BTC USD 75,957.0 Gold USD 4,272.19
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Jaslinda Saludin - Pendaki hilang di Gunung Batu Putih, operasi SAR diteruskan

Md Hanif

Legendary Member
gem
Messages
13,763
Joined
Jun 13, 2023
Messages
13,763
Reaction score
289
Points
146
UPDATE PENUH KES JASLINDA SALUDIN

Pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, akhirnya ditemui selamat pada petang 6 Jun 2026 berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh selepas hilang hampir 14 hari di kawasan Gunung Batu Putih, Tapah.

Beliau ditemui dalam keadaan lemah tetapi masih sedar dan boleh berkomunikasi sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tapah.

KRONOLOGI KES

23 Mei 2026


Jaslinda bersama 13 pendaki lain dan 2 Malim Gunung Perhutanan memulakan pendakian Trans Spencer Chapman sekitar jam 2 pagi.

Laluan pendakian ialah Pos Gedung, Gunung Bah Gading, Gunung Batu Putih dan sepatutnya keluar melalui Kuala Woh.

Sekitar jam 10 malam, seorang pendaki lelaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami sesak nafas dan muntah darah ketika berada di Kem Batu Kor.

Jaslinda ketika itu turut mengalami masalah pada bahagian kaki.

Mohd Hanafi, Jaslinda dan seorang MGP berhenti sementara manakala 12 pendaki lain meneruskan perjalanan.

24 Mei 2026

Jaslinda kemudian meneruskan perjalanan seorang diri menuju puncak Gunung Batu Putih.

Beliau kali terakhir dilihat MGP sekitar jam 7.30 pagi.

Telefon bimbit Jaslinda dipercayai sudah kehabisan bateri sejak awal pendakian menyebabkan komunikasi dengannya terputus.

Sekitar jam 10 pagi, Jaslinda dipercayai berjaya sampai ke puncak.

Beliau meninggalkan tulisan di tanah utk memberitahu MGP bernama Hafiz bahawa beliau sudah sampai di puncak.

Hafiz tiba di puncak sekitar 10.45 pagi dan melihat tulisan tersebut kira kira jam 11 pagi.

Satu lagi petunjuk penting kemudian diperoleh melalui kamera pengawasan hidupan liar.

Rakaman menunjukkan Jaslinda melintasi satu kamera sekitar jam 11.22 pagi pada 24 Mei.

Rakaman itu menunjukkan beliau bergerak ke arah laluan Kem Sukaneka.

Tiada rakaman menunjukkan beliau berpatah balik melalui lokasi yg sama.

Kamera lain yg menghala ke Gunung Batu Bujang pula tidak merakam Jaslinda.

Ini menguatkan kepercayaan pasukan SAR bahawa beliau bergerak ke arah Kem Sukaneka dan bukannya Gunung Batu Bujang.

25 Mei 2026

Mohd Hanafi berjaya diselamatkan menggunakan helikopter selepas ditemui kira kira 1km dari puncak.

Beliau kemudiannya dibawa ke Hospital Tapah.

Operasi selepas itu memberi tumpuan penuh kepada pencarian Jaslinda.

Pasukan SAR mula menemui kesan tapak kasut di luar laluan utama.

Jejak tersebut dipercayai milik Jaslinda dan menunjukkan beliau mungkin sudah tersasar daripada trek asal.

26 hingga 29 Mei 2026

Pencarian diperluaskan ke arah Gunung Rayu, Pos Musoh, Kem Sukaneka serta beberapa laluan berhampiran.

Antara petunjuk yg ditemui ialah botol air, bekas suplemen, bungkusan makanan dan kesan tapak kaki yg dipercayai milik Jaslinda.

Petunjuk tersebut menunjukkan beliau masih bergerak dan kemungkinan menghala ke kawasan Gunung Rayu.

Operasi menjadi sangat mencabar disebabkan laluan curam, trek licin, hujan, awan tebal dan masalah komunikasi.

Ada kawasan langsung tiada liputan telefon atau komunikasi radio.

Helikopter AW139 digunakan utk menghantar dan membawa keluar anggota SAR melalui teknik winching.

Anggota STORM, Bomba, Jabatan Perhutanan, MGP, APM dan beberapa agensi lain terlibat.

