BTC USD 75,904.4 Gold USD 4,338.25
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Gaji menteri naik sehingga 9% kepada S$1.2 juta, lebih rendah daripada saranan jawatankuasa semakan

Bob_SG

Fun Poster
Messages
719
Joined
Jun 14, 2025
Messages
719
Reaction score
2
Points
25

Gaji menteri naik sehingga 9% kepada S$1.2 juta, lebih rendah daripada saranan jawatankuasa semakan​

screenshot_2026-09-08_135403.jpg

Perdana Menteri Lawrence Wong menjawab soalan para Anggota Parlimen pada 8 April 2025. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Para pemegang jawatan politik Singapura akan menerima kenaikan gaji sehingga sembilan peratus, menjadikan gaji tahunan seorang menteri pada gred terendah, iaitu Gred 4 (MR4), sekitar S$1.2 juta, umum Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (8 Sep).

Berucap di parlimen, PM Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata perubahan tersebut akan berkuat kuasa mulai 15 Oktober, selepas pemerintah menerima saranan sebuah jawatankuasa semakan bebas yang dilantik pada Disember 2025.

IKLAN

Ini merupakan kali pertama gaji menteri diubah sejak 2011.

PM Wong menyampaikan respons pemerintah terhadap saranan jawatankuasa tersebut supaya gaji tanda aras bagi menteri Gred 4 (MR4) – gred terendah daripada empat peringkat – dinaikkan daripada gaji tahunan rujukan semasa S$1.1 juta kepada S$1.8 juta.

Jawatankuasa tersebut turut menyarankan perubahan kepada gaji pemegang jawatan politik lain serta elaun Anggota Parlimen dan wakil rakyat lain.

Pelarasan gaji Presiden, Speaker Parlimen dan Timbalan Speaker juga akan berkuat kuasa pada tarikh yang sama, kata PM Wong.

“Kami tidak akan beralih serta-merta kepada gaji tanda aras baharu. Sebaliknya, kami akan membuat pelarasan sekali sahaja sehingga sembilan peratus bagi para pemegang jawatan politik,” kata PM Wong.

IKLAN

“Saya katakan ‘sehingga’ kerana kenaikan yang sama tidak akan diguna pakai secara automatik kepada semua. Pelarasan bagi setiap pemegang jawatan akan bergantung kepada keadaan individu, termasuk prestasi dan bila kali terakhir gajinya diselaraskan.”

PM Wong menjelaskan bahawa bagi seorang menteri MR4 yang menerima gaji tahunan rujukan semasa S$1.1 juta, pelarasan penuh sembilan peratus akan menjadikan jumlah tersebut sekitar S$1.2 juta.

Tiada lagi pelarasan khas selepas itu untuk merapatkan jurang kepada S$1.8 juta, kata PM Wong.

Sebaliknya, sebarang perubahan seterusnya akan dibuat berdasarkan prestasi dan tanggungjawab individu berkenaan, tambah beliau.

PAKEJ GAJI MENTERI

IKLAN

Pada masa ini terdapat empat gred menteri – MR4, MR3, MR2 dan MR1 – dengan julat gaji bagi setiap gred yang menentukan gaji tetap seseorang menteri, kata PM Wong.

“Sebagai PM, saya menentukan gred setiap menteri; kedudukan setiap menteri dalam julat gaji bagi gred tersebut; dan Bonus Prestasi Individu setiap tahun,” kata beliau.

Seramai 10 daripada 16 menteri kini berada pada gred MR4.

Enam lagi berada pada gred lebih tinggi, mencerminkan pengalaman dan tanggungjawab lebih besar mereka, termasuk mereka yang berkhidmat sebagai menteri penyelaras.

Tiga menteri penyelaras tersebut ialah Menteri Pertahanan Chan Chun Sing yang menyelia perkhidmatan awam, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung yang menyelia dasar sosial dan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam yang menyelia keselamatan negara. Dua Menteri Kanan dalam Kabinet ialah Encik Shanmugam dan mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

IKLAN

Dari semasa ke semasa, para menteri boleh beralih ke tahap gaji yang berbeza dalam gred mereka berdasarkan prestasi, kata PM Wong.

“Mereka mungkin bermula pada bahagian bawah julat gaji. Mereka yang menunjukkan prestasi baik boleh beralih ke tahap lebih tinggi dalam julat tersebut. Sesetengah menteri juga boleh dinaikkan ke gred lebih tinggi apabila mereka memikul tanggungjawab yang lebih besar,” kata beliau.

Terdapat juga komponen gaji berubah-ubah yang membentuk lebih satu pertiga daripada imbuhan tahunan seseorang menteri, kata beliau.

Sebagai contoh, Bonus Nasional diberikan kepada semua pemegang jawatan berdasarkan hasil yang ditetapkan dalam rangka kerja gaji pemegang jawatan politik.

Bonus Prestasi Individu pula bergantung kepada penilaian perdana menteri terhadap prestasi setiap pemegang jawatan politik. Tahun lalu, bonus itu adalah antara tiga hingga enam bulan, kata PM Wong.

“Jadi apabila kita merujuk kepada gaji tahunan rujukan MR4 semasa sebanyak S$1.1 juta, ia merupakan jumlah rujukan keseluruhan. Ia merangkumi gaji tetap berserta tahap prestasi dan pembayaran bonus yang diandaikan,” kata PM Wong.

