KTMB berkas lelaki cuba curi kabel
JOHOR BAHRU – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berjaya menggagalkan cubaan mencuri kabel sepanjang kira-kira 250 meter di laluan Kempas Baru–Kulai di sini hasil tindakan pantas Pasukan Polis Bantuan (PB) syarikat itu lewat malam tadi.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan, pada pukul 8.50 malam Pusat Kawalan Tren menerima maklumat berhubung gangguan sistem persemboyanan di jajaran berkenaan sebelum Pasukan PB diarahkan menjalankan rondaan serta pemeriksaan segera di lokasi terlibat.
Menurut kenyataan itu, sekitar pukul 11.30 malam anggota bertugas mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kilometer 728.25 di antara laluan tersebut.
“Suspek dipercayai sedang melakukan aktiviti memotong kabel sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan.
“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas dan cekap anggota PB, suspek berjaya ditahan pada pukul 11.47 malam,” menurut kenyataan itu.
KTMB memaklumkan, pemeriksaan lanjut mendapati kabel jenis empat teras sudah dipotong di kawasan berkenaan.
Anggota PB turut menemukan beberapa beg berisi peralatan pemotong kabel yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu dan dibuang berhampiran lokasi kejadian.
Suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut.
“Semakan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai 28 rekod jenayah lampau.”
KTMB menegaskan bahawa sebarang bentuk pencerobohan, vandalisme dan kecurian kabel melibatkan fasiliti rel dipandang serius kerana boleh menjejaskan operasi tren serta membahayakan keselamatan penumpang dan kakitangan.
Menurut syarikat itu, perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan di bawah Akta Keretapi 1991 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Seiring komitmen memperkukuh keselamatan infrastruktur rel, KTMB kini melaksanakan penambahbaikan sistem persemboyanan termasuk pemasangan penutup kabel lebih berat, perlindungan tambahan serta kunci keselamatan.
Selain itu, syarikat berkenaan turut mengaplikasikan teknologi berasaskan Internet of Things (IoT) seperti sensor, kamera litar tertutup (CCTV), sistem penggera, dron berteknologi kecerdasan buatan (AI) serta pengesanan akustik melalui kabel fiber bagi meningkatkan tahap pemantauan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menghubungi Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB menerusi talian 03-2263 1194 atau balai polis berhampiran bagi tindakan segera.
Artikel : MalaysiaGazette