30 Mei 2026

Pasukan SAR mengambil kad memori daripada kamera pengawasan hidupan liar utk melihat pergerakan Jaslinda.

Rakaman kamera akhirnya mengesahkan beliau memang bergerak menuju Kem Sukaneka selepas meninggalkan puncak.

Pada masa sama, pencarian turut dibuat di kawasan Kem Kantoi, Sungai Ayer Busok serta beberapa alur air kerana pasukan percaya Jaslinda mungkin mencari sumber air.

Seorang anggota unit dron Bomba turut mengalami kecederaan ketika menjalankan pencarian.

Pada tarikh sama, seorang MGP bernama Hafiz meninggalkan nota di Kem Air Busok utk Jaslinda.

Antara pesanan yg ditulis ialah meminta beliau kekal di satu tempat kerana ramai sedang mencarinya.

31 Mei hingga awal Jun

Operasi semakin diperluaskan.

Puluhan anggota berada di dalam hutan pada satu satu masa.

Kamera pengawasan di Bukit Berapit dan kawasan Gunung Rayu turut diperiksa.

Namun tiada rakaman baharu Jaslinda ditemui di beberapa lokasi tersebut.

Masalah terbesar pasukan SAR masih sama iaitu komunikasi yg sangat terhad serta kawasan pencarian yg terlalu luas.

Radius pencarian melibatkan kawasan pada ketinggian kira kira 3,000 hingga 7,000 kaki.

2 hingga 5 Jun 2026

Komuniti Orang Asli mula memainkan peranan lebih besar dalam pencarian.

Sekumpulan sukarelawan Orang Asli Semai turut masuk membantu berdasarkan pengetahuan mereka terhadap selok belok kawasan hutan.

Kem Sukaneka, Gunung Rayu, Pos Musoh, sungai dan laluan menuju perkampungan Orang Asli terus menjadi tumpuan.

Walaupun banyak kawasan sudah diperiksa, tiada petunjuk baharu yg benar benar dapat menentukan kedudukan Jaslinda.

Kemudian selepas beliau ditemui, Bomba mengesahkan Jaslinda sebenarnya sampai ke Kem Air Busok pada 5 Jun.

Di situ beliau menemui 2 nota yg telah ditinggalkan oleh pasukan SAR sejak 30 Mei.

Ini bermaksud Jaslinda pernah berada sangat hampir dgn laluan yg telah diperiksa pasukan pencari, tetapi mereka berada di kawasan tersebut pada waktu yg berbeza.

6 Jun 2026

Operasi SAR memasuki hari ke 14.

Pada tahap ini pencarian rasmi diteruskan dalam skala lebih kecil kerana sebahagian besar kawasan telah diperiksa.

Namun pada petang tersebut datang berita yg ditunggu tunggu.

Jaslinda akhirnya ditemui hidup berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh oleh penduduk Orang Asli.

Beliau dilaporkan keluar dari kawasan hutan dan ditemui dalam keadaan lemah berhampiran sebuah jambatan.

Beliau masih sedar dan mampu bercakap.

Antara perkara pertama yg diberitahu ialah beliau memerlukan bantuan dan lapar.

Jaslinda kemudiannya dibawa ke rumah Tok Batin sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa dan dibawa ke Hospital Tapah.

KEADAAN JASLINDA SELEPAS DITEMUI

Walaupun berada hampir 14 hari dalam hutan, pemeriksaan mendapati beliau tidak mengalami kecederaan yg mengancam nyawa.

Jaslinda bagaimanapun mengalami beberapa luka, kesan gigitan serangga serta kecederaan pada kaki.

Beliau memberitahu pasukan penyelamat bahawa sepanjang cuba mencari jalan keluar beliau beberapa kali terjatuh.

Antaranya jatuh di kawasan sungai dan dari kawasan berketinggian kira kira 3 hingga 5 meter.

Beliau tetap berjaya bangun dan meneruskan perjalanan.

Berat badannya dilaporkan turun hampir 10kg sepanjang tempoh tersebut.

Kakinya kemudian disimen akibat kecederaan yg dialami.

CT Scan turut dilakukan dan pemeriksaan awal tidak menemukan kecederaan serius.

