afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,226
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,226
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Keputusan kekal dalam kerajaan mesti seiring perubahan, kata perwakilan DAP
Apabila perwakilan bersidang untuk tentukan masa depan DAP dalam kerajaan keperluan tunai janji kepada pengundi dijangka jadi agenda utama.
Sentimen perwakilan kini bercampur baur. Kumpulan yang mahu parti berkhidmat sehingga tamat penggal pentadbiran semasa mengakui terdapat kelemahan yang perlu ditangani.
Bagi kumpulan yang lain pula, tiada jalan penyelesaian selain keluar daripada kerajaan.
Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau, berpendapat lebih baik kekal dalam kerajaan buat masa ini, namun menegaskan DAP perlu terus mendesak reformasi yang diperjuangkannya selama ini.
“Tiada guna kita tarik diri daripada kerajaan. Jika kita keluar, rakyat tidak akan percaya kita boleh kotakan janji-janji kita,” katanya kepada FMT.
Perwakilan akan membuat undian rahsia pada kongres kebangsaan 16 Ogos ini berhubung usul sama ada barisan pemimpin patut mengekalkan jawatan dalam kerajaan atau meninggalkan Jemaah Menteri, namun terus menyokong pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bagi baki penggalnya.
Termasuk Setiausaha Agung Loke Siew Fook yang menerajui portfolio pengangkutan, DAP memiliki lima menteri dan tujuh timbalan menteri.
Ganabatirau berkata, antara reformasi mesti diutamakan ialah prinsip satu orang satu undi yang diperjuangkan oleh Bersih, bertujuan memastikan setiap undian membawa nilai hampir sama rata di semua kawasan pilihan raya.
Beliau turut menggesa pemberian peruntukan kawasan yang adil tanpa mengira fahaman politik, menyifatkan langkah itu akan membantu memulihkan keyakinan awam bahawa kerajaan tidak bersikap berat sebelah.
Ganabatirau berkata, garis panduan yang jelas juga perlu diwujudkan berhubung penguatkuasaan hukuman bagi kesalahan melibatkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), di samping penghapusan pendakwaan terpilih, serta semakan semula e-invois untuk meringankan tekanan ke atas peniaga.
Lebih baik keluar
Seorang perwakilan yang merancang untuk mengundi supaya parti itu keluar kerajaan memberitahu FMT, langkah tersebut adalah demi kebaikan parti.
“Kita mesti lakukannya sebelum terlambat,” kata perwakilan yang enggan namanya disiarkan.
Beliau berkata, kekalahan di Johor dan Negeri Sembilan membuatkan ramai tertanya-tanya sama ada langkah kekal dalam kerajaan akan menjejaskan asas sokongan DAP.
“Terdapat persepsi bahawa parti ini sudah terlalu bertolak ansur,” katanya.
“Lebih baik keluar. Namun jika perwakilan putuskan untuk kekal, DAP tidak boleh teruskan keadaan seperti biasa. Bersuara secara terbuka, pastikan tadbir urus adil dan jelaskan dasar-dasar kerajaan.”
Katanya, jika tiada perubahan dilakukan, DAP berisiko kalah teruk pada pilihan raya seperti yang dilihat di Johor, Negeri Sembilan dan Sabah.
Ditelan mati emak, diluah mati bapa
Bagi bekas orang kuat DAP, Ronnie Liu, ia satu pilihan yang sukar. “Perwakilan tahu, sama ada kekal di dalam kerajaan atau keluar akan ada akibat politik,” katanya.
“Jika keluar, parti mungkin jadi lebih lemah. Jika kekal, ada masalah juga. Ditelan mati emak, diluah mati bapa,” katanya.
Liu berkata, DAP berisiko kehilangan sokongan Cina dan India jika kekal dalam kerajaan. Bagaimanapun, katanya, PKR mungkin kehilangan sokongan Melayu jika DAP tidak keluar.
“Perkara ini merumitkan lagi keadaan,” katanya.
Beliau menyarankan parti itu mengenal pasti kepincangan yang berlaku dan berani mengakui kekhilafannya.
Liu merujuk kebimbangan berhubung isu seperti penternakan babi, pelaksanaan e-invois, Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas kematian Teoh Beng Hock serta rintihan rakyat yang lain, menegaskan DAP harus menumpukan perhatian untuk merungkai kemelut ini dengan segera kerana masa tidak menyebelahi mereka.
Akar umbi tidak puas hati
Seorang lagi veteran DAP berkata, segelintir ahli akar umbi dan wakil rakyat sudah pun berasa kecewa dengan prestasi kerajaan.
Beliau berkata, walaupun pentadbiran Madani memperkenalkan reformasi, pelaksanaannya yang perlahan mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan rakyat.
Sekalipun begitu, beliau menjangkakan perwakilan akan menyokong keputusan kekal dalam kerajaan.
“Terdapat urusan penting yang belum selesai dan mesti diselesaikan oleh pemimpin kita dan kerajaan,” katanya.
Menurutnya, ini kali pertama DAP menggunakan kongresnya sebagai referendum berhubung kedudukannya di dalam kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, perdebatan hangat dijangka berlaku tetapi perwakilan akhirnya akan memilih untuk kekal dalam kerajaan Madani.
“Ini akan memberi masa dan kestabilan yang diperlukan oleh pimpinan untuk tunaikan janji-janjinya,” katanya.
‘Kami masih bersuara’
Sebagai respons terhadap komen bahawa DAP kini kurang lantang dalam pelbagai isu, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham, mendakwa pemimpin parti tidak pernah berhenti menyuarakan pandangan mereka mengenai pelbagai isu nasional.
“Ada yang kata kita dah jadi parti bisu sejak jadi sebahagian kerajaan. Kita masih lantang secara dalaman dan kita masih lantang secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata, Pengerusi DAP Gobind Singh Deo juga telah menyuarakan kebimbangan secara dalaman, namun secara luarannya, rakyat perlu faham parti itu sebahagian daripada kerajaan.
Ngeh berkata, perwakilan patut mengundi berdasarkan apa yang paling membolehkan DAP berkhidmat kepada rakyat.
“Ada kebaikan dan keburukan untuk terus kekal atau keluar. Dalam politik, tiada situasi yang ideal.
“Jika kita dalam kerajaan, terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk pengaruhi dasar,” katanya.