BTC USD 75,884.4 Gold USD 4,347.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Elaun bulanan AP naik daripada S$13,750 kepada S$18,500

adi19

Fun Poster
Messages
766
Joined
Oct 30, 2013
Messages
766
Reaction score
3
Points
25

Elaun bulanan AP naik daripada S$13,750 kepada S$18,500​

screenshot_2026-09-08_145905.jpg

Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)

SINGAPURA: Elaun bulanan Anggota Parlimen (AP) akan dinaikkan daripada S$13,750 kepada S$18,500 mulai 15 Oktober, umum Perdana Menteri Lawrence Wong di parlimen pada Selasa (8 Sep).

Encik Wong berkata pemerintah memilih untuk tidak menganggap elaun tersebut sebagai “sekadar elaun simbolik”.

IKLAN

“Ia merupakan elaun yang besar kerana AP memikul tanggungjawab besar di parlimen dan kawasan undi mereka,” kata beliau.

PM Wong menambah bahawa pemberian elaun yang sewajarnya membolehkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) merekrut serta mengetengahkan calon-calon yang berkaliber.

“Kita dapat melihat hasilnya di Dewan ini. Kita mempunyai AP daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman, yang membawa perspektif berbeza-beza dalam perbahasan kita,” kata PM Wong.

“Kita mungkin berbeza pendapat dengan ketara antara kedua-dua pihak, tetapi mutu perbahasan tetap tinggi dan Singapura menjadi lebih baik kerananya.”

Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing, yang menyampaikan kenyataan menteri selepas Encik Wong, berkata kenaikan itu mengambil kira inflasi.

IKLAN

“Ini merupakan kemas kini yang praktikal bagi memastikan AP mendapat sokongan yang sewajarnya dalam melaksanakan tugas mereka di lapangan,” kata Encik Chan.

PM Wong dan Encik Chan masing-masing memberi respons terhadap Semakan Gaji bagi Pemegang Jawatan Politik dan Anggota Parlimen oleh sebuah jawatankuasa bebas pada 2026, yang menyarankan beberapa perubahan kepada cara gaji menteri dikira.

Encik Chan berkata pemerintah juga akan mengkaji kemungkinan untuk “memisahkan” elaun bagi peranan berkaitan masyarakat, seperti AP dan datuk bandar, daripada gaji tanda aras pemegang jawatan politik.

Jawatankuasa semakan yang dipimpin Dr Gerard Ee menarik perhatian bahawa pertimbangan bagi peranan sedemikian “mungkin berbeza daripada pertimbangan bagi pemegang jawatan politik sepenuh masa”.

“Ia menyarankan supaya pemerintah mengkaji asas untuk menentukan kadar bayaran dengan cara yang tidak terikat kepada tanda aras gaji menteri Gred 4 (MR4), tetapi masih mencukupi untuk membolehkan mereka yang memegang peranan ini menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berkesan,” kata Encik Chan.

IKLAN

Tanda aras gaji menteri Gred 4 (MR4) merupakan titik rujukan yang digunakan Singapura untuk menetapkan gaji menteri pada peringkat permulaan.

Encik Chan berkata pemerintah akan menjalankan kajian tersebut sambil menerima saranan jawatankuasa untuk menaikkan elaun AP kepada S$18,500 buat masa ini. Pemerintah turut menerima dapatan semakan 2012 oleh jawatankuasa tersebut bahawa elaun AP ketika itu adalah sesuai.

“Mengemas kini elaun bulanan dengan mengambil kira inflasi sepanjang tempoh tersebut adalah selaras dengan pendekatan ini,” kata Encik Chan.

AP TANPA KAWASAN UNDI DAN AP DILANTIK

Elaun bagi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) akan dinaikkan daripada 15 peratus kepada 30 peratus daripada elaun tahunan seorang AP, menjadikan elaun bulanan mereka S$5,550.

IKLAN

“Ini mengambil kira pemberian hak mengundi penuh kepada NCMP sejak 2017 dan menjadikan elaun mereka lebih sejajar dengan tanggungjawab di parlimen,” kata Encik Chan.

Elaun NCMP yang disemak semula itu juga akan berkuat kuasa mulai 15 Oktober.

Bagi Anggota Parlimen Dilantik (NMP), kadar sedia ada sebanyak 15 peratus akan dikekalkan.

Encik Chan berkata pemerintah menerima saranan jawatankuasa supaya peruntukan faedah sedia ada dikekalkan, yang “terus menegakkan prinsip gaji bersih, tanpa faedah tersembunyi, tanpa pencen dan dengan ketelusan yang jelas”.

Faedah perubatan akan terus diberikan di bawah skim Medisave dan Pesakit Luar Bersubsidi, iaitu pelan faedah perubatan bagi kakitangan awam dan pekerja sektor awam Singapura, kata beliau.

Respons pemerintah terhadap saranan jawatankuasa semakan akan dibahaskan di parlimen pada Khamis.

 
Back
Top
Log in Register