Keadaannya dilaporkan stabil, boleh makan dan berkomunikasi dgn baik.

APA YG DIKETAHUI TENTANG PERGERAKAN JASLINDA

Daripada semua petunjuk yg dikumpulkan, gambaran kasarnya ialah Jaslinda sampai ke puncak Gunung Batu Putih pada pagi 24 Mei.

Selepas itu beliau bergerak melalui laluan menuju Kem Sukaneka.

Beliau tidak berpatah balik melalui laluan kamera pertama dan tidak bergerak ke arah Gunung Batu Bujang.

Selepas itu beliau dipercayai terus bergerak melalui kawasan hutan, sungai dan beberapa laluan sekitar Gunung Rayu serta Pos Musoh.

Pada 5 Jun beliau sampai ke Kem Air Busok dan menemui nota yg ditinggalkan pasukan SAR beberapa hari sebelumnya.

Sehari kemudian beliau akhirnya berjaya keluar berhampiran Kampung Lubuk Gaharu.

Dalam erti kata lain, sepanjang operasi berlangsung Jaslinda dan pasukan SAR dipercayai beberapa kali berada di kawasan yg hampir sama tetapi pada waktu berlainan.

OPERASI SAR

Operasi ini melibatkan Bomba, STORM, Polis, APM, Jabatan Perhutanan, Malim Gunung Perhutanan, Perhilitan, pasukan udara, unit dron, NGO serta sukarelawan Orang Asli.

Helikopter AW139, dron, kamera pengawasan hidupan liar, pencarian darat dan pemeriksaan sepanjang sungai digunakan.

Komuniti Orang Asli juga memainkan peranan besar kerana pengetahuan mereka terhadap kawasan hutan sekitar Pos Musoh, Gunung Rayu dan Kem Sukaneka.

Selepas hampir 14 hari pencarian, kes ini akhirnya berakhir dgn berita yg semua orang tunggu.

Jaslinda ditemui hidup.



Alhamdulillah
 

Ops Gunung Batu Putih: Pendaki Lelaki Diselamatkan, Bomba Terus Kesan Jaslinda​

5845d5c10021bc91dd375ebf95d5503f6a1418ae46750

Kredit : JBPM Perak

Seorang lelaki yang mengalami sesak nafas dan muntah berdarah semasa mendaki Gunung Batu Putih di sini, berjaya diselamatkan dan dibawa turun ke Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata mangsa Mohd Hanafi Neikmad, 41, dibawa turun dari puncak gunung sebelum dihantar ke Hospital Tapah kira-kira 3 petang.

“Ini satu usaha bersepadu antara JBPM Perak dan bahagian udara. Tanpa bantuan pesawat, operasi ini mungkin lebih sukar kerana tempoh perjalanan ke puncak Gunung Batu Putih mengambil masa lebih kurang 12 jam.

“Mangsa ditemukan dan berjaya diselamatkan pada kedudukan kira-kira satu kilometer dari puncak Gunung Batu Putih pada ketinggian dianggarkan sekitar 2,000 meter, manakala puncak Gunung Batu Putih ini berada pada ketinggian 2,132 meter,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata antara cabaran operasi ialah keadaan awan tebal di puncak gunung namun pengalaman dan kepakaran kapten pesawat, operasi membawa masuk pesawat serta proses mengangkat mangsa menggunakan kaedah winching berjaya dilaksanakan dengan selamat.

“Selepas mangsa berjaya diselamatkan, pesawat segera meninggalkan kawasan berkenaan berikutan keadaan cuaca yang kembali dilitupi awan,” katanya.

Sementara itu, Sayani berkata operasi kini menumpukan usaha mengesan Jaslinda Saludin, 49, yang masih hilang selepas cedera di bahagian kaki dan kali terakhir dilihat oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP) kira-kira 7.30 pagi semalam.

“Lokasi terakhir yang dikenal pasti ialah di puncak Gunung Batu Putih kerana dia ada meninggalkan tanda di situ.

“Dia mungkin tersesat, jadi pasukan penyelamat akan naik ke puncak Gunung Batu Putih sebelum memulakan operasi pencarian dari kawasan ini,” katanya.

