Jumlah pesakit SG guna MediSave bagi rawatan di hospital JB melonjak
Sekitar 90 peratus pesakit guna MediSave di Hospital Pakar Regency di Johor Bahru ialah wanita.
JOHOR BAHRU: Jumlah pesakit dari Singapura yang menggunakan MediSave di sebuah hospital swasta di Johor Bahru meningkat dua kali ganda sejak pandemik COVID-19.
Hospital Pakar Regency, satu-satunya hospital di JB yang ketika ini menyertai skim MediSave luar negara Singapura, menyatakan bahawa kira-kira 90 peratus daripada pesakit MediSave mereka ialah wanita.
IKLAN
Antara rawatan paling biasa yang didapatkan termasuk perkhidmatan obstetrik dan ginekologi (kebidanan dan sakit puan), termasuk jagaan bersalin. Pihak hospital bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar pesakit Singapura yang menggunakan MediSave.
Hospital tersebut menerima sekitar 150 hingga 200 pesakit antarabangsa setiap hari, kebanyakannya dari Indonesia dan Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Regency, Serena Yong, berkata faktor kemampuan dan kemudahan akses adalah antara pertimbangan bagi mereka yang mendapatkan rawatan di Seberang Tambak.
"Bagi saya, jika dibandingkan dolar ke dolar, harganya hampir sama, mungkin lebih 10 peratus (di JB). Tetapi seperti yang anda tahu, dari segi kadar pertukaran mata wang, nilainya sudah menjadi satu pertiga," katanya.
CEO Hospital Pakar Regency, Serena Yong, berkata bayaran boleh dimampui dan akses mudah antara pertimbangan bagi pesakit yang memilih menjalani rawatan di Seberang Tambak.
Namun, beliau menambah bahawa pesakit juga perlu melihat faktor lain selain kos semata-mata.
"Mutu, keselamatan, kemudahan untuk berjumpa doktor, serta kepakaran juga merupakan bahagian pertimbangan yang sangat penting."
IKLAN
BAGAIMANA MEDISAVE LUAR NEGARA BERFUNGSI?
Mulai Mac 2010, Kementerian Kesihatan (MOH) membenarkan rakyat Singapura dan penduduk tetap (PR) menggunakan MediSave mereka untuk pembedahan balik hari dan kemasukan ke hospital bagi rawatan pilihan di kemudahan kesihatan bertauliah yang tertentu di luar negara.
Pesakit perlu terlebih dahulu mengunjungi penyedia khidmat kesihatan yang berpangkalan di Singapura, Health Management International (HMI), untuk penilaian klinikal, khidmat nasihat kewangan, dan bagi mengetahui sama ada mereka layak mendapat perlindungan MediSave.
Had pengeluaran MediSave yang sama bagi rawatan di Singapura turut terpakai untuk rawatan di luar negara.
Regency Specialist Hospital telah menyertai skim ini sejak tahun 2010. Satu-satunya hospital lain yang kini menyertai skim MediSave luar negara ialah Pusat Perubatan Mahkota di Melaka.
IKLAN
Kos rawatan yang lebih rendah menjadi daya tarikan utama bagi pesakit yang mempertimbangkan rawatan perubatan di Seberang Tambak.
Penjimatan bagi prosedur yang dijalankan di Malaysia berbanding Singapura adalah antara 24 hingga 74 peratus, menurut kajian pada tahun 2025 oleh Institut ISEAS-Yusof Ishak, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Singapura.
Penjimatan dianggarkan sebanyak 74 peratus bagi rawatan bayi tabung uji (IVF), 37 peratus bagi pembedahan penggantian lutut, dan 24 peratus bagi pembedahan pintasan jantung.
Namun, harga prosedur yang lebih murah tidak semestinya bermakna pesakit akan membayar lebih murah secara keseluruhan, kata Encik Francis Hoan, penolong pengarah penasihat kewangan di Financial Alliance.
"Keseluruhan kos rawatan bukan sekadar harga prosedur sahaja, tetapi merangkumi konsultasi, ujian pra-pembedahan, prosedur itu sendiri, tempoh tinggal di hospital, pakar bius, yuran pakar, ubat-ubatan, dan lawatan susulan, atau risiko komplikasi," kata Encik Hoan.
"Jangan bandingkan harga yang terpapar sahaja, tetapi bandingkan jumlah keseluruhan kos."
IKLAN
Beliau menambah bahawa pesakit juga perlu mengambil kira kos penginapan bagi setiap perjalanan, cuti kerja yang diambil, serta apa yang dilindungi dan tidak dilindungi oleh MediSave di luar negara.
Pesakit juga harus mempertimbangkan perlindungan insurans mereka apabila membuat perbandingan rawatan di Singapura dengan Malaysia, kata Encik Hoan.
"Kebanyakan Pelan Perlindungan Bersepadu dan MediShield Hayat tidak melindungi rawatan swasta di luar negara, jadi harga yang murah itu mungkin perlu dibayar sepenuhnya secara tunai berbanding bayaran bersama yang kecil jika dilakukan di peringkat tempatan," tegas beliau.
Prosedur yang dirancang dan tidak rumit dengan penjagaan susulan yang terhad adalah lebih munasabah dari segi kewangan bagi pesakit yang mempertimbangkan rawatan di luar negara, katanya.
Laluan RTS Boleh Tingkatkan Perkhidmatan Kesihatan Rentas Sempadan
Dengan laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura yang dijadualkan dibuka pada Januari 2027, perkhidmatan kesihatan rentas sempadan boleh menjadi lebih mudah diakses.
Hospital Pakar Regency menyatakan ia menjangkakan permintaan berterusan bagi perkhidmatan kesihatan di JB dan merancang untuk menyediakan lebih banyak perkhidmatan perubatan seiring dengan peningkatan permintaan.
Perkhidmatan kesihatan rentas sempadan berkemungkinan menjadi "pelengkap penting yang kian berkembang" kepada sistem kesihatan Singapura dan bukannya "pengganti sepenuhnya", kata Encik Hoan.
"Ia akan menjadikan penjagaan rentas sempadan lebih biasa bagi rawatan yang dirancang dan kurang rumit, manakala rawatan yang kompleks, mendesak, dan berisiko tinggi berkemungkinan kekal di Singapura atas dua sebab utama: kesinambungan penjagaan dan perlindungan insurans," katanya.
"Kesan jangka panjang yang lebih besar ialah tekanan harga ke atas penyedia khidmat kesihatan di tanah air."
Jumlah pesakit SG guna MediSave bagi rawatan di hospital JB melonjak
JOHOR BAHRU: Jumlah pesakit dari Singapura yang menggunakan MediSave di sebuah hospital swasta di Johor Bahru meningkat dua kali ganda sejak pandemik COVID-19. Hospital Pakar Regency, satu-satunya hospital di JB yang ketika ini menyertai skim MediSave luar negara Singapura, menyatakan bahawa...