kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Belanjawan 2027: Kesihatan Mental, Gaji Setimpal Antara Harapan Belia Pahang
Presiden Majlis Belia Pahang Saharuddin Ahmad
Kesihatan mental, pendapatan yang lebih setimpal serta peluang memperkukuh kemahiran adalah antara aspek yang perlu diberi perhatian bagi memenuhi keperluan golongan muda menerusi Belanjawan 2027.
Presiden Majlis Belia Pahang Saharuddin Ahmad berkata usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental perlu diperkasakan bagi memastikan masyarakat lebih peka terhadap kesejahteraan diri, selain memahami kepentingan mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah berkaitan.
“Saya berharap belanjawan untuk tahun depan memberi perhatian kepada aspek kesihatan mental bukan sahaja melalui perkhidmatan rawatan tetapi juga memperhebat kempen kesedaran di peringkat masyarakat kerana kadang-kadang mereka sendiri tidak tahu bahawa mereka mempunyai tanda masalah kesihatan mental.
“Selain itu, masih ada yang kurang memahami kepentingan menjaga kesihatan mental dan berasa malu untuk mendapatkan bantuan. Jadi, saya berpendapat promosi yang berterusan penting untuk mereka,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kempen berkenaan perlu dilaksanakan secara meluas, termasuk menerusi platform digital supaya maklumat berkaitan kesihatan mental mudah diakses, khususnya oleh golongan muda.
Saharuddin berkata pendekatan pencegahan melalui pendidikan dan kesedaran juga perlu diperkukuh agar masyarakat dapat mengenal pasti tanda awal masalah kesihatan mental serta mengetahui saluran yang sesuai untuk mendapatkan bantuan.
Beliau turut mencadangkan kadar gaji permulaan yang lebih setimpal dengan kemahiran diberikan kepada golongan muda yang memasuki alam pekerjaan dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup.
Menurut Saharuddin, pendapatan permulaan yang bersesuaian penting bagi membolehkan golongan muda memenuhi keperluan asas, membuat simpanan dan merancang pembelian rumah.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Belia Perpaduan Taman Aneka Jaya R Darrshan berharap Belanjawan 2027 turut memberi penekanan kepada peningkatan pengetahuan mengenai cukai dalam kalangan golongan muda, khususnya berkaitan e-Filing Lembaga Hasil Dalam Negeri.