kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,697
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,697
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
JPJ Perak Tahan 206 Pemandu Warga Asing Atas Pelbagai Kesalahan Jalan Raya
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak Mohammad Yusoff Abustan (tengah) melihat kenderaan yang disita pada sidang media operasi pemandu warga asing (PeWA) di Depoh Sita, JPJ cawangan Taiping, hari ini.
JPJ Perak menahan 206 pemandu warga asing melibatkan 821 kesalahan jalan raya menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dilaksanakan secara bersepadu di seluruh negeri sejak 1 Jan hingga 28 Julai lalu.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menahan 206 pemandu warga asing melibatkan 821 kesalahan jalan raya menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dilaksanakan secara bersepadu di seluruh negeri sejak 1 Jan hingga 28 Julai lepas.
Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata dalam tempoh sama, sebanyak 1,200 notis telah dikeluarkan pihaknya melibatkan Notis P22, Seksyen 64(1) dan lain-lain notis.
“Daripada jumlah keseluruhan pemandu warga asing yang ditahan, warga Pakistan mencatat bilangan tertinggi, iaitu sebanyak 56 orang, diikuti Rohingya/Myanmar (49), Indonesia (43), Bangladesh (37), India (8), Nepal (7), Thailand (2) dan lain-lain negara (4).
“Dari sudut kesalahan, tiada lesen memandu merekodkan angka tertinggi, iaitu 412 kes, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak 128 kes, tiada perlindungan insurans (119), kesalahan teknikal (105), lain-lain kesalahan (29), salah guna LKM (17), kesalahan utama (11),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas PeWa yang dilaksanakan di Depoh Sita, JPJ Cawangan Taiping, di sini hari ini.
Mohammad Yusoff berkata pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik atau majikan yang menyewakan mahupun menyerahkan kenderaan mereka kepada pemandu warga asing tanpa kelayakan sah.
“Mana-mana pemilik kenderaan yang memberikan sewaan, menjual atau menyerahkan kenderaan kepada pemandu warga asing akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya individu berkenaan tidak mempunyai lesen sah.
“Mereka (pemilik kenderaan) juga sepatutnya peka dan menyemak latar belakang serta kelayakan warga asing ini terlebih dahulu sebelum urusan sewaan atau jual beli dibuat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata operasi akan dilaksanakan secara berterusan sebagai langkah proaktif bagi membanteras kesalahan membabitkan pemandu warga asing, khsususnya di jalan raya.