 

Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda Miliki 10 Tahun Pengalaman Mendaki - Suami​

5845d5c10021bc91dd375ebf95d5503f6a1418ae46750

Kredit : JBPM Perak

Wanita yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih di sini, Jaslinda Saludin, 49, merupakan seorang pendaki yang cukup berpengalaman.

Suami mangsa Haszman Othman, 61, berkata Jaslinda sememangnya meminati aktiviti mencabar dan berpengalaman tidak kurang daripada 10 tahun dalam mendaki gunung.

“Kalau mengikut rekod Jabatan Perhutanan, isteri saya akan mendaki gunung ini lagi pada hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Bomba di Surau At-Taqwa Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh hari ini.

Haszman berkata isterinya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta telah bertolak dari kediaman mereka di Damansara, Selangor pada Jumaat lepas bagi menyertai pendakian berkenaan bersama-sama dua rakannya.

“Dua rakan isteri telah selamat turun dan pulang ke rumah masing-masing. Saya sekarang tengah bimbang sebab isteri masih belum dijumpai dan operasi mencarinya masih giat dijalankan," katanya.

Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Beliau dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung yang kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi semalam.

 

Bomba Lancar Operasi Cari Pendaki Wanita Hilang Di Gunung Batu Putih​

5d91a2207091d34ecd14851770ec2cd36a1444eed2cc0

Suami kepada mangsa Jaslinda Saludin, Haszman Othman kelihatan sedih ketika ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Surau At Taqwa, Kuarters TNB Batu 7, Kuala Woh. Foto: Sharul Hafiz Zam

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak giat menjalankan operasi menyelamat dua pendaki melibatkan seorang lelaki dilaporkan mengalami sesak nafas dan seorang wanita yang cedera di kaki dipercayai hilang selepas menjalankan aktiviti pendakian di Puncak Gunung Batu Putih, di sini.

Pengarah JBPM Perak Datuk Sayani Saidon berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami sesak nafas dan muntah darah manakala Jaslinda Saludin, 49, masih tidak dapat dikesan selepas cedera di bahagian kaki semasa mendaki gunung itu kira-kira 10 malam pada Sabtu lepas.

“Pada 4 pagi tadi, pasukan Malim Gunung Perhutanan (MGP) bersama Pegawai Perhutanan Perak sebanyak tujuh orang mendaki Gunung Batu Putih ke lokasi mangsa, yang dianggarkan 10 jam perjalanan.

“Selain itu, pesawat JBPM akan membawa 12 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Perak ke Puncak Gunung Batu Putih dengan lokasi pengambilan di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, sebelum anggota penyelamat diturunkan dari pesawat dan bergerak ke lokasi mangsa yang dianggarkan kira-kira satu jam 30 minit perjalanan berjalan kaki,” katanya.

Beliau berkata lokasi wanita itu pula masih tidak dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang komunikasi daripada MGP sejak 5.45 petang semalam.

Sayani berkata setakat ini operasi sedang dijalankan dan sebarang maklumat operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, seramai 14 peserta bersama dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Pada 10 malam hari sama, seorang pendaki lelaki dilaporkan mengalami masalah pernafasan dan berhenti berehat di Kem Batu Core bersama seorang MGP serta mangsa wanita, manakala 12 peserta lain meneruskan perjalanan ke Puncak Batu Putih sebelum selamat keluar ke Tapah pada 1 tengah hari semalam.

 

Ops Gunung Batu Putih: Operasi Ditangguhkan, Pencarian Esok Fokus Gunung Rayu​

6b01f4012a1a0bbfa65e3f311eb652fc6a1447dd67f62

Sabarozi Nor Ahmad (tengah). Foto: JBPM Perak

Pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih di sini dipercayai tersasar daripada laluan asal pendakian sebelum terputus hubungan sejak semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sabarozi Nor Ahmad berkata mangsa, Jaslinda Saludin, 49, dipercayai tersasar ketika turun dari puncak Gunung Batu Putih yang berketinggian 2,132 meter selepas mendaki seorang diri ke puncak tersebut.

Beliau berkata lokasi terakhir mangsa dikenal pasti di puncak gunung itu pada kira-kira 9 pagi semalam selepas wanita terbabit berkomunikasi dengan seorang malim gunung perhutanan (MGP) pada 7.30 pagi.

