih mengejek-ngejeknya. Ulung Bahar membacakan Surah Waddhuha dihembuskan sekelilingnya. Serentak dengan itu lelaki tadi tersungkur di depannya. Terkial-kial lelaki itu bangun akibat jatuh terhempas.


"Sekarang sembunyilah!" Ulung Bahar menyindir.



Kemudian dia mendengar lelaki itu merungut dalam bahasa yang tidak difahaminya. Bagaimanapun dia dapat mengagak lelaki tersebut menggunakan Bahasa Thai. Jelaslah kepadanya lelaki itu adalah Bomoh Siam.



"Berapa upah yang orang beri pada kau ni?" tanya Ulung Bahar.



"Aku bukan makan upah...! sahut lelaki itu marah.



"Ah, Bomoh Siam macam kau tak makan upah?" ejek Ulung Bahar mahu menyakiti hati lelaki tersebut.



"Aku menolong orang saja" jawabnya membentak kerana terlalu marah diperolok-olokkan. Dia sendiri hairan bagaimana Ulung Bahar boleh menembusi tempat persembunyiannya. "Aku menolong orang, tapi macam mana kau boleh sampai ke sini?" dia mendongak Ulung Bahar yang berdiri berpeluk tubuh di tempat dia terguling.



"Itu kuasa Allah..." beritahu Ulung Bahar tersenyum.



"Sudah banyak dukun-dukun Melayu mencari tempat aku tak jumpa, macam mana kau boleh jumpa?" pekik lelaki itu berdiri dengan lutut.



"Kuasa Allah...!" ulangi Ulung Bahar. "Kau tak takut kuasa Allah?" tesengih-sengih Ulung Bahar mengejeknya lagi. Lelaki itu menggeleng kepala. "Baiklah, kau akan tahu kuasa Allah" Ulung Bahar pun mula azan tiga kali. Sebaik saja azannya bergema lelaki itu terumbang ambing apabila seluruh tempatnya berdiri bergegar. Dia terhumban macam bertih direndang dalam kuali mencari tempat mahu berpijak.



"Ilmu apa kau pakai ni!" jeritnya meminta Ulung Bahar berhenti dari azan.



"Kau kata tak takut Allah" ejek Ulung Bahar.



"Aku takut, aku takut..." sahutnya terketar-ketar.



"Sekarang cakap! Siapa yang suruh kau?" Ulung Bahar mula keraskan suara.



"Orangnya baik..." ujar lelaki itu termengah-mengah. "Dia dianiaya oleh Orang Besar tu, kalau awak nak tau, Orang Besar tu jahat. Dah dapat manis sepah dibuang" jelasnya memepertahankan diri.



"Berapa dia upah kau?" soal Ulung Bahar.



"Aku tolong saja"



"Mana boleh! Bomoh Siam mesti terima upah!"



"Aku ambil sikit..."



"Berapa?"



"Satu ribu..."



"Bodoh punya Bomoh Siam! Kenapa tak minta lebih?"



"Tak boleh, kita nak tolong aje..."



"Selalu Bomoh Siam ambil upah sampai lima ribu!"



"Itu Bomoh Siam moden..."



Terkekeh-kekeh Ulung Bahar tertawa mendengar kata-kata lelaki berkenaan. Manakan tidak ketawa bila dia menyebut Bomoh Siam moden yang ambil upah mahal, sedangkan dia adalah Bomoh Siam yang bertugas menolong orang. Bagi Ulung Bahar memang selalu menghadapi keadaan demikian. Sebab itulah dia boleh berhujah dengan syaitan yang datang mengganggu. Syaitan juga mempunyai ilmu psikologi bila berhadapan dengan manusia. Oleh itu manusia yang terperdaya dengan ilmu psikologi syaitan akan cepat mengalah.



Sikap mengalah syaitan bukanlah bererti dia benar-benar mengalah. Sebaliknya mencari strategi untuk menyerang balas. Sebab itu Ulung Bahar sengaja menyoal macam-macam biar syaitan sendiri serba salah mahu menjawab.



"Kalau begitu cakap, apa yang kau buat pada Orang Besar?" tanya Ulung Bahar.



"Aku tak buat apa" jawabnya tersengih-sengih.



"Kalau tak cakap aku azan!" cepat-cepat Ulung Bahar mengugut.



"Eh, jangan..." rayunya mula berpusing-pusing mahu mencari helah.



"Jangan cari helah!" jerkah Ulung Bahar yang sudah tahu cara mana syaitan mahu bertindak.



Lelaki itu menjadi serba salah, sebab apa saja helah yang mahu dibuatnya sudah diketahui oleh Ulung Bahar. Dia menjadi hairan kerana selama ini dukun yang mengubat Orang Besar terperdaya dengan helah dia. Tetapi menghadapi Ulung Bahar dia menjadi kebingungan. Dia sudah meniupkan ribut kencang tetapi tidak berjaya menerbangkan Ulung Bahar kerana zikirnya yang mantap. Dia membawa Ulung Bahar merentas hutan, tetapi Ulung Bahar dapat mencari tempat persembunyiannya. Apa saja helah yang dibuatnya dapat dikesan oleh Ulung Bahar.



Sudah banyak dukun-dukun Melayu yang ditentangnya, akhirnya dia dapat memperdayakan. Kadangkala apabila ditiupkan ribut kencang mereka tidak dapat bertahan. Mereka cepat berlindung diri dan terus balik meninggalkannya. Kalau ada pun yang boleh bertahan dari ribut kencang, akan sesat meraba-raba bila dibawa merentas hutan rimba. Ternyata Ulung Bahar sangat berbeza dari dukun-dukun Melayu yang pernah cuba mengubat Orang Besar. Malah Bomoh Siam yang dipanggil mengubati Orang Besar juga tidak berdaya menentang dia.



Tertanya-tanya dia apakah ilmu yang digunakan oleh Ulung Bahar. Hanya yang didengarnya Ulung Bahar menyebut kuasa Allah. Tentulah ilmu Ulung Bahar ini bukan ilmu baru, tetapi sudah ujud sejak bertahun-tahun. Ilmu yang ada padanya tidak dapat menentang ilmu yang dimiliki oleh Ulung Bahar.



"Apa ilmu yang awak pakai?" tanya lelaki itu gementar.



"Ilmu Allah yang diturunkan kepada umat Islam" jelas Ulung Bahar.