“Oleh itu, imbuhan sebenar yang diterima seseorang menteri dalam mana-mana tahun boleh menjadi lebih tinggi atau lebih rendah daripada gaji tahunan rujukan, bergantung kepada tahap gajinya dan pembayaran berubah-ubah.”

PM DERMAKAN KENAIKAN GAJI KEPADA BADAN KEBAJIKAN

Dalam ucapannya, PM Wong berkata gaji perdana menteri ditetapkan pada dua kali gaji tanda aras MR4.

“Saya memutuskan bahawa bagi tempoh lima tahun akan datang – dengan andaian saya kekal sebagai PM – saya akan mendermakan sepenuhnya kenaikan gaji saya hasil pelarasan ini,” kata beliau.

Beliau akan terus menerima gajinya seperti yang diperuntukkan di bawah rangka kerja gaji pemegang jawatan politik, sebelum “mendermakan kenaikan itu kepada tujuan kebajikan yang sesuai”, kata PM Wong.

“Ini keputusan saya sendiri. Saya tidak mewajidkan para pemegang jawatan lain untuk melakukan perkara yang sama. Secara umumnya, saya tidak percaya pemberian amal perlu ditonjolkan kepada umum.”

PM Wong berkata sebagai perdana menteri, beliau memikul “tanggungjawab utama” terhadap rangka kerja gaji pemegang jawatan politik. Justeru, ia “adalah wajar bagi rakyat Singapura untuk mengetahui keputusan yang saya ambil dan bahawa saya meneruskan perubahan ini kerana saya percaya ia adalah demi kepentingan Singapura”.

Beliau akan menilai semula keputusan tersebut selepas lima tahun dengan mengambil kira keadaan ketika itu.

“Saya sememangnya menjangka akan terus menyokong tujuan kebajikan, seperti yang selalu saya lakukan. Namun, saya tidak mahu membuat komitmen terbuka tanpa tempoh yang ditentukan, atau mewujudkan jangkaan bahawa perdana menteri pada masa depan mungkin merasakan tekanan untuk melakukan perkara yang sama,” tambah beliau.

PENYELARASAN GRED MENTERI

Jawatankuasa semakan turut menyarankan supaya gred MR2 dan MR3 digabungkan menjadi satu, sekali gus mengurangkan jumlah peringkat yang ada daripada empat kepada tiga, kata PM Wong.

Julat gaji bagi setiap gred juga akan diperluaskan kepada lebih atau kurang 25 peratus, kata beliau.

“Kami bersetuju dengan perubahan ini. Namun, pendekatan asas untuk menilai dan membezakan gaji individu akan kekal sama,” kata beliau.

“Selepas pelarasan khas sekali sahaja ini, saya akan terus menilai para menteri dan menyelaraskan gaji mereka seperti biasa berdasarkan prestasi.”

Atas dasar tersebut, beliau menjangkakan kebanyakan menteri yang kekal pada MR4 akan berada pada bahagian bawah julat gaji baharu – sekitar S$1.35 juta – menjelang akhir penggal pemerintah ini.

PM Wong berkata mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang dan memikul tanggungjawab lebih besar boleh bergerak lebih tinggi dalam julat tersebut atau dinaikkan ke gred lebih tinggi.

“Jadi, gaji tanda aras MR4 yang disemak semula kepada S$1.8 juta bukan sasaran gaji yang akhirnya mesti dicapai oleh setiap menteri. Menteri boleh menerima gaji lebih tinggi atau lebih rendah daripada gaji tanda aras, dalam julat yang ditetapkan,” kata beliau.

PEMEGANG JAWATAN LAIN

Bagi Menteri Negara, Setiausaha Parlimen dan datuk bandar, PM Wong berkata beliau “biasanya akan mendapatkan pandangan menteri penyelia mengenai prestasi mereka”, namun keputusan muktamad berhubung tahap gaji, gred dan bonus mereka terletak pada beliau.

Para pemegang jawatan baharu yang dilantik pada penggal akan datang juga akan ditempatkan pada tahap berbeza dalam julat tersebut dengan mengambil kira pengalaman dan imbuhan mereka sebelum ini, kata beliau.

Ini secara berperingkat akan mewujudkan perbezaan gaji yang lebih luas berbanding sekarang, selaras dengan tujuan struktur yang disemak semula itu, kata PM Wong.

“Ia memberi PM lebih ruang untuk membezakan gaji berdasarkan prestasi dan, yang penting, membawa masuk individu yang mempunyai pengalaman luas dari luar pemerintah, khususnya mereka yang sudah menerima gaji yang jauh lebih tinggi dalam sektor swasta,” kata beliau.

Walaupun mereka masih dijangka untuk membuat “pengorbanan yang bermakna” bagi menyertai khidmat politik, “kita tidak seharusnya menjadikan jurang tersebut lebih besar daripada yang diperlukan”, kata PM Wong.

“Secara keseluruhan, saya percaya ini akan memberi saya dan perdana menteri pada masa depan peluang lebih baik untuk meyakinkan rakyat Singapura yang berkebolehan supaya tampil ke hadapan, dan membentuk pasukan yang seteguh mungkin untuk Singapura,” kata beliau.

Respons pemerintah terhadap saranan jawatankuasa semakan tersebut akan dibahaskan di parlimen pada Khamis.

 
Back
Top
Log in Register