BTC USD 76,474.1 Gold USD 4,296.09
Time now: Jun 1, 12:00 AM

SG catat 441 kes bunuh diri pada 2024; kematian dalam kalangan usia 30-39 tahun naik 50%

adi19

Fun Poster
Messages
768
Joined
Oct 30, 2013
Messages
768
Reaction score
3
Points
25

SG catat 441 kes bunuh diri pada 2024; kematian dalam kalangan usia 30-39 tahun naik 50%​

screenshot-2026-07-28-093526.jpg

Gambar hiasan. (Gambar: iStock)

SINGAPURA: Singapura mencatatkan 441 kes bunuh diri pada tahun 2024. Jumlah kematian dalam kalangan orang dewasa berusia antara 30 hingga 39 tahun meningkat sebanyak 50 peratus berbanding tahun sebelumnya walaupun jumlah kes bagi semua kumpulan usia lain merosot.

Pertubuhan Samaritans of Singapore (SOS) pada Selasa (28 Jul) menyatakan bahawa angka tersebut - yang berdasarkan data muktamad daripada Penguasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA) - turut menunjukkan bahawa bunuh diri merupakan punca kematian kedua tertinggi dalam kalangan orang dewasa berusia 30 hingga 39 tahun.

IKLAN

Terdapat 99 kes bunuh diri dalam kumpulan usia ini pada 2024, meningkat 50 peratus berbanding 66 kes pada tahun sebelumnya. Berdasarkan pemerhatian yang dibuat melalui talian bantuan krisis 24 jam kendaliannya, SOS menyatakan bahawa golongan dewasa berusia 30 hingga 39 tahun kerap berdepan tekanan yang rumit serta faktor tekanan psikososial berkaitan isu keluarga, pekerjaan dan rasa terasing daripada masyarakat.

SOS menambah bahawa sebanyak 256 kes bunuh diri dilaporkan di Singapura pada tahun 2025 berdasarkan data sementara. Namun, pertubuhan itu menarik perhatian bahawa angka muktamad boleh jauh berbeza. Sebagai contoh, jumlah kes bunuh diri pada 2024 meningkat daripada angka sementara 314 kes kepada 441 kes selepas data dimuktamadkan.

Menerangkan perbezaan antara angka sementara dan angka muktamad itu, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, dalam jawapan bertulis di parlimen pada September lalu berkata bahawa angka sementara yang diterbitkan dalam laporan tahunan pendaftaran kelahiran dan kematian hanya mencerminkan kes yang disahkan sebagai bunuh diri pada waktu laporan itu dikeluarkan.

Sesetengah kes kematian luar biasa mungkin masih menunggu keputusan siasatan koroner semasa laporan berkenaan diterbitkan. Apabila siasatan koroner selesai, sesetengah kes ini mungkin dikategorikan semula sebagai kes bunuh diri dan akan dicatatkan dalam laporan yang diterbitkan pada tahun berikutnya.

Daripada 441 kes bunuh diri yang dilaporkan, 290 kes (65.8 peratus) melibatkan lelaki, manakala 151 kes (34.2 peratus) melibatkan wanita.

IKLAN

Menurut SOS, jurang ini sangat ketara dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas, di mana kadar lelaki dalam lingkungan umur tersebut membunuh diri adalah kira-kira tiga kali ganda lebih tinggi berbanding wanita.

"Kajian sedia ada menunjukkan bahawa golongan lelaki lebih terasing dari segi sosial, lebih sukar mendapatkan bantuan apabila berdepan tekanan emosi, dan cenderung menggunakan cara yang membawa maut dalam percubaan bunuh diri," jelas SOS.

"Bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas, isu utama kekal merangkumi masalah kesihatan dan rasa terasing, memandangkan mereka mengalami kemerosotan kesihatan fizikal, keupayaan bergerak serta hubungan sosial."

Walaupun golongan wanita merangkumi satu pertiga daripada kes bunuh diri pada 2024, SOS mendapati mereka membentuk 62.5 peratus daripada kes panggilan dan mesej teks berkaitan bunuh diri yang diterima oleh pertubuhan tersebut.

Pihak SOS menjelaskan bahawa perkara ini menunjukkan wanita lebih cenderung mendapatkan bantuan bagi menangani tekanan yang berkaitan dengan peranan dan norma masyarakat, seperti tanggungjawab menjaga anggota keluarga dan keganasan berasaskan jantina.

IKLAN

Bunuh diri juga kekal sebagai punca utama kematian dalam kalangan belia berusia 10 hingga 29 tahun, dengan SOS menyatakan bahawa golongan ini sering bergelut dengan tekanan berkaitan keluarga, pendidikan dan hubungan sesama manusia.

Kadar kematian akibat bunuh diri pada tahun 2024 meningkat sebanyak 0.04 kepada 8.23 bagi setiap 100,000 penduduk.

Dr Jared Ng, Pengarah Perubatan, Pakar Psikiatri dan Perunding Kanan di Connections MindHealth berkata: "Perkara ini tidak sepatutnya dilihat sebagai angka semata-mata. Di sebalik setiap angka itu, ada ibu bapa yang masih tidak dapat tidur memikirkan apa yang mereka terlepas pandang, dan ada rakan yang menyesal kerana tidak membalas panggilan telefon."

"Kesedihan akibat kehilangan itu boleh berlarutan seumur hidup."

Pihak SOS memaklumkan bahawa mereka berjaya meredakan krisis dan mencegah seorang individu yang berisiko tinggi membunuh diri pada setiap 13 jam menerusi campur tangan krisis yang tepat pada waktunya. Sepanjang tahun lalu, SOS telah menjawab lebih 55,000 panggilan dan mesej menerusi perkhidmatan talian bantuan 24 jam dan CareText.

IKLAN

Pencegahan awal turut menjadi satu lagi fokus utama SOS, di mana program Be A Samaritan bertujuan melengkapi lebih ramai individu dengan kemahiran mengenal pasti tanda-tanda tekanan emosi lebih awal, memulakan perbualan serta membimbing mereka yang memerlukan kepada bantuan yang sesuai. Lebih 2,000 individu di tempat kerja, sekolah dan masyarakat telah dilatih sepanjang tahun kewangan lalu.

SOS juga menyediakan perkhidmatan kaunseling secara bersemuka dan kumpulan sokongan kepada lebih 1,200 individu yang mengalami krisis emosi.

"Pencegahan bunuh diri tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada perkhidmatan krisis atau pakar kesihatan mental sahaja," kata Ketua Pegawai Eksekutif SOS, Terry Siow.

"Ia memerlukan kita semua - sebagai anggota keluarga, rakan, rakan sekerja dan jiran - untuk menyedari apabila seseorang sedang bergelut dengan masalah yang dihadapi dan mempunyai keyakinan untuk memulakan perbualan serta menghubungkan mereka dengan sumber sokongan yang sesuai."

Saluran Untuk Mendapatkan Bantuan:

Talian Bantuan Kesihatan Mental Nasional: 1771

Talian Bantuan Samaritans of Singapore (SOS): 1767

Talian Bantuan Persatuan Kesihatan Mental Singapura (SAMH): 1800 283 7019

Jika seseorang yang anda kenali berada dalam risiko tinggi untuk membunuh diri, segera hubungi perkhidmatan kecemasan perubatan 24 jam.

 
Back
Top
Log in Register