"Bolehkah awak ajar aku?" dia mahu menguji.



"Jangan nak cari helah..." Ulung Bahar mengingatkan. "Cakap, apa awak sudah buat pada Orang Besar?" bentaknya keras.



"Tak buat apa pun..." sahutnya tersengih-sengih.



Tidak bertangguh lagi Ulung Bahar terus azan. Bumi tempat lelaki itu berpijak bergegar kuat. Dia terlambung-lambung macam bertih di dalam kuali tidak dapat berjejak. Terpekik-pekik dia meminta Ulung Bahar memberhentikan azan. Tetapi Ulung Bahar tidak peduli. Dia terus azan berulang kali.



"Aku cakap, aku cakap..." tercungap-cungap lelaki itu merayu pada Ulung Bahar supaya berhentikan azan.



"Sekarang cakap!" herdik Ulung Bahar.



"Aku dah lepaskan dalam Sungai Gombak" kata lelaki itu gementar.



"Apa yang kau lepaskan?" soal Ulung Bahar mengancam.



"Ikan haruan..." jelasnya terketar-ketar. "Ada penunggunya di situ..." ujar lelaki itu dalam ketakutan.



Setelah mendapat rahsia dari lelaki yang berpakaian seperti Sami Budha itu, Ulung Bahar menghembus lelaki itu dengan ayat Al-Ikhlas hingga melayang-layang seperti bunga lalang. Kemudian Ulung Bahar terus melayangkan dirinya di sepanjang Sungai Gombak. Puas dia mencari-cari di kawasan yang dituju tetapi tidak juga berjumpa. Ulung Bahar terus membaca Surah Waddhuha dengan penuh khusyuk. Ketika ini dia sampai jauh dari bangunan-bangunan tinggi di tengah bandar. Air Sungai Gombak yang keruh jelas pada penglihatan dia.



Dalam masa dia memerhatikan di sekitar kawasan Sungai Gombak itu, tiba-tiba dia nampak seorang perempuan cantik berdiri di tengah sungai memegang tangguk. Dia percaya perempuan ini bukannya bunian, tetapi penunggu sungai yang menjelmakan dirinya sebagai isteri muda Orang Besar. Memang Ulung Bahar tahu Orang Besar sudah berkahwin dengan seorang gadis cantik berasal dari Kelantan. Perkahwinan itu tidak kekal. Hanya selama lapan bulan saja. Gadis itu diceraikan setelah Orang Besar diberi tangkal pembenci oleh isteri tuanya, sebaik saja isteri tuanya mendapat tahu Orang Besar berkahwin lagi.



Tidak lama selepas penceraian itu Orang Besar bermimpi dia dikhatankan oleh seorang mudim yang dikenalinya. Esoknya apabila dia bangun dari tidur, dia merasa kemaluannya ngilu. Lama kelamaan tidak terasa lagi kalau dijentik pun. Orang Besar telah bertemu ramai dukun untuk mengubatnya. Sejak lapan tahun dia mengidap dan menderita keadaan demikian. Isteri tuanya terasa juga menyesal, tetapi lebih gembira kerana Orang Besar tidak akan berkahwin lagi. Bagaimanapun ada juga dukun menasihati dia supaya rujuk semula dengan bekas isteri muda yang pernah diceraikan.



Tetapi dia diberitahu jandanya itu sudah berkahwin lain. Orang Besar tidak mahu sangat ambil tahu mengenai diri jandanya itu. Soal yang penting dia harus mengatasi masalah yang dihadapinya.



"Buat apa awak bawa tangguk, kalau tak menangguk ikan?" tegur Ulung Bahar mendekati perempuan cantik yang berdiri di tengah sungai.



"Kita punya sukalah" sahut perempuan itu mengerling ke arah Ulung Bahar.



"Kalau tak mahu menangguk, pinjamkan aku. Biar aku yang menangguk" ujar Ulung Bahar. Bagaimanapun di tidak leka semasa berhadapan dengan perempuan cantik tesebut.



Masa ini terasa ribut bertiup kencang. Ulung Bahar terus bertahan di tengah ribut kencang. Kemudian dia azan sekuat hatinya menyebabkan ribut kencang terhenti tiba-tiba. Lelaki yang berpakaian seperti Sami Budha tadi tersungkur di tengah sungai. Bersama dengan perempuan cantik di sampingnya, lelaki berkenaan melemparkan bola api ke arah Ulung Bahar. Perempuan itu melontarkan serpihan besi tajam seperti paku menerjah ke tubuh Ulung Bahar. Tetapi semuanya tidak memberi kesan kepada tubuh Ulung Bahar yang sentiasa berzikir. Akhirnya mereka berdua mengeluh panjang kerana melihat Ulung Bahar tetap berdiri di tebing sungai mengejek mereka. Ternyata serangan mereka berdua menjadi sia-sia.



"Tadi, awak dah kalah. Masih degil lagi mahu melawan!" cabar Ulung Bahar. Lelaki tersebut tidak menyahut. Dia serba salah mengerling perempuan cantik di sebelahnya. Perempuan itu melemparkan tali lantas membelit seluruh tubuh Ulung Bahar. Mereka berdua ketawa berdekah-dekah melihat tali tersebut melilit seluruh tubuh Ulung Bahar.



"Hasbiallahu Lailahaillallah alaihi watawakkal.." kumat kamit mulut Ulung Bahar membaca doa mengehembuskan ke seluruh tubuhnya. Tali yang melilit tubuhnya jadi cair seperti air. Sekali lagi lelaki dan perempuan cantik itu tercengang kerana Ulung Bahar tidak takut pun menghadapi serangan mereka.



"Hei, bomoh keparat...!" jerkah Ulung Bahar bercekak pimggang di atas tebing sungai. "Kau nak mengaku kalah atau nak merasa lagi serangan aku?" tanyanya memberi amaran.



Tidak bertangguh lagi lelaki itu terus menghilangkan diri. Dia tidak berani lagi bertahan apabila Ulung Bahar sudah memberi amaran. Hanya tinggal perempuan cantik itu kebingungan ditinggalkan lelaki tadi. Memandangkan perempuan cantik itu degil, Ulung Bahar membaca beberapa ayat lagi menyebabkan perempuan itu berputar seperti gasing beruri ligat. Laungnya bergema kerana berputar-putar di dalam air. Setelah putaran itu berhenti dia termengah-mengah menengadah Ulung Bahar. Kecantikannya juga luntur akibat diputar tadi.



