MOH kaji semula skim MediSave Luar Negara jelang pembukaan Laluan RTS JB-SG
Regency Specialist Hospital merupakan satu daripada dua hospital di Johor Bahru yang menyertai Skim MediSave Luar Negara. (Gambar fail: CNA)
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menilai sama ada perubahan perlu dibuat pada skim MediSave Luar Negara menjelang pembukaan Sistem Gerak Cepat Johor Bahru-Singapura (Laluan RTS) pada Januari 2027.
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata semakan itu dibuat menyusuli jangkaan peningkatan pergerakan pesakit rentas sempadan apabila perkhidmatan RTS mula beroperasi.
IKLAN
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada pertanyaan Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast-Jurong West Hamid Razak mengenai kriteria pentauliahan hospital luar negara di bawah skim itu.
Encik Ong berkata penggunaan skim tersebut kekal rendah, dengan purata sekitar 300 tuntutan setahun antara 2023 dengan 2025.
Kebanyakan tuntutan melibatkan rawatan perbidanan dan sakit puan.
CARA SKIM BERFUNGSI
Penggunaan MediSave bagi rawatan elektif di luar negara bertujuan memberikan lebih banyak pilihan kepada pesakit.
IKLAN
Hospital luar negara yang mengambil bahagian perlu mempunyai perjanjian kerjasama yang diluluskan dengan institusi bertauliah MediSave di Singapura.
MOH juga perlu meluluskan kerjasama tersebut.
Institusi tempatan itu juga perlu merujuk pesakit, menjalankan penilaian perubatan sebelum pesakit dimasukkan ke hospital serta memberikan kaunseling kewangan.
Had pengeluaran MediSave bagi rawatan di Singapura turut terpakai bagi rawatan di luar negara.
Ketika ini, dua hospital di Malaysia menyertai skim tersebut menerusi rakan kongsi tempatan, HMI Medical Centre, yang ditauliahkan MediSave
IKLAN
Dua hospital itu ialah Mahkota Medical Centre dan Regency Specialist Hospital di Johor Bahru.
Sejak skim itu diperkenalkan pada 2010, tiada penyedia tempatan baharu yang ditauliahkan, manakala sebuah penyedia menarik diri pada 2023.
LALUAN RTS MULAI BEROPERASI JANUARI 2027
Laluan RTS sepanjang empat kilometer itu dijangka dapat membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.
Perjalanan antara Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura dijangka mengambil masa sekitar lima minit.
IKLAN
Jumlah penumpang harian pula diunjurkan mencecah sekitar 40,000 orang apabila perkhidmatan itu mula beroperasi.
MOH kaji semula skim MediSave Luar Negara jelang pembukaan Laluan RTS JB-SG
Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menilai sama ada perubahan perlu dibuat pada skim MediSave Luar Negara menjelang pembukaan Sistem Gerak Cepat Johor Bahru-Singapura (Laluan RTS) pada Januari 2027.