“Mangsa dipercayai meninggalkan tanda di puncak sebelum terputus hubungan dan berdasarkan maklumat yang diterima, kemungkinan beliau tersasar daripada trek asal.

“Sepatutnya laluan turun akan keluar di Kuala Woh, namun kita percaya mangsa mungkin tersasar di sekitar Gunung Rayu ataupun Pos Musoh,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah hari ini.

Sabarozi berkata operasi pencarian ditangguhkan 6 petang tadi dan akan diteruskan 8 pagi esok dengan memfokus kawasan di sekitar Gunung Rayu serta bantuan pesawat Agusta 139 dari Pangkalan Udara Bertam bagi membawa tambahan 12 hingga 16 anggota penyelamat ke kawasan pencarian.

Mengulas lanjut beliau berkata pasukan penyelamat yang menjejaki laluan mangsa turut menemukan kesan tapak kasut dipercayai milik wanita tersebut di kawasan yang bukan laluan utama pendakian.

“Kebetulan semalam hujan dan hari ini cuaca panas, jadi jejak kasut itu masih kelihatan. Jejak berkenaan bukan di laluan utama dan dipercayai laluan itu tidak digunakan pendaki lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi SAR berdepan pelbagai cabaran termasuk kesukaran komunikasi di kawasan gunung, laluan curam serta keadaan cuaca hujan yang menyebabkan trek licin, di samping gunung berkenaan merupakan antara yang tertinggi dan laluannya agak mencabar serta faktor awan tebal.

 

Ops Gunung Batu Putih: SAR Jaslinda Diteruskan, GIRN Bantu Aspek Komunikasi​

de6c540ca57f037ecffcc37833439a726a1510b92c3ec

Kredit: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak

TAPAH, 26 Mei (Bernama) - - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih di sini diteruskan hari ini dengan penambahbaikan aspek komunikasi Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) di Pusat Kawalan Bomba, Kuala Woh.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata operasi SAR akan difokuskan di sekitar laluan menghala ke Gunung Rayu dan Pos Musoh yang dipercayai berkemungkinan menjadi laluan mangsa tersasar.

"Aspek peralatan dan kaedah komunikasi juga akan ditambah baik dengan kehadiran pihak SAPURA iaitu pihak yang bertanggungjawab bagi GIRN di lokasi PKB (pos kawalan bomba) ," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata operasi hari ini akan diteruskan dengan bantuan Pesawat AW139 dari Pengkalan Udara JBPM Wilayah Utara dan seramai 12 anggota penyelamat digerakkan menaiki pesawat bagi membantu lapan anggota penyelamat sedia ada yang masih berada di puncak Gunung Batu Putih selepas bermalam di lokasi berkenaan.

Katanya, PKB masih beroperasi di Kuala Woh manakala Pos Kawalan Hadapan yang melibatkan penggunaan pesawat ditempatkan di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.

Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Dia dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung.

Mohd Hanafi berjaya dibawa turun oleh pasukan bomba dengan helikopter semalam.

 

Bomba Temui Petunjuk Baharu SAR Gunung Batu Putih, Operasi Disambung Esok​

85911527c5041b57fefcaf7d8e4174f26a157e37d6eea

Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan percubaan kali kedua untuk menghantar anggota bagi menyelamatkan pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih pada Ahad lepas di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor hari ini.

--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Penemuan botol air dan bungkusan suplemen dipercayai milik pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih di sini menjadi petunjuk terbaharu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa Jaslinda Saludin, 49.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Yusri Mohd Yusoff @ Hashim berkata penemuan barangan itu menunjukkan mangsa telah tersasar daripada laluan asal pendakian dan bergerak ke arah Gunung Rayu.

“Berdasarkan maklumat yang kami peroleh daripada pasukan penyelamat bersama-sama dengan seorang malim, kami mendapati mangsa telah tersasar daripada laluan yang sepatutnya dituruni berdasarkan penemuan kesan-kesan ini.

“Kami jumpa botol air mangsa, suplemen, bekas suplemen, jejak tapak kaki dan bekas bungkusan gula-gula yang dipercayai milik mangsa di laluan menuju Gunung Rayu. Kami percaya mangsa masih meneruskan pergerakan berdasarkan kesan-kesan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Pos Kawalan Hadapan di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini hari ini.

