kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Keputusan Pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Rambai Dijangka Diumumkan Dalam Belanjawan 2027
Keputusan berhubung pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 Bukit Rambai dijangka diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen pada Oktober ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata permohonan bagi melaksanakan projek berkenaan telah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Penyediaan tapak bagi projek ini telah selesai dan lokasinya terletak berhadapan dengan Klinik Kesihatan Bukit Rambai sedia ada.
“Tempoh pembinaan projek ini adalah selama tiga tahun dan klinik kesihatan ini kelak bakal memberi kemudahan lebih kondusif kepada rakyat di Bukit Rambai,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Lim Ban Hong (BN-Kelebang) yang ingin mengetahui mengenai cadangan pembinaan klinik kesihatan baharu di Bukit Rambai.
Ngwe berkata antara tambahan perkhidmatan yang akan ditawarkan di klinik kesihatan baharu itu adalah radiologi atau X-ray, pergigian dengan kemudahan lima kerusi serta pemakanan dan dietetik.
Beliau berkata antara perkhidmatan lain membabitkan optometri, fisioterapi, terapi cara kerja, pemulihan pertuturan, psikologi kaunseling serta kerja sosial perubatan.
“Selain itu, pembinaan klinik baharu ini juga akan membolehkan perkhidmatan di Klinik Kesihatan Bukit Rambai dilaksanakan secara lebih menyeluruh, termasuk pengukuhan perkhidmatan pesakit luar, kecemasan, kesihatan ibu dan anak, makmal, farmasi, promosi kesihatan dan pasukan kesihatan sekolah.
“Secara keseluruhannya, pembinaan klinik baharu ini bukan sahaja menambah jenis perkhidmatan yang boleh diakses oleh penduduk setempat tetapi meningkatkan keselesaan pesakit, mengurangkan kesesakan, memendekkan masa menunggu serta memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di kawasan Bukit Rambai dan sekitarnya,” katanya.