combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,197
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,197
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas dalam kejadian tembakan di Jalan Telawi, Bangsar, di sini, Rabu lepas, ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman hari ini.
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lelaki tempatan dan merampas dua pucuk pistol termasuk satu tiruan, kurang 24 jam selepas kejadian tembakan di Jalan Telawi, Bangsar di sini, Rabu lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata suspek berusia lingkungan 20-an dan 30-an ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di sini hasil risikan pantas D7 (Bahagian Pencegahan Judi/Maksiat/Gengsterisme) dan D9 (Siasatan Khas/Jenayah Terancang).
Beliau berkata dalam serbuan awal pagi Khamis, polis menemukan sepucuk pistol, tiga peluru serta masing-masing satu kelongsong dan objek dipercayai pistol tiruan.
“Kejadian berlaku kira-kira 3 pagi 22 April berpunca daripada pertelingkahan antara dua kumpulan di luar sebuah pusat hiburan. Seorang suspek dipercayai melepaskan tembakan ke arah kumpulan lawan manakala seorang lagi mengacukan pistol tiruan sebelum mereka melarikan diri.
“Akibat kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun mengalami kecederaan pada bahagian perut dan kini dalam keadaan stabil di hospital,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.
Kumar berkata pihaknya masih menunggu laporan forensik untuk mengesahkan senjata yang digunakan dalam kejadian itu.
Motif kejadian dipercayai akibat dendam lama berkaitan perebutan kawasan antara kumpulan dan Kumar berkata polis percaya kes berjaya diselesaikan dengan penahanan suspek.
“Semakan mendapati dua suspek itu mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah. Polis tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dalam aktiviti kumpulan jenayah terancang,” katanya.
Beliau berkata dua suspek itu direman sehingga 29 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Kes Tembakan Bangsar: Polis Tahan Dua Lelaki, Rampas Pistol
polis, tahan, tembakan, jenayah terancang, Bangsar