"Bukan aku yang salah" dia merayu supaya dibebaskan.



"Jangan berdalih!" jerkah Ulung Bahar.



"Iya..." katanya gementar. "Botak tadi yang suruh. Dia suruh aku jagakan haruan yang dilepaskan di sungai ni" ujarnya bertambah gerun bila mengerling Ulung Bahar.



"Mengapa kau ikut cakap dia?" tanya Ulung Bahar mahu menduga.



"Kalau tak ikut dia bunuh aku..." jelasnya menangis teresak-esak.



"Kau takut pada dia?" ejek Ulung Bahar seterusnya. Dia mengangguk lemah.



"Kau tak takut Allah...! suara keras Ulung Bahar semakin menggerunkan dia. Dia mengangguk juga.



"Kalau kau takutkan Allah, jangan pedulikan botak tadi" perintah Ulung Bahar merentap rambut perempuan tersebut. "Sekarang serahkan pada aku haruan tu!" bentaknya.



Mahu tidak mahu terpaksalah perempuan tadi menangguk ikan haruan yang dilepaskan ke dalam sungai. Ulung Bahar terus menangkap ikan tersebut dari tangguk perempuan berkenaan melalui makrifat. Dan terus dibawanya semula ke rumah Orang Besar. Ketika ini mereka yang ada di rumah Orang Besar melihat Ulung Bahar mengetuk jari telunjuknya ke bibir geluk. Tiga kali dia mengetuk berdentum seekor haruan yang masih berlumpur lagi tubuhnya menjelma di dalam geluk.



"Alhamdulillah..." Ulung Bahar menarik nafas.



Orang Besar terkejut melihat ikan haruan di dalam geluk di depan Ulung Bahar. Geluk itu juga menjadi keruh disebabkan lumpur yang dibawa oleh haruan tadi. Kemudian dia membelah perut ikan itu. Di dalam perut ikan haruan berkenaan terdapat segulung benang kuning yang diikat pada paku setengah inci. Barang-barang yang dikeluarkan dari perut ikan itu diambil oleh Ulung Bahar dibungkus dengan sapu tangannya. Ikan haruan itu juga dibungkus dengan plastik, kerana menurut Ulung Bahar dia sendiri akan membuangnya ke laut.


Setelah semuanya selesai, Ulung Bahar tidak membuat apa-apa tangkal atau azimat untuk Orang Besar. Dia hanya membacakan doa lalu dihembuskan ke kepala Orang Besar. Kemudian dia menyuruh Orang Besar solat tengah malam dua rakaat. Tidak ada ubat-ubat lain yang diberikan oleh Ulung Bahar. Selepas dia mengubat malam itu, esoknya dia terus balik ke kampung. Orang Besar bertanya sama ada dia akan mengubatnya tiga kali ulang, tetapi Ulung Bahar menjawab, "Nak ubat apa lagi Tuan, bukannya Tuan sakit..." dia tersenyum mengerling Orang Besar.


Khabarnya Orang Besar berkahwin lagi tidak lama selepas itu. Selepas peristiwa ini isteri Orang Besar tidak lagi mencari tangkal pembenci. Dia sendiri tidak marah lagi kalau Orang Besar berkahwin lain.
 
1741744297965.png



DIKEJAR ORANG TUA BERSERBAN KUNING


DEMIKIANLAH diberitahu oleh Meon kepada saya mengenai Ulung Bahar. Dari apa yang diceritakan oleh Meon itu saya dapati dia bukanlah orang dukun yang mengamalkan cara perubatan tradisional. Kalau dukun tentulah dia menggunakan ramuan seperti bunga-bunga, bertih direndang, kemenyan dan sebagainya.



Cara yang dilakukan oleh Ulung Bahar ketika mengubat Orang Besar samalah seperti yang pernah dilakukan oleh Pak Tua Mahat, Aki Sahak dan Tok Aji. Berbeza dengan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak, Tok Aji adalah guru agama yang mempunyai madrasah sendiri. Sebab itulah saya berminat sangat mahu bertemu muka dengan Ulung Bahar ini.



Saya datang ke rumah Meon di Gombak kira-kira jam 9.00 malam kerana mahu menetapkan hari bilakah dia akan balik ke kampungnya. Memang saya tertarik hati mahu mengenalinya. Ulung Bahar hanya menggunakan doa-doa tertentu saja dari ayat-ayat Quran, dan bukannya menggunakan jampi mentera. Dia juga tidak menggunakan ramuan seperti bertih, kemenyan, limau, bunga-bunga sebagaimana yang lazim digunakan oleh dukun-dukun. Inilah persamaan yang dapat saya lihat antara Ulung Bahar dengan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak.



"Macam ustaz buat apa lagi jumpa Ulung Bahar..." kata Meon sebaik saja saya masuk ke rumahnya.



"Orang macam tu patut kita jumpa" jelas saya lalu duduk. "Orang tua banyak pengalaman..." ujar saya tertawa.



"Saya agak orang macam ustaz ni memang suka sangat Ulung Bahar nak berjumpa" isteri Meon menyampuk.



"Ah, apa sangat saya ni..." saya serba salah bila dikatakan begitu.



Sebenarnya saya baru setahun mengenali Meon dari seorang kawan. Kawan saya itu mengidap sakit lelah beberapa tahun. Meon telah membawakan dia berjumpa dengan Ulung Bahar. Katanya penyakit lelahnya itu sudah beransur baik. Dialah yang membawa saya pula bertemu dengan Meon. Dari Meon pulalah saya mendengar cerita Ulung Bahar mengubat Orang Besar yang hilang tenaga kelelakian itu. Tidak lama kemudian Simah isteri Meon meminta masuk ke bilik kerana dia merasa pening kepala. Tinggallah saya dengan Meon berbual-bual kosong. Pada mulanya saya tidak berniat untuk lama di rumah Meon, tetapi bila Meon bercerita mengenai beberapa kisah di kampungnya yang melibatkan Ulung Bahar, saya tertarik hati pula mahu mendengarnya.