Yusri berkata pihaknya juga percaya mangsa tidak tersasar disebabkan kekuatan fizikal wanita berkenaan yang dimaklumkan mengalami sakit pada bahagian kaki.

“Kami harap dia tidak tersasar dan daripada yang kami selidik, tiada laluan lain yang dia boleh tersasar. Dia akan terus ke Gunung Rayu,” katanya.

Sementara itu, operasi SAR ditangguh pada 5.30 petang tadi akibat cuaca yang tidak mengizinkan pesawat AW139 untuk menghampiri lokasi pasukan penyelamat pertama (pasukan semalam) bagi menghantar pasukan penyelamat kedua bergabung di lokasi berkenaan.

Operasi dijadualkan disambung semula seawal 8 pagi esok dengan perancangan menghantar pasukan baharu dan membawa keluar anggota yang telah berada di lokasi selama dua malam.

 

Pendaki Hilang: Keadaan Mangsa Masuki Fasa Kritikal, Bomba Laksana "Winching Point"​

06e484cdbdb5936902afd28a16198fa06a180a68adc4f

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon (kiri) mendengar penerangan dari Malim Perhutanan Negeri Perak Muzafar Mohamad (kanan) ketika hadir pada sidang media dan meninjau Pos Kawalan Bomba (PKB) di Pos Kuala Poh.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih, di sini, pada 23 Mei lalu, akan memberi tumpuan sekitar jajaran Sungai Ayer Busok, dipercayai menjadi laluan mangsa untuk mendapatkan sumber air.

--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Keadaan pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih di sini sejak 23 Mei lepas, dijangka memasuki fasa kritikal ketika ini selepas tempoh kehilangan melebihi 72 jam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata pada ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dipergiat termasuk menambah keanggotaan dan memperluas pencarian ke kawasan kemungkinan mangsa mencari sumber makanan dan air.

Sehubungan dengan itu, SAR akan memberi tumpuan sekitar jajaran Sungai Ayer Busok, dipercayai menjadi laluan mangsa untuk mendapatkan sumber air.

“Kita boleh katakan pada ketika ini adalah ‘tempoh kritikal’ namun dengan pengalaman yang ada pada mangsa, dia akan terus bertahan sementara SAR dijalankan.

“Kita percaya dia akan cuba mencari sumber atau punca air untuk terus bertahan, dan berkemungkinan besar bergerak ke Sungai Ayer Busok iaitu lokasi berdekatan dengan Gunung Batu Putih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pos Kawalan Bomba (PKB) di Pos Kuala Poh, di sini hari ini.

Sayani berkata sebanyak 36 anggota pasukan digerakkan oleh JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan Kem Sukaneka dan Gunung Rayu hari ini, yang turut dibantu Pasukan Gerak Am, Jabatan Perhutanan dan Malim Gunung Perhutanan (MGP).

Beliau berkata bomba telah membuka satu winching point di Kem Salai Matahari yang dianggarkan berkeluasan 100 kaki persegi telah diusahakan bagi memudahkan tindakan lanjut sekiranya pergerakan  menggunakan pesawat udara diperlukan.

Menurut beliau, ia bertujuan memudahkan pergerakan keluar dan masuk pasukan penyelamat kerana winching point sedia ada iaitu di Puncak Bukit Batu Putih dan Puncak Bukit Berapit 2 memakan masa perjalanan yang jauh ke lokasi pencarian.

 

Polis Ambil Keterangan Tujuh Individu Bantu SAR Pendaki Hilang Di Gunung Batu Putih​

79290851ce33d91146c84b690fdd0cd66a180dee7e1d5

2871d40d21ebfdb42532fac52018f00b6a180e08b6f11

06e484cdbdb5936902afd28a16198fa06a180a68adc4f

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Datuk Sayani Saidon (kanan) mendengar penerangan daripada Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Sabarozi Nor Ahmad (kiri) ketika hadir pada sidang media dan meninjau Pos Kawalan Bomba (PKB) di Pos Kuala Poh, hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Polis telah mengambil keterangan tujuh individu, termasuk suami mangsa bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang selepas mendaki Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah DSP Mohd Fadzil Ismail berkata enam lagi yang dipanggil memberi keterangan ialah Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang menyertai operasi berkenaan.

