combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,146
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,146
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Ingin Ubah Nasib Keluarga, Wanita Orang Asli Pilih Bidang TVET Sebagai Kerjaya
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah (kiri) bergambar selepas menyampaikan Anugerah Khas kepada graduan Orang Asli Kolej Komuniti Jerantut, Isah Yusof pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2026 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Semangat ingin mencuba sesuatu yang baharu dan mengubah nasib keluarga mendorong seorang wanita Orang Asli dari Kampung Berdut di Kuala Krau, dekat Temerloh, Pahang memilih bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan kerjayanya.
Graduan Kolej Komuniti Jerantut yang memperoleh Sijil Teknologi Akuakultur, Isah Yusof, 25, berkata dia yakin bidang TVET ialah jalan terbaik untuk anak Orang Asli sepertinya membina masa depan lebih baik buat dirinya dan keluarga.
“Saya ingin membuktikan bahawa meskipun berasal daripada keluarga sederhana dan mempunyai keterbatasan, tiada alasan untuk saya menyerah bagi mencapai impian. Saya juga sentiasa berpegang dengan prinsip dari mana kita bermula tidak pernah menentukan sejauh mana kita mampu melangkah,” katanya.
Isah berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2026 (Sidang Ketujuh) di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin di Universiti Malaysia Terengganu, di sini hari ini.
Pada majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah itu, Isah daripada suku kaum Jahut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Kolej Komuniti Pahang–Kolej Komuniti Jerantut, berdasarkan pencapaian cemerlangnya.
Kini, anak sulung daripada empat beradik itu bekerja sebagai pembantu operasi di Pusat Pembenihan Paya Besar di Pahang, sekali gus membantu meringankan beban keluarga memandangkan ayahnya bekerja sendiri, manakala ibunya seorang suri rumah.
Selain cemerlang dalam pengajian, Isah turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan bukan sahaja pada peringkat daerah dan negeri, malah peringkat antarabangsa juga apabila menjadi Pengarah Program “Bridging Cultures and Knowledge Through Aquaculture and Community” di Songkhla, Thailand pada tahun lepas.
Sementara itu, pada majlis sama, pelajar Kolej Komuniti Raub yang menerima Anugerah Keusahawanan, Roslina Rusli, 49, membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk dirinya terus menimba ilmu dalam bidang jahitan.
Ibu kepada empat anak itu berkata situasinya yang tidak mampu membeli pakaian baharu kepada anak-anak mendorongnya untuk belajar sepenuh masa selama dua tahun sehingga menerima Sijil Fesyen dan Pakaian, hari ini.