Kata Meon, satu waktu dulu kampungnya diganggu oleh lembaga hitam pada setiap malam. Lembaga hitam ini akan masuk ke dalam rumah dan mencabul wanita-wanita dengan sesuka hatinya. Kebanyakan wanita itu tidaklah diperkosanya, hanya dibukakan pakaian wanita berkenaan, kemudian dia melarikan diri. Bagaimanapun Ketua Kampung enggan melaporkan kepada polis, kerana orang-orang kampung mahu menangkap sendiri, siapakah yang melakukannya.



Seorang janda beranak terjerit bila tiba-tiba satu lembaga hitam menjelma di depannya. Jeritannya hanya sekaligus saja, kerana selepas itu dia terus kebingungan akibat dipukau oleh lembaga berkenaan. Lembaga hitam itu telah membuka pakaian janda tadi hingga tidak tinggal sebenang pun. Sebelum lari meninggalkan wanita tersebut dia memangkahkan kapur pada kemaluan janda itu. Satu malam sampai lima enam orang diganggunya. Dia tidak peduli sama ada anak dara, janda atau isteri orang, semua diganggunya. Setelah ditelanjangkan dia akan memangkah kemaluan wanita tersebut dengan kapur. Apakah tujuannya tidak pula diketahui.



Anehnya rumah-rumah yang berdekatan dengan Ulung Bahar tidak pula diganggunya. Apabila diberitahu pada Ulung Bahar dia juga tidak dapat memberi jawapan. Katanya sukar juga mahu memerangkap lembaga hitam itu, keran tidak tahu rumah mana yang akan diganggunya.



"Kalau kita tahu rumah siapa mahu diganggunya, mudahlah kita memerangkap dia..." jelas Ulung Bahar.



"Apa tujuannya lembaga hitam ni Ulung?" Ketua Kampung hairan dengan suasana yang melanda kampung.



"Ah, ilmu sesat. Ilmu orang tak ingat Allah..." beritahu Ulung Bahar selamba.



Bagaimanapun tiap-tiap malam Ketua Kampung mengarahkan penduduk-penduduk kampung berkawal malam. Lembaga hitam itu pula bagaikan tahu di mana penduduk-penduduk kampung berkawal. Dan dia akan datang mengganggu rumah yang jauh dari kawalan. Sebenarnya Ulung Bahar boleh memerangkap lembaga hitam berkenaan sekiranya mendapat kerjasama dari penduduk-penduduk kampung. Sayangnya, penduduk-penduduk kampung sendiri tidak mahu bersatu apabila diajak berkumpul di surau. Ulung Bahar mengajak mereka membaca Yassin beramai-ramai supaya lembaga hitam itu tidak dapat lagi masuk mengganggu.



Tetapi sebahagian besar penduduk mahu menangkap lembaga hitam itu. Mereka mahu tahu siapakah orangnya yang berani melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Disebabkan Ulung Bahar enggan menerima cadangan orang-orang kampung yang berdendam mahu menangkap lembaga hitam tersebut, maka mereka telah menemui seorang dukun bernama Pak Musiro. Pak Musiro mendakwa dialah yang menjadi guru kepada lembaga hitam yang mengganggu orang-orang kampung. Mengikut cerita Pak Musiro seorang pemuda telah datang menemuinya untuk belajar ilmu ghaib. Bila ditanya siapakah pemuda berkenaan, Pak Musiro tidak mahu menerangkannya.



"Nantilah, bila dapat kita tangkap, kalian semua akan tau..." kata Pak Musiro.



Pak Musiro ini dipercayai memiliki ilmu ghaib. Pernah di zaman pemerintahan Jepun dia mahu ditangkap oleh askar-askar Jepun. Tetapi askar-askar Jepun tidak menemuinya. Semasa darurat juga gerila komunis mahu menangkapnya, tetapi tidak dapat dikesan di mana dia bersembunyi. Satu hari seekor babi hutan telah masuk ke kampung menyerang beberapa orang penduduk. Tetapi apabila terserempak dengan Pak Musiro babi hutan itu berpusing-pusing mencari Pak Musiro. Sempat pula Pak Musiro mengasah parangnya sebelum menetak kepala babi itu sampai tersungkur mati.



Mungkin kerana mendengarkan cerita kehebatan Pak Musiro inilah pemuda berkenaan ingin sangat mempelajari ilmu ghaib dari orang tua tersebut.



"Ilmu ghaib macam mana yang kau nak belajar?" tanya Pak Musiro.



"Ilmu ghaib yang ada pada Pak Musiro" sahut pemuda berkenaan.



"Ilmu ghaib ni ilmu jahat..." beritahu Pak Musiro menjelaskan kepada pemuda itu. "Tetapi kalau mahukan ilmu supaya tidak ditemui oleh musuh, kau boleh amalkan dari Surah Yassin" dia menerangkan selanjutnya.



"Saya bukannya ada musuh..." kata pemuda itu tersengih-sengih.



Pak Musiro telah menerangkan satu cara yang paling sulit dilakukan dengan harapan pemuda tersebut tidak jadi meneruskan uasahanya mahu menuntut ilmu ghaib. Lagi pun Pak Musiro bukanlah bersungguh-sungguh mengajarnya. Dia hanya menerangkan satu perkara yang dia sendiri tidak pernah melakukannya. Pendek kata apa yang dicakapkan oleh Pak Musiro itu hanyalah rekaan semata-mata.



Kata Pak Musiro. "Kalau kau berani cubalah".



"Cuba macam mana?" pemuda itu mendesak.



"Aku ingat lebih baik tak usah" dia masih lagi mencari akal apakah cerita yang hendak direkanya.



"Saya sanggup buat apa pun Pak Musiro" tegas pemuda berkenaan.



Akhirnya Pak Musiro mendapat satu akal. Dia percaya tentu pemuda itu tidak akan sanggup melakukannya. Memang kalau orang yang waras fikiran pun merasa tidak munasabah dengan apa yang disebutkan oleh Pak Musiro.



"Apabila ada orang mati, kau ambil abuk papan lahad yang diketam. Dibakar dan ambil abunya. Lepas itu semasa mayat sedang dimandikan, kau masuk ke bawah rumah tempat mayat itu dimandikan dan taburkan abu papan itu di kepala..." ujar Pak Musiro tersengih-sengih kerana pemuda tadi percaya sangat dengan apa yang dicakapnya.



"Lepas tu apa saya nak buat?" tanya pemuda berkenaan dengan yakin.



"Kalau ada apa-apa datang, kau curilah apa saja barangnya" kata Pak Musiro seterusnya.