“Kami ambil keterangan bagi mengetahui dan memudahkan urusan pencarian dilakukan. Kami akan bertukar maklumat dengan bomba dan hasilnya setakat ini positif,” katanya pada sidang media selepas hadir di Pos Kawalan Bomba (PKB) di Pos Kuala Poh di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon.

Mohd Fadzil berkata operasi bersepadu dan terancang pelbagai agensi diharap membawa kepada penemuan Jaslinda Saludin, 49, yang telah hilang lebih 72 jam dan terputus sumber minuman dan makanan.

Beliau turut berharap keluarga mangsa diberikan ruang, selain orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan operasi yang dilaksanakan.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lepas melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun mangsa dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 24 Mei lepas (7.30 pagi).

 

Pendaki Hilang: Survival Bergantung Ketahanan Fizikal, Mental Dan Pengalaman - Malim Gunung​

a5bc6a2f6e24bc541404fe202f0fcff96a18e5ef3f25f

c8b5f6bfb4dd006a0e9d4de347f031286a18e6054a144

Malim Perhutanan Negeri Perak Muzafar Mohamad ditemubual wartawan ketika ditemui di Pos Kawalan Bomba (PKB) di Pos Kuala Poh semalam.

Suhu yang boleh mencecah sekitar enam darjah Celsius di kawasan berketinggian sekitar 2,130 meter di Gunung Batu Putih menjadi antara cabaran utama perlu ditempuhi dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang sejak 23 Mei lalu.

Muzafar, berkata operasi SAR yang memasuki hari kelima itu turut berdepan cabaran lain termasuk keadaan muka bumi yang mencabar serta kesukaran capaian komunikasi sekitar kawasan kejadian, sekali gus menyulitkan usaha pencarian pasukan penyelamat.

--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Suhu dingin yang boleh mencecah sekitar enam darjah Celsius di kawasan berketinggian 2,130 meter di Gunung Batu Putih antara cabaran utama perlu ditempuhi pasukan dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang sejak 23 Mei lepas.

Malim Gunung Perhutanan (MGP) Perak Muzafar Mohamad berkata operasi SAR yang memasuki hari kelima hari ini itu turut berdepan cabaran lain termasuk keadaan muka bumi serta capaian komunikasi sekitar kawasan kejadian, sekali gus menyulitkan usaha pencarian pasukan penyelamat.

“Selain keadaan sejuk yang berangin di kawasan banjaran tinggi, kesukaran komunikasi antara pasukan di lapangan dengan pusat kawalan operasi turut menjadi cabaran utama kerana memberi kesan terhadap koordinasi taktikal pencarian di kawasan pergunungan itu.

“Lokasi  di sini turut dikategorikan sebagai laluan sukar yang memerlukan pendaki mengerah kudrat, termasuk memanjat bagi melepasi halangan tertentu. Pendek kata, ia memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi untuk mengharungi keseluruhan pendakian,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Bomba (PKB) di Pos Kuala Poh di sini, semalam.

Muzafar, 50, yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pendakian percaya kehilangan Jaslinda berpunca daripada tersilap memilih laluan ketika menuruni gunung berkenaan, berdasarkan penilaian awal dilakukan pasukan penyelamat di lapangan.

Beliau berkata disebabkan kondisi fizikal semakin lemah mengakibatkan mangsa mungkin tidak dapat berfikir  dengan lebih baik, sekali gus memilih laluan salah yang seakan-akan sama dengan laluan asal menuju ke kaki gunung.

Menurut Muzafar, operasi SAR di gunung kelapan tertinggi di Malaysia itu juga antara paling lama pernah disertainya sepanjang bergelar malim gunung.

“Operasi pencarian lazimnya dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga hari sahaja, bergantung kepada keadaan lokasi serta maklumat awal yang diperoleh di lapangan,” katanya.

Ditanya kemungkinan Jaslinda masih mampu bertahan, beliau berkata aspek tersebut tidak boleh ditolak memandangkan kemampuan seseorang pendaki untuk terus hidup bergantung dari sudut mental dan fizikal masing-masing.

 
Back
Top
Log in Register