(Gambar fail: iStock)
SINGAPURA: Purata inflasi teras Singapura adalah 0.7 peratus pada 2025, turun daripada 2.8 peratus yang dicatatkan pada 2024, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat (23 Jan).
Bagi Disember tahun lalu, inflasi teras adalah sekitar 1.2 peratus - tidak berubah berbanding November 2025.
IKLAN
Menurut kenyataan media bersama oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), sebahagian besarnya disebabkan oleh inflasi makanan dan perkhidmatan yang tidak berubah.
Berdasarkan perbandingan dari bulan ke bulan, harga teras meningkat 0.4 peratus pada Disember lalu.
Inflasi teras, yang tidak mengambil kira kos penginapan dan pengangkutan darat peribadi, dianggap sebagai kayu ukur yang lebih tepat bagi naik turun harga harian yang menjejaskan kebanyakan isi rumah.
Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi Semua Barangan, atau inflasi utama, meningkat sebanyak 1.2 peratus pada Disember 2025 berbanding tempoh yang sama setahun sebelum itu, juga tidak berubah dari November. Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh inflasi teras dan penginapan yang stabil.
Berdasarkan perbandingan dari bulan ke bulan, angka tersebut meningkat 0.3 peratus pada Disember lalu. Bagi keseluruhan tahun 2025, purata inflasi utama adalah 0.9 peratus, merosot daripada 2.4 peratus pada 2024.
IKLAN
RAMALAN
Memberikan ramalan bagi tahun 2026, MAS dan MTI menyatakan bahawa inflasi teras dan inflasi utama dijangka akan meningkat.
"Kos import Singapura sepatutnya terus merosot, walaupun pada rentak yang lebih perlahan," menurut MAS dan MTI.
"Sedang harga minyak mentah global dijangka jatuh tahun ini, inflasi serantau dijangka meningkat sedikit selepas prestasi yang lemah pada tahun lalu."
Dari aspek domestik, pertumbuhan kos buruh bagi setiap unit dijangka mula meningkat apabila pertumbuhan daya peningkatan (produktiviti) kembali normal. Sementara itu, permintaan konsumsi privet berkemungkinan akan kekal stabil, menurut MAS dan MTI.
IKLAN
"Mengambil kira faktor-faktor ini, inflasi teras MAS dan inflasi CPI- Semua Barangan diunjurkan meningkat pada 2026 berbanding kadar rendah tahun lalu," tambah MAS dan MTI. Sekalipun demikian, unjuran inflasi ini masih tertakluk kepada ketidakpastian.
SEKTOR
Data yang dikeluarkan pada Jumaat (23 Jan) menunjukkan bahawa inflasi perkhidmatan tidak berubah pada 1.9 peratus kerana penurunan kecil pada tambang kapal terbang diimbangi oleh rentak kenaikan kos khidmat kesihatan yang lebih perlahan dan kemerosotan perbelanjaan percutian.
Inflasi makanan tidak berubah pada 1.2 peratus kerana harga khidmat makanan meningkat pada rentak yang sama seperti November tahun lalu.
Harga elektrik dan gas jatuh pada rentak yang lebih pantas disebabkan oleh penurunan kos elektrik yang lebih ketara.
IKLAN
Pengangkutan privet meningkat daripada 3.5 peratus kepada 3.7 peratus disebabkan oleh penurunan harga petrol yang lebih kecil.
Harga penginapan meningkat pada rentak yang stabil kerana sewa perumahan meningkat pada kadar yang sama pada November dan Disember tahun lalu.
Julat ramalan inflasi teras dan utama bagi tahun 2026 akan dikeluarkan dalam kenyataan dasar kewangan MAS yang akan datang, iaitu pada 29 Januari.
Inflasi teras SG catat purata 0.7% pada 2025, turun dari 2.8% pada 2024
SINGAPURA: Purata inflasi teras Singapura adalah 0.7 peratus pada 2025, turun daripada 2.8 peratus yang dicatatkan pada 2024, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat (23 Jan). Bagi Disember tahun lalu, inflasi teras adalah sekitar 1.2 peratus - tidak berubah berbanding November 2025.