"Lagi..." pemuda tersebut sedikit pun tidak ragu-ragu akan cerita Pak Musiro.



"Kalau ada sesiapa mengejar kau carilah sungai, dan cepat-cepat menyeberang" ujar Pak Musiro.



Pemuda itu mengangguk lemah. Terasa padanya terlalu berat mahu melakukan seperti yang diterangkan oleh Pak Musiro. Namun dia tidak sedar bahawa Pak Musiro hanya berolok-olok saja untuk melemahkan semangat dia dari meneruskan cita-citanya mahu belajar ilmu ghaib. Bagi Pak Musiro orang yang akan mengejar sekiranya pemuda itu meneruskan cita-citanya mestilah keluarga si mati. Tentulah mereka marah apabila ada orang melakukan perbuatan demikian semasa si mati dimandikan. Sebab itulah dia sentiasa tersengih-sengih bila memberitahu demikian.



Selepas itu Pak Musiro tidak tahu apa yang berlaku ke atas pemuda tadi. Apabila orang-orang kampung gempar dengan kejadian lembaga hitam mengganggu dan datang menemuinya, Pak Musiro mula teringatkan kepada pemuda yang pernah menemuinya untuk belajar ilmu ghaib itu. Hanya orang yang melakukan ilmu halimunan saja yang boleh hilang dari pandangan orang ramai. Orang-orang kampung menjadi bingung kerana lembaga hitam itu boleh masuk ke dalam rumah mangsa mengikut lubang yang boleh ditembusi angin. Bagaimana rapat dikunci pun pintu dan tingkap, dia boleh masuk selagi ada lubang yang boleh ditembusi angin.



Setelah berjanji untuk menangkap lembaga hitam tersebut, Pak Musiro pun bersiap-siap dengan ramuan dukunnya. Dia menyediakan tujuh jenis bunga, tujuh biji limau dan tujuh geluk air yang diambil dari tujuh batang sungai. Dia akan memanggil lembaga hitan itu datang ke rumahnya dan akan menggunakan 'pasung bumi' iaitu ilmu kebatinan yang mengunci musuh tidak dapat mencari jalan keluar untuk melarikan diri. Penduduk-penduduk kampung yang ditugaskan membantu Pak Musiro juga bersiap sedia di sekitar rumah Pak Musiro. Mereka akan menyerbu sebaik saja mendapat isyarat dari Pak Musiro.



Kira-kira jam 9 malam, Pak Musiro memulakan tugasnya. Dia mencucukkan tujuh batang lidi kepada setiap biji limau dan direndamkan ke dalam tujuh geluk yang berisi air dan tujuh jenis bunga. Kemudian Pak Musiro membakar kemenyan sambil mulutnya kumat-kamit membaca mentera. Lama dia membaca menteranya, tiba-tiba dia hilang dari pandangan orang ramai. Selepas itu mereka terdengar bunyi pergelutan di sekitar rumah itu. Meon yang ditugaskan oleh Pak Musiro membakar kemenyan apabila dia sudah hilang dari pandangan, terus membakar kemenyan yang siap dijampi oleh Pak Musiro.



Orang ramai mahu membantu tidak dapat kerana masing-masing tidak nampak siapakah yang bergelut. Hanya barang-barang di dalam rumah itu saja tunggang-langgang seperti dirempuh. Mereka semua menjadi cemas juga kerana tidak tahu siapakah akan tewas dalam pergelutan itu. Dalam masa mereka tidak ketahuan itu tiba-tiba Pak Musiro terpelanting di hadapan mereka. Termengah-mengah Pak Musiro menahan kesakitan. Mulutnya kelihatan berdarah dengan seluruh badannya calar balar.



Pak Musiro terbaring di lantai dalam keadaan tidak sedar diri. Orang-orang kampung semakin cemas melihatkan Pak Musiro tidak sedarkan diri setelah dipercayai bergelut dengan lembaga hitam yang mengganggu penduduk-penduduk kampung selama ini. Dua hari Pak Musiro tidak sedarkan diri. Nafasnya mengombak-ngombak. Kuku kaki dan tangannya sudah menjadi lebam. Melihatkan keadaan Pak Musiro semakin tenat Meon pun menyuruh isteri Pak Musiro memanggil Ulung Bahar. Orang-orang kampung selama ini tidaklah menganggap Ulung Bahar sebagai dukun, tetapi sebagai orang tua yang banyak pengalaman saja. Lagi pun Ulung Bahar sendiri tidak suka dirinya dipanggil dukun seperti Pak Musiro.



Jiran-jiran masih ramai berkumpul di rumah Pak Musiro semasa Ulung Bahar datang. Ketua Kampung juga ada sama menziarahi Pak Musiro. Mereka semua merasa terhutang budi kepada Pak Musiro yang sanggup menyabung nyawa untuk menyelamatkan penduduk-penduduk kampung. Ulung Bahar memegang kepala Pak Musiro. Kesan calar-balar di tunbuhnya juga menjadi lebam.



"Musiro bernasib baik..." keluh Ulung Bahar perlahan. "Dia hampir berjaya, tetapi tak ada orang membantu. Musuhnya hampir kalah, tetapi cepat mendapat bantuan" katanya macam kesal. Kekesalan yang terpancar di mata Ulung Bahar, ialah orang-orang kampung hanya berharap kepada Pak Musiro semata-mata. Mereka tidak tahu bagaimana harus membantu bila seseorang seperti Pak Musiro menentang gangguan syaitan. Kalau ada salah seorang darinya azan, sudah tentu Pak Musiro lebih mudah menjalankan tugasnya. Disebabkan tidak ada sokongan itulah Pak Musiro dapat ditewaskan.



"Minta aku air sejuk segelas..." Ulung Bahar meyuruh isteri Pak Musiro ambilkan air. "Meon, ambil wudhuk" perintahnya lalu berpaling pada Meon. Tidak bertangguh Meon mengambil wudhuk. "Azan..." katanya lagi sambil mencapai gelas air yang dihulurkan oleh isteri Pak Musiro. "Jangan berhenti selagi aku tak suruh" dia memberitahu Meon. Meon pun azan seperti yang disuruh oleh Ulung Bahar. Kira-kira sepuluh kali Meon azan barulah disuruh berhenti oleh Ulung Bahar. Ketika ini dia merenung ke dalam gelas air di depannya. Ulung Bahar tersenyum sedikit bila merenung ke dalam gelas.



