afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Kembali ke parti bukan tiket automatik jadi calon, kata ketua PKR Wilayah Persekutuan
Azman Abidin ulas hasrat Tian Chua untuk kembali menjadi Ahli Parlimen serta keterbukaannya bertanding semula di Batu.
Beliau berkata keterbukaan Presiden PKR Anwar Ibrahim menerima semula mereka yang pernah meninggalkan parti seharusnya dilihat sebagai peluang membantu memperkukuh parti, bukannya jaminan bertanding.
“Keputusan mengenai pencalonan tetap tertakluk kepada proses parti dengan keputusan akhirnya dibuat presiden bersama kepimpinan pusat.
“Mengikut proses perlembagaan parti, nama calon harus diangkat melalui cabang kepada Majlis Pimpinan Negeri (MPN), seterusnya kepada presiden dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP),” katanya kepada FMT.
Menurutnya, proses pemilihan calon juga tidak membezakan antara pemimpin veteran, orang lama, muka baharu atau golongan muda kerana kebolehan memenangi kerusi turut menjadi pertimbangan utama.
Beliau mengulas hasrat veteran PKR Tian Chua untuk kembali menjadi Ahli Parlimen serta keterbukaannya bertanding semula di Batu, dengan mendakwa masih mempunyai sokongan kuat dalam kalangan pengundi kawasan itu.
Bagaimanapun, beliau yang diterima semula ke PKR mengakui keputusan akhir berkait perkara itu bergantung kepada kepimpinan parti sebagai sebahagian daripada strategi pilihan raya.
Tian Chua, Ahli Parlimen Batu dua penggal bermula 2008. Beliau tidak dibenarkan mempertahankan kerusi itu pada PRU 2018 selepas pegawai pengurus pilihan raya menolak pencalonannya atas alasan berkaitan denda mahkamah RM2,000.
Beliau kemudian menyokong calon Bebas P Prabakaran yang memenangi kerusi itu dan kemudiannya menyertai parti berkenaan.
Tian Chua dipecat daripada PKR pada Januari 2023 selepas bertanding di Batu sebagai calon Bebas pada PRU 2022 menentang Prabakaran, yang dipilih parti untuk mempertahankan kerusi terbabit.
Mengulas lanjut, Azman berkata pengalaman seseorang pemimpin boleh menjadi kelebihan, namun rekod dan prestasi lampau mereka juga akan dinilai sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Bagi saya paling penting kesetiaan kepada parti, bekerja dalam satu pasukan dan berpegang prinsip serta idealisme perjuangan PKR,” katanya yang juga setiausaha politik kepada perdana menteri.
Beliau juga percaya pemimpin yang mahu kembali ke PKR tidak semestinya berbuat demikian semata-mata untuk mendapatkan peluang bertanding.
“Saya yakin mereka yang ingin kembali bukan kerana ingin bertanding semata-mata, tetapi mereka mula sedar bahawa kerajaan yang dipimpin Anwar ini harus dipertahankan.
“Mereka ingin melihat perdana menteri memimpin negara untuk penggal seterusnya berdasarkan kemampuan dan prestasi yang ditunjukkan oleh Anwar,” katanya.