"Bodoh!" itu saja yang orang ramai dengar terkeluar dari mulut Ulung Bahar. Selepas itu mereka melihat mulut Ulung Bahar terkumat-kamit dengan mata terpejam rapat.



Sebenarnya Ulung Bahar sudah ternampak Jalit abang Meon sedang diubat oleh seorang lelaki tua berserban kuning. Jubahnya juga kuning seperti kain Sami Budha. Apabila mereka berdua nampak Ulung Bahar mereka cuba melarikan diri. Ketika ini Pak Musiro sudah menunggu di muka pintu, lalu mereka bertarik-tarikan. Sebelah tangan Jalit ditarik oleh lelaki tua berserban kuning itu, manakala sebelah lagi ditarik oleh Pak Musiro.



"Kau ajar dia jadi jahat!" pekik Pak Musiro menendang dada lelaki tua berserban kuning itu.



"Bukankah kau yang suruh dia datang kepada aku?" lelaki tua itu mengejek.



"Aku tak suruh...!" sahut Pak Musiro marah.



"Jangan pula kau berdalih" lelaki tua berserban kuning itu menampar muka Pak Musiro. "Kau suruh dia datang belajar dengan aku, sekarang kau nak berdalih!" ujarnya masih memaut tangan Jalit. Sementara Jalit pula menjadi bingung tidak bertindak apa-apa walaupun tangannya dipegang oleh orang tua berserban kuning dengan Pak Musiro. Terkejut juga Pak Musiro bila dituduh demikian. Dia tidak pernah menyuruh Jalit menuntut dari sesiapa pun.



Semua pertengkaran ini dilihat oleh Ulung Bahar. Tetapi yang menerima akibat dari pertentangan itu ialah Jalit dan Pak Musiro sendiri. Mereka berdua yang cedera, manakala lelaki tua berserban kuning itu tidak menanggung apa-apa kecederaan. Setiap tendangan kaki Pak Musiro yang menyinggahi dada lelaki itu semuanya menuju ke sasaran dada Jalit. Seolah-olah Jalit menjadi pelindung lelaki tua berkenaan apabila Pak Musiro membuat serangan.



"Jalit cakapkan siapa yang suruh kau datang menemui aku?" soal orang tua berserban kuning.



"Pak Musiro..." beritahu Jalit.



"Jangan berdusta Jalit!" marah benar Pak Musiro bila Jalit menuduh dia demikian.



"Bukankah Pak Musiro menyuruh aku curi kulit papan yang diketam untuk papan lahad?" Jalit mengingatkan Pak Musiro. "Pak Musiro suruh aku bakar, Pak Musiro suruh aku ambil abunya. Pak Musiro suruh aku mandi bawah air mandi mayat. Pak Musiro suruh aku taburkan abu kulit papan ke kepala aku...!" jelasnya bergema memukul gendang telinga Pak Musiro.



"Cukup...!" pekik Pak Musiro marah. Merah padam mukanya bila mengingatkan balik peristiwa dia menipu Jalit yang bersungguh-sungguh sangat mahu belajar ilmu ghaib. Rupa-rupanya Jalit betul-betul melakukan seperti apa yang disuruhnya, padahal dia hanya mereka-reka supaya Jalit lemah semangat.



Sebaik saja diberitahu oleh Pak Musiro petua-petua mencari ilmu ghaib, Jalit tidak memikirkan sama ada Pak Musiro memperolok-olokkan dia atau tidak. Dia sudah nekad akan mencuba seperti apa yang dicakapkan oleh Pak Musiro. Ilmu yang dituntut mestilah atas keyakinan diri sendiri. Sama ada ajaran guru itu betul atau salah tidak boleh difikirkan. Inilah pendirian Jalit apabila menerima peraturan yang disuruh oleh Pak Musiro kalau mahukan ilmu menghilangkan diri.



Kebetulan tidak lama kemudian ada orang meninggal dunia di kampung itu. Jalit terus menziarahi si mati dengan nekad akan melakukan seperti yang dikatakan oleh Pak Musiro. Semasa orang mengetam papan untuk dibuat papan lahad, Jalit terus mengumpulkannya dan membawa ke lubang sampah. Pada penglihatan orang ramai Jalit sangat rajin membantu dengan membuangkan sampah tersebut. Di situ dia membakar sampah papan diketam tadi. Abunya dibungkus dengan sapu tangan. Dia menunggu sehingga mayat dimandikan di atas rumah kira-kira jam 12 tengah hari. Orang ramai tidak menyedari bahawa dia sudah pun mencangkung di bawah rumah bersetentangan dengan mayat hendak dimandikan. Sebaik saja derau air yang mula dari mayat itu jatuh ke bawah rumah, teruslah menimpa kepala Jalit yang sudah ditaburkan dengan abu sampah papan diketam.



Belum pun selesai mayat itu dimandikan, Jalit nampak lelaki tua datang bertongkat ikut sama mandi bersamanya. Lelaki itu tidak bercakap sepatah pun. Sebelum masuk mandi bersama dengan Jalit, dia meletakkan serban kuningnya pada gelegar rumah, manakala tongkatnya tetap dipegang di tangan. Jalit memerhatikan apakah barang yang harus dilarikannya dari orang tua itu. Kalau mahu dilarikan tongkat, orang tua itu masih menggenggam tongkatnya erat-erat. Akhirnya terlintas di kepalanya untuk melarikan serban yang tersangkut pada gelegar rumah. Itu saja barang yang ada pada orang tua itu tidak dipakainya.



Setelah melihat orang tua itu asyik mandi di bawah air mandian mayat tadi, Jalit pun meluru mencapai serban kuning yang tersangkut di gelegar. Serentak dengan itu dia mendengar orang tua itu menjerit memanggil dia dan mengejarnya dari belakang. Jalit pun lari sekuat hati menuju ke arah sungai. Dia sempat menyeberang sungai. Orang tua yang mengejarnya dari belakang tadi tidak dapat menyeberang.



"Pulangkan serban aku!" pinta orang tua tersebut.



"Tidak..." sahut Jalit berbangga dengan kejayaannya melarikan serban orang tua yang sama-sama mandi air mayat tadi. "Sekarang serban ni kepunyaan aku. Kalau kau mau marilah menyeberang sungai ke sini..." dia megejek-ngejek.



"Memang aku nak beri kau" orang tua itu tersenyum. "Memang aku tau kau berhajat sangat hendakkan ilmu ghaib. Kau boleh memakai serban itu, tetapi ada syaratnya" beritahu orang tua itu.



"Apa syaratnya?"



"Senang saja..."



"Kalau aku tak ikut syarat?"



"Aku ambil semula serban"



"Ah! aku tak percaya!" Jalit cuba mengelak dari syarat yang hendak dikenakan oleh orang tua tersebut.



Orang tua itu menunding jarinya ke arah Jalit. Dengan tiba-tiba saja serban kepunyaannya melayang dari tangan Jalit terus masuk berlingkar ke hujung tongkat. Jalit terlopong dengan tindakan orang tua berkenaan. Ternyata dia tidak dapat melawannya. Jalit tidak mempunyai apa-apa kelebihan bagi mempertahankan diri dari tindakan orang tua tadi. Dia hanya melakukan seperti apa yang disuruh oleh Pak Musiro dengan tidak bertanyakan lebih lanjut bagaimana kalau dia tidak boleh melawan dugaan.



"Sekarang kau percaya atau tidak?" tanya orang tua itu ketawa berdekah-dekah mengejek Jalit.



Pucat muka Jalit. Dia percaya dirinya tidak akan dapat lari ke mana. Kalau serban di tangannya lagikan mudah dirampas kembali oleh orang tua itu, tentulah dia juga tidak akan dapat melarikan diri.



"Aku percaya..." sahut jalit lemah. "Cakaplah apa syaratnya?" tanya Jalit mengharapkan pertolongan dari orang tua tersebut.



"Kau mesti mencabul 44 orang perempuan!" ujar orang tua itu memberikan syaratnya. "Tetapi ingat, kau tidak boleh menodai seorang pun..." katanya memberi amaran.



Lama Jalit berfikir sama ada mahu menerima syarat tersebut atau tidak. Alang kepalang dia sudah pun hampir mencapai maksudnya. Cuma syarat itu saja mesti dilakukan.



"Ingat 44 orang perempuan dalam masa dua minggu!" tegas orang tua itu lagi.



"Baiklah, aku sanggup" Jalit memberi pengakuan.



"Kau mesti tandakan sebagai bukti kau telah mencabulnya!" katanya lagi.



"Baiklah!" sahut Jalit tegas.



Serban kuning itu dipulangkan semula kepadanya. Apabila dipakai di kepala Jalit merasakan dirinya boleh berlari kencang. Dia boleh melompat melepasi sungai. Alangkah gembiranya kerana dapat memenuhi maksudnya.



"Kalau kau tak berjaya mencabul 44 orang perempuan, serban itu aku ambil semula" beritahu orang tua itu menghilangkan diri dari pandangannya.



Untuk memenuhi tuntutan itulah Jalit terpaksa melakukan perintah orang tua berjubah dan berserban kuning itu. Apabila dia balik ke rumah hari itu dia telah bertemu Meon sedang mengembala lembu masuk ke kandang. Jalit memanggil Meon, tetapi Meon berpusing-pusing mencari suara Jalit yang memanggilnya. Apabila serban itu ditanggalkan barulah Meon melihat dia. Meon juga tidak nampak serban yang dipegang di tangannya. Sejak itulah kegemparan berlaku di kampung itu mengenai lembaga hitam mengganggu perempuan. Setiap malam sekurang-kurangnya tiga orang perempuan telah dicabul. Kemaluannya dipangkah dengan kapur. Kesemua mangsa mengakui bahawa mereka tidak dinoda oleh lembaga hitam tersebut.



Hinggalah Jalit tidak dapat mengelak bila bertembung dengan Pak Musiro. Dia sudah berjaya mencabul hampir 30 orang perempuan bila namanya diseru oleh Pak Musiro. Apabila dia mahu menyerah kalah kepada Pak Musiro, orang tua yang memberikan dia serban kuning itu datang menjelma. Orang tua itu memerintahkan dia supaya menentang Pak Musiro. Terpaksalah Jalit menentang Pak Musiro. Tetapi setiap kali memberi tentangan, serangan Pak Musiro terlalu keras. Dia tidak dapat bertahan dari serangan Pak Musiro. Mujurlah orang tua berjubah kuning itu datang menolongnya. Orang tua itu meresap ke dalam tubuhnya lalu sama-sama menyerang Pak Musiro. Akhirnya Pak Musiro terpelanting tidak berdaya lagi untuk bangun menentang.



Jalit juga mendapat cedera parah. Bagaimanapun cederanya dapat diubat oleh orang tua yang menolongnya. Hinggalah Ulung Bahar datang menjelma, barulah Pak Musiro kembali bertenaga untuk melepaskan dia dari genggaman orang tua tersebut.



"Kenapa kau lari?" jerkah Ulung Bahar bila melihat orang tua berserban kuning bergegas-gegas menarik Jalit, tetapi ditahan oleh Pak Musiro. "Kau takut pada aku?" kata Ulung Bahar menghentakkan tumitnya ke lantai rumah. Terpekik jalit bila Ulung Bahar menekan tumitnya ke lantai. Orang tua berserban kuning itu tertawa berdekah-dekah bila Jalit terpekik.



"Kau takkan menang Bahar..." ejeknya menyakitkan hati Ulung Bahar.



Pak Musiro juga masih memaut tangan Jalit. Dia tidak berjaya melepaskan Jalit dari orang tua berkenaan. Kalaulah Pak Musiro dapat melepaskan tangan Jalit dari genggaman orang tua itu, tentulah mudah bagi mereka menyerang orang tua tadi. Syaitan yang menjelma sebagai orang tua itu berjaya menggunakan Jalit menjadi pelindungnya apabila diserang oleh manusia. Tetapi Ulung Bahar bukan semudah itu hendak ditentang oleh syaitan. Dia tidak putus asa apabila Jalit dijadikan pelindung syaitan. Ulung Bahar terus azan hingga menggegarkan kawasan rumah Jalit. Pak Musiro tetap berpaut pada tangan Jalit walaupun gegaran bertambah kuat.



"Musiro, kuatkan zikir kau..." Pak Musiro mendengar Ulung Bahar membisikkan sesuatu ke telinganya. Pak Musiro mengangguk. Dia berzikir mengingatkan kudrat dan iradat Allah. Ketika ini dia merasa gegaran itu tidak menyusahkan dirinya. Pak Musiro terselamat dari gangguan gegaran apabila Ulung Bahar azan. Hanya orang tua itu saja terhumban ke kiri ke kanan tidak dapat berjejak. Gegaran semakin kuat.



"Nanti..." orang tua itu merayu meminta Ulung Bahar berhenti azan. Tetapi tangannya tetap berpaut pada Jalit.



"Lepaskan Jalit dulu..." perintah Ulung Bahar. Dia tidak memberhentikan azannya. Semakin galak Ulung Bahar azan berulang kali, semakin kuat gegaran di sekitar rumah Jalit. Orang tua itu terumbang ambing macam bertih direndang dalam kuali terlompat ke kiri ke kanan.



"Tolong berhentikan! Aku tau kau tak sama dengan Musiro. Aku kalah dengan kau, tolong..." rintihnya memanjang.



"Lepaskan Jalit dulu..." tegas Ulung Bahar. Selagi dia tidak melepaskan Jalit, Ulung Bahar tidak akan berhenti azan. Tidak tahan dengan gegaran yang semakin kuat orang tua itu terpaksa melepaskan Jalit. Sebaik saja Jalit dilepaskan, Ulung Bahar menyuruh Pak Musiro lindungkan Jalit. Dia tahu Jalit tidak bersalah. Jalit hanya terpengaruh dengan ilmu sesat yang ditunjukkan oleh syaitan.



"Aku tak bermusuh dengan kau" gerutu orang tua itu marah. "Aku bermusuh dengan Musiro, biarkan saja Musiro melawan aku" ujarnya menyimpan dendam pada Pak Musiro.



"Kalau kau tak mahu bermusuh dengan aku, biar aku yang bermusuh dengan kau" sindir Ulung Bahar.



"Jangan! Aku tak mahu bermusuh dengan kau...!" sahut orang tua itu lemah.



"Aku nak bermusuh dengan kau...!" jerkah Ulung Bahar.



"Mengapa pula?" dia sengaja mencari jalan mahu mengelakkan diri dari bertentang dengan Ulung Bahar.



"Memang syaitan musuh aku!" balas Ulung Bahar menampakkan kebenciannya.



"Aku nak berlawan dengan Musiro..." beritahu orang tua itu lagi.



"Kenalah langkah mayat aku dulu!" Ulung Bahar terus mencabar.



Orang tua itu berlegar-legar mahu menerkam ke arah Pak Musiro. Belum sempat dia menerkam, Pak Musiro menendang dadanya. Terpelanting orang tua itu akibat ditendang oleh Pak Musiro. Masa ini dia tidak dapat lagi menggunakan Jalit sebagai pelindungnya. Dia terpaksa menanggung sendiri kesakitan akibat tendangan kuat dari Pak Musiro. Marah benar dia ditendang oleh Pak Musiro. Cepat-cepat dia bangun mahu membalas semula. Dia menerkam tetapi sempat dielak dengan pantas oleh Pak Musiro.



"Di depan Bahar kau memang handal..." bentak orang tua itu marah.



"Baca Fatihah Musiro..." bisik Ulung Bahar.



Pak Musiro membaca Fatihah tiga kali. Satu putaran angin kencang memutar orang tua tersebut seperti uri gasing berputar ligat. Jeritan orang tua itu bergaung di dalam putaran angin kencang itu. Lama dia diputar angin kencang orang tua itu jatuh tersungkur di depan Pak Musiro.



"Sekarang kau nak lawan Musiro lagi?" kata Ulung Bahar mengejeknya.



Orang tua itu tidak dapat bergerak lagi selepas diputar angin kencang tadi. Ternyata dia terlalu lemah untuk bangun semula. Selama ini dia tidak gentar kalau menentang Pak Musiro. Walaupun Pak Musiro dukun terkenal, tetapi dia tahu mempermainkan Pak Musiro. Apabila kalah dia akan berundur buat sementara dulu. Kemudian akan datang semula mengganggu. Tetapi dengan Ulung Bahar dia tidak berpeluang mahu mengelak. Ke mana saja bersembunyi dapat diekori oleh Ulung Bahar. Sebab itulah sedapat-dapatnya dia mahu mengelak dari bertemu dengan Ulung Bahar.



"Sekarang kau lawanlah Musiro..." ulangi Ulung Bahar.



"Kau tolong dia, fasal itu aku tak terlawan" rintihnya menyimpan dendam pada Pak Musiro.



"Aku tak tolong dia, kau yang tak terlawankan dia" Ulung Bahar mengejeknya.



Orang tua itu bangun terhuyung hayang. Dia masih berdendam pada Pak Musiro. Sebaik saja dia mahu menerkam, Ulung Bahar membisikkan ke telinga Pak Musiro supaya membaca Surah Al-Ikhlas, Pak Musiro membacanya tiga kali. Tiba-tiba bukit bukau berterbangan menimpa ke arah orang tua itu. Jerit orang tua itu bergema menahan kesakitan. Pak Musiro melihat orang tua tersebut terhimpit di bawah bukit bukau yang berterbangan menimpanya. Apabila dia membuka mata, dilihatnya Ulung Bahar ada di sebelahnya. Malam itu juga Pak Kadut ayah Meon datang memanggil Pak Musiro kerana Jalit diserang sakit sesak nafas tiba-tiba. Alangkah terperanjatya dia bila diberitahu Pak Musiro masih belum pulih dari sakit. Bagaimanapun Ulung Bahar mendoakan segelas air dan menyuruh Pak Kadut membawanya pulang. Air itu hendaklah diberi minum pada Jalit dan disapukan ke dadanya.



"Itulah ceritanya ustaz..." kata Meon mengingatkan semula kisah abangnya tersalah tuntut ilmu. Sebelum saya balik malam itu, kami telah berjanji fasal mahu menziarahi Ulung Bahar. Ketika saya mahu balik terdengar Simah isteri Meon memekik dari dalam bilik. Bergegas-gegas Meon masuk ke bilik bila mendengar isterinya memekik sebentar tadi. Sebentar kemudiannya dia keluar semula dalam keadaan cemas.



"Jangan balik dulu ustaz..." katanya rusuh. "tolong tengokkan Simah dulu" ujarnya tidak ketahuan.



"Astaghafarullah hala'zim..." keluh saya mengikut Meon mendapatkan isterinya di bilik.
 
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register